Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 8

MAK MILAH menyuap makanan ke mulut Saerah. Sudah bertahun-tahun masa berlalu tetapi menantunya, Saerah masih seperti itu. Kalau tak disuapkan makan, memang tak makanlah dia. Kalau tak dimandikan, memang tak mandilah Saerah. Meskipun tubuhnya sendiri pun sudah semakin dimamah usia, amanat arwah Badrul tetap Mak Milah laksanakan sebaik mungkin. Mak Milah bersyukur kerana Allah kurniakan dia umur yang panjang dan kesihatan yang baik, dapatlah dia menguruskan menantunya itu.

Dulu, Ain pernah meminta menyambung persekolahan menengahnya di pekan yang berdekatan dengan kampung mereka demi menjaga ibunya itu tapi Mak Milah tak izinkan. Dia mahu Ain meneruskan pengajiannya di sekolah agama yang ditawarkan. Mak Milah tak mahu Ain persiakan masa depannya dengan tinggal di kampung semata-mata hendak menjaga ibunya itu. Apatah lagi pelajaran Ain sangat cemerlang. Sementelah dia masih punya kudrat untuk menguruskan menantunya itu, dia mahu Ain belajar setinggi yang boleh. Namun pengajian cucunya itu sudah setahun tertangguh kerana mereka bukan orang senang. Cucunya itu mahu bekerja dahulu bagi mengumpul duit.

"Erah... Ain anak yang baik. Mak porcayo dio akan belo nasib kau nanti." Mak Milah berkata kepada menantunya itu. Namun Saerah langsung tak respons. Saerah asyik membilang jari. Bila nasi disua ke mulut, dia nganga.

"Bilo Ain sambung bolajar kek unibersiti nanti, mesti oghang-oghang kampung ni akan bukak mato. Kek kampung ni berapo korat yo yang bolajar tinggi?" Mak Milah berkata lagi.

"Huda..." Saerah kini bersuara. Nama orang lain yang diceritakan, nama orang lain pula yang diingatinya. Saerah sering menyebut-nyebut nama anaknya itu. Sayangnya, nama Ain sekali pun tak pernah terluncur dari bibir Saerah. Mak Milah sedar menantunya itu rindukan Huda yang sudah lama tak balik ke kampung.

"Huda mana, mak?" Kedengaran lagi suara Saerah bertanyakan tentang anaknya itu. Nama itu sahajalah yang disebut-sebut sedangkan nama Ain sekali pun tak pernah.

"Dah dua puluh taun, Erah... Kau tak kosian ko kek Ain tu? Dia pun anak kau jugak..." Satu keluhan dilepaskan kemudian.

"Huda..." Sekali lagi nama Huda naik.

21 tahun yang lalu...

HUDA mengikat hujung kasutnya yang koyak dengan gelang getah. Harapannya bila berjalan, bahagian depan kasutnya itu tidak menganga.

"Macam mulut anak buaya baru lahir." Sebaik sahaja teringatkan ejekan rakan sekelasnya, Huda tarik muka masam. Getah pada kasut dibukanya semula lalu dilempar ke tanah. Setelah itu dia menghempaskan punggungnya ke atas tangga. Pandangannya diarah pada kasut sekolah yang tak berupa kasut sekolah itu. Koyak dan berbulu-bulu.

"Huda... Kenapa tak pergi sekolah lagi ni? Karang lambat, sayang." Saerah yang hendak ke rumah agam milik majikannya menegur. Huda dongakkan kepala sebaik sahaja gegendang telinganya menangkap suara ibunya itu.

"Kasut Huda koyak. Boleh ibu belikan yang baru?"

Saerah melabuh duduknya di atas tangga. Bersebelahan dengan Huda. Kasut yang tersarung pada kaki anak perempuannya itu dipandang. Sayu rasa hati Saerah melihat kasut yang daif itu.

"Masih boleh pakai ni... Balik kerja nanti ibu jahitkan, ya?" Senyuman dilakar untuk mengambil hati si anak, namun berbeza respons yang diterimanya. Huda terus tarik muka masam.

"Dah ternganga kat depan ni, bu." Huda kompelin seraya menggerak-gerakkan jari-jari kakinya untuk menunjukkan kepada ibunya bahawa kasutnya sudah tak boleh diperbaiki lagi.

"Bulan depan ibu belikan ya, sayang." Saerah cuba memujuk. Bukan dia tak simpati dengan Huda, namun apakan daya, duit belanja untuk bulan itu cukup-cukup saja.

"Bulan depan lambat lagilah, bu... Macam mana Huda nak pergi sekolah dengan kasut ternganga macam ni?" Huda kompelin lagi.

"Boleh... Mari sini ibu ikatkan dengan getah." Saerah cuba cari penyelesaian jangka pendek, sementara nak menunggu cukup bulan.

"Huda malulah orang ejek kasut Huda. Nak-nak anak bos ibu tu!" Huda tunjuk bengang. Saerah sedikit tersentak. Wajah anaknya itu ditatap sayu. Dia faham keinginan Huda tapi apakan daya dia tak mampu memenuhi keinginan Huda dalam masa terdekat ini.

"Tulah, bu... Siapa suruh beli kasut murah ni? Jenama pun entah apa-apa..." Huda merungut-rungut bagi melepas geram. Dulu dia minta dibelikan kasut yang elok sikit tapi ibunya tak mahu dengar.

"Kasut yang berjenama, mahal. Ibu tak mampu..." Saerah membalas perlahan.

"Dulu abah boleh aje beli!" Huda membentak sebelum ibunya selesai berkata. Bagi Huda, semasa tinggal di Kuala Lumpur, hidup mereka tak sesusah kini.

"Sayang... Bulan ni kita perlukan duit untuk beli ubat abah. Ibu janji, bulan depan ibu beli kasut baru. Huda nak kasut Bata, kan?" Saerah mengharapkan kefahaman dari si anak. Walaupun tidak lagi menghadiri sesi rawatan hemodialisis yang memerlukan belanja yang besar, namun suaminya itu masih perlu meneruskan pengambilan ubat-ubatan yang lain. Tubuh suaminya sering mengalami gatal-gatal. Untuk mengatasinya, dia memerlukan krim. Kadang-kadang sampai berdarah-darah tubuh suaminya akibat digaru. Parut-parut hitam jangan cerita, penuh di badan, kaki dan tangan Badrul.

"Kalau macam tu, Huda tak nak pergi sekolah!" Pic suara Huda masih meninggi. Mahu menunjuk rajuknya.

"Huda! Kenapo cakap kasa macam tu ngan ibu?" Mak Milah menegur sikap biadab cucunya itu. Bila mendengar suara Huda bising-bising, dia keluar untuk ambil tahu apa yang berlaku.

"Dah kasut Huda koyak!" Tak pasal-pasal neneknya pula menjadi mangsa kemarahan Huda.

"Buleh ikek ngan gotah dulu, kan?" Mak Milah pertikaikan alasan Huda. Kasut koyak sekalipun bukan alasan untuk Huda berlaku biadab terhadap orang tua. Huda buat mulut muncung. Sakit hati sebab tidak mendapat sokongan daripada sesiapa. Nak beli kasut yang elok sikit, salah ke?

"Dah, poie skolah copek!" Mak Milah arahkan cucunya itu.

"Tak nak!" Huda tunjuk degil.

"Apo kono ngan kau ni, Huda? Sobab dek kasut tu yo kau tak nak poie skolah?" Mak Milah menggeleng geram.

"Huda bukan suruh beli kasut yang mahal-mahal pun. Huda cuma nak ibu belikan kasut yang elok sikit aje. Kasut murah cepat koyak. Sekarang tak pasal nak kena beli lagi. Kan jadi lebih mahal?" Huda membebel panjang. Dia sudah darjah empat dan tahu buat pengiraan untung rugi.

"Kasut murah pun kalau kau pandai jago, buleh tahan lamo."

"Betul juga kata Huda tu, mak. Kalau beli yang berjenama boleh tahan lama dan lebih jimat. Silap Erah juga beli yang murah-murah." Saerah membela anak perempuan ciliknya itu. Malas mahu memanjangkan pergaduhan.

"Huda..." Kedua-dua belah bahu Huda dipegangnya dengan penuh kasih sayang.

"Ibu janji, bulan depan ibu beli kasut Bata. Tapi buat masa ni, Huda pakai kasut ni dulu. Boleh kan, sayang?"

"Janji?" Huda mula lembut hati.

"Janji." Saerah angkat tangan kanan sebagai isyarat melafazkan ikrar akur janji.

Huda tersenyum meleret. Seronok dengan janji ibunya kali ini. Huda ambil getah yang dibalingnya ke tanah tadi. Sesudah itu, getah diikatkan pada bahagian depan kasut yang sudah ternganga. Dengan cara itu, lebih mudah hendak berjalan. Tak adalah kasutnya itu menganga macam mulut anak buaya yang kelaparan. Kemudian langkahnya diatur perlahan-lahar agar ikatan getah pada kasutnya tidak tertanggal.

"Huda pergi dulu, bu!" Huda bersuara seraya melambai tangan. Saerah membalas lambaian anaknya itu.

"Amboi! Dongan wan tak nak babai?"

"Tak nakkk!" Huda membalas tanpa menoleh sedikit pun. Dia masih merajuk dengan neneknya yang marahkannya tadi.

"Huda! Tak baik tau buat wan macam tu." Saerah menegur sikap Huda. Namun Huda terus menapak.

"Marahkan wan la tu. Takpo... Potang nanti wan tak nak buek jomput-jomput yang kau suko tu." Mak Milah melaung dengan niat mahu mengusik cucunya itu.

Geram Huda apabila diugut neneknya sebegitu. Mana boleh tak makan jemput-jemput bawang kegemarannya itu? Hampir setiap hari neneknya sediakan jemput-jemput bawang sebagai hidangan minum petang. Huda lekas-lekas berpusing ke belakang.

"Okeylah... Babai wan! Muahhh..." Huda beri flying kiss. Saerah dan Mak Milah kemudiannya tertawa melihat keletah Huda. Dialah racun, dialah penawar.

"Kau usah la ikutkan sangek kohondak Huda tu, Saerah. Kang kau juga yang susah. Badrul tu ontah bilo nak sombuh eh." Mak Milah mengingatkan menantunya setelah Huda berlalu.

"Erah tahu, mak. Nanti Erah jelaskan pada Huda tentang keadaan abah dia tu." Bagi Saerah, Huda masih lagi mentah. Beberapa saat selepas itu, Saerah bermenung memikirkan tentang Huda.

Mungkin Huda perlukan sedikit masa untuk memahami situasi sekarang ini... Satu kesimpulan dibuat sendiri.

"Hah! Yang kau ni tunggu apo laie? Tak marah ko majikan kau tu nanti datang lambek?" Mak Milah mengingatkan menantunya yang masih termenung sedangkan waktu sudah melangkaui 7.30 pagi.

"Haahlah, mak. Karang lewat pula." Gara-gara melayan kerenah Huda, Saerah nyaris-nyaris terlewat. Saerah sarung kasut ke kaki cepat-cepat.

"Erah pergi dulu, mak!" Langkahnya terus diatur menuju ke rumah agam dengan hati yang berat. Seraya menapak, Saerah hela nafas dalam-dalam. Dia mahu mengumpul kekuatan untuk terus berada di rumah agam itu. Kalau diturutkan hati, ingin saja dia berhenti namun apakan daya kerana rezekinya sudah tertulis di situ. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro