Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 4

Heterochromia merujuk kepada ketidaksamaan warna mata yang disebabkan oleh kelebihan atau kekurangan melanin. Heterochromia dipengaruhi oleh faktor genetik, penyakit atau kesan daripada kecederaan. Penyakit ini juga boleh terjadi akibat daripada perubahan pada salah satu dari beberapa gen yang mengatur warna mata. Ia boleh diwarisi bukan sahaja oleh haiwan tetapi manusia juga tidak terkecuali.

Sudah hampir setengah jam Daniel membuat pencarian tentang heterochromia. Melalui pembacaannya juga, Daniel mendapati penyakit heterochromia terbahagi kepada 3 jenis iaitu complete, sectoral, dan central.

Complete heterochromia merupakan dua iris yang berlainan warna. Misalnya, sebelah coklat dan sebelah lagi biru. Sectoral heterochromia pula merujuk kepada dua warna yang berbeza dalam iris yang sama. Manakala central heterochromia adalah ketika iris sendiri memiliki dua atau lebih set lengkap warna.

Daniel berjeda seketika. Sebenarnya dia mahu mencari maklumat tentang heterochromia di Malaysia. Lebih spesifik lagi dalam kalangan bangsa Melayu. Namun dia belum menemukan lagi apa yang dia inginkan itu.

Daniel imbas semula warna iris Matahari yang ditemuinya malam itu. Daniel yakin Matahari memiliki dua iris mata yang berlainan warna. Dalam erti kata yang lain, Matahari menghidapi complete heterochromia. Daniel masih ingat dengan jelas sebelah mata Matahari berwarna kelabu cair manakala sebelah lagi berwarna coklat.

Daniel melakukan proses pencarian semula. Kali ini dia memilih image. Sederetan imej mata terpapar. Pelbagai warna dan bentuk. Sungguh cantik sekali.

Satu per satu imej yang menarik perhatiannya diklik. Kemudian dia menelusuri laman sesawang yang berkaitan dengan imej yang dikliknya itu. Setelah beberapa imej dan kandungan laman sesawang dibacanya, masih lagi tidak menepati apa yang hendak dicarinya.

Daniel menyandarkan belakangnya pada kerusi. Terasa penat mencari. Dua tangannya diangkat lalu diletakkan di belakang kepala. Dia mahu meregangkan semula otot-otot belakangnya yang sudah lenguh akibat menunduk merenung skrin komputer riba dalam masa yang agak lama.

Fuh... Kedengaran bunyi desiran angin yang terhembus dari dua bibirnya. Daniel hampir berputus asa. Ternyata memang sukar hendak mencari pemilik iris heterochromia di Malaysia ini. Namun itu tidak bermakna orang itu tidak wujud. Daniel yakin ada. Matahari merupakan salah seorang daripadanya.

Daniel merenung kembali imej-imej yang terpapar pada skrin. Matanya tertancap pada sepasang mata yang sangat menawan. Berwarna kelabu cair di sebelah kanan manakala sebelah kirinya pula berwarna coklat. Tanpa bertangguh, imej itu dikliknya.

Bidadari Bermata Jeli. Begitulah nama Blog yang memaparkan imej complete heterochromia itu.

Setelah beberapa ketika memerhatikan gambar mata yang unik itu, Daniel mulai membaca apa yang terpapar di dalam Blog itu. Namun dia tak baca kesemuanya. Dia sekadar membaca sepintas lalu saja.

Hmmm... Blog syok sendiri? Tak sampai separuh entri Blog itu dibaca, Daniel sudah tak berminat hendak meneruskan, apatah lagi ia berkenaan agama. Jam tangan dikerling pula. Teringatkan yang esok dia perlu ke hotel, Daniel tutup tetingkap browser diikuti pula dengan komputer riba.

TAMARA bergegas keluar dari musala setelah selesai menunaikan kewajipannya kepada Tuhan. Masa rehat sudah 5 minit tamat. Semuanya gara-gara menunggu Zamin makan tadi. Namun penat saja dia menunggu Zamin selesai makan, rupa-rupanya Zamin uzur, tak boleh solat. Ikutkan hati, mahu diluku saja kepala Zamin. Nampaknya sebentar lagi dia terpaksa berdepan dengan si 'singa' yang sentiasa kelaparan itu. Tamara berharap sangat 'singa' itu sudah kenyang, tidaklah dia kena baham nanti.

"Oh, mak kau kopalo jendol!" Ah, sudah! Tubuhnya tiba-tiba mengena tubuh seseorang.

"Woow!" Tubuh Daniel terdorong sedikit ke belakang. Tiba-tiba saja tubuhnya dirempuh orang. Fail di tangan jatuh ke koridor. Habis segala dokumen di dalamnya berterabur. Geram sungguh hati Daniel kerana dokumen-dokumen itu sudah elok disusunnya sebelum ini.

Tamara lekas-lekas pusingkan kepalanya dengan harapan orang yang dilanggarnya itu tak perasankan wajahnya. Memikirkan dia sudah lewat, Tamara terus pergi tanpa membantu mengutip dokumen-dokumen yang berterabur itu.

Sebaik sahaja membetulkan kedudukan baju sutnya yang sudah tersenget, Daniel berpaling ke arah pekerja yang melanggarnya sebentar tadi. Namun pekerja itu terus menonong saja berlari. Jangankan nak tolong kutip, minta maaf pun tidak.

"Hei!" Daniel bertambah bengang apabila pekerja yang telah melanggarnya itu pergi begitu saja.

"Hey, you! Stop right there!" Daniel melaung lagi. Namun arahannya itu langsung tak dipedulikan.

Dokumen-dokumen yang bertaburan itu lekas-lekas Daniel kutip. Kemudian dia masukkan semula ke dalam fail. Selesai semuanya, dia berlari mengejar pekerja yang sudah melarikan diri tadi. Dia bukan sekadar tak puas hati kerana pekerja itu tak mematuhi arahannya, dia turut geram sebab tak sempat melihat wajah pekerja itu tadi.

Tiba saja di depan lif, kedua-dua butang menaik dan menurun ditekannya. Kedua-dua pintu lif lalu terbuka tapi tiada sesiapa pun di dalam. Memikirkan pekerja itu mungkin mengikut laluan tangga, Daniel berkejar ke pintu laluan tangga pula. Namun baru saja tangannya memulas tombol pintu, telefon bimbitnya berbunyi. Tombol pintu dilepas bagi menjawab panggilan. Tertulis CEO pada paparan skrin telefonnya itu.

"I'm on my way." Telefon ditutup. Bimbang nanti dibebel kerana lewat, Daniel kembali ke lif semula.

Di sebalik pintu laluan tangga, Tamara sudah menggigil. Alamak! Encik Daniel ko?

Matilah den! Dahi Tamara sudah merembeskan peluh setelah menyedari bahawa Encik Daniel yang dilanggarnya sebentar tadi.

Dio tak nampak kut? Tamara cuba menyedapkan rasa hati sendiri. Jam tangannya kemudian dikerling.

Cik Eka! Baru Tamara teringat yang dia mempunyai satu lagi 'bahaya' yang perlu ditempuhi. Setelah yakin bosnya itu sudah pergi, barulah dia tolak daun pintu. Namun masih lagi dengan berhati-hati.

Alhamdulillah... Lega hatinya apabila Encik Daniel sudah tiada. Tamara kemudiannya bergegas ke pintu lif. Jejari runcingnya pantas menekan butang lif arah menurun.

EKA bercekak pinggang seraya mencerlung ke arah Tamara. Tangan kanannya kemudian diangkat tinggi. Jam pada pergelangan tangan kanannya dikerling, sebagai bahasa kiasan yang mengatakan Tamara sudah lewat melapor diri. Di belakangnya pula kelihatan Zamin. Zamin sedang bertanyakan sesuatu dalam bahasa isyarat, seolah-olah bertanyakan kenapa Tamara lewat melapor diri.

"Maaf Cik Eka, lepas sembahyang tadi tiba-tiba perut saya memulas-mulas." Terpaksa bohong sunatlah jawabnya.

"Betul, Cik Eka. Tadi kitorang sama-sama turun dari surau. Tiba-tiba Ara kata nak memerut. Kesian Ara, Cik Eka. Merah padam muka dia tadi menahan berak. Nasib baik tak terberak dalam lif." Zamin cepat-cepat menyampuk. Dia tak sanggup melihat rakan kerjanya itu dimarahi. Tamara lewat pun disebabkannya juga tadi. Dengan menambah perencah dalam cerita Tamara, Zamin mengharapkan gadis itu terselamat daripada dimarahi oleh penyelia aras mereka yang garang itu.

Tamara kerling Zamin yang tersengih-sengih di belakang Eka. Rasa nak tergelak juga Tamara dibuatnya, namun dia tahankan saja rasa geli dalam perut. Gila nak ketawa depan 'singa' yang sedang mengaum? Tak pasal-pasal kena ngap karang!

"Hmmm... You makan apa sampai sakit perut?" Eka tak jadi nak marah. Dalam pada garang, masih ada lagi rasa prihatinnya.

"Makan macam biasalah, Cik Eka... Nasi campur. Tapi sekarang dah okey, Cik Eka." Tamara membalas.

"Bila dah habis buang, mesti rasa lega, kan? Kan?" Zamin menyampuk lagi. Kali ini Cik Eka menoleh kepadanya seraya mencebir bibir. Geram apabila Zamin asyik menyampuk.

"Barulah senang nak buat kerja. Betul tak, Cik Eka?" Zamin tak pedulikan reaksi penyelia aras yang tegas lagi garang itu. Kemudian sebuah sengihan dilemparkan kepadanya.

Eka malas nak respons. Dia toleh kepada Tamara semula. Wajah itu ditelitinya, seolah-olah sedang cuba menilai sejauh mana kebenaran cerita pekerja mentah itu.

"Mesti kau bercreeettt, crettt tadi tu, kan Ara?" Zamin tambah pula kesan bunyi bagi menyedapkan cerita rekaan mereka. Tamara kebam bibir, menahan gelak dari tersembur. Zamin kemudiannya melangkah setapak, mendepani Cik Eka. Tak seronok bercerita tanpa memandang muka audiens.

"Saya rasalah Cik Eka... Kalau ditadah cirit Ara, mesti separuh baldi." Zamin terus melanjutkan plot cerita. Sekarang baru seronok kerana dapat menyaksikan reaksi audiens. Baru boleh dinilai ceritanya power atau tidak.

"Eeeww! Sudah... I tak nak dengar lagi." Eka berasa geli-geleman. Hidungnya dikepit seolah-olah dia terbau pula apa yang digambarkan oleh Zamin itu.

"Pergi sambung kerja you all!" perintah Eka. Kemudian dia keluar.

"Kah... Kah... Kah..." Berdekah-dekah Zamin ketawa. Ceritanya ternyata power. "Tu baru sound effect, belum lagi masuk special effect..."

"Kalau special effect, macam mana?" soal Tamara yang turut sama tertawa melihat Cik Eka geli-geleman tadi.

"Yang tu, nanti-nantilah aku fikirkan," balas Zamin yang masih lagi tak hilang rasa geli hatinya.

"Macam mana pun, terima kasihlah tolong cover." Tamara berkata seraya tersenyum gembira. Hari ini dua malapetaka berjaya dilepasi. Berkat pembacaan surah Yasin, subuh tadi. Alhamdulillah...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro