Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Usai mengemas dapur, Deeja mengasingkan diri di dalam bilik sedangkan yang lain-lain sedang berkumpul di ruang tamu. Skrin telefon disentuh. Naik notifikasi di FB Shinyu. Nampaknya Shinyu ada cerita terbaru!

FACEBOOK: SHINYU

Baru sahaja Alya keluar dari pejabat, hujan turun dengan lebat. Sedang dia berkira-kira berfikir untuk meredah hujan atau pun menunggu hujan reda, susuk tubuh seorang lelaki sudah berdiri di sebelahnya.

Lelaki itu tersenyum. Namun wajah gadis itu sudah pucat tanpa darah.

"Hujan ni... Mari saya payungkan awak ke kereta," pelawa lelaki itu dengan senyuman yang tersungging di bibir.

Tapak tangan dikepal. Menahan getaran yang berlabuh dalam dada.

"Saya nak minta tolong dengan awak." Lambat-lambat si gadis bersuara.

"Apa dia? Cakap je apa." Seperti selalu, bibir Leo tak pernah lekang dengan senyuman.

"Tolong... Tolong jangan senyum di depan saya. Tolong jangan baik sangat dengan saya. Tolong jangan tegur saya. Tolong jangan pedulikan saya. Tolong jangan pandang saya. Tolong jangan muncul depan saya. Tolong bantu saya hilangkan perasaan saya pada awak. Tolonglah..." Suara di hujung sudah bergetar. Menahan esak tangis yang bakal pecah. Bertahanlah... Janganlah di hadapan lelaki ini.

Tidakkah lelaki ini ingat bahawa, lelaki ini baru sahaja menolak lamarannya? Kejadian yang menyakitkan itu masih segar dalam kotak ingatan. Masih tidak berganjak sedikit pun.

"Awak..." Belum sempat lelaki itu bersuara, si gadis sudah menyampuk.

"Maaf kalau saya keterlaluan... Assalamualaikum." Kaki terlebih dahulu mengambil inisiatif untuk pergi. Meninggalkan lelaki itu dengan air muka yang sukar untuk ditafsirkan.

Kali ini, jangan salahkan hujan bila wajah ini basah kerana air mata.

Ada cerita yang ditakdirkan tidak berakhir dengan bahagia. Mungkin, salah satunya adalah cerita dia. Gadis malang yang tersalah menjatuhkan hati.

Takdir tak selalu mengizinkan kita memiliki segala yang kita sukai.

Xoxo,

Shinyu.

#nextchapter

#AlyaLeo

Aduh, cerita patah hati lagi ke, Shinyu? Memang menyedihkan bilamana kita bukan watak utama dalam kehidupan orang yang kita kasihi. Kisahnya dengan Alya hampir serupa tapi tak sama.

Lama Deeja melayan perasaan sendiri sebelum pintu bilik diketuk. Muncul mama di balik pintu.

"Deeja, Kak Mel dah nak balik." Menyambut kata-kata mama, terus Deeja keluar dan bersalaman dengan bakal kakak iparnya itu.

Jika ikut perancangan, dia akan bermalam di rumah mamanya. Tapi seperti biasa, Deeja kalah dengan keadaan di dalam rumah ini.

"Tak nak tidur sini?" Suara Puan Salmiyah ketika menghantar Deeja ke muka pintu.

"Deeja ada hal sikit nak urus, ma. Nanti Deeja balik tidur sini, ya?" pujuk Deeja tersenyum manis.

Puan Salmiyah ingin menahan si anak dari pergi. Tapi segenap hatinya membiarkan. Untuk apa Deeja di sisi jika dia hanya melihat wajah kelat Deeja yang asyik memendam rasa? Dia tak boleh pentingkan diri sendiri.

"Kalau balik rumah ni rasa panas aje, kan? Kenapa, rumah ni bertukar neraka ke?" sampuk si ayah di ruang tamu. Sikit pun tak dipandang pada si anak.

Kata-kata si ayah langsung tak dihiraukan. Terus Deeja keluar dari rumah usai bersalaman. Umar yang pada mulanya duduk di sebelah si ayah, jadi panas punggung. Akhirnya dia pun bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik. Rasa kasihan pada si adik jadi bertimpa-timpa.

Dan seperti biasa Deeja membelokkan skuternya ke taman permainan. Jam sudah mencapai angka sepuluh malam. Taman sendiri sudah tidak berpenghuni.

Takdir tak selalu mengizinkan kita memiliki segala yang kita sukai. - Shinyu

Teringat kata-kata di Facebook Shinyu tadi. Benar kata Shinyu. Takdir tak akan selalunya memihak pada kita.

Kepala didongak ke langit yang gelap. Tiada sebarang taburan bintang di situ. Nampaknya bintang juga sudah jemu menemaninya. Guruh berdentum. Memberi amaran supaya penduduk bumi bersedia untuk langit memuntahkan hujan. Tapi kaki Deeja masih belum bersedia untuk meninggalkan taman.

Lama dia duduk di situ sebelum hujan membasahi bumi. Kepala didongak ke langit. Membiarkan hujan jatuh ke wajahnya. Supaya dia keliru dan tidak dapat membezakan yang mana satu air mata dan mana satu air hujan.

Mata dipejam. Menikmati tiap luka yang ada. Bukankah kata orang, luka akan terlihat dewasa dari masa ke semasa. Dia sepatutnya lebih kuat dari dahulu. Sepatunya semua ini sudah tidak menjadi kudis buatnya. Bukankah dari kecil lagi dia sudah terbuang?

Deeja harap, hujan ini mampu membilas tiap luka yang ada.

Namun dia mula tersedar saat hujan berhenti dari membasahi wajahnya. Bagai ada sesuatu yang menghalang. Kelopak mata dibuka. Yang terlihat hanyalah payung berwarna hitam. Terus Deeja berkalih ke kanan memandang susuk tubuh yang sedang berdiri bersama sekaki payung yang memayungi mereka dari hujan.

"Kau tak rasa ke yang kau terlalu tua untuk bermain hujan?" tutur AJ langsung melepaskan pandangan kosong ke ruang depan.

"AJ, kau buat apa kat sini?" Mamat ni ada sahaja ke mana-mana tempat dia pergi. Stalker ke apa?

"Aku keluar nak beli burger tadi... On the way nak ke kedai, nampak kau kat sini," jelas AJ ringkas.

Deeja terdiam.

"Kau, kenapa sedih? Kau bukan ke balik rumah ayah kau?" Walaupun pipi Deeja basah dek hujan, tapi AJ tahu ada air mata yang tersimpan sama.

"Aku tak nak cakap pasal tu," tolak Deeja. Mengharapkan pengertian dari AJ.

AJ sekadar mengangkat bahu. Dia pun tak mahu memaksa. Dijeling sekilas ke arah Deeja yang sedang memeluk tubuh. Pasti gadis itu sudah kesejukan dijamah air hujan.

"Pegang payung ni kejap," suruh AJ sambil menghulurkan kaki payung itu pada Deeja. Deeja sekadar menurut tanpa sebarang soal jawab.

AJ cabut sweater yang dipakai lalu disarungkan ke tubuh Deeja. Dia tahu Deeja terkejut, tapi air muka tak beriak ditayang.

"Baik kau balik Deeja sebelum hujan jadi makin lebat."

Sweater di badan dipandang. Kenapa AJ layan dia baik sangat ni? Untuk malam ini, tiada sebarang kata-kata sarkastik dari mulut lelaki itu seperti selalu.

"Tapi..."

"Hujan akan membuatkan kau demam. Dan bila kau demam, kau akan buat Adam berjangkit sama. Adam baby lagi. Kalau dia demam, mesti susah. Baliklah..." pujuk AJ lembut.

"Kejap aje... Lepas tu aku balik." Deeja kembali menghulurkan payung kepada AJ.

"Kau gunalah payung ni. Jangan mandi hujan. Tak elok. Kau kena ingat yang kau kena jaga Adam," pesan AJ lagi. Dia ingin menemani Deeja di sini. Tapi dia sedar yang tak manis berdua-duaan di taman begini. Boleh mendatangkan fitnah.

Lambat-lambat AJ bergerak ke belakang. Meninggalkan Deeja. Namun dia sebenarnya bersembunyi di suatu kawasan. Sekadar memerhati Deeja dari jauh. Dan... Akhirnya nampak tangis Deeja pecah.

AJ memeluk tubuh. Memandang Deeja dengan seribu rasa yang tidak terluah. Pasti Deeja ada masalah dengan ayahnya lagi. Itulah kelemahan Deeja paling ketara.

Deeja, percayalah kau lebih kuat dari apa yang kau percaya. Kau. Kuat.

Hachum!

Untuk kesekian kalinya, Deeja terbersin lagi. Argh, menyesalnya mandi hujan semalam. Betul kata AJ, dia bakal demam. Dan sekarang dia dah selesema. Balik nanti tak boleh cium Adam. Aduh, terderanya dia rasa!

Tisu dicapai dan dibawa ke hidung. Tapi belum sampai ke hidung, tisu itu ditarik oleh seseorang.

"Weh..." Mata menjeling AJ dengan rasa tak puas hati.

"Penggunaan tisu tak elok untuk orang selesema. Guna sapu tangan ni." Sapu tangan miliknya diserahkan kepada Deeja.

Lambat-lambat Deeja capai.

"Kau dah jadi menteri hal ehwal kebajikan ke sekarang?"

Berkerut dahi AJ.

"Mestilah tak. Itu kan kerja kau. Aku cuma tak nak kau terbersin. Nanti kau akan rosakkan bunga-bunga yang ada dengan segala bakteria dari badan kau tu."

Deeja gigit bibir.

"AJ, cuba kau nganga?" suruh Deeja tak semena-mena.

"Nganga? Kenapa pula? Kau nak cek gigi aku ke apa?" Pelik bila tiba-tiba disuruh menganga.

"Taklah. Aku nak tengok dalam mulut kau ada M16 ke tak?"

"Huh? M16?" Apa maksud Deeja bila mengaitkan mulutnya dengan senjata itu?

"Yalah... Setiap kali kau buka mulut, mesti hati aku tercedera."

Lepas tawa AJ. Terkesan dengan kata-kata Deeja itu. Dan kali ini Deeja terpanar menyambut tawa AJ. Tidak kedengaran dibuat-buat seperti selalunya. Kali ini, Deeja seakan-akan terpegun dengan wajah AJ yang dipenuhi tawa. Menampakkan sisinya yang lain.

"Oh, sebelum aku terlupa." Satu beg plastik kecil berwarna putih diletakkan di atas meja.

"Aku tahu kau tak suka pergi klinik. Jadi, aku belikan ubat siap-siap kat farmasi. Seperti biasa, kau tak payah nak terharu sangat. Aku cuma... Tak nak Adam berjangkit sakit kau tu. Kau kena faham yang budak-budak ni antibodi dia tak sekuat orang dewasa." Sedar akan pandangan Deeja itu, AJ buat-buat tenang.

Lambat-lambat beg plastik itu dibelek. Tersenyum.

"Terima kasih. Walaupun kau tak sukakan Adam, tapi kau selalu jadikan dia keutamaan kau. Kalau kau jadi ayah, kau akan jadi ayah yang baik, AJ," puji Deeja ikhlas.

Kali ini AJ terdiam. Jadi ayah? Perkara itu tak pernah ada dalam list hidupnya. Siapa yang nak kahwin dengan lelaki yang mempunyai kelemahan sepertinya?

"Pembetulan. Aku bukan tak suka Adam. Aku cuma... Macam yang kau sedia maklum." Tak sanggup rasanya nak ulang ketidakupayaan miliknya berulang kali. Ini pun Deeja sudah cukup beruntung kerana mengetahui kelemahannya yang satu itu.

"Kau tak cuba untuk tangani rasa takut tu? Siapa tahu kau boleh lawan?"

Terdiam AJ saat menerima kata-kata semangat daripada Deeja itu.

"Deeja, ada sesetengah perkara dalam hidup ni kita tak boleh nak lawan melainkan terima. Sebab setiap manusia... Dicipta tanpa kenal erti sempurna."

Diam. Mereka saling meneruskan kerja tanpa sebarang perbualan. Sebelum Deeja kembali memecah kebisuan. Tidak dapat disembunyikan keriuhan yang berkampung dalam fikiran.

"AJ..."

"Apa yang jadi sebenarnya? Apa yang buatkan kau takut pada baby?" Debaran dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu. Dia tahu AJ tak suka jika dia melampaui batas, tapi otaknya terlalu berkompang dengan segala pertanyaan.

Diam. Kali ini reaksi wajah AJ sedikit berubah.

"Kalau... Kalau kau tak nak cerita. Aku faham." Deeja tersenyum. Menutup gugup dalam hati.

"Baguslah kalau faham. Lagi pun, hidup ada had-had tertentu dan tak semua perkara kita perlu tahu atau ambil tahu," respons AJ malas.

Tangan terus mencapai gunting. Tidak mahu rasa kekok terus membelit perbualan mereka.

"Eh, nyaris aku terlupa..." Sekeping sampul surat berwarna putih diletakkan di atas meja dan ditolak ke hadapan AJ.

Tiada suara yang keluar dari mulut AJ. Hanya keningnya terjongket sedikit sebagai tanda soal.

"Duit sewa rumah. Duit api air. Sekadar yang aku mampu." Malu-malu Deeja bersuara.

Sampul itu kemudianya ditolak kembali ke hadapan Deeja.

"Anggap aje aku tak dengar apa yang kau cakap tu."

"AJ..." Mukanya sudah naik kebas dengan segala kebaikan AJ yang tidak pernah terputus itu.

"Ada aku minta ke?"

"Memanglah kau tak minta. Tapi ini common sense kut. Aku kena reti fikir sendiri. Mana ada benda percuma di dalam dunia ni?" Sampul itu kembali ditolak ke hadapan AJ.

"Deeja, bukan kau seorang aje yang tamak pahala. Aku pun nak jadi macam kau juga walaupun aku ni taklah baik sangat." Terpaksa direndahkan sedikit egonya. Jika tidak, pasti Deeja tak akan menerima bantuannya.

"Tapi..."

"Kenapa? Kau ingat kau sorang aje boleh buat baik? Kau sorang aje nak masuk syurga?" Apalah sangat bantuan yang dia hulurkan pada Deeja jika hendak dibandingkan dengan beban yang Deeja pikul tika ini?

"Tapi bil semua tu... Kau bukannya orang senang pun nak tampung kita orang." Bukannya dia hendak menidakkan bantuan AJ, tapi Deeja tidak mahu AJ pula yang terpaksa menanggung susah.

"Alah, pak saudara aku bank in duitlah untuk jaga rumah tu. Dia pun ada bagi upah." Ringkas cerita daripada AJ.

"Pak saudara kau umur berapa, eh? Kalau dia single bolehlah aku masuk jarum."

"Kau ingat pak saudara aku tu benang yang nak masuk jarum tu. Tak adanya dia nak pandang ibu tunggal macam kau tu." Aduh, tak boleh jadi ni. Dia perlukan topik lain untuk menutup cerita tentang pak saudaranya itu. Karang macam-macam cerita lagi yang keluar.

Okey, fikir AJ!

"Aku tanya sikit boleh?" Kali ini giliran AJ pula yang bersuara.

Terhenti pergerakan tangan Deeja. Matanya terus singgah di wajah AJ. Tanda soal terhidang di hujung kepalanya.

"Kau dah kenapa? Adakah hujan semalam merubah seorang AJ? Tiba-tiba bersopan dengan aku sampai nak tanya pun siap minta izin." Sempat lagi Deeja mengenakan AJ.

AJ ketap bibir. Tapi betul juga kata Deeja. Sejak bila pula dia terlebih dos sopan untuk minta izin bertanya? Punyalah nak lari dari topik sampai bertukar sopan begini. Isy...

"Mungkin sebab aku tak nak kau tuduh mulut aku tertelan M16 lagi." AJ membela diri sendiri.

Sempat Deeja mencebik menyambut kata-kata AJ itu. Kening terus terjongket. Sebagai isyarat agar AJ meneruskan soalannya sekali gus tidak mahu membunuh emosi AJ yang sedang baik itu.

"Kenapa bila setiap kali kau sedih, kau akan ke taman?" Sudah lama soalan ini menghuni fikirannya. Kenapa setiap kali Deeja dijengah kesedihan, dia akan ke taman? Apa simboliknya taman itu pada seorang Khadeeja?

Deeja senyum.

"Sebab taman sentiasa menggembirakan hati budak-budak dengan segala permainan yang ada. Aku cuma nak rasa semangat macam tu setiap kali aku kesedihan. Rasa terpujuk walau tiada yang memujuk. Ada hari-hari tu memang aku main aje semua permainan yang ada." Sambil bercerita, bibirnya ketawa kecil. Tapi setelah sel akal fikirannya berhubung, barulah dia dapat menangkap sesuatu.

"Kejap..." Tangan naik menahan ke atas. Wajah AJ terus dicari.

"Apa?" Terkejut dengan perubahan Deeja yang tiba-tiba itu.

"Mana kau tahu setiap kali aku kesedihan aku pergi ke taman? Kau baru jumpa aku semalam kan kat taman?"

Gulp.

Kali ini air muka AJ pula yang berubah. Liur ditelan. Alamak, kenapa mulut dia boleh terbabas cakap ni?

Telefon yang berdering menyelamatkan dirinya. Cepat sahaja AJ menghilang ke belakang. Wajah Deeja langsung tak dipandang.

Dahi Deeja berkerut. Memandang pintu belakang yang sudah kosong itu. Aali Jazimin. Dia ni tak pernah tak diselubungi misteri. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro