Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2

ESPRESO yang sudah siap dibancuh, dituang ke dalam dua cawan. Satu untuknya dan satu lagi untuk kekasih hati yang mukanya begitu cemberut. Nampaknya kekasih hatinya itu masih menyimpan amarah. Amarah yang dibawa dari pagi hingga ke malam.

"You... Malu gila I bila Daniel suruh I lap cermin. Adik you tu memang melampau!" Sakit hatinya diadukan kepada orang tersayang.

"You tahu kan, perangai dia memang macam tu? Relaks sudah." Harith cuba menenangkan amarah Eka. Seraya itu tangannya membawa dua cawan yang sudah berisi espreso.

"Dahlah suruh I lap cermin, dia tuduh I nak kikis harta keluarga you! Agak-agaklah!" Eka masih tak puas hati. Kata-kata Daniel siang tadi memang melampau. Kalau tak ada orang tak apa juga, ini sampai dia diketawakan pula oleh pekerja bawahan. Jatuh maruah dirinya sebagai penyelia aras.

"Cool down!" Secawan espreso diserahkan kepada Eka yang sedang 'membara' di atas sofa. Eka lantas mengambilnya.

Slurppp! Eka menghirup espreso. Harith tersenyum memerhati.

"I bukan apa... Dia marah I depan staf. Malulah I!" Eka bersuara semula setelah dua hirupan dibuat.

"I akan nasihatkan dia nanti." Harith berkata. Cawan di tangan didekatkan ke bibir. Gilirannya pula menyisip minuman.

Janji yang dicurah menghilangkan amarah Eka. Senyuman kemudian dilakar. "Sayang... You rasa selama ni I tak ikhlas cintakan you, ke?"

"Kenapa you tanya?"

"You jawablah..." Eka mula merengek manja.

Cawan di tangan kini diletakkan ke atas meja. Tangan Eka kemudian digenggamnya erat. "I tak pernah meragui keikhlasan cinta you."

"Kalau macam tu, I nak you beritahu Daniel, jangan senang-senang tuduh I ni mata duitan. I tak suka, tau!" Eka buat-buat merajuk pula.

"Don't worry, I'll talk to him later."

Eka tersenyum meleret. "Sebagai balasan, malam ni I akan buat apa saja untuk you..."

Harith mengerling jam tangan. Kemudian dia ukir senyuman. "You pasti tak nak balik malam ni?"

"Alah... Bukan I tak biasa tak balik. Jangan-jangan you yang tak sabar-sabar nak balik. Mesti dah berjanji nak dating dengan wifey." Eka mencebik bibir. Mengenangkan si buah hati sudah dimiliki, Eka terpaksa bekerja keras untuk memenangi hati bakal CEO itu.

"Nope! Malam ni I ada date dengan you seorang saja..." Dagu Eka dicuit mesra.

Eka tersenyum gembira. Malam ini... Zein Harith, Cik Eka yang punya!

DI atas pentas tari, para pengunjung kelab hiburan itu bagaikan tenggelam dalam irama lagu rancak yang berkumandang. Masing-masing bagaikan berada di dalam syurga khayalan. Riuh-rendah bunyi suara sorakan dan tepukan tangan. Di tengah kelompok ramai itu kelihatan seorang wanita begitu ghairah menari. Kelincahan tariannya mendapat perhatian dan sambutan ramai.

Di sudut meja bar mini, kelihatan Daniel yang sedari tadi memerhatikan penari itu.

"Who's that charming butterfly?" Daniel menyoal temannya yang berada di sebelah.

"Aku dah agak, mesti kau berkenan punya. She's Matahari." Sam, temannya itu membalas. Kemudian kedengaran suara tawa kecilnya.

"Matahari? What a weird name..." omel Daniel.

"She's like the legendary spy, Mata Hari... Menggoda tapi susah hendak didekati. Juga licik orangnya. Muncul sekali-sekala seperti ada agenda tersendiri..." Sam berkata.

"Wow!" Daniel tertawa kecil. Bukan terkesima dengan ciri-ciri yang ada pada perempuan itu tapi dia sengaja mengejek Sam yang terlebih memuji.

"Amacam? Nak try ke?" duga Sam.

"Kau ni bro, asal aku cakap pasal perempuan, kau semedang nak aku try." Daniel berkata. Dia sebenarnya tidaklah begitu teruja hendak mengenali mana-mana perempuan di kelab itu. Cita rasanya lebih kepada wanita bermata biru di kota London. Kalau bukan kerana mommynya sakit, jangan haraplah dia nak pulang ke Malaysia.

Berbelas tahun dia tinggal di kota London bersama nenek sebelah bapanya yang berbangsa Inggeris. Dia lebih serasi di sana, hidup seperti bangsa Inggeris meskipun wajah serta warna kulitnya lebih mirip orang Melayu.

"Huh, sejak bila jadi alim ni? Kau kan romeo, pantang nampak perempuan cantik?" Sam senyum sinis. Bukan dia tak tahu siapa sebenarnya Daniel. Mereka pernah belajar di universiti yang sama di London. Jadi semua kisah Daniel berada di dalam koceknya. Kelab, arak sudah menjadi perkara biasa bagi Daniel waktu belajar dulu.

"Mommy aku kan sakit? Agak-agaklah..."

"Apa kaitan mommy kau sakit dengan pertanyaan aku nak try ke tak?" Sam menepuk bahu Daniel. Buat-buat kabur walhal dia menyindir.

"Yang kau datang ke kelab ni, mommy kau tak sakit ke?" Soalan diaju lagi. Soalan yang berbentuk sindiran secara terang-terangan kali ini.

"Nasib kau ni kawan baik aku... Kalau tak, free aje aku bagi penumbuk." Tertawa Sam dengan amarah Daniel itu.

"Wooo! Aku tahulah kau ada black belt, bro! Tapi serius aku tanya ni... Kau nak try ke tak?" Sam kembali bercakap soal perempuan bernama Matahari tadi.

Geleng.

"Okey, kau jangan marah kalau aku dapatkan dia..." Sam berkata.

"Go ahead..." Daniel sikit pun tak hairan. Tanpa membuang masa, Sam bangun mahu mendapatkan Matahari.

Sisa minuman yang masih berbaki di dalam gelas lantas Daniel teguk sehingga habis. Meskipun dia bukanlah peminum arak tegar seperti kedua-dua ibu bapanya namun sesekali apabila mengunjungi kelab, dia minum juga. Cuma dia akan pastikan dia tak minum lebih dari segelas. Dia tak suka mabuk. Malah dia benci melihat orang mabuk yang bercakap merepek-repek apabila sudah hilang kewarasan. Begitulah perangai daddynya yang sering dia lihat sejak kecil dulu.

Sudah sepuluh minit berlalu. Apabila mulai berasa bosan menunggu Sam menari, Daniel bangun dari duduknya. Dia mahu ke bilik air sebentar.

DANIEL bersegera keluar dari bilik air. Dia mahu kembali ke tempat duduknya tadi. Namun baru beberapa tapak dia melangkah, tiba-tiba tubuhnya dilanggar seseorang. Lekas-lekas Daniel menoleh kepada orang yang telah melanggarnya itu. Baru Daniel perasan perempuan itu merupakan perempuan yang sedang rancak menari yang diperkatakan oleh Sam tadi. Hmmm... Warna kulit seperti minah salih tapi 'potong' sebab bermekap terlalu tebal! Sempat Daniel menilai.

Matahari terus direnung. Empat iris kini bertemu. Daniel mendapati iris mata kepunyaan perempuan yang melanggarnya itu pelik warnanya. Sebelah berwarna kelabu cair manakala sebelah lagi berwarna coklat. Heterochromia?

Tanpa sebarang ucapan maaf, perempuan yang melanggarnya tadi terus pergi.

"Wait!" Daniel memanggil namun panggilannya itu langsung tak dipedulikan. Menonong saja perempuan yang bergelar Matahari itu pergi.

"Kat sini rupanya kau!" Terkejut Daniel apabila bahunya ditepuk agak kuat. Lekas-lekas dia menoleh. Di sisinya berdiri Sam dengan seorang perempuan tak dikenali. Bukan main mesra siap peluk pinggang. Daniel yakin perempuan itu baru saja Sam sambar ketika menari tadi.

"Kata nak tackle Matahari?"

"Peliklah dia tu... Tapi tak apa, aku dah dapat bulan," tutur Sam seraya mencuit dagu perempuan yang sedang dipeluknya itu. Perempuan itu tersengih-sengih sahaja.

"Apa yang pelik?" soal Daniel.

"Aku baru nak say hi, dia terus blah aje macam tu... Dia tengok aku, macam tengok hantu..."

Tergelak besar Daniel mendengar kata-kata Sam itu. "Memang pun kau hantu," sindirnya pula. Sam ketawa saja. Perempuan di sebelahnya pun turut ketawa sama.

"Nampak gaya kau ni macam belum nak balik," kata Daniel lagi seraya mengerling sekilas ke arah perempuan tadi.

"Of course la! Malam masih muda kut! Lagipun esok hari minggu, bro..." Sam mengiakan kata-kata Daniel itu.

"Betul tak baby? Malam ni kita enjoy!" tutur Sam kepada perempuan di sebelahnya.

"Aku gerak dululah kalau macam tu." Daniel berkata. Kemudian dia terus melangkah.

"Wei! Habis aku macam mana?" soal Sam.

"Kau pandai-pandailah balik sendiri..." balas Daniel tanpa menoleh.

"Bilik tu macam mana? Kan kau dah janji nak bagi aku guna malam ni?" Pada perancangan Sam, keseronokan di kelab malam itu mahu disambung ke hotel. Anak kepada pemilik The Stanley's itu mempunyai satu bilik khas bagi kegunaan peribadinya di hotel itu.

Daniel berpaling ke arah Sam. Tanpa soal jawab, Daniel mengeluarkan kunci dari saku seluarnya. Kunci itu kemudian dibaling saja ke arah Sam. Sam lalu menyambutnya dengan riak muka gembira.

"Thank you. Aku memang sayang sangat dengan lu, bro!"

"But no woman!" Daniel berkata. Sekali lagi perempuan yang dipeluk Sam itu dikerlingnya. Bukan dia tak tahu Sam mahu bawa perempuan itu berseronok di dalam biliknya pula.

"Wooo! Tak thrill la macam ni, bro," protes Sam.

"I mean it, Sam! Kalau kau bawa, aku tak akan teragak-agak suruh staf aku halau kau!" Daniel memberi amaran. Sesudah itu dia beredar.

"So, macam mana, sayang?" Perempuan yang dipeluk Sam itu bertanya.

"Macam mana? Cancel la nampaknya..." Sam membalas. Kemudian kunci bilik hotel di tangan diramas-ramasnya beberapa kali, menutup rasa kekecewaan dalam hati. Melepaslah nampaknya niat hendak memanjangkan keseronokan ke hotel.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro