Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Melopong mulut Naim mendengar cerita dari mulut Deeja. Tak sangka betul wujudnya manusia tak berhati perut seperti tuan rumah Deeja.

"Kenapalah kau tak datang rumah aku aje? Kasihan Adam dan Maya."

"Tak apalah. Kita orang tumpang rumah AJ dulu buat sementara ni. Tapi aku ada cari-cari juga rumah sewa atau bilik sewa yang baru." Kalau boleh, dia pun tak mahu berlama-lama tinggal di rumah pak saudara AJ itu. Tak selesa menumpang walaupun rumah itu serba lengkap.

Naim capai belon berbentuk hati dan meniup lembut. Usai mengikat belon tersebut, dia menulis sesuatu di atas belon menggunakan pen marker.

Keep strong, love.

"Alalala... Naim, kau ni sweet betullah." Deeja jadi terharu. Dia sangat bersyukur rakan sekerjanya semua baik hati walaupun AJ berlainan sikit perangainya.

"Kan! Tapi tolong jangan jatuh hati kat aku sebab aku ni dah ada buah hati tau." Dialog itu sudah berulang kali disebut. Mengenangkan buah hati yang seorang itu, makin panjang senyuman Naim.

"Buah hati kau sangat beruntung, Naim. Dapat buah hati macam kau. Dahlah baik, sweet, lepas tu setia pula tu. Fuh, jarang-jaranglah nak jumpa lelaki limited macam ni," puji Deeja melambung-lambung.

"Amboi, terangkat betul aku dibuatnya ni. Kau tak payah nak puji-puji aku. Tak kuasa aku nak belanja kau. Bukan kau ke hutang dengan aku sebab backup kerja kau dua hari ni?"

Deeja ketawa.

"Alah, taktik tak berjaya!"

Mereka berdua saling ketawa sambil menyiapkan kerja. Biasalah kerja dengan Naim tak pernah pun stres.

"Weh, kita seronok ketawa kat sini, AJ mana?" soal Naim sambil memanjangkan leher mencari kelibat AJ.

"Entah. Belakang kut." Tangan ligat memeriksa baki bunga yang ada.

"Hmmm... Kau tak rasa ke yang AJ tu pun sweet, bertanggungjawab, setia..." Belum sempat Naim sudahkan ayat, Deeja sudah menyerang dengan jelingan tajam.

"Berapa komisen yang AJ bayar kat kau ni, Naim? Sibuk sangat up Si AJ tu?" cebik Deeja tak faham.

"Okey. Cuba kau buka otak kau luas-luas, Deeja. Setiap kali kau kesusahan, siapa yang datang? Siapa yang muncul? Siapa yang selalu jadi hero? AJ, kan? Walaupun aku akui dia agak kasar dengan kau... Tapi mungkin itu cara dia sampaikan perasaan dia. Yalah, bukan semua lelaki pandai guna kata-kata manis."

Kata-kata Naim itu memang ada benarnya. Tapi dia dengan AJ? Fuh... Tak terbayang macam mana banyaknya pergaduhan mereka nanti. Sama-sama tak nak kalah.

"Dahlah... Malas layan kau." Hilang modal nak membalas, Deeja bergerak ke belakang. Masuk ke bahagian pantri, matanya terus menangkap kelibat tubuh AJ yang sedang tidur sambil memeluk tubuh itu. Boleh dia tidur secara duduk begitu? Kepala tergeleng. Kat mana-mana pun mamat ni boleh tidur.

Perlahan dia bergerak ke kabinet. Berhati-hati tingkahnya. Bimbang AJ terjaga. Barangkali lelaki itu kepenatan kerana membantu mereka semalam. Sudahlah pulang lewat, dia pasti bangun awal membeli barang-barang keperluan mereka.

Satu lagi, dia perlu membayar balik barang dapur yang dibeli oleh AJ tadi. Banyak sudah budi yang terhutang pada lelaki ini.

Usai membancuh kopi panas itu, Deeja letakkan di hadapan meja AJ. Sehelai kertas kecil dicapai sebelum menulis sesuatu.

Lama dia memandang wajah AJ. Kulitnya putih kemerahan. Matanya bundar. Mulutnya pula nipis sahaja. Tubuhnya kurus dan tinggi. Dia suka mengenakan cap secara terbalik.

Teringat perbualan mereka sewaktu AJ diterima kerja di sini oleh Kak Juwita.

"Nama aku, Siti Khadeeja. Boleh panggil aku Deeja aje. Nama kau?" Deeja memperkenalkan diri. Kenalah buat baik, lelaki ini kan sudah menjadi rakan sekerjanya. Adalah penting untuk mewujudkan suasana selesa antara mereka.

"AJ."

Berkerut dahi Deeja.

"AJ je?"

"Kenapa, tak cukup? Habis tu, kau nak alphabet dari A sampai Z ke?" balas lelaki itu sarkastik.

Deeja gigit bibir. Mulut mamat ni memang tak boleh bagi kerjasama dengan menjawab elok-elok ke? Nasib baik seorang Deeja ada banyak stok sabar.

"AJ is stand for what? Ahmad Jais?" Kalau KJ tu mungkin juga Deeja boleh teka Khairy Jamaluddin.

Bulat biji mata AJ saat Deeja meneka singkatan dari namanya itu.

"Ada ke Ahmad Jais... Tak komersial langsung!"

"Habis tu?"

"Aali Jazimin." Perlahan sahaja AJ menyebut nama penuhnya.

Deeja tayang muka kagum.

"Nama dah sedap, tapi kenapa panggil AJ aje?"

"Yang kau ada masalah dengan nama aku ni kenapa, ya?" Ada nada dingin di hujung suaranya. Barangkali tidak suka dengan perangai Deeja yang suka melebihi had yang ada.

Uish. Garangnya. Okey Deeja, mari kita cuba jinakkan lelaki ini.

"AJ... Kau lupa pakai hati ke hari ni? Sebab kau terlihat seperti tak ada perasaan bila marah-marah aku begini." Ada nada kesian dihulur. Siap dengan pakej muka simpati.

Kali ini berubah air muka AJ.

"Apa-apalah Deeja Kosmestik, oittt..." Kali ini terbuntang biji mata Deeja. Dia kosmetikkan nama aku? Ciskek punya AJ!

Deeja tersenyum sahaja saat kenangan lama datang menyapa. Tidak mahu mengganggu AJ, Deeja terus ke bahagian depan.

Apabila sudah memastikan Deeja sudah pergi, barulah AJ buka mata. Sedari tadi dia sudah menyedari kehadiran Deeja di pantri dan sengaja dia buat-buat tidur. Dia memang manusia yang mudah tidur di mana-mana tapi dia juga sejenis manusia yang mudah terjaga.

Tangannya menarik nota kecil yang ditulis Deeja tadi.

Sebagai tanda terima kasih untuk semalam, aku bancuhkan kopi yang enak untuk kau. Jangan curi tulang lama-lama sangat. =p

Spontan bibir AJ menguntumkan senyuman. Muk itu dicapai dan disua ke mulut. Menghirup pekatnya kopi bancuhan Deeja. Betul kata Deeja, kopi ini memang terasa begitu enak lebih daripada kebiasaan. Adakah mungkin kerana ia bancuhan dari tangan Deeja?

Apabila jarum jam sudah mencapai angka enam petang, mereka terus berkemas-kemas untuk balik. Tapi Deeja ada agenda lain. Dia hendak membeli keperluan Adam. Maya juga ada memberikan kad kredit untuk dia gunakan membeli barang Adam. Kasihan Adam, dia cuma ada dua helai baju sahaja.

"Kau nak pergi mana?"

"Hah?" Terus Deeja berpaling ke belakang. Matanya terus menangkap tubuh AJ yang baru keluar dari kedai.

"Kau nak beli barang Adam ke?" tebak AJ.

Lambat-lambat Deeja mengangguk.

"Kalau macam tu, marilah aku bawa," pelawa AJ seraya bergerak ke keretanya.

"Eh, tak payahlah. Aku kan ada skuter. Aku naik skuter ajelah." Dah kenapa mamat ni asyik terlebih dos baik aje?

"Kau tinggal aje skuter kat sini. Nanti hala balik, aku hantar semula kau ke sini. Jomlah, nanti lewat pula..." gesa AJ terus masuk ke dalam perut kereta.

Lambat-lambat Deeja bergerak ke kereta. Dah dia pun kenapa patuh sangat pada arahan AJ, ya? Dia boleh aje untuk terus bergerak menggunakan skuter, kan? Mata dipejam bila otak dan hati saling bertingkah hebat.

"Kita pergi Tunas Manja World, okey? Situ ada banyak barangan baby," cadang AJ tidak membuang masa.

Deeja sekadar mengangguk dan menurut.

Masuk ke dalam pasar raya, Deeja dah jadi rambang mata. Terasa semua barang hendak dibeli. AJ ikut turut sibuk membelek dan memilih.

"AJ, tak payahlah pilih yang new born. Beli aje enam hingga ke dua belas bulan. Biasa baby cepat besar. Nanti boleh pakai lama," tegur Deeja apabila mereka asyik memilih.

"Nanti geleberlah baju baby. Beli ajelah kosong hingga enam bulan. Bila dah besar, belilah yang baru," tepis AJ. Tidak menghiraukan nasihat daripada Deeja.

"Eee... Degillah. Beli yang saiz besar sikit."

"Saiz kecik aje."

"Eh, jangan ambil warna kuning. Nanti baby boleh kena demam kuning," halang Deeja mengalihkan baju yang dipilih oleh AJ.

"Mazhab mana yang ajar kau ni?" Bulat biji mata AJ memandang Deeja. Apa punya mitoslah. Itu pun nak percaya ke?

"Betullah... Kau lelaki, apa tahu?" Tangan Deeja terus memilih beberapa helai baju. Ada di antaranya berwarna hijau.

"Eh Deeja, jangan pilih baju warna hijau," halang AJ.

Berkerut-kerut dahi Deeja.

"Apa hal pula?"

"Nanti baby akan bertukar jadi Hulk... Grrr..." Siap dengan gaya Hulk bertukar AJ tayangkan.

Lepas tawa Deeja. Kenapa bengong sangat perumpamaan tu?

Seorang wanita yang memerhatikan pertelingkahan mereka berdua ikut turut ketawa kecil.

"Adik berdua ni beli barang untuk anak pertama ke?"

Melopong Deeja dan AJ menangkap pertanyaan cepumas itu. Seketika mereka saling berpandangan sebelum Deeja mengambil keputusan untuk menjawab.

"Eh, taklah. Kami beli untuk anak kawan," jawab Deeja tersenyum pendek.

"Oh, ya ke? Kau orang berdua dah kahwin?"

Lambat-lambat Deeja menggeleng. AJ sudah berpura-pura betulkan topi. Tak sangka pula bakal ditegur begitu. Kenapa? Rasanya mereka tak adalah bermesra macam suami isteri tadi.

"Cepat-cepat kahwin, ya? Kau orang berdua nampak serasi benar. Kalau dapat anak, mesti comel nanti," tutur wanita itu lagi tersenyum-senyum sebelum beredar.

Mereka berdua terus berdiri tegak. Hilang kosa kata untuk memberi reaksi.

"Kejap... Kenapa kau tak cakap yang kita berdua tak ada apa-apa?" protes AJ dengan mata yang sedikit mengecil.

"Kenapa kau tunggu aku cakap? Kenapa tak kau aje cakap?" tempelak Deeja tak nak kalah.

"Hmmm... Macam suka aje mak cik tu gosipkan aku dengan kau? Kau ada hati kat aku, eh?" Kali ini wajah Deeja dipandang tanpa lepas. Cuba memeriksa sebarang perubahan yang ada.

"Kau tak bawa otak kau sekali ke saat mulut kau tanya soalan tu? Aku ni sayang hati aku tau. Aku tak akan serahkan pada lelaki macam kau. Buat cedera aje. Kesian dia." Deeja berpura-pura menepuk dada.

AJ simpan senyum. Betul sangat apa yang Deeja cakap. Jangan serahkan hati itu kepadanya. Kerana bimbang hati gadis itu akan cedera di tangannya.

"Eh, kenapa baju yang kau pilih ada warna-warna perempuan ni? Warna pink, peach, hijau. Adam kan lelaki... Belilah biru, hitam, merah..." kompelin AJ pula sekali gus ingin menghilangkan kekok. Dan menutup perbalahan mereka.

"Aduh, tak payah nak ajar anak angkat aku warna-warna pastel ni hanya untuk perempuan. Lelaki pun boleh pakai apa? Cute aje. Tak sabar aunty mama nak pakaikan dekat Adam." Deeja sudah tersengih-sengih.

"Aunty what? Aunty mama?"

Deeja tersenyum dan mengangguk.

"Hah... Aku jadi aunty mama... Apa kata kau jadi uncle papa untuk Adam?"

"What?! Uncle papa? Tak nak aku!" AJ terus bergerak ke rak seterusnya. Tapi kaki Deeja terus mengekori.

"AJ, kalau aku tanya sikit boleh?" Deeja mengambil posisi di sebelah AJ.

"Tak boleh. Aku tak berminat nak bersoal jawab."

"Alah, tak kira, aku nak tanya juga. Hmmm... Kenapa bila dengar tangisan baby, kau macam gelisah? Aku tengok kau macam terganggu. Kau ada masalah dengar baby menangis ke?" Banyak kali dia kesan perubahan wajah AJ. Dari saat Adam dilahirkan dan saat mereka menumpang di dalam kereta AJ malam tadi. Semuanya menambahkan tanda tanya yang tak berpenghujung.

"Taklah. Aku okey aje," jawab AJ berpura-pura tenang. Namun saat kakinya bergerak ke bahagian lain, matanya bertembung pula dengan sorang wanita yang sedang mengendong anak perempuan. Cepat-cepat AJ berpusing ke belakang.

Deeja yang menangkap perubahan AJ sekadar mengerutkan dahi. Memang ada yang tak kena dengan AJ ni. Bukan sahaja ada masalah dengar bayi menangis, tapi dia memang kelihatan ada masalah dengan baby. Tapi tak guna pun kalau tanya. Dia kan lelaki yang penuh dengan rasa tertutup? Tak ada makna dia nak bercerita.

"AJ..."

Terhenti pergerakan kaki AJ. Sembilan puluh darjah dia berpaling. Mengecil matanya melihat tubuh Deeja sekarang ini. Bila mulut becok Deeja nak berhenti beroperasi ni? Dari tadi tak berhenti pot-pet!

"AJ, walaupun kita dah kenal lama... Tapi aku tak pernah tahu pasal kau. Kau ada berapa orang adik-beradik? Keluarga kau tinggal kat mana? Kau tak pernah pun ajak kami beraya atau datang rumah keluarga kau ke..."

"Kenapa? Kau ada niat nak jadi isteri aku ke yang sampai nak datang ke rumah jumpa mak ayah?" bidas AJ laju. Tak sempat pun Deeja hendak habiskan dialognya.

"Eee... Bukan macam itulah!"

"Kalau bukan macam tu, better kau tak payah ambil tahu. Lainlah kalau kau nak jadi isteri aku. Baru aku bawa balik jumpa mak ayah aku." AJ tahu, dengan jawapan seperti ini Deeja akan berhenti bertanya.

"Hmmm... Mak ayah kau garang macam kau ke, AJ? Kalau garang, tak naklah jadi isteri kau. Nanti aku kena dera." Sengaja Deeja bercanda. Sekadar untuk melihat respons AJ sahaja. Tapi air muka lelaki itu mendatar. Terus kosong tanpa sebarang balasan. Bagai ada sesuatu yang mengganggu fikiran lelaki itu.

"AJ, kau okey ke tak ni?" Adakah dia sudah keterlaluan dalam bergurau?

"Kau dah habis pilih?" AJ ubah topik.

Deeja mengangguk.

"Jom bayar." AJ membantu Deeja membawa barang-barang yang telah dipilih. Ketika di kaunter, Deeja menghulurkan kad kredit milik Maya untuk pembayaran.

"Maaf ya, cik. Tapi kad ni decline." Kad kredit itu kembali dipulangkan pada Deeja.

"Decline?" Deeja telan liur. Kalau decline, kenapa Maya memberikan kepadanya pagi tadi?

"Cik, boleh tak guna sekali lagi?" pinta Deeja.

"Saya dah cuba dua kali, cik," jelas petugas di kaunter itu lagi.

"Guna kad saya aje." AJ menghulurkan kad debit miliknya.

"Eh... Tak payahlah, AJ. Guna duit aku aje." Dia sedikit terkejut tadi hingga lambat mengeluarkan kad milik sendiri.

AJ sekadar mendiamkan diri. Usai membayar, beg plastik dicapai dan bergerak ke kereta. Belum sempat dia masuk ke dalam kereta, tangan Deeja sudah menahan.

"Kita pergi mana-mana ATM. Aku bayar balik duit barangan baby dengan barang dapur yang kau beli pagi tadi." Makin menimbun hutang dia pada AJ. Deeja tak boleh terus mendiamkan diri.

"Masuk ajelah kereta, Deeja." AJ langsung tak mempedulikan kata-kata Deeja.

Deeja yang geram, terus masuk ke bahagian penumpang. Belum sempat AJ masuk gear, Deeja terlebih dahulu masuk gear membebel.

"Aku tak sukalah macam ni, AJ. Kau ni bila aku cakap apa-apa, mesti tak bagi respons. Lepas tu, kau buat bodoh aje. Kan aku cakap, nanti kita singgah ATM supaya aku boleh bayar semua duit kau yang kami dah terguna. Janganlah diam aje, AJ."

Terhenti pergerakan AJ. Gadis di sebelah dipandang. Marah betul gayanya.

"Tak payah bayar balik. Dah. Full stop," putus AJ tidak mahu memanjangkan pergaduhan.

"Mana boleh..." Suara Deeja sudah meninggi. AJ ni bukannya kerja besar pun. Dia sekadar kerja di kedai bunga sahaja. Entah berapalah duit yang dia ada pun? Jadi, takkan dia dan Maya pula nak jadi kaki kikis?!

"Kenapa tak boleh pula? Duit aku, kan? Jadi, suka hati akulah nak beri pada siapa pun." Mendatar sahaja suara AJ. Masih tenang.

"Susahlah cakap dengan kau ni!" bentak Deeja geram. Lengan dibawa ke tubuh. Pandangan pula terarah ke luar tingkap. Orang fikirkan tentang dia, dia boleh bagi jawapan mudah macam tu.

AJ angkat bahu. Mulutnya terasa ringan hendak membalas. Tak nak cakap sudah. Namun setelah menimbang sendiri, tak seronok pula menjentik kemarahan Deeja. Deeja sudah menanggung banyak masalah. Dia tidak mahu buat gadis itu makin susah hati.

"Kenapa kau tolong Maya?" Apabila kebisuan makin membelit, AJ mengajak berbual.

"Soalan apa ni? Mestilah aku tolong sebab dia kawan aku." Malas sahaja lontaran suara Deeja. Merajuk? Huh... Macamlah orang sebelah ni kesah dengan rajuknya? Sakit hati? Itu jawapan yang paling serasi untuk dirinya sekarang.

AJ senyum.

"Jadi kita buat benda yang sama, Deeja. Aku tolong kau sebab kau kawan aku," rumus AJ ringkas. Harapnya dengan penjelasan ini, emosi Deeja akan kembali stabil.

"Tapi..."

"Pertolongan itu haruslah tanpa batas. Kalau tolong itu terbatas, itu bukan tolong namanya. Sebab keikhlasan kita dalam memberi, haruslah tanpa limit," sambung AJ sambil fokus memandu.

Deeja terdiam sendiri. Sejak bila AJ pandai sangat berkata-kata ni? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro