Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 3

TAMARA menolak troli yang berisi timbunan tuala bersih. Tuala-tuala itu perlu ditukarkan ke setiap bilik. Begitulah rutin kerjanya pada setiap hari. Mujurlah dia tak disuruh mengemas bilik-bilik VIP meskipun pulangannya lumayan. Menurut Zamin, staf-staf di situ berebut-rebut mahu mengemas bilik VIP kerana mereka akan dapat lebih banyak tip daripada tetamu. Maklumlah, tetamu yang menghuni bilik VIP bukan calang-calang orang. Mereka terdiri daripada ahli-ahli perniagaan, bos-bos besar, Datin, Datuk, Tan Sri...

Jika dapat tetamu VIP dari luar negara, lagi 'lebat' tip yang diterima. Kadang-kadang terdapat barang-barang berharga yang tertinggal. Jika tidak dituntut oleh pemiliknya, menjadi rezeki kepada staf yang mengemas bilik tersebut. Namun begitu, Tamara sedikit pun tak berminat kerana dia tahu mengemas bilik VIP bukannya mudah.

Bagi Tamara, mengemas bilik VIP agak memenatkan sebab bilik itu bukan saja besar, siap mempunyai tab mandi lagi. Selain daripada cermin, tab mandi juga mesti dibersihkan sehingga berkilat. Silap sikit sahaja, alamat kena herdiklah dengan Encik Daniel. Bilik mesti dikemas betul-betul. Matanya sangat tajam dan pemerhatiannya begitu teliti. Habuk yang sebesar hama pun dia boleh nampak. Macam pakai kanta pembesar, kata Zamin. Kata Zamin lagi, kepala paip dan tombol pintu pun Encik Daniel periksa!

Meskipun tak mendapat imbuhan yang lumayan, Tamara lebih rela selama-lamanya mengemas bilik-bilik standard saja kerana bilik standard jauh lebih kecil saiznya. Hiasan dalamannya pun ringkas saja. Tiada tab mandi yang perlu disental mahupun sofa mewah yang perlu divakum.

Yang ada cuma dua bangku kayu dan meja panjang tempat letak barang. Dia cuma perlu lap meja dan susun balik bangku elok-elok. Almari pun tak banyak yang hendak dilap. Jadi kerja-kerja mengemas lebih mudah. Dan yang paling penting, tak perlu takut terserempak dengan Encik Daniel sebab dia memang tak akan periksa bilik standard. Kalau boleh dia tak mahu terserempak dengan Encik Daniel itu. Tak ingin dia diherdik seperti staf-staf lain yang pernah kena.

"Ouch! Buta ke? I yang begini besar pun tak nampak? Lain kali jangan berangan. Buat kerja tu mesti fokus!" Tiba-tiba saja gegendang telinga Tamara diterpa dengan maki hamun.

Ah! Pagi yang suwey kata orang. Patutnya pagi-pagi hari, telinga diperdengarkan dengan ayat-ayat suci al-Quran agar aura dan nur al-Quran masuk ke dalam hati dan memberi ketenangan sepanjang hari. Baru Tamara teringat pagi tadi dia tak sempat membaca al-Quran. Biasanya selepas solat subuh, dia akan membaca al-Quran dalam satu ke dua lembaran sebelum bersiap ke tempat kerja. Amalan membaca Quran pada pagi-pagi hari itu dia amalkan sejak masuk ke asrama. Semasa perhimpunan di sekolah, para pelajar akan membacakan surah Yasin. Malam pula, selepas maghrib mereka membaca surah al-Mulk dan as-Sajadah. Walaupun sudah setahun meninggalkan alam persekolahan, amalan itu dia teruskan sehingga kini.

Entah macam mana Tamara terlewat bangun pagi tadi. Mujurlah dia sempat solat subuh. Sudahlah perutnya lapar kerana tak sempat bersarapan, pagi-pagi lagi herdikan menjadi santapan telinga. Mungkin inilah balasan Tuhan kerana mendahulukan urusan dunia. Jauh di sudut hatinya, Tamara mengakui kealpaan diri.

"Maaf, Cik Eka! Saya... Saya tak sengaja..." Tergagap-gagap Tamara memohon maaf. Timbunan tuala di atas troli itu menghalang pandangannya di bahagian depan. Sebab itulah dia tak nampak Cik Eka keluar dari bilik tadi.

"Careless! Masih tak reti-reti lagi buat kerja? Ini nasiblah I. Macam mana kalau tetamu VIP tadi?" Tamara dimarahi lagi. Belum lagi reda amarah Eka nampaknya.

"What's wrong?" Encik Harith yang baru keluar dari bilik VIP datang bertanya.

"Budak ni, ha... Main langgar aje I!" Eka terus mengadu.

"It's just a small matter, Eka... Mungkin dia tak sengaja." Harith yang kini berada di samping Eka, berkata.

Tanpa menghiraukan kata-kata Harith, Eka merapati Tamara. Kemudian dahi pekerja baru itu ditunjalnya dengan jari telunjuk. "Kalau rasa masih nak bekerja kat sini, buat kerja tu betul-betul!"

"Hey... Relaks, okey!" Harith lekas-lekas jatuhkan tangan Eka. Kemudian dia berpaling kepada Tamara. Melihatkan muka pekerja muda itu terkulat-kulat dimarahi, Harith berasa kasihan.

"Don't worry about it... I know you didn't mean it." Harith berkata lembut.

"Terima kasih, Encik Harith." Tamara berkata perlahan seraya mengukir senyuman kecil. Mujurlah timbalan pengarah muda itu bertimbang rasa orangnya.

"Sama-sama." Lelaki yang dipanggil Encik Harith itu membalas. Kemudian dia melarik senyuman nipis. Manakala Eka berwajah cemberut. Dia cemburu!

"Let's go, sayang!" Eka merangkul erat lengan Harith. Bagaikan tak mahu dilepaskan. Kedua-duanya beredar selepas itu.

Lama bebola mata Tamara merenung pasangan yang sedang berjalan beriringan itu, sehinggalah kedua-duanya membelok ke kanan, ke arah lif. Nafas beratnya dihela panjang-panjang sebaik sahaja pasangan dua sejoli itu sudah hilang dari pandangan.

Masuk kali ini, sudah dua kali dia ternampak Cik Eka bermesraan dengan Encik Harith. Tamara yakin Cik Eka bermalam dengan Encik Harith di bilik VIP itu. Mereka sengaja tak keluar serentak supaya orang tak nampak. Mungkin mereka tak mahu orang tahu tentang perhubungan mereka.

Astaghfirullahazim... Istighfar hanya mampu tersedik dalam hati cuma. Siapalah dia hendak mencegah kemungkaran yang dilihatnya depan mata itu? Nafasnya yang berat dihela dalam-dalam. Tiba-tiba bahunya ditampar orang.

"Hoi!"

"Oh, mak kau kopalo jendol!" Dek terkejut disergah, Tamara melatah. Sudahlah ditampar bahu, dijerit tepi telinga pula. Manalah dia tak melatah.

"Oit, kepala mak aku tak jendul, tau!" Zamin, rakan setugas yang menampar tadi marah dalam tawa. Tak pasal-pasal emaknya pula yang kena ejek.

"Sapo suruh kau sorgah den? Mujur den tak libeh dongan tuala ni tadi." Tamara membalas seraya ketawa kecil. Bukan dia saja-saja nak kutuk emak Zamin. Dia terkejut, nak buat macam mana? Apa yang keluar di bibir semuanya secara spontan.

"Berlagak gila Cik Eka tu. Eee... Kalau akulah tadi, aku maki dia balik!" Zamin berkata kemudian.

"Oh, awak nampaklah apa yang berlaku tadi?" Tamara berkata.

"Nampak! Aku tahu Cik Eka tu jual body kat Encik Harith." Zamin tanpa berselindung, terus berkata.

"Syhhh!" Tamara buat isyarat jari pada mulutnya, menyuruh Zamin senyap.

"Nanti orang dengarlah!" lanjut Tamara. Dia tak mahu, nanti kecoh pula hotel jadinya. Lagipun Encik Harith itu sudah beristeri!

"Biarlah orang dengar. Encik Harith tu tak patut tau berskandal. Kesian isteri dia." Zamin berkata. Dia bersimpati dengan isteri timbalan pengarah itu.

"Tapi orang kaya, kan? Biasalah skandal-skandal ni. Cuma aku tak puas hati pasaipa pilih Cik Eka? Ramai lagi yang cantik-cantik kat luar sana. Kurang-kurangnya pilih kau ke..."

"Eee! Tak kuasa den nak berskandal dongan laki orang!" Geram Tamara dengan usikan tak berasas Zamin itu. Dia bukan perampas laki orang!

"Betul apa, aku cakap. Dia mat salih separuh, kau pula minah Bosnia. Fullamak! Anak mesti cun melecun." Zamin menyambung. Kali ini kata-kata pujian diberi kepada Tamara.

"Eh, awak ni! Kot hangin kek Cik Eka sekalipun, toksah la kaitkan den dongan Encik Harith." Lengan Zamin dicubit perlahan. Namun begitu, cubitannya itu bukanlah bertujuan hendak menyakitkan.

"Kalau todonga dek Cik Eka, mati den!" sambung Tamara lagi.

"Okey, okey... Tak payah dengan Encik Harith, tapi dengan Encik Daniel. Amacam?" Zamin masih lagi mahu mengusik Tamara.

Piap! Satu libasan tuala hinggap di muka. Tamara tak boleh terima usikan itu. "Maleh den nak layan ekau. Den nak poie buek kojo. Tak baik curik tulang. Bedoso!" Tanpa bertangguh, Tamara menolak-nolak troli menuju ke arah bilik yang hendak dikemasnya.

"Iyolah, Setazah Tamara!" Zamin mengejek dalam dialek bahasa yang sering digunakan oleh rakannya itu ketika berbual dengannya. Meskipun berketurunan Bosnia tapi pertuturannya langsung tak menggambarkan asal-usulnya. Pekat piau, kata orang utara. Sedikit sebanyak Zamin bersimpati dengan nasib gadis Bosnia itu kerana perang telah memisahkan dia dari keluarga asalnya.

Sebaik sahaja dilahirkan, dia diserahkan kepada keluarga angkatnya yang merupakan orang Melayu. Meskipun tak pernah mengenali siapa ibu bapanya yang sebenar tapi rakannya itu tetap bahagia bersama keluarga angkatnya itu.

KATIL berselerakan. Namun pemandangan itu bukan pemandangan yang pelik pun. Tamara sudah biasa dengan suasana sebegitu. Sudah memang tugasnya sebagai atendan bilik, membersih dan mengemas bilik-bilik hotel. Setelah sebulan lebih bekerja, dia sudah pun cekap menjalankan kerja-kerja mengemas. Masa yang diperlukan untuk mengemas sesebuah bilik bergantung kepada jenis bilik dan tempoh masa booking. Sebuah bilik VIP mampu dikemas dalam masa setengah jam ke 45 minit sekiranya tetamu sudah check out. Bilik standard pula, lebih cepat lagi. Jika tetamu masih belum check out, masa yang diperlukan cuma 10 ke 15 minit saja.

Cadar dan sarung bantal sudah pun siap diganti dengan yang baru. Di bahagian atas sekali barulah dibentangkan kain selimut. Kemudian kain selimut dan kain cadar dilipatnya dengan penuh teliti. Suku bahagian ditinggalkan pada hujung kaki. Lebihan kain selimut dan cadar di bahagian kiri dan kanannya, Tamara sisipkan pula ke bawah tilam. Sesudah itu Tamara memberikan kemasan terakhir. Dua telapak tangannya digosok-gosokkan beberapa kali ke atas selimut dalam arah yang bertentangan di antara satu sama lain.

Tamara tersenyum puas melihat bilik yang tadinya berselerak kini sudah rapi. Tiba-tiba daun pintu bilik dikuak orang. Senyum Tamara mati sebaik sahaja penyelia aras yang macam singa itu muncul.

"Apa yang kau nampak tadi, jangan sesekali sampai ke telinga orang lain." Satu amaran diberi. Bimbang juga Eka jika perbuatan sumbangnya diketahui umum.

Tamara tak bersuara sepatah pun. Mahu menjawab ya, bermakna dia bersetuju dengan perlakuan maksiat yang berlaku. Mahu dijawabnya tidak, karang tak pasal kepalanya diluku. Jalan terbaik ialah berdiam. Membenci kemungkaran dalam hati sambil berdoa agar si pelaku maksiat diberikan hidayah. Itulah tingkatan iman yang ketiga, iaitu yang paling bawah.

"Kau dengar tak ni?" Tamara diherdik pula. Tersentak sedikit tubuh Tamara mendengar pertanyaan kasar itu.

"Ya, dengar..." Terketar-ketar Tamara menjawab.

"Aku juga nak ingatkan kau... Jangan nak menggatal dengan Encik Harith. Dia, aku punya. Faham?"

"Faham, Cik Eka..." Tamara membalas perlahan.

"Aku nak ingatkan kau lagi... Kau kat sini cuma kemas bilik. Jangan nak busybody jaga hal orang. Faham?" Sesudah memberi amaran, Eka mengatur langkah menuju ke pintu.

Tamara menoleh ke katil semula. Tiba-tiba Tamara rasa nak muntah. Jijik!

SELERA makan Tamara tiba-tiba hilang. Entah kenapa perutnya tak berasa lapar padahal dia tak bersarapan pun pagi tadi. Semuanya gara-gara penyelia aras yang berlagak itu.

Tapi kenapolah dioghang tak kahwin jo?

Cik Eka pun satu... Dah mongandung nanti, baghu nak golabah.

Tamara bermonolog dalam hati sendiri.

Kenapolah oghang pompuan ni tak fikir panjang? Nak sonang punyo pasal sanggup buat kerja bodoh! monolog hati diteruskan lagi. Tamara cukup bengang dengan kebodohan kaum perempuan yang sanggup menggadai maruah demi lelaki. Kadangkala Tamara terfikir juga Encik Harith cuma nak main-main dan berseronok saja kerana dia sudah punya isteri. Tapi bila difikirkan balik, Cik Eka pun sama mengambil kesempatan. Menumpang kesenangan atas kekayaan orang lain.

Encik Harith pun satu. Curang! monolog hati memantulkan dialog. Geram Tamara dengan perempuan yang sanggup melukakan hati perempuan lain semata-mata berebutkan jantan. Namun geram lagi Tamara kepada lelaki yang tak setia.

"Montang-montanglah dio kayo..." Tamara buat muka meluat. Walaupun Encik Harith itu baik orangnya tapi bagi Tamara, seorang lelaki itu belum cukup baik kalau curang dengan isteri. Kalau dah mampu, kahwin. Bukan menjalinkan hubungan sulit di luar pernikahan seperti itu. Kepalanya digeleng-geleng lagi seraya menarik muka kelat.

"I juga nak ingatkan you... Jangan nak menggatal dengan Encik Harith. Dia, I punya. Faham?" Terngiang-ngiang amaran daripada Cik Eka.

"Macamlah den nak kek laki oghang tu. Eee... Paranoid tak bertompek!" tuturnya kemudian.

Meskipun Encik Harith itu kaya dan ada rupa, namun sedikit pun hati Tamara tak tertarik kepadanya. Lelaki pilihan Tamara ialah lelaki yang beragama.

"Mujurlah Abang Helmi den tak macam tu." Mengingatkan Helmi, riak wajah Tamara yang cemberut tadi kini kembali ceria. Rasa tenang hatinya setiap kali wajah yang dirindui itu diimbasnya walau sekadar dalam minda.

Memikirkan masih banyak lagi masa rehat yang terluang, Tamara keluarkan telefon bimbitnya dari saku seluar. Aplikasi WhatsApp miliknya dibuka lalu dia menitipkan sesuatu di situ.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro