BAB 9
KARL menghampiri Nani perlahan-lahan. "Nani... Saya nak awak pulangkan bayi tu kepada ibu dia."
"Tak boleh! Ini anak Nani, kenapa Nani kena pulangkan? Doktor dah gila, apa?" Nani menengking. Karl pula yang dikatanya gila.
"Bukan, anak awak ada di bilik saya. Awak dah lupa? Tadi awak tidurkan dia di bilik saya, kan?" Demi keselamatan bayi yang sedang didukung oleh Nani itu, Karl sengaja mereka-reka cerita. Nani merupakan pesakit mental yang berada di bawah pengawasannya. Dalam menangani pesakit mental, dia perlu berhati-hati kerana bila-bila masa sahaja Nani boleh mengubah fikirannya dan membawa lari bayi tersebut. Pernah suatu masa dahulu, Nani mengugut hendak terjun dari bangunan dengan bayi yang dilarikannya setelah dikepung oleh staf hospital. Jadi Karl tak mahu peristiwa sebegitu berulang lagi. Dia tak mahu Nani mahupun bayi yang dilarikan itu cedera.
"Betul doktor? Anak Nani ada kat bilik doktor?" Nani inginkan kepastian.
Ibu sebenar kepada bayi itu menoleh kepada Karl. Harapannya disandarkan sepenuhnya kepada doktor pelatih itu agar anaknya dapat dipulangkan kembali.
"Betul... Adrian ada dalam bilik saya tapi dia sedang tidur." Cerita rekaannya disambung lagi.
Setiap kali fikiran Nani tak stabil, Karl akan mereka-reka cerita tentang anaknya. Hakikatnya, anak kepada pesakit mental itu telah mati dalam kemalangan kira-kira 6 bulan yang lalu. Sejak kemalangan yang telah meragut nyawa anaknya itu, Nani mengalami tekanan jiwa. Dia tak dapat menerima takdir yang telah didatangkan kepadanya. Jiwanya semakin tertekan apabila suaminya pula meninggalkannya kerana tak sanggup berdepan dengan masalah jiwa yang dialami oleh isterinya itu. Akhirnya wanita berusia pertengahan 20-an itu diletakkan di wad psikiatri, tempat di mana Karl bertugas.
Nani merenung bayi yang sedang didukungnya itu. "Habis bayi ni anak siapa, doktor?"
"Perempuan depan awak tu merupakan ibu sebenar kepada bayi itu. Awak boleh pulangkan bayi tu kepada dia, okey?" beritahu Karl dengan lembut.
"Betul ini bukan anak saya, doktor? Doktor tak tipu, kan?" Nani inginkan lebih kepastian.
"Betul... Pernah ke saya tipu awak, Nani? Selama ini saya selalu jaga anak awak, kan?" Karl cuba mempengaruhi pesakit itu agar mempercayai ceritanya. Dalam pada itu dia mendekat lagi. Nani tak bersuara kali ini. Matanya terus merenung bayi yang sedang meraung itu.
"Serahkan bayi itu pada saya. Kesian dia menangis nakkan ibu dia. Awak pun mesti tak suka kan kalau anak awak menangis?" Karl berkata lagi seraya cuba mengambil bayi itu dari Nani.
"Tapi Adrian tak nangis, kan doktor?" Nani bertanya lagi. Bayi yang didukungnya masih belum mahu diserahkannya.
"Tak... Adrian budak baik. Dia tak suka nangis. Bayi yang awak dukung tu nangis sebab dia mahukan mak dia yang sebenar." Nani terdiam mendengar kata-kata Doktor Karl kali ini. Sekali lagi bayi yang sedang menangis itu dipandangnya.
"Awak bagi bayi tu kat saya sekarang, Nani. Lepas ni saya bawa awak pergi jumpa Adrian." Karl tak jemu-jemu memujuk.
"Betul ni?" Nani inginkan kepastian lagi.
"Betul!" Keyakinan Nani cuba didapatkannya.
Akhirnya Nani menyerahkan bayi yang dilarikannya dari wad bersalin itu kepada Doktor Karl. Kesemua yang berada di situ termasuk beberapa orang pesakit menepuk tangan. Kemudian bayi itu segera diserahkan kepada ibunya.
"Terima kasih, doktor." Si ibu tersenyum lega. Kemudian bayi yang sedang menangis itu dipujuknya.
"Doktor!" Nani cuit bahu Karl. Karl segera menoleh.
"Jomlah pergi bilik doktor. Nani nak tengok Adrian." Nani menuntut janji.
"Baik, tapi sebelum tu Nani kena ambil ubat dulu, ya?" pujuk Karl.
"Alaaa... Nani tak nak kena injeklah, doktor..." Nani sudah masak benar apa yang dimaksudkan dengan 'ambil ubat' itu.
"Nak jumpa Adrian tak?"
"Nak, nak..." Nani ceria setiap kali nama Adrian disebut.
"Nani kena ambil ubat dulu. Kalau tak, doktor tak nak bawa jumpa Adrian." Ugutan halus diberi.
"Okeylah... Apa-apalah... Disebabkan doktor ni handsome, Nani dengar cakap doktor." Nani mengalah. Beberapa orang jururawat yang berada di situ tersengih-sengih. Walaupun mental Nani tak berapa nak elok tapi nafsunya elok pula. Memilih betul Nani! Dengan para jururawat tak mahu tapi kalau Doktor Karl yang datang pujuk, cair!
ARIANA resah menunggu di bangku restoran. Sudah hampir setengah jam dia berada di situ namun penyiasat yang diupahnya itu belum lagi nampak bayang.
"Puan Ariana." Gegendang telinganya tiba-tiba disapa satu suara. Lekas-lekas Ariana menoleh. Seorang lelaki muncul lalu melabuh duduk di depannya.
"Saya dah dapatkan maklumat tentang perempuan itu." Satu sampul surat diserahkan kemudian.
Ariana mengambilnya lalu dikeluarkan kandungan di dalamnya. Beberapa keping gambar dibeleknya. Gambar-gambar kemesraan suaminya bersama seorang perempuan mengesahkan hubungan intim yang terjalin di antara mereka. Hancur rasa hati seorang isteri apabila dicurangi suami.
"Eka Kamila... Floor supervisor." Penyiasat upahan itu memberitahu sedikit maklumat tentang skandal suami wanita yang mengupahnya itu.
"The Stanley's Suites?" tanya Ariana untuk kepastian.
Angguk.
Hmmm... Nampaknya hari-harilah mereka bertemu. Sakit hatinya memikirkan kecurangan Harith itu. Dia mengupah penyiasat persendirian untuk mengintip kegiatan suaminya di luar setelah terbaca satu mesej gedik yang boleh menggelegakkan hati seorang isteri. Melihat bukti-bukti bergambar itu, mengesahkan tentang wahamnya selama ini. Patutlah suaminya sekarang ini jarang balik ke rumah. Alasan Harith, dia sibuk dengan projek hotel cawangan di Indonesia. Bila tak sempat balik, dia tidur di hotel saja.
"Dia tinggal di kondominum mewah tak jauh dari Stanley's Suites." Rizam, si penyiasat upahan menyampaikan maklumat lagi.
"Harith yang belikan?"
"Yup." Sepatah Rizam mengiakan.
"Kurang ajar! I dah agak dia memang perempuan kaki kikis." Pic suara Ariana ternaik.
"Biasalah puan... Modus operandi, menggunakan aset yang ada untuk menggoda. Motif, nak hidup senang, walaupun dengan cara merampas!" Lumrah kehidupan orang-orang berada, padanya. Ini bukan kes pertama yang dia pernah siasat.
Kelihatan merah padam muka Ariana menahan amarah. Reaksi yang sudah biasa dilihat oleh si penyiasat upahan. Hampir kebanyakan kes yang dia siasat ialah berkenaan rumah tangga orang. Macam-macam kes berada dalam sakunya. Kalau tak suami curang, isteri curang. Mak-mak Datin sibuk suruh siasat artis tertentu yang disyaki cuba kikis poket Datuk. Datuk pula suruh siasat Datin kerana disyaki mempunyai anak ikan. Maklumlah, Datuk selalu sibuk dengan urusan business. Datin pula ditinggalkan kesunyian di rumah.
DARI tadi Husna perhatikan Karl. Sekejap-sekejap doktor pelatih itu membelek telefon. Wajahnya jelas resah. Panggilan tak berjawab agaknya... Husna meneka-neka.
Jam tangan dikerling. Sudah hampir 10 malam. Tanpa membuang masa, Husna mendekati Karl perlahan-lahan. "Tak balik lagi, doktor?"
"Oh, awak Husna... Saya nak baliklah ni..."
"Tapi saya tengok doktor resah semacam aje? Ada masalah?" Husna bertanya lagi. Namun Karl hanya menjawab dengan sengihan saja kali ini.
"Ni mesti sebab awek tak jawab call, kan?" duga Husna. Dalam masa yang sama dia ingin tahu, benarkah bakal doktor itu sudah berpunya?
"Memandai ajelah awak ni, Husna..."
Tit... Tit... Kedengaran pula bunyi kemasukan mesej WhatsApp pada telefon Karl. Lekas-lekas Karl merenung skrin pada telefonnya itu. Mukanya yang tadi agak muram kini berubah ceria.
"Err... Sorry Husna, but I've got to make a move now." Usai berkata, Karl terus pergi.
Husna mengerenyot bibir. Kecewa kerana sentiasa saja gagal berbual lebih lama dengan doktor itu. Doktor Karl memang sentiasa sibuk melayani pesakit.
"Hishh... Baru nak masuk jarum," rungut Husna kemudian.
"Melepaslah jawabnya!"
Husna lekas-lekas menoleh sebaik sahaja telinganya mendengar satu sindiran. Di sisinya berdiri dua orang rakan setugasnya. Kemudian kedengaran pula kedua-dua jururawat itu ketawa.
Pap! Bahu rakan setugasnya yang berdiri paling hampir menjadi mangsa ketukan fail. Geram Husna apabila ditertawakan oleh rakan-rakannya itu.
"Wei, apa ni?"
"Ejeklah... Nanti aku dapat Doktor Karl tu, aku tayang kat kau orang semua!" Husna berkata.
"Kalau nak mudah tackle Doktor Karl, kau kena jadi macam Nani." Husna diejek lagi. Sekali lagi bunyi tawa mereka kedengaran.
Husna tarik muka cemberut. Ada ke patut dia disuruh jadi gila?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro