BAB 15
"WEI, kenapa tak cuci gelas-gelas tu?" tegur Tamara kepada Zamin apabila dilihatnya Zamin mengelap saja dua gelas yang terdapat di dalam bilik tetamu itu dengan kain.
"Kau tahu tak dah pukul berapa sekarang ni?" Soalan Tamara dijawab dengan soalan.
Tamara kerling jam di pergelangan tangan. "Pukul satu setengah baru..."
"Tetamu nak check in pukul dua. Bilik ada tiga lagi tak kemas. Karang tak sempat nak siap, kau nak kena maki dengan Eka laksa beras tu?" pertikai Zamin.
Biasanya kerja-kerja mengemas berjalan lancar kecuali pada cuti umum. Hari itu bukan cuti umum pun tetapi 2 orang atendan bilik tiba-tiba pula cuti kecemasan. Kak Timah bercuti sebab anak dia muntah-muntah di sekolah. Terpaksa pula pergi ambil bawa ke klinik. Selvi pula demam. Perkara-perkara sebegini bukan disengajakan. Mahu tak mahu, staf yang ada terpaksalah ambil alih. Ambil alih bermakna banyaklah bilik yang hendak dikemas. Namun apa yang seronoknya, nanti dikira bekerja lebih masa. Bayaran akan diterima berdasarkan jumlah bilik yang ditambah dari sepatutnya.
"Tak apolah... Den poie basuh sokojap. Kojap yo..." Dua gelas yang sudah dilap oleh Zamin tadi, Tamara ambil semula. Tak sampai hatinya membiarkan tetamu minum di dalam gelas yang pada zahirnya bersih tapi hakikatnya kotor. Walaupun tetamu tak tahu, tapi Tuhan tahu.
"Isy, dia ni... Nak basuh juga tuuu... Ketegaq!" Geram Zamin melihat sikap rakan kerjanya yang terlalu naif dan jujur itu. Pada Zamin, adakalanya tak perlu jujur sangat. Kalau nanti sendiri yang dapat susah, buat apa?
"Alaaa... Kojaplah!" Tamara tak pedulikan larangan Zamin. Kedua-dua biji gelas itu mahu dibasuhnya juga. Dengan segera dia bawa gelas-gelas itu ke bilik air. Pada Tamara, gelas-gelas itu bukan nak kena sabun beria-ia. Dapat dibilas dengan air bersih pun sudah mencukupi.
"Lantak hanglah! Aku pergi bilik sebelah. Karang tak habis kemas semua bilik, naya kita," tutur Zamin seraya melangkah keluar dari bilik.
USAI mencuci, Tamara letakkan kembali gelas ke atas dulang yang berada atas meja makan. Kemudian dia bersegera ke pintu lalu menguak pintu bilik. Dia ingin pergi mendapatkan Zamin.
"Selamat tengah hari, Encik Daniel." Tamara mendengar suara Zamin menegur seseorang. Jelas pada pendengarannya nama orang yang ditegur Zamin itu.
"Alamak! Si ceghewet tu, ko?" Tamara tak jadi hendak keluar. Gila nak keluar? Kalau Encik Daniel perasan dia yang telah melanggarnya tempoh hari, tak ke naya?
Tamara tidak pernah bertemu dengan Encik Daniel jadi dia tak tahu bagaimana paras rupa lelaki itu. Pada hari 'kejadian' dulu pun dia tak sempat nak tengok muka lelaki yang dilanggarnya itu. Encik Daniel itu putih atau hitam orangnya, Tamara tak tahu. Meskipun Zamin sering memuji betapa kacaknya lelaki itu, tak pernah pula dia cuba membayangkan paras rupa Encik Daniel selama ini. Apa yang dia tahu, lelaki itu ada karisma, menurut kata Zamin.
Sebenarnya gambar eksekutif itu ada ditampal pada carta organisasi dalam bilik taklimat, tetapi Tamara pandang sepintas lalu saja. Tak kuasa dia beria-ia membeleknya. Ada karisma atau tidak, tetap tak boleh mengalahkan cinta hatinya.
Pelan-pelan Tamara memasang telinga. Dia hendak memastikan eksekutif itu sudah pergi, barulah dia keluar. Kalau tak diberi amaran oleh Cik Eka pun dia tetap akan mengelak daripada bertembung dengan Encik Daniel itu.
"Hek eleh... Sombongnya!" Terdengar lagi suara rungutan Zamin. Kali ini macam marah saja bunyinya. Setelah yakin Encik Daniel sudah pergi, barulah Tamara kuak daun pintu luas-luas. Dilihatnya Zamin masih berdiri di koridor. Tadi beria-ia nak cepat sangat sampai tak sempat nak basuh gelas, kononnya. Lalu Tamara bersegera mendapatkan rakannya itu.
"Woit!" Bahu Zamin dicuit.
"Kata nak pergi kemas bilik sebelah. Ni kenapa tercegat kat sini? Pukul dua, tetamu nak check in!" Tamara pulang paku buah keras.
"Sindir aku lettew..." tutur Zamin. Tamara membuang sengih.
"Eh, kau tahu tak? Encik Daniel baru saja lalu tadi." Zamin memberitahu.
"Tall, dark and handsome, kau! Tapi kat gambar tak nampak handsome sangat," lanjut Zamin. Dia tampak begitu teruja sekali walhal tadi dia kompelin Encik Daniel sombong. Aneh betul Zamin.
"Bukan dia sombong dan garang, ke?" sindir Tamara lagi. Hairan dia dengan sikap Zamin. Dalam pada mengutuk, rupa-rupanya ada hati juga dengan eksekutif itu.
"Alah, kau ni!" Zamin tampar lengan Tamara. Termalu disindir.
"Handsome kut! Kalau dia nak aku, aku tolak tepi aje perangai sombong dia tu," lanjut Zamin kemudiannya.
"Amboi! Pakwe ekau tu, nak dicampak kek mano?" Meskipun Tamara belum pernah bertemu dengan kekasih Zamin itu namun dia tahu Zamin sudah punya pilihan hati kerana Zamin sendiri yang bercerita.
"Aku nak berangan ajelah... Tak boleh ke?" Zamin menggaru kepala yang tak gatal seraya tersengih-sengih.
"Tolong kombali ko alam nyato, Cik Zamin! Kita ni kuli, yo..." tuturnya kemudian dalam loghat bahasa yang bercampur.
"Aku tahulah dia tak akan pandang aku pun." Zamin membalas. Kedengaran nada kecewa di situ.
Kekeke... Mengekek Tamara ketawakan Zamin.
Zamin mencebik bibir. Rasa geram terhadap Encik Daniel yang langsung tak balas tegurannya tadi belum lagi hilang, kini Tamara pula menambahkan lagi rasa geram yang baru. Nak berangan pun tak boleh!
"Dah... Jom poie komeh bilik... Lambek kang, kono ngadap Cik Eka lak. Ekau nak, ko? Cek tak mauuu!" Tamara mengingatkan rakan kerjanya itu.
DI ruang pantri, kelihatan beberapa orang atendan bilik sedang menikmati minuman petang. Waktu itu merupakan waktu mereka berehat sebentar sebelum kembali menyambung tugas.
"Mak long, bila keputusan permohonan bilik VIP tu nak keluar, ya?" soal Mimi, yang merupakan anak saudara kepada Kak Pora. Mimi sudah setahun bekerja di situ.
"Entah... Cik Eka pun tak ada bagi tahu apa-apa..."
"Mak long tanyalah Cik Eka..." Mimi mendesak. Sudah lama dia mengidam hendak mengemas bilik VIP seperti emak saudaranya itu. Pulangan lumayan, siapa tak nak?
"Isy, kau ni... Tak menyempat-nyempat... Kau mesti dapat punyalah..." Penuh yakin Kak Pora menjawab. Dia merupakan pekerja senior di situ. Sudah hampir 5 tahun dia setia dengan The Stanley's.
Takkanlah pihak pengurusan tak boleh pertimbangkan cadangannya mengambil Mimi mengemas bilik VIP bagi menggantikan pekerja yang sudah berhenti.
"Betul ke ni, mak long?" Mimi masih risau.
"Kalau ikut pengalaman kau, insya-Allah boleh dapat. Kau janganlah risau. Mak long akan pastikan kau dapat." Kak Pora memberi jaminan.
"Ada berapa kekosongan, Pora?" Kak Timah kini menyampuk.
"Satu..."
"Patutlah Mimi risau. Rasanya ada saingan juga..."
"Siapa, Kak Timah? Alah... Ni yang tak best nak dengar ni..." Mimi yang tadi sudah sedikit lega kini kembali risau. Kerisauannya itu jelas terukir pada riak muka.
"Kalau nak ikut pengalaman, Zamin lagi lama..." Kak Timah telus memberi pandangan.
"Haahlah, mak long... Zamin kan dah kerja sini dua tahun?" Mimi sudah tarik muka cemberut.
Kak Pora terdiam. Macam mana dia boleh tak teringatkan Zamin? Tapi tak apa... Aku akan guna pengaruh aku melobi Cik Eka...
"Zamin! Zamin!" Tiba-tiba Mimi melaung.
"Apa hal?" Zamin menghampiri. Dia ke pantri hendak minum petang setelah selesai mengemas bilik. Tamara pula ke tandas.
"Kau ada apply tak tawaran mengemas bilik VIP tu?" soal Mimi.
"Eh, tak kuasa aku!" Bukan Zamin tak tahu eksekutif housekeeper mereka itu hampir setiap hari datang memeriksa bilik-bilik VIP. Silap hari bulan nanti hari-hari kena marah dengan dia.
"Betul ke ni?" Mimi buat muka sinis. Sangsi dengan kata-kata Zamin.
"Betullah... Tak ingin aku kena herdik dengan Encik Daniel hari-hari." Zamin membalas.
"Buat kerja cincai-cincai memang patutlah kena. Sebab tu dah dua tahun kerja masih tak naik pangkat," sindir Kak Pora.
Zamin cebir bibir. Geram disindir oleh pekerja senior itu. Memang mulut Kak Pora jenis tak ada insurans. Cakap ikut lepas saja.
"Baguslah, Zamin. Aku ada peluanglah kalau macam tu..." Mimi sudah tak dapat menyembunyikan kegembiraanya.
"Aku tak heran haihhh... Kau nak, hambikkk!" balas Zamin. Sesudah itu dia pergi ke meja di mana terletaknya coffee maker.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro