Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Naim yang baru masuk setelah keluar untuk makan tengah hari menegur Deeja yang sedang menggubah bunga.

"Deeja, mana bunga ros banyak-banyak?"

Rasanya sebelum keluar lunch tadi, masih ada banyak stok.

"Oh... Tadi ada sorang lelaki beli sejambak bunga harga dua ratus lima puluh ringgit. Khas untuk surprisekan kekasih dia. Sweet, kan?"

Deeja kelipkan mata berulang kali. Tumpang bahagia walaupun bunga itu tidak ditujukan padanya.

Naim mengangguk. Teruja. Mengalahkan dia pula yang dapat bunga.

Antara sebab kenapa dia masih bertahan di sini ialah, dia suka melihat orang tersenyum.

Pintu hadapan berbunyi menandakan ada pelanggan masuk. Muncul seorang lelaki yang memakai kot dengan sejambak bunga di tangannya. Eh, macam kenal aje mamat ni? Ini bukan lelaki yang datang pagi tadi ke?

"Hai, encik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Ramah Deeja menegur.

"Ya. Memang awak boleh bantu saya." Sejambak bunga berharga dua ratus lima puluh ringgit itu dicampak ke atas meja.

"Errr... Kenapa ni, encik? Ada masalah dengan gubahan bunga saya ke?"

Deeja mula tak sedap hati melihat air muka serius pelanggan yang seorang ini.

"Saya nak return bunga ni."

Jatuh rahang Deeja saat menyambut kata-kata pelanggan ini.

"Hah? Return? Encik, kat kedai kami tak ada polisi boleh pulangkan bunga yang dibeli dan saya pasti mana-mana kedai bunga pun macam tu juga," jelas Deeja lembut. Tersenyum.

"Eh, itu bukan masalah aku. Yang penting sekarang ni aku nak kau pulangkan duit aku. Aku tak nak bunga ni. Kekasih aku ada lelaki lain. Jadi, aku tak jadi nak bagi pada dia. Perempuan semua sampah!" pekik lelaki itu kuat.

Naim yang berdiri di kaunter tadi terus menghampiri Deeja apabila dia lihat lelaki itu sudah melebihi paras bahaya.

"Encik, sila bawa bertenang. Encik kena ambil balik bunga ni sebab encik dah beli. Bunga ini kita dah gubah, jadi tak boleh dipulangkan balik." Sudah biasa Naim handle perangai pelanggan. Tapi pelanggan yang satu ini agak agresif daripada kebiasaan.

"Aku cakap aku tak nak, aku tak naklah! Pulangkan balik duit aku! Ini kan kedai bunga. Kau juallah semula, apa masalahnya ni?!" Kali ini suara dia menjerit kuat.

"Saya minta maaf tapi saya betul-betul tak..." Deeja kembali bersuara.

"Eh perempuan, kau ni memang nak cabar kesabaran aku ke?" Lelaki itu sudah mengangkat tinggi tangannya.

"Argh..." Deeja dah tutup muka. Bimbang jika dibelasah. Tapi tiba-tiba suasana jadi sepi. Deeja memberanikan diri menurunkan lengan. Kali ini matanya melihat kemunculan AJ yang sedang menahan tangan lelaki itu dari jatuh ke mukanya.

"Kalau nak cari gaduh, bukan dengan perempuan, bro." Habis ayatnya, AJ memulas lengan lelaki itu ke belakang hingga lelaki itu menyeringai kecil.

"Auch... Sakitlah!" pekit lelaki itu kuat.

"Oh, sakit ke? Lain kali kalau dah putus cinta tu, tak payah nak bawa masalah kat orang lain pula. Apa ke bodoh sangat kau nak return bunga yang kau dah beli? Otak kau tertinggal kat rumah ke apa?" bebel AJ lagi. Masih tidak melepaskan tangan lelaki itu.

"Auw... Auw..."

"AJ..."

Naim dah seram sejuk. Memberi hint supaya melepaskan tangan lelaki gila itu. Buatnya patah lengan pelanggan tu, satu hal pula kena saman nanti.

Dengan muka bosan, AJ lepaskan cengkaman.

"Ambil balik bunga kau tu dan keluar dari kedai ni sebelum aku call polis," ugut AJ serius.

Lelaki itu memandang mereka silih berganti sebelum mencapai bunga itu dan keluar dari kedai.

Serentak Naim dan Deeja hela nafas lega. Tak tinggal lama, AJ kembali ke ruang belakang. Beberapa rakaman yang dirakam tadi perlu dipost ke laman sosial. Malah dia juga hendak mempromosikan design bunga yang baru.

Lambat-lambat Deeja labuhkan duduk di hadapan AJ.

"AJ, thanks tolong selamatkan aku tadi."

AJ buat muka kosong.

"Lain kali bila orang dah nak tumbuk kau, kau bersedialah nak tumbuk dia balik. Bukannya menjerit tutup muka. Tak semestinya bila jadi perempuan kena lembik."

Deeja genggam penumbuk sendiri. Sabar ajelah dengan mulut laser Si AJ ni.

"Kau tengok penumbuk aku ni. Kecik aje. Kau agak-agak kalau aku debik dia, boleh sakit ke? Silap hari bulan, tangan aku yang bengkak. Entah-entah patah." Percubaan meraih simpati.

"Kalau tak cuba, mana kita nak tahu?" Senada AJ membalas.

"Hmmm... Kau nak cuba rasa ke? Bolehlah kau bagi markah pada tumbukan aku," pelawa Deeja tersengih.

"Kau gila ke? Habislah muka aku yang kacak ni. Karang jodoh yang sesat tu makin sesat dibuatnya."

Terus Deeja ketawa menyambut kata-kata AJ.

"Muka beku habis, ada hati juga nak ada buah hati."

"Yalah, selain daripada kepentingan buah pinggang. Buah hati pun penting juga untuk kebahagiaan sejagat."

Deeja lepas tawa.

"AJ, nanti kalau kau dah ada awek nanti, jangan lupa kenalkan aku dekat dia, ya?"

"Kenapa kau pula yang excited?" Semacam aje dia tengok Deeja ini.

Barisan gigi ditayang.

"Sebab aku nak ucap takziah."

AJ pandang Deeja lama. Mukanya didekatkan sedikit ke arah Deeja.

"Patutnya tadi aku biar aje dia debik muka kau ni, Deeja. Biar padan dengan muka tu." Tertahan sahaja emosinya.

Deeja ketawa. Seronok mengusik AJ. Kadang-kadang Deeja sendiri tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang berada dalam fikiran AJ, ya? Lelaki yang dingin, beku dan juga perahsia.

"Deeja... Deeja... Deeja..." Kuat suara Naim yang berada di kaunter depan. Automatik Deeja dan AJ saling berbalas pandang. Dalam fikiran mereka cuma satu. Lelaki tadi datang balik?

Deeja telan liur.

Tak tunggu lama, mereka berdua terus ke bahagian hadapan. Namun Deeja masih berjaga-jaga dengan berdiri di belakang AJ. Tiada sesiapa di situ kecuali Naim.

Kening terjongket. Menghulur soalan kenapa dengan bahasa mata.

Naim terkaku. Telefon di tangan dihulurkan pada Deeja. Dan apabila Deeja melihat skrin telefon, giliran dia pula yang melopong. AJ sudah kehairanan sendiri.

"Naimmm!" jerit Deeja sambil melompat-lompat.

"Deejaaa!!!" jerit Naim pula. Ikut turut sampai melempar bahagia.

"Woiii!" jerkah AJ bengang. Pelik melihat kedua-duanya. Apa yang dia tertinggal?

"AJ, penulis favourite aku nak keluar buku baru.Yeayyy..." Penuh kegembiraan Deeja melompat.

Terus jatuh bahu AJ. Aku ketuk juga budak berdua ni. Ingatkan apalah yang saspens sangat tadi. Nyaris dia ingat lelaki tadi datang buat gila atau bawa geng.

"Kau orang berdua ni, ada juga aku gunting buat gubahan di dalam kedai ni. Penulis keluar buku aje kut," tempelak AJ tak faham.

"Yalah, setahun juga nak tunggu buku baru dari Shinyu ni tau. Bestnya... Tak sabar nak beli." Dia sudah ada lima koleksi novel Shinyu. Semuanya dia suka. Semuanya best tahap menjilat jari!

"Aku tak faham betul apa yang best sangat pasal penulis Sunyo tu." Mengecil mata Deeja saat menangkap kesalahan sebutan dari AJ. Seperti biasa minat AJ tak pernah sama dengan orang lain.

"AJ, nama dia Shinyu. Bukannya Sunyo kawan Si Giant dalam cerita Doraemon tu. Shinyu dalam bahasa Jepun bermaksud kawan baik."

"Jadi?" AJ minta penjelasan lanjut.

Deeja gigit bibir. Entah berapa juta kali dia perlu ulang penerangan yang sama.

"Shinyu ni menulis sebab dia kesunyian. Jadi dia tak nak orang lain rasa kesunyian yang dia rasa. Jadi, sebab tu dia menulis. Menulis supaya buku-buku dia boleh jadi kawan baik kepada semua pembaca. Supaya tak ada orang yang rasa sunyi dan hidup sorang-sorang dalam dunia ni."

Ya. Itulah Shinyu. Maklumat asas ini memang ada tertulis di dalam buku pertama Shinyu. Sejak dari buku pertama lagi, Shinyu yang pada mulanya bukan sesiapa tiba-tiba menjadi fenomena. Bukunya diterima ramai malah setiap bukunya mendapat lebih lima puluh ribu cetakan. Dikira hebat untuk industri penulisan Malaysia yang tak besar mana ini. Malah buku Shinyu juga melepasi pasaran di Indonesia.

"Percayalah sangat pada cerita-cerita rekaan Sonyu tu..."

"Shinyulah." Deeja kembali membetulkan. Siap dengan pakej jelingan. Geram.

"Betul, AJ. Buku dia macam baca buku motivasi dan inspirasi. Dan buku dia macam memberi harapan kepada semua orang supaya jangan berhenti bermimpi. Mimpi kita tak semestinya tak mampu hidup dalam dunia realiti," sampuk Naim pula. Ikut turut berjangkit dengan penyakit Deeja.

"Kau pun patut baca, AJ," cadang Naim. Walaupun ia sebuah novel, tapi tak semestinya isi cerita tak bersesuaian dengan kaum Adam.

"Tak kuasalah aku. Banyak lagi kerja aku nak buat kat rumah tu." AJ sudah bergerak ke belakang.

Deeja sudah hilang dalam dunianya. Membaca kapsyen ayat Shinyu sahaja bibirnya sudah menguntumkan senyuman. Pasti menarik seperti sediakala.

Habis dia skrol laman Instagram milik Shinyu. Shinyu sangat sukakan langit. Sama seperti dirinya. Semua kapsyen novelnya pasti akan berlatarbelakangkan cuaca langit yang membiru.

Entah di mana kau berada?

Setidaknya, kita masih beratapkan langit biru yang sama. =)

"Oit... Berangan ke?!" sergah Naim.

"Naim, kau rasa Shinyu ni lelaki ke perempuan, ya? Kadang-kadang aku rasa dia lelaki. Kadang-kadang aku rasa dia perempuan. Bilalah dia nak reveal diri dia, kan?"

Naim angkat bahu.

"Aku lebih suka dia kekal misteri macam ni. Rasa eksklusif aje. Dia dipandang kerana bakat dan bukannya rupa. Kan adil tu?"

"Kalau dia ni lelaki kan, memang aku akan jatuh cinta dengan dia. Sebab aku rasa kita orang ada banyak persamaan."

Berdekah pecah tawa Naim. Sedikit menggeleng.

"Betullah AJ cakap kau ni kuat berangan, Deeja."

"Alah, berangan kan percuma. Bukan kena bayar pun. Tapi tak nak aku orang luar biasa macam Shinyu tu. Dah lah ramai peminat. Nanti aku ni sekadar menumpang hati aje. Tak dapat menginap dengan selesa," bebel Deeja sendiri sebelum menyambung kerjanya yang tergendala.

"Hmmm, kalau kau nak selesa... Apa kata kau tumpang hati AJ? Aku dengar hati dia tengah kosong tak berpenghuni," sakat Naim dengan tawa yang sudah meletus.

Deeja gigit bibir. Eh, ke situ pula mamat ni. Ada juga yang kena lempang kejap lagi.

Usai waktu kerja, Deeja terus menutup kedai seperti biasa. Skuter ditunggang menuju ke rumah. Namun belum sampai ke pintu pagar rumah, matanya dikecilkan. Seakan-akan perasan akan satu figura yang sedang berdiri bersandar di sebuah kereta.

Mata dibulatkan.

Macam tak percaya dengan kedatangan lelaki itu ke rumahnya ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro