Bab 1
Prolog 1
Dua keping tiket untuk ke pelancaran novel Shinyu dipandang tanpa lepas. Buat julung kalinya penulis terkemuka itu membuat keputusan untuk memunculkan diri di khalayak ramai. Entah bagaimanalah rupanya? Bahkan jantinanya juga masih menjadi tanda tanya dan bualan peminat-peminatnya.
Apa yang membuatkan penulis itu tiba-tiba mahu memunculkan diri? Kenapa tidak lima tahun yang lalu?
"Kak... Tak sabarnya nak jumpa Shinyu." Nadia menggoncang tangan miliknya. Rasa teruja sukar untuk disimpan.
Deeja tersenyum pendek sebelum memandang sekeliling. Betapa hebatnya penangan Shinyu. Majlis pelancaran akan bermula pada jam sepuluh pagi. Tapi seawal tujuh pagi lagi peminat sudah beratur dan menunggu. Keadaan di sekitar hotel sungguh sesak dan padat.
"Kenapa akak macam tak excited aje? Akak kan peminat tegar Shinyu?" Kening Nadia terjongket. Pelik dengan sikap Deeja yang berubah menjadi pendiam hari ini.
"Entah. Mungkin akak tak suka dia dedahkan diri dia. Akak sukakan kejujuran yang ada dalam karya dia. Dan orang terima buku dia sebab dia. Bukan sebab siapa dia atau apa yang dia ada. Akak takut bila dia munculkan diri, rasa jujur dalam berkarya tu akan hilang," akui Deeja. Bukankah lebih baik jika identiti Shinyu kekal sebagai rahsia?
"Jangan risaulah. Nadia rasa, tak akan ada apa-apa yang berubah."
Apabila giliran mereka tiba untuk masuk ke dalam dewan hotel, mata Deeja sudah dapat menangkap susuk tubuh seorang lelaki yang berada di atas pentas. Sedang menandatangani buku-buku pembaca.
Jatuh rahang Deeja. Terkejut dengan penampilan Shinyu. Dia betul-betul muncul. Sangkanya, semua ini hanya sekadar gimik untuk menarik pembaca membeli pada hari pelancaran.
"Oh, tidak... Dia adalah seorang lelaki." Nadia tutup mulut yang hampir menjerit.
"Tapi sayangnya tak nampak muka sebab dia pakai mask and shade," sambung Nadia lagi separa hampa. Kepala pula ditutup dengan snow cap dan mengenakan blazer berwarna hitam. Susuk tubuhnya sederhana. Terserlah aura dirinya walaupun identitinya masih belum terdedah sepenuhnya.
Dalam Deeja ralit memerhatikan Shinyu, berjuta rasa gemuruh tersarung di dalam dada. Kenapa dia rasa yang dirinya sedang diperhatikan?
"Nadia, akak sakit perutlah. Akak nak keluar pergi tandas." Cukuplah sekadar di sini. Dia lega bilamana identiti Shinyu masih menjadi rahsia. Dia perlu keluar segera dari tempat ini.
"Eh, akak... Tak lama dah sampai giliran kita," tahan Nadia. Tidak membenarkan Deeja untuk keluar.
"Habis tu, Nadia nak akak membuang kat sini lepas tu viral satu Malaysia ke? Tak apalah, pasal sain tu akak tak kesah sangat. Akak tak tahan ni... Akak pergi dulu. Nanti dah siap, telefon akak." Cepat-cepat Deeja meloloskan diri walau Nadia berkeras melarang.
Terpaksalah Deeja bersesak-sesak melawan arus untuk menuju ke pintu keluar bila barisan peminat Shinyu semakin panjang.
Keluar dari dewan, kaki melangkah ke kawasan yang agak tersorok. Duduk dilabuhkan di atas bangku kosong. Buku bertajuk Next Chapter itu dibuka. Kisah Alya dan Leo yang sudah terlalu lama ditunggu oleh pembaca termasuklah dirinya.
Bahagia tetap hak kamu walaupun tanpa aku... - Shinyu
Bibir tersenyum tak semena-mena. Jari naik dan menyentuh bait kata-kata yang tertulis di permukaan buku. Tapi tumpuannya terganggu saat satu susuk tubuh berdiri betul-betul di hadapannya. Lambat-lambat Deeja mengangkat wajahnya.
Mata yang mengecil tadi membulat tak semena-mena.
Dia!
Tanpa sedar, buku yang dipegang terjatuh ke bawah. Betul-betul mendarat di atas kasut lelaki itu. Lelaki itu duduk bertinggung. Mencapai buku tersebut sebelum menghulurkan buku itu kepada Deeja.
"Sihat?" Mendatar suaranya.
Sihat? Serius lelaki ni tanya soalan macam ni? Hanya anggukan yang Deeja beri. Badannya terasa sejuk semacam. Ya Allah. Memang satu kesilapan besar bila dia bersetuju untuk ke majlis ini. Bertemu dengan lelaki ini nyata tidak termasuk dalam agenda hidupnya hari ini.
"Hidup lagi rupa-rupanya." Lelaki itu bangun seraya tersenyum sinis.
Kali ini air muka Deeja makin berubah. Dia sepatutnya dapat mengagak yang lelaki ini tak akan berubah sampai bila-bila pun.
"Kenapa? Doa kau untuk hari kematian aku tiba masih belum dimakbulkan ke?" Mulut terlebih dahulu memberi jawapan sebelum akal sempat berfikir. Duduk sudah diangkat.
Baru sahaja kakinya melangkah beberapa tapak, lengannya ditarik dan tubuhnya dibawa ke tepi dinding. Terkejut Deeja dengan tindakan lelaki itu yang berada di luar batas pemikirannya. Pandangan dilebarkan ke arah sekeliling. Ya Allah, mujurlah kawasan ini jauh dari orang ramai.
"Kau ni dah gila ke?" Lengannya yang dicengkam kuat cuba ditarik, tapi nyata kudrat lelaki itu melangkaui segalanya. Berada sedekat ini membuatkan lutut Deeja menggigil.
"Aku nak belek muka tak tahu malu kau ni! Macam mana kau boleh hidup tanpa rasa bersalah setelah tinggalkan aku, ya?" Suara itu bertukar perlahan. Tapi dinginnya boleh membelah dada.
Gulp.
Dengan sekuat hati, Deeja menarik lengannya.
"Hidup aku memang lebih baik tanpa kau! Itu kebenaran yang kau perlu terima."
Lama mata mereka saling berbalas pandang. Mata yang menyimpan pelbagai cerita tersembunyi.
"Salah aku dulu sebab terlalu menganyam bahagia sampai aku lupa yang kau juga mempunyai hati..." Lama mata mereka saling beradu.
"Yang belum tentu sama dengan aku," sambung lelaki itu sebelum melarikan pandangan.
Deeja gigit bibir. Dada sudah berasa sebegitu sesak. Dia perlu segera pergi. Tapi kenapa kakinya bagai dipaku sedangkan akal sudah berulang kali memberi arahan untuk pergi.
"Kau tunggu apa lagi? Pergilah! Pergi! Pergi cari dunia kau yang sempurna tu. Keluar terus dari planet bumi ni supaya aku tak akan jumpa kau sampai bila-bila." Sambil bercakap, jari telunjuknya menunjal bahu Deeja. Kemarahannya jelas tertahan.
Lambat-lambat Deeja menapak ke belakang untuk berundur. Namun baru sahaja dia palingkan badan, lengannya ditarik dan tubuhnya terdorong ke depan. Jatuh rahangnya saat menyedari yang tubuhnya sedang terperangkap dalam pelukan lelaki itu.
Apabila ruang fikiran kembali waras, tubuh lelaki itu ditolak kasar.
"Lepaslah! Kau dah hilang akal ke apa?"
Wajah lelaki itu kosong.
"Jangan risau. Aku tak peluk kau sebab aku rindukan kau. Tapi aku sedang semak hati aku sendiri."
Lelaki itu tersenyum sinis. Kerongkongnya nampak bergerak menahan rasa. Kepala ditundukkan mencari wajah Deeja.
"Rupa-rupanya yang tersisa dalam hati bukan lagi sayang tapi... Benci. Dan nyata, membenci kau tak akan pernah cukup dalam satu hari," tuturnya sinis sebelum menapak ke belakang dan meninggalkan Deeja sendiri.
Belakang tubuh itu dipandang lama sebelum menghilang. Deeja masih berdiri tak bergerak sedikit pun. Air mata menitis. Mata dipejam rapat.
Cinta ini masih sama.
Dengan orang yang sama.
Yang tak mampu bersama.
Prolog 2
Takdir hidup kita ni terbahagi kepada dua. Iaitu takdir mubram yakni takdir yang semata-mata ketentuan Allah seperti kematian, kelahiran, jenis kelamin, jodoh dan sebagainya. Takdir yang kita tak boleh nak ubah.
Takdir mu'allaq pula ialah takdir yang bergantung kepada ikhtiar dan potensi yang ada pada manusia seperti sembuh dari sakit, berusaha dengan meningkatkan hidup, kecerdasan dan sebagainya.
Dan sekarang Deeja terikat dengan takdir mubram. Takdir yang menjadikan dia sebagai seorang wanita. Mata dipejam rapat. Bibir digigit. Menyambut kata-kata ayahnya yang bagai halilintar yang merobek jantungnya.
"Kalau setakat belajar result suam-suam kuku tu, tak payahlah sambung degree. Buat habis duit aje."
Deeja genggam tangan sendiri. Cuba bertahan. Slip peperiksaannya sudah terbang entah ke mana dibaling dek ayah.
"Yah, Umar rasa okey aje result Deeja. Three pointer juga ni. Bolehlah sambung degree." Umar terpanggil untuk membela adik kembarnya.
"Dahlah Umar, tak payah nak jadi tukang backup Deeja. Cukuplah ada diploma aje. Lagi pun nanti lepas kahwin ke dapur juga. Entah-entah nanti dah kahwin laki tak bagi kerja. Lagilah membazir hantar belajar." Encik Yaacob menambahkan lagi rasa sedih yang sudah berkilo-kilo membakul dalam hati Deeja.
"Deeja balik dulu, ayah." Usai bersalam, Deeja capai beg dan berlalu keluar dari rumah.
"Itulah orang perempuan. Cakap sikit nak merajuk. Tak boleh terima kenyataan. Tak ke manalah kau kalau perangai macam gitu." Sempat lagi telinganya menangkap bebelan ayahnya.
"Deeja... Kejap. Aku akan pujuk ayah. Kau janganlah macam ni." Lengan si adik ditarik. Dapat dilihat wajah Deeja yang merah cuba menahan tangis.
"Dahlah, Umar. Aku tahulah aku tak pandai macam kau. Aku tahu taraf otak aku ni level mana. Kau tak payah pujuk aku..."
Deeja tahu ini bukan salah Umar. Tapi adakalanya dia terpaksa melepaskan amarah yang terkumpul pada Umar. Manakan tidak, Umar sentiasa terbaik dari semua segi. Baik pelajaran ataupun sukan. Dari dahulu orang suka membandingkan mereka berdua. Lebih-lebih lagi ayah. Mungkin kerana mereka dilahirkan sebagai kembar.
"Aku akan pujuk ayah... Kau jangan nangis, ya? Aku sedihlah tengok kau macam ni."
Satu keluhan dilepaskan. Dia pun tak suka cara ayahnya melayan adiknya.
"Dahlah... Aku nak balik rumah sewa."
"Aku hantar, ya? Dah malam ni takkan kau nak bawa motor?" pelawa si abang. Sentiasa cakna dengan keadaan si adik.
"Tak payah." Keras nada suara Deeja melarang.
Deeja menunggang motosikal dengan ditemani air mata. Apa salahnya menjadi anak perempuan? Apa dosa jadi perempuan sehingga mereka sentiasa dipandang sebelah mata? Tak habis-habis dilonggokkan ayat akhirnya perempuan akan ke dapur dan tak perlu belajar tinggi-tinggi. Walaupun tugas seorang wanita berjawatan sebagai suri rumah, tidakkah dia juga perlu berpendidikan untuk mendidik anak-anak?
Deeja melencongkan motor ke sebuah taman di rumah sewanya. Jika dia pulang dengan keadaan muka yang bengkak begini, pasti akan mengundang soalan daripada rakan baiknya, Maya.
Taman itu jadi saksi yang Deeja menangis bersungguh-sungguh. Memang sakit bila kita berada dalam situasi... Kita bukan kesayangan sesiapa.
"Apa salahnya jadi anak perempuan? Apa salahnya kalau nak sambung belajar? Apa kurangnya aku? Apaaa?" Terenjut-enjut badannya. Melepaskan rasa membuku dalam hati.
"Kenapa aku tak pandai macam Umar? Tak pandai macam Abang Hud? Kelahiran aku ni membebankan sangat ke?" Siang malam dia bersengkang mata belajar. Tapi keputusannya pasti tak akan sebagus mereka. Mungkin dah tersurat, dia terlahir dengan sebegitu bodoh.
Tanpa sedar, dia menangis melungkupkan wajah ke meja hingga tertidur dengan sendiri.
Dia cuma tersedar apabila menerima panggilan masuk dari Maya.
Jam di skrin dibelek.
Hah? Dah pukul 2 pagi? Kepala terasa pening. Mungkin kerana terlalu banyak menangis. Cepat-cepat Deeja bangun. Rasa seram sejuk terus datang menyerang.
Dan ketika dia bangun, sehelai jaket jatuh ke kaki.
Ai? Jaket siapa pula ni? Siapa yang selimutkan aku masa tidur tadi? Dan matanya terpandangkan sekeping sampul gula-gula getah Doublemint yang terletak di atas meja.
Jangan berhenti bertahan. =)
Tuhan sentiasa adil dalam memberi luka.
Dalam kelamnya suasana, mata menjamah ayat yang tertera.
Kemas sahaja tulisan itu. Diperhatikan ke arah sekeliling yang kosong dan gelap. Rasa takut mula menjalar dalam hati.
Ngeee.... Kenapa tadi aku berani sangat datang ke taman ni malam-malam? Cepat-cepat Deeja mendapatkan motornya. Jaket tadi disarungkan ke tubuh. Sedikit besar. Bentuk dan rekaannya seperti milik seorang lelaki. Jaket siapakah? Adakah lelaki itu tengok aku menangis macam orang gila tadi?
Sekarang ni, macam mana nak pulangkan semula jaket ni?
Bab 1
Bunyi jam loceng memecah kesunyian. Tanpa melirik ke arah jam pun, Deeja tahu jam sudah mencapai angka enam pagi. Aduh, rasa macam baru aje pejam mata sepuluh minit. Belum sempat melayan mimpi lagi, jam loceng kembali berbunyi. Siren kedua yang bermaksud sudah pukul enam suku.
Time's up, Deeja! Move!
Tuala dicapai sebelum masuk ke dalam kamar mandi. Sebelum menunaikan solat, sempat Deeja menggoncangkan tubuh Maya. Inilah rutin hariannya. Maya ni kalau tak sentuh tubuh, memang tak bangunlah cerita dia. Nak harapkan jam loceng, jam meletup pun belum tentu dia bangun.
Deeja sudah siap-siap berpakaian sukan. Seperti biasa, pagi-pagi dia akan berjoging di sekitar taman. Earphone disumbat ke telinga. Lagu kesukaan menerpa halwa telinga.
Baru sahaja Deeja memulakan larian, ada seorang jejaka sudah berlari secara beriringan di sebelah. Itulah AJ. Atau nama sebenarnya Aali Jazimin. Merangkap jiran terdekat, budak satu tempat kerja dan teman bergaduh. Tak berani nak claim AJ sebagai BFF sebab mereka lebih banyak bergaduh daripada berbaik.
Belum cukup satu taman dijajah, nafas sudah tersangkut. Tapak tangan dilabuhkan ke lutut. Nafas yang naik turun disusun.
"Lah, takkan dah pancit?" Kening AJ terjongket. Belum pun satu pusingan.
"Tak laratlah hari ni."
AJ sengih sinis.
"Hari ni aje ke? Bukan tiap-tiap hari pun kau tak larat ke?"
"AJ, boleh tak kalau kau mulakan hari tanpa bergaduh dengan aku?" pinta Deeja. Nafas yang berterabur kembali disusun.
"Tak boleh. Buat kau marah adalah hobi aku."
Usai menjawab, AJ teruskan larian.
Nafas dihembus. Nak aje dia baling kasut dekat kepala AJ. Biar betul sikit fius-fius yang mungkin tercabut tu.
Jam dibelek. Sudah tujuh setengah pagi. Dia perlu pulang untuk membersihkan diri sebelum masuk ke kedai dan kembali menghadap mamat tadi.
Sewaktu membelek-belek baju untuk dipakai ke tempat kerja, tangannya tersentuh jaket yang masih disimpan baik di dalam almarinya. Sudah tiga tahun berlalu. Dia masih belum menemui pemilik asalnya. Entah siapalah pemilih jaket hitam ini? Sehingga kini misteri masih belum terjawab.
Batuk yang kedengaran, mematikan lamunan Deeja. Kepala dikalih ke belakang. Mendapatkan Maya yang masih menyambung tidur.
"Maya, kau okey ke tak ni? Tak sihat?" Dahi sahabatnya dirasa namun cepat ditolak oleh Maya.
"Aku okey." Lemah sahaja suaranya.
"Kau tak ada kelas ke pagi ni?"
"Tak ada." Maya kembali berselubung di balik comforter. Akhirnya Deeja angkat bahu. Terus keluar ke tempat kerja. Namun sebelum dia keluar dari rumah, sempat dia ke peti ais dan mengeluarkan ubat batuk. Ubat itu kemudian diletakkan di atas meja belajar Maya.
Sempat lagi tangan mencoret nota di atas meja Maya.
Hei budak manja, jangan lupa makan ubat batuk ni.
Hah, tak payah nak terharu sangat.
Aku cuma tak nak batuk kau terjangkit pada aku. =p
Sesampainya di Hello Florist, pintu kedai telah dibuka. Kedai yang sudah lebih tiga tahun tempat dia mencari rezeki. Dari bekerja secara part-time hinggalah sekarang. Deeja sudah mula sayangkan kerjanya yang satu itu. Walaupun sekadar pengubah bunga.
Dia melakukan kerja-kerja seperti biasa. Naim yang bercuti semalam pun sudah masuk kerja.
"Kau dah sihat ke, Naim?" soal Deeja prihatin.
"Dah. Demam sikit aje."
"Kalau kau demam lagi, kau rehatlah lebih lagi. Kak Ju mesti faham punya. Lagi pun aku boleh handle kerja-kerja kau." Kak Ju itu merujuk pada tauke kedai bunga yang mereka bekerja.
"Alalala... Kau ni sweet betullah, Deeja. Nasib baik aku dah ada girlfriend tau. Kalau tak, mesti aku mengurat kau sampai dapat." Naim dengan mulut yang tak pernah lokek dengan pujian.
"Muntah aku dengar," komen satu suara.
Siapa lagi kalau bukan AJ?
"Eleh, dengkilah tu Deeja caring pasal aku."
Terbuntang biji mata AJ.
"Aku?" Jari terlunjuk mendarat di dada sendiri.
"Dengki?" Tanda soal berada di hujung dahi.
"Setakat Deeja tu, bukan level aku," sambung AJ bongkak.
"AJ, jangan berlagak sangat. Nanti kalau dah terjatuh sayang, mulalah malu nak mengaku." Dikembalikan ayat sadis pada AJ. Macamlah orang nak hingin sangat ke dia tu.
"Go baby go!" Sepanduk diangkat. Tanda sokongan. Naim kalau bab jadi nasi tambah, dialah juaranya!
"Kau tahu tak dalam banyak benda di dunia ni, apa yang aku paling menyesal?"
Kali ini Deeja fokuskan perbualan bersama Naim. Kewujudan AJ langsung tak diendahkan.
"Apa dia, sayang?" Sudah biasa Naim menggunakan panggilan sayang itu buat Deeja.
"Aku memang menyesal bawa mamat ni masuk kerja kat sini. Kalau aku tahu perangai dia malaun macam ni... Aku biar aje dia menganggur sampai bila-bila," tambah Deeja lagi, sempat menghadiahkan jelingan pada AJ.
Naim ketawa sahaja. Sebenarnya dialog itu sudah dihafal olehnya. Bukan pertama kali Deeja membangkitkan isu yang satu itu. Menyesal tahap tak terkiralah gamaknya. Tapi pergaduhan AJ dan Deejalah yang selalu memeriahkan kedai mereka ini.
"Kau ni kan Deeja, pagi-pagi dah membebel. Bak sini list penghantaran hari ni." Malas berbalah, AJ dah mula serius untuk memulakan kerja.
Deeja terus capai buku senarai penghantaran untuk hari ini. Menyampahnya sekadar di mulut. Sebab bila melibatkan bab kerja, kerja AJ sentiasa tip top. Tak pernah bawa masalah. Malah AJ sentiasa menjadi kesayangan customer dan Kak Ju. Yalah, skop kerjanya ialah buat surprise untuk penghantaran bunga. Malah ketika menghantar bunga, AJ akan rajin merakam reaksi penerima. Dan itu menjadikan service kedai mereka lebih dikenali ramai. Zaman sekarang kan zaman teknologi. Semua benda nak ditunjuk di laman sosial.
Tekun AJ memerhati tiap satu. Dia kemudiannya ke bahagian pantri.
Tangan Deeja laju sahaja menggubah bunga seperti yang dipesan oleh pelanggan. Siap satu gubahan, perutnya sudah berbunyi minta diisi. Ini kes tak sempat nak makan pagi tadi. Naim nampaknya sedang sibuk menyemak stok yang sedia ada.
"Naim, breakfast belum?"
"Aku nak cek stok kejap. Kau makan dulu."
Menyambut kata-kata Naim itu, terus Deeja bergerak ke pantri. Langkahnya terhenti saat melihat AJ sedang duduk bersandar berpeluk tubuh. Matanya terpejam.
Deeja geleng kepala. Mamat ni... Mana-mana tempat pun dia boleh tidur. Sudah hampir tiga tahun menjadi rakan sekerja, dia sudah masak benar perangai AJ.
Tiba-tiba ingatannya teringatkan kisah lama. Pertemuan pertama yang mengikat mereka sehingga sekarang.
Kalut Deeja mengeluarkan satu per satu barang di dalam beg galasnya. Bilamana barang yang dicari tidak ditemui, Deeja bertukar ke meja belajarnya pula. Dibuka satu per satu laci. Tak ada juga.
Rambut diramas. Aduh! Fikir Deeja, fikir! Mana kau letak beg duit kau? Sudahlah baru keluarkan duit gaji untuk membayar rumah sewa. Kalau beg duitnya itu hilang, habislah huru-hara perbelanjaan bulanannya.
"Selain dari balik rumah kau, kau pergi mana lagi?" Maya cuba membantu untuk mencari tapi tetap tak berjumpa.
Kata-kata Maya terus buat fikirannya celik! Semalam kan aku melepaskan emosi di taman? Cepat-cepat Deeja sarungkan tudung ke kepala.
"Yes! Thank you, Maya." Pipi Maya sempat dicium sebelum berlari keluar menuju ke taman.
Terbongkok-bongkok badannya mencari purse di sekitar taman. Dalam hati sudah bersusun zikir yang dia lagukan. Mohon bantuan daripada Yang Maha Esa.
"Kau cari apa?" Teguran itu buat Deeja tegakkan badan.
"Erk... Tak ada apa." Deeja sekadar menggeleng. Agaknya lelaki ini pelik melihat dia terbongkok-bongkok mencari barang awal-awal pagi ini.
"Cari purse?" tebak lelaki di hadapannya.
Kali ini fokus Deeja terus terarah pada lelaki yang sempoi mengenakan sweater dan tracksuit.
"Mana awak tahu? Awak jumpa ke? Ada ternampak?" Bertubi-tubi soalan dihulur.
"Ini?" Sedang elok lelaki itu keluarkan sesuatu yang disembunyikan di belakang tubuhnya.
Jatuh rahang Deeja. Senyuman sudah merekah di ruang wajah. Akhirnya, jumpa juga.
"Haah, yang ini."
Namun tanpa disangka, lelaki itu terus mengetuk kepalanya menggunakan purse miliknya.
"Auch! Sakitlah." Spontan, tapak tangan naik dan menggosok dahi sendiri. Lelaki ni dah kenapa?
"Baguslah kalau sakit. Lepas ni mesti kau beringat sikit supaya tak cicirkan benda penting ni merata-rata," bebel lelaki itu sebelum menghulurkan purse itu kepada dirinya.
"Cuba cek ada apa-apa yang hilang tak?"
Bagai lembu dicucuk hidung, Deeja sekadar menurut. Diperiksa tiap satu. Duit. Kad pengenalan. Kad bank. Semuanya masih terletak kemas. Tak berusik sedikit pun.
"Alhamdulillah. Semua cukup. Terima kasih awak sebab jumpa dan jujur pulangkan kepada saya." Walaupun hatinya sakit kerana lelaki itu suka hati mengetuk kepalanya tadi, tapi direndamkan kemarahan dengan senyuman. Sekurang-kurangnya, lelaki ini dah buat kebaikan.
"Kau ni memang tak pandai jaga diri ke?" sarkastik sahaja nada lelaki itu sambil memeluk tubuh.
Kali ini Deeja tahan sabar. Amboi, mulut mamat ni dah kenapa macam petir? Habis rentung telinga yang mendengar.
"Mana ada. Biasalah kalau sekali sekala manusia tercuai." Deeja membela diri.
"Terima kasih sekali lagi ya, awak. Errr... Apa yang perlu saya lakukan untuk balas kebaikan awak, ya?" Walaupun sakit hati, Deeja tetap maniskan muka.
Kali ini air muka lelaki itu sedikit berubah. Dia seperti memikirkan sesuatu.
"Hmmm... Kau tahu ada mana-mana kerja kosong area sini? Aku nak kerja part-time. Kalau kau tolong carikan, aku anggap kau dah balas jasa baik aku."
"Eh, kebetulan pula kedai bunga tempat saya kerja tengah nak pakai orang. Tapi kerja dia sekadar penghantar bunga." Deeja pandang lelaki ini dari atas ke bawah. Dari segi gaya dan perwatakannya, nampak seperti budak pandai. Takkan dia nak bekerja di Kedai Bunga Kak Ju?
"Okey juga tu. Kat mana kedai tu, kejap lagi aku pergi. Pastikan kau recommend aku dekat bos kau. Kalau aku tak dapat kerja tu... Jaga kau!"
Kali ini Deeja tidak mampu lagi menyembunyikan mimik mukanya yang terkejut. Ya Allah, ada juga manusia macam ni di dunia, ya? Main ugut nak dapat kerja?
Tak tahu malu betul.
"Dah habis belek muka aku? Makin handsome ke? Atau kau mula berminat dengan aku?" Suara itu terus membangunkan Deeja dari kenangan lama.
AJ sedang jongket kening. Mengharapkan penjelasan.
Ya Allah. Kenapa aku teringat kisah lama bila duduk di depan mamat ni? Tak pasal-pasal mamat ni tertelan pil perasan. Terlebih dos pula tu.
"Jangan nak perasanlah!" Bagi menghilang ribut dalam hati, Deeja capai cawan dan meneguk air kopi dengan laju. Aduh, terminum air kopi pula!
"Dah habis belek muka aku, air aku pun kau nak kebas?"
Menyambut ayat itu, terus tersembur minuman yang baru menjenguk tekak. Ya Allah, kenapa aku boleh lupa yang aku kan tak bancuh minuman lagi? Sah-sah ni air AJ.
"Errr... Sorry, AJ."
Kalut Deeja capai tisu untuk membersihkan muka AJ yang sudah basah dek semburan air minumannya tadi. Malunya, kalau ditimbang pasti mencecah seratus kilo!
"Kau ni berangan ke apa, Deeja? Kalau tak sihat sila rehat kat rumah. Tapi kalau mental kau yang tak sihat, bawa-bawalah pergi Tanjung Rambutan. Banyak kosong kat situ." Dicapai tisu yang berada di tangan Deeja. Biar dia lap sendiri mukanya. Kakinya terus dibawa ke bilik air. Meninggalkan Deeja sendiri.
Haih, apahal semuanya serba tak kena ni? Nampaknya hari ini akan berlalu dengan sangat panjang.
"Babe, kenapa dengan muka AJ tu?" tegur Naim sambil mengambil tempat di tempat AJ tadi.
"Kena jampi." Deeja tahan senyum.
"Jampi? Kau jampi dia suruh sukakan kau ke apa?"
"Mulut kau... Minta jauhlah benda-benda macam ni." Deeja dah rasa seram sejuk.
"Asal pula? Dia single. Kau single." Naim bentang cadangan. Walaupun mereka berdua kerap bergaduh, tapi Naim dapat rasa keserasian mereka.
"Naim, kalau ya pun nak nak bentangkan calon jodoh, carilah yang elok sikit. AJ tu? Buat aku sakit mental aje nak faham bahasa sarkastik dia."
Macamlah tak kenal dengan mulut dan karakter AJ yang sarkastik gila. Kadang-kadang suka membisu.
"Hah, sebab tu aku cakap sesuai. Kau orang berdua sama-sama sakit mental," gurau Naim sambil melepaskan tawa.
Mengecil sahaja mata Deeja melihat Naim yang ketawa tak berhenti itu.
"Kalau aku cubit kau, boleh terbaring kau kat hospital tau!"
"Eee... Mana boleh cubit. Bukan mahram. Nak cubit kena kahwin dulu." Galak sahaja Naim mengusik.
Tawa mereka bersatu lagi. Kali ini lebih kuat. Tanpa sedar, perlakuan mesra mereka ditangkap oleh sepasang mata yang terus membawa diri.
Naim dan Deeja ada apa-apa ke?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro