Bab 11
Rasa lega menumpang dalam hati apabila dia selesai mendaftar nama Adam di Jabatan Pendaftaran Negara. Walaupun prosesnya agak renyah, tapi syukur ia selesai. Namun melihat ruangan bapa yang kosong, Deeja akui hatinya dijentik rasa sayu. Bagaimana hidup Adam nanti?
Sejak Maya berpantang ni, Deeja sudah bersahabat baik dengan Google. Habis semua benda akan diGoogle. Daripada penjagaan untuk wanita berpantang sehinggalah penjagaan bayi. Satu buku nota juga disediakan bagi memudahkan dia menjaga kedua-duanya.
Malah Deeja sudah menyiapkan senarai makanan yang perlu dimasak buat Maya. Selain daripada memudahkan dirinya nanti, ia juga membantu supaya Maya memperolehi khasiat yang mencukupi.
"Deeja, kau buat apa tu tak tidur lagi?" Dia tersedar daripada tidur dan melihat Deeja tiada di tempatnya. Kerana itu, dia keluar dan melihat Deeja sedang duduk di meja makan.
"Tak mengantuk lagi. Kau kenapa tak tidur lagi ni? Pergilah rehat. Muka kau nampak pucatlah."
"Oh, badan aku rasa bisa-bisa sikit. Jadi tak boleh nak tidur lena. Adam pun baru habis menyusu tadi. Tapi susu macam tak banyaklah. Macam mana nak bagi susu banyak, ya?" Bimbang pula jika Adam tidak mendapat susu yang mencukupi.
"Ya ke? Kejap aku Google makanan untuk tambah susu badan..." Laju sahaja tangan menyentuh skrin telefon.
"Hah... Ada banyak tip tapi antaranya kena banyakkan makan lobak putih. Okey, esok aku masakkan lobak putih masak air. Lepas tu kena..." Mulutnya terhenti daripada terus menyambung bicara.
"Kenapa?" Pelik pula bila Deeja terdiam begitu.
"Oh... Kau cakap pasal bisa badan, kan? Aku lupa sepatutnya orang lepas bersalin kena berurut. Lepas tu, berurut pun boleh banyakkan susu." Ada riak kesal di wajahnya. Bagaimana Deeja boleh terlupa perkara basic seperti ini?
"Deeja..." Tangan sahabatnya itu dicapai. Bibirnya mengoyak senyum.
"Kau dah jaga aku dan Adam dengan terlalu baik, Deeja. Aku tak dapat bayangkan hidup aku tanpa adanya kau. Mungkin aku tak sekuat sekarang ni. Boleh jadi, nasib kami akan lebih teruk lagi. Jadi, jangan salahkan diri sendiri. Lagi pun, manalah kau tahu perkara-perkara macam ni, kan? Kau bukannya ada pengalaman bersalin pun."
Deeja terdiam menyambut kata-kata Maya. Kadang-kadang ringan sahaja tangannya ingin menelefon ibu. Bertanya itu ini. Tapi bimbang jika ibu berfikir yang tidak-tidak sahaja. Lagi pun dia tidak mahu perkara seperti ini sampai ke pengetahuan ayah.
"Sorry ya, Maya. Aku tak jadi kawan yang baik untuk kau."
"Jangan cakap macam tu. Aku ni yang tak guna. Aku dah banyak susahkan kau. Dari segi tenaga dan wang ringgit. Terima kasih, Deeja. Tak terbalas tiap satu pun jasa kau pada kami berdua. Terima kasih sebab sentiasa ada pada saat yang lain dah buang kami." Rasa sebak ditahan. Dia sangka papanya akan memasukkan duit belanja bulanan seperti kebiasaan. Nampaknya kali ini papa memang betul-betul tekad untuk membuangnya.
Mampukah dia untuk hidup dalam kemiskinan begini bersama Adam? Benarkah pilihan dia untuk memilih Adam? Semuanya saling bergendang dalam fikirannya. Kadang-kadang dia rasa dia berani. Tapi rasa takut lebih bermaharajalela.
"Hei, tak mahulah cakap macam ni. Aku tak nak kau sedih-sedih. Kau pun tahu kan kesan yang kau boleh dapat? Orang panggil meroyan. Jadi, tenangkan fikiran kau. Banyakkan zikir. Boleh pasang ayat-ayat rukyah dekat telefon kau," pesan Deeja.
"Deeja..." Air mata yang luruh di pipi cepat sahaja disapu Deeja.
"Hmmm..."
"Boleh tak peluk aku?"
Tanpa membuang kata lagi, tubuh Maya dipeluk. Menyalurkan segala kekuatannya untuk Maya. Belakang tubuh sahabatnya itu digosok lembut.
"Jadi perempuan ini memang perlu hebat menjahit. Lebih-lebih lagi untuk jahit luka dalam hati sendiri. Allah uji kau. Allah uji aku. Dan sebesar apa pun masalah kita, kita kena tahu yang Allah lagi besar daripada segala-galanya. Kau kena ambil iktibar dengan apa yang jadi. Jadikan benda ni kekuatan untuk kau terus kuat. Aku tahu, Maya aku memang kuat. Kau perlu kuat demi Adam." Pelukan dilepaskan. Pipi Maya yang kuyup dek air mata itu disapu.
Maya mengangguk. Dia sudah gagal jadi anak yang baik. Dia juga sudah gagal menjadi wanita yang baik. Barangkali dia juga gagal menjadi hamba Allah yang baik. Tapi setidak-tidaknya, dia berjanji pada diri sendiri untuk jadi ibu yang terbaik buat Adam.
Sedang Deeja berkira-kira untuk mengeluarkan bahan-bahan masakan dari dalam peti, tiba-tiba loceng rumahnya berbunyi. Siapa pula yang datang pada hujung minggu ni?
Tudung disarung ke kepala sebelum bergerak ke pintu rumah.
"Surprise!" jerit Naim dan Naimah serentak di muka pintu.
"Isy... Terkejut aku dibuatnya." Deeja urut dada.
"Tak senonoh betullah budak berdua ni." Puan Natipah menggeleng. Deeja yang perasankan kehadiran ibu Naim itu, terus bertindak bersalam dengan Puan Natipah.
"Mak cik sihat?"
"Sihat. Deeja sihat?" Ramah Puan Natipah bertanya. Malah bahunya digosok lembut. Deeja sekadar membalasnya dengan senyuman. Dan di hujung ekor matanya, Deeja menangkap kelibat AJ yang ikut turut serta. Yalah, pasti lelaki itu jadi penunjuk arah Naim sekeluarga ke sini.
"Kak, nak tengok baby!" pinta Naimah semangat.
"Baby ada, tapi tak mandi lagi. Kau orang datang awal sangat." Deeja mempersilakan para tetamu untuk masuk ke dalam rumah.
"Wahhh... Cantiknya rumah ni," puji Naimah dengan mata yang diliarkan ke sekeliling rumah. Konsep rumahnya simple tapi nampak mewah dan elegan dengan campuran warna hijau dan putih. Perabot juga banyak dimonopoli oleh warna putih. Pokok pangkalnya, cita rasa tuan rumah ini memang tak perlu diragui.
"Ini rumah pak saudara AJ. Kita orang menumpang kejap buat sementara waktu nak cari rumah sewa baru." Ringan Deeja menjawab. Sempat lagi dia menjeling AJ. Ingin melihat reaksi lelaki itu.
Tapi AJ terus bergerak ke sofa dan membuka televisyen.
"Mak cik ada bawa nasi lemak ni. Bolehlah kita breakfast sama-sama." Mangkuk tingkat yang dijinjit tadi diletakkan di atas meja.
"Alah, mak cik ni... Buat susah-susah aje." Malu pula dilayan dengan baik oleh Puan Natipah.
"Apa yang susahnya? Nasi lemak aje pun. Makanan untuk Maya pun mak cik ada bawa. Mana Maya?"
Cerah sahaja biji mata Puan Natipah mencari kelibat Maya. Tidak langsung terlihat sebarang kebencian atau rasa jijik di mata wanita itu. Deeja kagum sendiri dengan limpahan kasih sayang yang dimiliki oleh ibu Naim ini.
"Ada, tengah rehat di dalam bilik. Tadi dia bangun dah susukan Adam."
"Hah... Panggil dia makan. Lepas makan, mak cik boleh urutkan dia."
Kali ini mata Deeja sedikit kabur. Mak cik nak urutkan Maya?
"Mak cik macam tahu-tahu aje yang saya nak carikan tukang urut untuk Maya."
"Mak cik tahu. Kamu mesti huru-hara nak uruskan Maya, kan? Kenapalah kamu tak telefon mak cik aje? Bolehlah mak cik tolong apa-apa yang patut." Bahu Deeja diramas lembut. Sudah lama mengenali rakan anaknya itu.
"Mak cik, saya tak berani nak berharap lebih-lebih. Kalau keluarga sendiri pun buang Maya, apa lagi yang kami nak harapkan?"
"Setiap kesalahan itu tak boleh tutup dengan kesalahan. Apa yang Maya lakukan memang salah, tapi keluarga dia mungkin terlalu kecewa sampai tak sedar mereka ulang kesalahan pada Maya. Jadi, kita yang ada kenalah bagi dia semangat. Kalau kita memilih untuk mencerca dan mencela, bimbang kes pembuangan anak akan jadi lebih meningkat. Sebab mereka lebih rela pilih jalan singkat dari memilih menjaga anak tapi dibuang oleh semua orang." Panjang Puan Natipah memberi pandangannya.
Kata-kata Puan Natipah itu ternyata benar. Dosa tak akan boleh ditutup dengan dosa. Kita bantu bukannya kerana kita sokong dosa yang dia lakukan. Kita membantu kerana tidak mahu dia menambah dosa yang sedia ada. Tapi sayangnya, tak semua orang memiliki pemikiran seperti itu.
"Jadi, kalau ada apa-apa, telefon aje mak cik. Mak cik sekeluarga akan tolong semampu kami."
Deeja tersenyum. Terharu dengan sokongan Puan Natipah.
"Hmmm... Bila nak habis drama ni? Perut kita orang dah berbunyi ni," sampuk Naim tersengih. Lega melihat Deeja mampu tersenyum. Saban waktu dia lihat Deeja kelihatan tertekan walaupun mulut Deeja cakap tak ada apa-apa.
"Jomlah makan..."
"Mak cik pergi tengok Maya, ya?"
Deeja mengangguk. Dia terus bergerak ke dapur untuk mengeluarkan pinggan. Tanpa disedari, AJ turut berada di situ untuk membantu membancuh minuman.
"Eh, kau duduk aje kat depan. Biar aku bancuhkan air."
Tapi lelaki itu langsung tak menghiraukan tegahan Deeja. Cekap sahaja dia menyediakan minuman.
"AJ, aku rasa kau kena jumpa doktor. Sebab aku tengok telinga kau ni kadang-karang jarang berfungsi," bebel Deeja geram. Dia pun kena jumpa doktor untuk memeriksa blood pressure. Setiap kali berhadapan dengan AJ, darahnya asyik nak mendidih aje.
Diam. Tiada sebarang maklum balas diterima. Memang sah telinga AJ ni terputus fius! Geram dengan diam AJ itu, cepat-cepat Deeja ingin merampas teko yang dipegang oleh AJ. Namun tarikannya itu membuatkan air panas tertumpah di atas belakang tangannya.
"Auch!"
Spontan AJ capai tangan Deeja. Satu jelingan dihadiahkan.
"Kau tu yang kena hantar otak kau bagi doktor periksa. Tak reti nak tahu yang air dalam teko tu tengah panas?" Suara AJ naik sedikit. Wajahnya bertukar merah. Tapi merah lagi wajah Deeja apabila tangannya masih berada di dalam genggaman AJ.
Gadis itu terus diheret ke singki. Cepat sahaja tangan AJ mencapai tin susu lalu dituangkan ke atas belakang tangan Deeja yang merah itu. Berhati-hati perbuatannya.
Deeja telan liur. Berada sedekat ini bersama AJ dan tangannya yang berada di dalam pemerhatian AJ. Deeja rasa, selepas ini doktor perlu periksa hatinya. Kenapa hatinya terasa terlucut daripada badan? Sudah hilang dari radar.
"Sakit lagi?" Nada suara AJ sudah mendatar. Kali ini sudah kedengaran penuh prihatin.
"Tak. Tak sakit dah," tipu Deeja. Segera ingin menyelamatkan tangannya.
"Boleh. Bagi. Tangan. Aku. Balik?" pinta Deeja sepatah-sepatah. Tidak selesa sebegini rapat dengan AJ.
Lambat-lambat AJ lepaskan pegangan tangan Deeja apabila sedar yang dia sudah melampaui batas. Ya Allah, tolong berikan aku kuasa untuk ghaib dari mata Deeja. Macam mana aku boleh pegang tangan anak dara orang ni?
"Sorry," tutur AJ sepatah.
"Itulah masalahnya bila perempuan sesekali masuk dapur. Huru-hara!" Sempat lagi AJ memerli Deeja untuk menghilangkan rasa kekok. Teko tadi dicapai dan bergerak ke ruang depan.
Deeja gigit bibir. Sakit dalam hati memang tahap skala yang tak mampu dikira lagi. Dahlah pegang tangan aku? Lepas tu, sesedap Ajinomoto dia aje cakap aku dan dapur tak serasi? Nyata, pedih di tangan tidak mampu untuk menutup kepedihan dalam hati. Pfffttt... Mamat ni memang mencabar iman dalam dada.
Namun langkah kaki lelaki itu terhenti ketika di muka pintu dapur. Lambat-lambat dia berpaling.
"Deeja, kau pernah dengar lagu Menahan Rindu?"
Berkerut dahi Deeja. Tiba-tiba sahaja perbualan melencong ke lagu Menahan Rindu.
"Kau dah kenapa?"
"Yalah, sebelum ni ada lagu Menahan Rindu, kan? Lepas ni komposer kena cipta lagu menahan sabar pula. Lain kali jangan gelojoh," bebel AJ tak bersalah sebelum pergi meninggalkan Deeja sendiri.
What?! Terbuntang biji mata Deeja. Sakitnya hati...
Sedang Deeja melayan amarah, namanya dipanggil oleh Naimah.
"Kenapa, Imah?" Cuak pula melihat air muka Naimah yang serius itu.
"Ibu panggil. Dia cakap Kak Maya tumpah darah."
Berubah air muka Deeja. Tumpah darah? Tangannya yang bersalut susu itu cepat-cepat dibasuh dan dikesat sebelum menghilang di balik bilik melihat sahabatnya. Ketika ini, kesihatan Maya lebih utama.
"Kena bawa pergi hospital ni. Darah Maya keluar banyak sangat," ujar Puan Natipah pada Deeja.
Wajah Maya pucat. Dia sendiri akui darahnya keluar terlalu banyak. Sangkanya, ini proses biasa yang dilalui oleh semua ibu berpantang. Namun, dia perasan dia perlu menukar tuala wanita hampir setiap satu jam.
"Deeja..." Ketika hendak keluar, tubuhnya tiba-tiba terasa tidak bermaya.
"Maya!" Belum sempat tubuh itu jatuh ke lantai, tangan Deeja terlebih dahulu menyambut Maya. Pipi Maya ditampar lembut. Nama Maya berulang kali disebut.
"Maya, tolong jangan buat aku takut macam ni." Dada Deeja sudah hendak meletup. Dugaan apakah ini? Ya Allah, selamatkan Maya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro