Bab 13
Kusut memikirkan penyelesaian, Deeja terpaksa membawa Adam ke kedai bunga. Naim, Deeja dan Kak Juwita sama-sama merenung wajah si kecil yang baru ditinggalkan ibunya itu. Hanya AJ yang duduk menjauh.
"Comelnya dia, Deeja..." puji Kak Juwita kegeraman. Baru pertama kali berkesempatan untuk melihat wajah Adam. Selalunya, dia hanya mendengar cerita-cerita daripada Deeja sahaja. Dia terlalu sibuk dengan butik pengantin yang diusahakannya. Kedai bunga ini dibuka sekadar untuk business sampingan sahaja. Tapi tak sangka sambutan yang diterima di luar jangkaan. Jadi, kerana itu diserahkan kedai bunga ini di bawah jagaan mereka bertiga.
"Sekarang ni kau nak buat apa, Deeja?" Kasihan Naim melihat Deeja. Berat juga masalah yang dipikul Deeja kali ini. Bagaimana Maya boleh terfikir untuk meninggalkan anaknya sendiri? Suka hati sahaja dia memindahkan segala beban di bahu Deeja.
Deeja menggeleng. Jarinya boleh tercabut kerana sibuk mendail nombor Maya. Dia tahu, saat ini Maya telah pun membuang Adam dalam hidupnya. Apatah lagi bila Maya sudah menutup talian telefonnya. Tapi siapa tahu telefon Maya kehabisan bateri?
Telefon di tangan Deeja terus dirampas oleh AJ. Berang pula dengan Deeja yang tidak habis-habis mendail nombor Maya.
"Jangan jadi bodohlah, Deeja. Maya memang tak akan angkat phone call kau. Sampai bila kau nak call dia? Benda ni tak akan selesaikan masalah!" Kemarahan pada Maya terpaksa dilepaskan pada Deeja.
Wajah Deeja sudah kemerahan. Entahkan kerana menahan marah ataupun menahan tangis dek diserang kata-kata AJ yang ternyata benar itu.
"Tapi tak salah mencuba, kan? Lagi pun dia kawan aku," luah Deeja sebak.
"Kawan yang dah khianati kau? Kawan yang mengambil kesempatan atas kebaikan kau?! Itu kau gelar kawan ke?" tempelak AJ keras.
"AJ... Baik buruk dia pun, dia tetap kawan aku."
Mendatar suara Deeja.
Argh... Stresnya bercakap dengan Deeja ni! AJ rasa seperti hendak hantukkan kepala ke dinding sahaja. Kenapalah Deeja perlu sebaik ini?
"Dia masih dalam pantang, AJ. Emosi dia tak stabil. Mungkin Rita ada cakap sesuatu yang buat fikiran dia terganggu. Siapa tahu bila emosi dia dah stabil, dia akan balik semula?" Deeja masih lagi bersangka baik.
"Deeja... Jangan guna kudrat kau untuk cuba tipu diri sendiri! Hakikatnya... Maya tak guna tu memang dah tinggalkan anak dia!" Keras suara AJ. Sebab perempuan tu, tak pasal-pasal dia bergaduh dengan Deeja.
"AJ!" suara Deeja naik satu oktaf. Naik turun nafasnya.
Kak Juwita yang melihat segera memberi isyarat kepada AJ agar tidak mencampuri urusan Deeja. Kata-kata AJ itu bukan sahaja terlihat kasar tapi layanannya juga penuh amarah.
"Deeja... Ambil masa untuk bertenang, ya." Bahu Deeja digosok lembut. Ini bukan masa untuk menambahkan beban di bahu Deeja.
"Kita pergi jumpa keluarga Maya nak?" cadang Naim. Sekadar memberi buah fikiran.
"Keluarga Maya sendiri dah buang Maya, kan? Akak tak rasa yang keluarga Maya akan terima Adam. Buatnya dia dera Si Adam ni, lagi teruk." Bukan bertindak untuk membunuh idea, tapi Kak Juwita tak rasa idea itu boleh digunakan.
"Saya dah buat keputusan..." Suara Deeja membuatkan semua mata memandang ke arahnya.
"Saya akan jaga Adam," putus Deeja muktamad. Bagaimana dia hendak memilih jika hanya ini pilihan yang dia ada?
"What?!" Kali ini kuat respons daripada AJ. Hampir mengejutkan tiga pasang telinga yang mendengar.
Naim membulatkan mata. Memberi isyarat agar AJ tidak meneruskan kata. Bimbang akan timbul pergaduhan antara mereka berdua. Tapi sikit pun AJ tidak menghiraukan isyarat daripada Naim itu.
"Aku tak setuju. Tolonglah jangan buat keputusan tak pakai otak!" Sinis AJ memerli.
"Ini bukan masalah kau, AJ. Jadi, tak payah sibuk." Keras nada Deeja menahan marah. Sikit pun tidak memandang AJ. Dia sudah cukup dibebani masalah, kenapa AJ perlu menambahnya lagi?
"Bukan masalah aku? Tak payah sibuk? Tapi end up kau akan tetap susahkan aku juga, kan? Aku tak setuju kau jaga Adam. Sama ada kita hantar Adam pada keluarga Maya ataupun kita hantar aje pada mana-mana pusat kebajikan," balas AJ keras.
Kali ini Deeja tayang muka tak percaya. Kering darah di wajah mendengar satu demi satu ayat yang keluar dari mulut AJ.
"Jadi, kau nak mengungkit semua kebaikan yang kau dah buat pada aku? Pada Adam? Cakap berapa semua jumlah yang kami hutang pada kau. Cakap, AJ. Aku akan bayar balik tak tinggal satu sen pun!" Deeja sudah beremosi. Dia paling benci manusia yang suka mengungkit. Tak kiralah dari segi wang ringgit ataupun budi.
"Ini bukan soal bayaran. Tapi kau tak boleh nak jaga Adam sorang-sorang. Deeja, kau nak jaga diri sendiri pun terkial-kial, inikan pula nak jaga budak tu. Satu lagi, kau ingat kau tu siapa? Kau tu bukan bidadari, Deeja. Yang boleh jaga semua orang. Kau pun bukan menteri hal ehwal masyarakat. Jadi, jangan tanggung kesalahan yang bukan salah kau! Belajarlah jadi manusia yang pentingkan diri sendiri!" Kali ini tegas nada suara AJ. Kadang-kadang dia bangga dengan kebaikan hati Deeja, tapi pada masa yang sama, kebaikan hati Deeja menjadikan dia manusia yang lemah dan bodoh. Dia tak suka melihat Deeja dalam kesusahan.
Naim tepuk dahi. Makin kronik pula masalah komunikasi mereka berdua ni.
Kak Juwita sudah duduk di tengah antara AJ dan Deeja. Bimbang ada sebarang pertumpahan darah. Paling menggerunkan adalah pertumpahan air mata. Isyarat diberikan agar AJ terus diam.
"Tak sangka. Sungguh aku tak sangka kau manusia yang pentingkan diri sendiri, AJ. Aku sungguh tak sangka yang kata-kata tu keluar dari mulut orang yang aku percaya. Aku ingat kau paling faham aku, AJ." Terkenangkan segala kebaikan AJ. Mata dipejam. Kecewanya...
"Rupa-rupanya... Kau pun sama dengan orang kat luar sana. Apa dosa Adam sampai dia diperlakukan macam ni? Dia pun tak minta lahir kat dunia ni. Dia pun tak minta dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan. Dia pun tak minta ada keluarga yang porak-peranda. Kalau kau pandang muka Adam tu... Kau tak kesiankan dia ke, AJ?" Air mata yang sedari tadi ditahan, tumpah juga di pipi.
AJ alihkan sudut pandang. Membawa lengan ke tubuh. Tidak suka apa yang singgah di pipi Deeja.
"Kau tak pernah rasa bagaimana perasaan menjadi bahan buangan, AJ. Dan aku selalu tegaskan pada diri sendiri, aku tak nak kongsi rasa sakit ni dengan sesiapa pun. Termasuklah... Adam."
Lambat-lambat Deeja bergerak ke arah Adam. Tubuh si kecil itu diangkat.
"Kak, saya ambil cuti ya hari ni. Saya janji saya selesaikan masalah saya ni sendiri. Esok saya akan datang kerja. Maaf sebab menyusahkan akak." Air mata yang tumpah dilap.
Kak Juwita tersenyum.
"Mari akak tumpangkan Deeja balik, ya? Lagi pun, kat luar tu panas. Kasihan Adam."
Laju Deeja menggeleng.
"Jangan baik dengan saya, kak. Nanti saya berharap kebaikan akak berterusan. Biarlah saya jaga Adam sendiri. Saya tak nak susahkan orang. Walaupun saya selalu gagal jaga diri sendiri, tapi saya tak nak gagal dalam menjaga Adam."
"Deeja..." Kali ini giliran Naim pula mendekat.
"Stay," arah Deeja apabila Naim hendak mendapatkan dirinya. Bimbang hatinya rapuh dalam pujuk rayu Naim. Akhirnya tak menunggu lagi, Deeja keluar dari kedai.
Naim lepaskan nafas. Sempat lagi mata menjeling ke arah AJ.
"AJ, tunggu apa lagi? Pergilah pujuk Deeja!" arah Naim sedikit keras. Geram betul dengan perangai keras kepala AJ itu.
"Aku?" Jari telunjuk naik ke arah badan sendiri.
"Pujuk Deeja?" Kali ini pula, kening naik terjongket.
"Untuk apa?"
Naim lepaskan nafas. Tak percaya soalan bodoh itu terlepas dari mulut AJ.
"Tolonglah, AJ. Sekarang bukan masa nak tunjuk ego. Deeja perlukan support daripada kita semua. Kenapa kau nak berkeras sangat dengan dia?" Karang ada juga dia layangkan sedas dua tumbukan dekat AJ ni. Biar dia terbangun sedikit dari mimpinya.
"Kau tahu kenapa Maya ambil kesempatan pada Deeja? Sebab kebaikan Deeja yang tak bertempat tu. Kebaikan dia dah jadi satu titik kelemahan dia. Kau nak ke orang terus ambil kesempatan pada dia?" Suara AJ juga makin meninggi. Ingin menenggelamkan kemarahan Naim.
"Dah tu, apa masalahnya dia jadi baik? Kalau kau tak nak jadi baik, tak payahlah larang orang jadi baik. Tak kan dia nak jadi macam Maya? Nak jadi batu api macam Rita? Eh, aku tak tahulah macam mana cara otak kau ni berfungsi?! Member tu tengah susah, tahu tak?!"
Kali ini Kak Juwita pula yang pegang kepala. Bingit juga bila lelaki ambil alih perangai perempuan yang suka berbalah ni.
"Both of you, please shut up! Karang kepala aku pula yang pecah berkecai. Pergi sambung kerja masing-masing," tegas arahan Kak Juwita.
"Sekarang!" laung Kak Juwita lagi apabila kedua-duanya masih tidak bergerak. Aduh, pening juga bila sesekali masuk kedai.
Menyambut arahan dari majikannya, terus AJ larikan kaki ke ruang belakang. Topi yang berada di kepala dibaling geram. Marah pada Deeja, tapi entah kenapa dia juga marahkan diri sendiri.
Naim pula bergerak ke hadapan. Batang bunga daisi yang sedang digubah, dipotong kasar. Membayangkan kepala AJ di situ. Berambus kau ke dalam tong sampah. Berani buat kawan aku menangis?
Dari petang lagi Adam tidak henti-henti menangis. Deeja sudah kebuntuan untuk memujuk. Adakah Adam mengerti yang dia telah ditinggalkan oleh mamanya?
"Adam, jangan macam ni, sayang. Jangan buat aunty mama susah hati. Adam minum susu, ya." Salah satu sebab kenapa Adam menangis ialah, Adam pasti sedang kelaparan kerana dia menolak susu botol yang dibancuh oleh Deeja.
Sudah sebulan Adam terbiasa dengan susu ibunya. Pasti lidahnya merasa kekok apabila menerima susu yang lain.
Perut Adam ditepuk menggunakan jari. Ada bunyi yang kedengaran menandakan perut Adam sudah kembung.
"Adam... Please, jangan macam ni, sayang. Jangan buat aunty mama susah hati." Air mata sudah jatuh mengalir di pipi. Tubuh Adam diangkat dan dibawa ke tubuh. Akhirnya, mereka berdua saling bertukar tangis.
Mungkin betul cakap AJ. Diri sendiri pun tak terjaga. Bagaimana dia mahu menjaga Adam?
Dia tak patut menjaga Adam. Dia bukannya bidadari yang boleh membahagiakan semua orang. Dia tiada kuasa untuk itu.
Dia hanya manusia biasa yang tak mungkin mampu untuk menanggung beban ini. Hatinya rapuh. Jiwanya tidak cukup kental.
Ya Allah, apa yang perlu dia lakukan sekarang? Sungguh dia tak ada apa-apa kepakaran untuk menjaga budak-budak seperti Adam. Jika terus dibiarkan, pasti Adam akan mati kelaparan.
Botol susu kembali dicapai dan disua ke mulut Adam. Tapi sekali lagi Adam menolak menggunakan lidahnya. Tubuh Adam diletakkan semula ke bawah. Pipi Adam yang lencun dek air mata dilap.
Telefon bimbit dicapai. Nombor AJ dicari. Tak sampai tiga puluh saat menanti, terdengar suara AJ di hujung talian.
"Helo..." sambut lelaki itu di hujung telefon.
Diam.
"Deeja, kenapa kau diam aje?" tegur AJ berulang kali apabila Deeja yang berada di hujung talian terus mendiamkan diri. Tapi dalam kesunyian yang menghimpit, AJ dapat menangkap tangisan yang cuba Deeja sembunyikan.
Lambat-lambat AJ lepaskan nafas. Ya, dia akui petang tadi, dia agak berkeras dengan Deeja. Dia juga sedar yang kelakuannya melampaui batas. Akhirnya, AJ sekadar menemani Deeja melepaskan tangis. Malah kedengaran juga tangisan si kecil. Sedaya upaya AJ menahan diri.
"AJ..." Nama lelaki itu diseru.
"Hmmm..."
"Betul ke... Betul ke kita akan terlihat bodoh bila melakukan kebaikan?" Satu soalan paling polos dihulur pada AJ. AJ selalu cakap, jangan jadi bodoh. Adakah berbuat baik akan sentiasa terlihat bodoh?
AJ hela nafas. Adakah dia perlu mengakui kesilapannya?
"Deeja..." Nama gadis itu dileret sedikit.
"Adakah aku perlu jadi manusia yang hilang kemanusiaan? Adakah seorang manusia itu hilang hak untuk buat kebaikan?" Walaupun terputus-putus, suara Deeja tetap kedengaran menampar peluput telinga.
"Tak. Kau tak nampak bodoh pun. I'm sorry, okay? Aku salah. Kebaikan tak buat kita nampak bodoh. Sepatutnya aku bersyukur dan bangga dengan kebaikan hati kau yang tak pernah berlimit tu. Sebab bukan semua orang dapat memandang segalanya dengan kebaikan." Itulah kelebihan yang ada pada Deeja. Dia tak sepatutnya meremehkan kebaikan hati manusia.
AJ terus menanti Deeja menghabiskan tangisnya.
"Tapi apa yang kau cakap memang betul." Deeja kembali bersuara.
"Apa maksud kau?" Tak dapat diteka apa makna dari kata-kata Deeja ini.
"Aku memang tak reti nak jaga diri sendiri. Ada hati nak jaga Adam," luah Deeja.
"Deeja, pasal hal petang tadi..." Belum sempat AJ habiskan ayat, Deeja sudah memintas.
"Ya, kau betul. Aku benci bila kau betul, AJ. Aku memang tak boleh harap. Aku tak reti nak jaga Adam. Adam menangis kelaparan. Tapi aku tak mampu nak susukan dia. Dia menangis tak berhenti dari tadi. Dia tolak susu botol... Apa aku nak buat ni? Adam lapar... Dia menangis tak henti. Macam mana ni, AJ? Apa aku nak buat..." Makin lebat air mata yang keluar. Mata kabur. Suara serak. Sungguh, dia benar-benar kebuntuan. Dengan segala rasa hati yang sarat terkenangkan perbuatan Maya. Hatinya makin pilu.
AJ genggam telefon bimbit milik sendiri. Sayunya mendengar tangisan Deeja sebegini. Bagaimana hendak dia tenangkan Deeja? Bagaimana hendak dia bantu Deeja selesaikan masalah Adam? Dia sendiri tidak pandai dalam menguruskan hal kanak-kanak.
"Deeja..." Akhirnya AJ bersuara. Tangisan di hujung talian masih lagi lebat dan penuh guruh.
"Tarik nafas," suruh AJ. Suara cuba ditenangkan walaupun dadanya sudah bergelora. Ingin sahaja dia terus ke rumah Deeja. Tapi itu tak akan membantu keadaan. Lagi pun, tidak manis dia sebagai lelaki datang ke rumah Deeja.
Bagai lembu dicucuk hidung, Deeja menurut.
"Lap air mata kau. Tenangkan diri."
Satu per satu arahan AJ, Deeja patuhi.
"Pandang Adam... Adam perlukan aunty mama dia sekarang. Jadi, kau tak boleh patah semangat." Rasa panik yang ada tak akan mampu selesaikan masalah.
Dahi diketuk beberapa kali. Berfikir. Tempoh hari ketika Maya dimasukkan ke dalam wad, Mak Cik Natipah ada menggunakan satu teknik apabila Adam menolak puting botol.
Oh, ya! Celik mata AJ apabila sudah berjaya mengingati. Picagari.
"Okey, dah relaks, kan? Cuba kau pergi dapur. Tengok dalam kabinet kalau-kalau ada picagari." Kalau picagari itu belum dibuang, pasti ia akan ada sahaja di dalam laci kabinet dapur. Entahkan membantu atau tidak, tapi lebih baik mencuba dari tak buat apa-apa.
"Picagari? Nak buat apa?" Walaupun dihunus tanda tanya, tetap Deeja bergerak pantas ke dapur. Mendengar arahan AJ. Apa sahaja dia akan lakukan untuk beri Adam minum susu.
"Jumpa tak?"
"Jumpa."
"Okey. Masukkan susu yang kau bancuh ke dalam picagari tu. Dan tekan perlahan-lahan picagari itu dalam mulut Adam. Hati-hati. Jangan sampai Adam tersedak." Sempat diselitkan amaran. Dadanya dipalu kebimbangan. Cuba menggambarkan perbuatan yang ditonton tempoh hari.
Telefon dikepit ke bahu. Penuh berhati-hati Deeja lakukan. Okey. Ada susu yang tumpah dari mulut tapi lebih banyak susu yang masuk. Telefon diletak ke tepi. Tangannya terus bergerak menyumpit susu perlahan-lahan ke mulut Adam dan mengulangi perbuatannya. Daripada menangis, Adam sudah mula senyap. Mungkin kerana lega kerana perutnya yang kosong itu sudah terisi sedikit.
"Jangan macam ni, Adam. Bukan Adam sorang sahaja yang kena tinggal. Aunty mama pun sama. Jadi kita kena sama-sama kuat, ya? Kalau Adam tak kuat, aunty mama pun tak kuat. Kalau Adam nangis-nangis macam ni, aunty mama pun nangis tau," pujuk Deeja lembut. Menepis sisa air mata di pipi Adam. Dalam pada yang sama, ikut turut menepis air mata sendiri.
Di hujung talian, AJ sekadar tersenyum pendek menyambut kata-kata Deeja pada Adam itu. Tubuh disandarkan ke belakang badan kerusi. Lega bila satu masalah selesai.
Teringat amaran Naim usai habis waktu kerja tadi.
"AJ, jangan lupa pujuk Deeja. Pandai buat dia menangis, pandai-pandailah pujuk." Tak pernah-pernah dia tengok Naim segarang itu. Sayang betul dia pada Deeja.
Tapi harus AJ akui. Kebaikan Deeja adalah kekurangannya. Tapi kekurangan itulah kekuatannya. Kekuatan kecil yang membuatkan dia mampu berdiri.
Kerana seorang Deeja bukan berbuat baik untuk terlihat baik. Tapi dia sentiasa terlihat baik dengan segala kebaikan hatinya.
Cantik di wajah mungkin menarik perhatian manusia. Tapi kecantikan kebaikan hati akan menarik perhatian Allah. Itulah gambaran seorang Deeja.
Dan seorang AJ pula terlalu sesat dalam kebimbangannya. Tak bertepi dan tak mampu ditepis.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro