Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Lama dipandang wajah Maya yang pucat itu. Tangan Maya dielus lembut dan dibawa ke bibir. Maya, kau kena kuat. Bertahanlah untuk Adam. Teringat penerangan Doktor Emmy yang merawat Maya tadi.

"Tumpah darah adalah pendarahan selepas bersalin atau istilah perubatannya postpartum hemorrhage. Tumpah darah terbahagi kepada dua iaitu tumpah darah primer dan tumpah darah sekunder. Primer itu berlaku dalam tempoh dua puluh empat jam selepas kelahiran manakala sekunder pula berlaku dalam tempoh dua puluh empat jam hingga enam minggu selepas melahirkan bayi. Ada banyak punca berlakunya tumpah darah tapi bagi kes Puan Maya, terdapat jangkitan kuman pada rahim. Dan mujurlah Puan Maya segera dibawa ke hospital. Sebab jika berlaku tumpah darah terus-menerus, rahim Puan Maya mungkin perlu dibuang bagi menyelamatkan dia. Malah komplikasi tumpah darah juga boleh meragut nyawa Puan Maya."

Panjang penerangan dari Doktor Emmy itu. Hampir sahaja membuatkan jantung Deeja berhenti berdegup. Ya Allah, moga kesakitan yang ditanggung Maya ini adalah asbab untuk Allah ampunkan segala dosa-dosanya.

"Deeja... Aku ni bukan aje anak tunggal. Aku pun tak pernah ada kawan baik. Kaulah satu-satunya. Kebanyakan orang nak kawan dengan aku sebab nak ambil kesempatan aje," luah Maya memecah sunyi sewaktu mereka sedang bersengkang mata untuk menghadapi semester akhir.

Deeja yang sedang khusyuk menghafal, terus terdiam. Dia pun apa kurangnya? Dia juga kurang kawan-kawan.

"Samalah kita. Mungkin sebab tu kita boleh cipta dunia bersama," respons Deeja.

"Keluarga aku tak macam orang lain," luah Maya.

"Aku pun," akui Deeja. Dia bukan sesiapa di mata ayahnya. Jadi, kerana itu dia berhati-hati untuk segala benda. Dari kecil lagi dia cuba menarik perhatian si ayah, namun hampa. Segalanya menemui jalan buntu.

Mata mereka saling bertembung dan tersenyum.

"Deeja, aku harap kalau ada salah aku nanti di hari depan, kau jangan benci aku, ya? Aku boleh hadap kebencian ayah aku. Aku boleh hadap kebencian orang lain. Tapi tak mungkin kebencian dari kau, Deeja..." Kali ini Maya sudah mengalihkan posisi tubuhnya.

Deeja ketawa.

"Janji. Apa pun yang berlaku, kita tak boleh saling membenci antara satu sama lain." Jari kelengkeng dihulur.

"Aku sayang kau, Deeja. Tapi aku masih sukakan lelaki, ya," gurau Maya.

Deeja ikut turut.

"Kau gila ke? Aku tak ingin nak jadi hamba yang dilaknat Allah! Dosa yang sedia ada pun tak terampun lagi."

Air mata Deeja mengalir di pipi bila kenangan bersama Maya menggamit fikiran. Dia akui, semua ini pasti tidak mudah untuk Maya. Tapi percayalah, dia tak akan berganjak sedikit pun dari sisi Maya.

Perlahan Deeja rebahkan lengan dan wajah di sisi katil. Jam sudah menunjukkan angka sepuluh malam. Matanya sudah layu. Mujurlah Adam dijaga oleh Puan Natipah. Tapi mereka terpaksa memberikan susu formula kepada Adam memandangkan Maya masih tidak sedarkan diri.

Tanpa sedar, Deeja lena sendiri.

AJ tolak pintu wad yang menempatkan Maya. Dia datang untuk membawa keperluan Deeja yang diisi oleh Puan Natipah. Dia juga membawa makan malam untuk Deeja. Seharian gadis itu tidak makan kerana fikirkan Maya.

Namun sewaktu melangkah ke wad, dia lihat Deeja sudah tertidur. Dalam samar-samar cahaya, AJ perhatikan wajah Deeja. Pipinya nampak basah. Pasti gadis itu baru lepas menangis.

Kagum benar dengan semangat setia kawan yang ada pada Deeja untuk Maya. Agaknya jika Maya menagih nyawanya sekali pun, gadis itu akan memberi tanpa berfikir panjang.

Tangan AJ ingin menyentuh bahu Deeja. Mengejutnya untuk makan tapi separuh hatinya melarang. Biarlah Deeja dengan lenanya itu.

Jaket yang tersarung kemas di badan ditanggalkan dan diletakkan di belakang tubuh Deeja. Lambat-lambat dia menapak ke belakang dan meninggalkan Deeja untuk berehat.

Dua hari dia bercuti untuk menjaga Adam dan Maya. Mujurlah Kak Juwita memahami kondisi dirinya. Bulan ini sahaja dia sudah mengambil cuti selama empat hari. Tercalar sedikit kredibilitinya sebagai pekerja cemerlang. Biasanya nak ambil satu hari setahun pun payah.

Masuk sahaja ke dalam kedai, Deeja menghalakan kaki ke pantri. Dari pintu tempatnya berdiri, matanya menangkap belakang tubuh AJ yang sedang membancuh minuman itu.

Tak semena-mena bibirnya menguntumkan senyuman. Jaket di tangan dibawa bersama. Dia ingin memulangkan semula kepada tuan punya badan. Betapa terkejutnya saat dia sedar, tubuhnya diselimutkan oleh sehelai jaket kepunyaan AJ. Semua ini mengingatkan Deeja pada pemilik jaket misteri itu. Adakah mereka orang yang sama? Tapi... Tak mungkinlah. Waktu itu, AJ masih belum muncul dalam hidupnya.

Sewaktu membalikkan tubuh, AJ sedikit tersentak apabila melihat susuk tubuh Deeja yang berdiri di belakangnya.

"Kau ni... Buat terkejut aku!" Tak dengar pula bunyi loceng pintu berbunyi. Adakah dia terlalu khusyuk membau aroma kopi bancuhannya sendiri?

Deeja menapak dua langkah. Jaket kepunyaan AJ itu dihulur.

"Thanks."

"Dah basuh belum? Entah-entah ada air liur basi kau?" Mengecil mata AJ. Seperti biasa hendak mengenakan Deeja.

"AJ, kalaulah kau ni abang aku, mesti aku dah peluk kau. Walaupun kadang-kadang perangai kau macam malaun, tapi kau baik sangat. Kau banyak tolong aku dengan Maya. Kadang-kadang aku rasa aku kehabisan stok terima kasih untuk ucapkan pada kau," tutur Deeja dramatik.

AJ telan liur. Kekok bila dipuji begitu oleh Deeja. Hakikatnya, dia tak sebaik itu. Mungkin, dia hanya insan terpilih yang berada di samping Deeja untuk menumpang pahala dari kebaikan hati Deeja sahaja.

Topi ditanggalkan dan dihempuk ke kepala Deeja.

"Auch!" Bukanlah sakit mana tapi drama tetap drama. Kepala yang beralaskan tudung itu digosok. Mamat ni memang cari pasallah. Aku puji pun dia boleh hempuk kepala aku?

"Aku nak sedarkan kau yang aku tak ingin nak ada adik macam kau ni!" Jaket yang berada di tangan Deeja diambil.

"Aku pun tak ingin nak ada abang tak guna macam kau ni. Menyakitkan hati aje." Okey, tarik balik semua dialog sentimental yang dituturkan oleh mulutnya tadi. AJ ni patutnya dimasukkan mercun bola ke dalam mulut dia. Biar meletup! Supaya mulut lelaki ini tidak lagi menyakitkan hatinya.

Baru sahaja hendak kakinya ingin mendapatkan meja makan, sembilan puluh darjah AJ berpaling dan menadah tangan di hadapan Deeja.

"Apa?" Kasar soalan Deeja.

"Lima belas ringgit."

"Huh?" Berkerut dahi Deeja. Dah kenapa tiba-tiba minta lima belas ringgit pula?

"Duit carwash sebab aku terpaksa basuh seat aku masa hantar Maya tumpah darah."

Deeja pejam mata. Cepat-cepat dia tambah nilai stok sabar dalam hati. Mahu sahaja dia gali tanah dan tanam Si Aali Jazimin ni hidup-hidup. Lelaki ini macam cuaca. Kejap cerah, kejap mendung. Ada masanya diserang taufan dan puting beliung.

Cepat sahaja dia mendahulu AJ dan bergerak mendapatkan beg sandangnya. Sekeping not lima puluh ringgit dicapai dan dihulur pada AJ.

"Keep the change." Penuh berlagak intonasi Deeja. Siap dengan pakej air muka sombong.

Duit yang dihulur tidak disambut oleh AJ. Lengan dibawa ke tubuh. Memandang duit Deeja dengan mata yang mengecil.

"Kau tahu tak kalau kat Jepun, tip adalah perkara yang dilarang dibuat oleh pelancong. Sebab itu dikatakan seperti merendah-rendahkan keupayaan orang Jepun yang terkenal dengan sikap suka bekerja. Dan hari ni kebetulan aku tak ada duit kecil. Jadi aku halalkan ajelah lima belas ringgit tu." Tanpa menunggu balasan Deeja, terus AJ keluar dari kedai.

Tangan sudah naik bercekak pinggang. Kalaulah membunuh itu tak berdosa... AJ adalah calon paling utama untuk dibunuh. Huh!

Hari ini genap sebulan Adam dilahirkan. Jadi hari ini Deeja menemani Maya ke klinik untuk mencucuk Adam yang berusia sebulan.

"Pejam celik, pejam celik, sekejap aje Adam dah sebulan, kan? Tengoklah dia sekarang, boleh bengkak lengan aku nak dukung sebab berat sangat..." Si kecil diagah perlahan. Mereka dipermudahkan untuk menjaga Adam. Adam jarang meragam. Jarang benar buat perangai. Beruntung sungguh Maya ada anak seperti Adam.

"Kau duduk kejap. Aku uruskan pendaftaran." Tubuh Adam bertukar tempat. Maya terus duduk di atas kerusi.

"Wah... Tengoklah siapa yang aku jumpa ni?" Suara itu buat Maya angkat kepala. Liur ditelan. Rita!

Tanpa keizinan, Rita melabuhkan duduk di sebelah Maya. Bayi yang sedang dipangku oleh Maya itu sekadar dijeling.

"Kesian kau, Maya. Orang lain telanjur juga tapi tak adalah sampai mengandung. Isy... Isy... Isy..." perli Rita dengan wajah kesian yang dibuat-buat.

"Aku rasa klinik ni besar lagi, kan? Tolong berambus dari sini," tegas Maya geram. Penumbuk digenggam erat. Bimbang melayang ke muka Rita.

"Tengok sikit muka anak kau..." Rita tidak mahu mengaku kalah. Dari dahulu lagi dia tidak sukakan Maya dan Deeja. Apatah lagi keakraban dan semangat setia kawan antara Maya dan Deeja membuatkan Rita dengki. Persahabatan yang harus dia musnahkan! Sepatutnya Maya berkawan baik dengan dirinya. Bukan dengan Deeja. Jika tidak, pasti dia boleh menumpang senang Si Maya.

"Eh Maya, kau tak rasa sakit hati ke bila tengok baby ni? Budak ni lambang dosa kau tau! Dosa yang akan diungkit oleh semua orang. Dosa yang akan buat orang lain jadi jijik dengan kau. Malah, kau tengah tatang dosa dengan kasih sayang. Kau ingat semua ni boleh hapuskan dosa kau ke?" provok Rita dengan muka tak percaya.

Maya jeling wajah Rita. Cuba untuk bersabar. Reaksi Rita pula sekadar ketawa. Langsung tidak takut dengan jelingan Maya itu.

"Maya, kau cantik. Kau pandai. Kehadiran budak ni hanya akan buat hidup kau makin huru-hara. Hantar aje budak ni ke rumah kebajikan. Tak berbaloi kau kena buang keluarga sebabkan budak ni," ajar Rita lagi. Langsung tanpa rasa bersalah.

Penumbuk dikepal. Maya hanya meletakkan pandangan di wajah anaknya.

"Percayalah cakap aku, Maya. Anak ni akan musnahkan hidup kau. Jadi, tinggalkan dia. Kau jangan percaya sangat yang Deeja akan sentiasa berada di sisi kau. Nanti dia pun ada hidup sendiri. Dia pun akan tinggalkan kau dan budak ni," hasut Rita lagi bila nampak wajah Maya berubah.

"Mula-mula Amran tinggalkan kau. Lepas tu keluarga kau. Lama-lama Deeja pun penat nak hadap masalah kau juga... Masa tu kau nak minta tolong siapa lagi?" Sikit lagi Rita. Barangkali benang sudah masuk ke dalam jarum.

"Eh perempuan, kau buat apa kat sini?" Kali ini bukan suara Maya yang kedengaran tetapi suara Deeja. Kecil besar sahaja dia tengok wajah Rita tika ini. Sudahlah wanita ini tanpa segan-segan menghalau mereka keluar dari rumah sewa! Macam mana boleh wujudnya manusia pentingkan diri sendiri seperti Rita ini?

"Alamak... Bodyguard dah datang. Nampaknya aku kena balik dululah. Jumpa nanti, Maya. Bye, anak haram." Tanpa mempedulikan Deeja, Rita terus melangkah pergi.

"Eee... Mulut perempuan ni memang macam loji kumbahan." Berang sungguh dengan mulut puaka Rita.

Maya sekadar mendiamkan diri. Jauh dia termenung. Telinganya berbirat bila kata-kata Rita bagaikan tape rosak yang sentiasa bergendang di peluput telinga.

"Maya..." panggil Deeja.

Lambat-lambat Maya berkalih pada Deeja yang sedang menjongketkan kening. Maya sekadar tersenyum pudar.

"Kenapa ni? Rita ada cakap apa-apa ke? Kalau ada masalah, jangan diam macam ni. Aku tak nak ada benda ganggu emosi kau." Lembut pertuturan Deeja. Bukan dia tidak dapat cam riak wajah Maya yang keresahan itu.

Soalan Deeja itu dibiarkan tidak berjawab. Sebenarnya jiwanya tidak tenang. Bukan kata-kata Rita sahaja yang mengganggu. Tapi dia bingung untuk banyak perkara. Dia tak punya sesen pun duit. Segala kelengkapan dirinya menggunakan duit Deeja. Dia sudah naik malu. Sedangkan duit simpanan dan gaji Deeja yang bekerja di kedai bunga itu berapalah sangat?

Teringat panggilan telefonnya bersama mamanya semalam. Memohon bantuan daripada mamanya.

"Sorry, Maya. Mama tak dapat nak bagi duit pada Maya. Tapi kalau Maya nak balik pada kami, kami sentiasa mengalukan kepulangan Maya. Tapi... Haruslah tanpa Adam," pesan Datin Tiara.

"Maya, aku tak nak kau fikir bukan-bukan." Suara Deeja mengembalikan Maya ke dunia nyata.

Maya hanya tersenyum hambar. Hati dan fikirannya saling berperang sesama sendiri. Adam yang berada di dalam dukungan itu dipandang sayu.

"Deeja, aku pergi restroom kejap." Si kecil mula bertukar tangan.

"Okey. Hati-hati," pesan Deeja.

Ralit bermain dengan Adam, nama Adam dipanggil oleh misi bertugas untuk berjumpa dengan doktor. Malas menunggu Maya, Deeja masuk sahaja. Lagi pun bukan ada apa pun. Adam cuma perlu dicucuk sahaja. Usai semuanya selesai, Deeja keluar dari bilik rawatan dan kembali duduk di atas kerusi. Sewaktu dia kembali, dia lihat AJ yang menjadi driver mereka sudah muncul di tempat menunggu.

"Siap dah delivery bunga?" Selepas menghantar mereka, AJ hilang seketika untuk menghantar pesanan pelanggan.

"Dah."

"Weh, kau tolong pegangkan budak ni kejap. Aku nak pergi toilet tengok Si Maya. Apa hal lama sangat pergi toilet?" Si kecil yang berada di dalam pangkuan ingin dihulur pada AJ.

Cepat sahaja lelaki itu bangun. Sudahlah dari tadi duduknya jauh berbatu.

"Tak boleh." Darah seakan-akan turun dari wajahnya. Panik!

"Eh, kau ni dah kenapa? Aku minta tolong pegangkan kejap aje..." Deeja mula naik angin.

"Aku... Aku..." AJ tergagap sendiri. Kepala yang yang tak gatal digaru. Mencari helah selagi boleh.

"Aku apanya? Sejak bila kau jadi gagap ni?" Kalau dia tahu, tak payah minta tolong AJ ikut tadi. Haish Deeja, jangan tak bersyukur sangat. Sudah terlalu banyak pertolongan yang AJ taburkan untuk Maya dan Adam.

"Aku. Takut. Budak." Sepatah-sepatah AJ sebut. Dia sudah tiada daya untuk mencari helah lagi. Barangkali berterus terang mampu selesaikan persoalan yang sering Deeja utarakan. Lantaklah Deeja nak cakap apa pun.

"Takut? Eh, nak takut apanya? Adam ni baby lagi. Dia tak akan gigit kaulah. Lagi pun, dia bukannya ada gigi," bebel Deeja tidak percaya. Ingatkan apalah tadi? Menganggap apa yang AJ ceritakan sebagai satu perkara remeh.

"Aku serius ni, Deeja. Aku takut budak-budak. Aku ada pedophobia. Jadi jauhkan Adam dari aku." Akhirnya terbongkar juga rahsia yang selama ini tersimpan kemas. Lagi pun rahsia ini satu beban. Dia tak akan selamanya mampu untuk pikul.

Adam yang hendak disua tadi kembali dipeluk kemas. Jatuh rahang Deeja.

"What? Pedophobia? Astaghfirullahalazim... Aku tak sangka selama ni kau bernafsu pada kanak-kanak. Jenayah tu. Berdosa pula tu." Panjang istighfar Deeja berserta gelengan tanda tidak percaya. AJ nampak normal sahaja sebelum ini.

"Woi... Aku ingat otak kau ni tak berfungsi waktu pagi aje. Rupa-rupanya waktu tengah hari macam ni jadi makin teruk. Aku sebut tadi pedophobia bukannya pedofilia, mangkuk!" Kan dah dapat pangkat percuma. Nyaris nak tercabut encik jantung mendengar bebelan Deeja. Dia ni ada iman lagi kut nak bernafsu pada kanak-kanak.

Kali ini Deeja terpempan. Sudah tersengih kerana malu menuduh AJ yang bukan-bukan.

"Eh, lain ya? Bunyi macam lebih kurang sama aje..." Gigi yang putih bersih itu ditayang.

"Biasa kau tak bawa otak aje... Rupa-rupanya hari ni tak bawa telinga sekali," kutuk AJ. Ada ke patut tuduh dia bernafsu pada kanak-kanak.

"Okey sorrylah, AJ. Salah dengar." Dilembutkan suara. Memujuk.

"Lain kali korek telinga tu sikit." AJ kembali rapatkan jarak tetapi masih berjaga-jaga agar tidak terlalu dekat dengan Adam.

Sekarang barulah Deeja faham. Patutlah selama ini AJ tak pernah memegang atau menyentuh Adam. Rupa-rupanya dia takutkan kanak-kanak.

"AJ, seriuslah kau ada penyakit macam gitu? Habis tu, macam mana dengan anak kau nanti? Takkan kau tak nak pegang, tak nak sentuh, tak nak sayang dia?" Deeja tanya soalan logik akal.

AJ menundukkan kepalanya sedikit. Sebab itu dia selalu menahan hati dari terus jatuh hati pada sesiapa.

"Bahagian tu aku tak fikir lagi."

"Dah tu, sekarang ni macam mana? Aku nak pergi tengok Maya ni. Lama sangat dia ke toilet. Takut jadi apa-apa di dalam toilet tu aje." Maya lemparkan kerisauan.

"Okey, biar aku aje pergi tengok." AJ dan bangun.

"Kau biar betul? Kau nak masuk tandas perempuan ke apa?" Biar betul dengan AJ ni. Buatnya kena tuduh pervert... Tak pasal-pasal aje.

"Alah, pandailah aku nanti." Langkah kaki AJ terus bergerak ke tandas wanita. Kebetulan pula ada seorang wanita yang baru keluar dari tandas.

"Errr... Kak, boleh tak panggil sorang perempuan di dalam tandas tu?" pinta AJ lembut dan berhati-hati.

"Perempuan mana? Saya sorang aje yang di dalam tandas tadi. Tandas lain kosong," tutur wanita itu.

Berkerut dahi AJ. Tak ada?

"Kak, boleh tak cek lagi sekali?"

Wanita itu mengangguk dan kembali masuk ke dalam tandas. Dan apabila wanita itu keluar, masih jawapan sama yang diberikan.

Ah, sudah!

Cepat-cepat AJ mendapatkan Deeja yang sedang duduk di bahagian kaunter ubat.

"Deeja, Maya tak ada di dalam tandas. Betul ke tadi dia cakap nak ke tandas?" Kenapa AJ rasa seperti ada yang tak kena ni?

"Betullah. Dia cakap dengan aku tadi. Eh, kau tolong ambilkan phone aku di dalam beg," suruh Deeja. Adam yang sedang tidur di dalam pangkuan ditepuk lembut.

Telefon Vivo itu dihulur pada Deeja. Belum sempat Deeja hendak mendail nombor Maya, satu mesej masuk diterima.

Sorry, Deeja. Tolong jagakan Adam untuk aku. - Maya

Pesanan ringkas itu buat Deeja tercengang. Mulut yang melopong itu ditutup kaget. Apa maksud ayat Maya itu? Nombor Maya terus didail. Namun gagal kerana masuk ke dalam peti simpanan suara.

"Deeja, kenapa muka kau nampak terkejut sangat ni?" Dapat dikesan perubahan wajah Deeja yang bertukar kalut itu.

"Maya..." Sepatah nama itu keluar dari mulut Deeja.

"Kenapa dengan Maya?"

"Dia..." Deeja hilang kosa kata.

"Dia apa? Cuba bawa bertenang." AJ cuba untuk menenangkan Deeja.

"Maya... Maya... Dah tinggalkan Adam."

"What?!" Kali ini giliran AJ pula yang dijerut rasa terkejut. Telefon yang dihulurkan oleh Deeja itu disambut. Membaca mesej ringkas yang boleh meragut nyawa.

"Maya tinggalkan Adam untuk kita? Mak apa jenis macam ni?" Hati AJ dibanjiri kemarahan yang bukan sedikit. Tak sangka Maya mempunyai fikiran singkat seperti ini.

"AJ, sekarang ni, apa yang kita nak buat?" Otaknya kosong. Wajah si kecil yang polos itu dipandang. Adam, kenapa begini sekali nasib hidupmu? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro