BAB 11
SUDAH lama Tamara menunggu tapi bas yang ditunggunya tak juga muncul. "Aduiii la! Takkan dah tolopeh, kut?"
Dahi Tamara mula berpeluh. Semua ini gara-gara berbual dengan Zamin tadi, rungut hati kecilnya. Nampaknya terpaksalah dia menapak. Walaupun jarak di antara hotel tempat dia bekerja dengan kondominium yang dia menginap cuma 1 kilometer sahaja tetapi hendak menapak sendirian malam-malam begini agak menyeramkan. Dalam 'hutan batu' lagi banyak hantunya. Hantu kepala hitam lebih berbahaya bagi Tamara.
"Hai, cik adik! Sorang saja? Nak Abang Nabil temankan?" Gegendang telinga Tamara disapa satu suara 'hantu'. Meskipun Tamara kenal suara itu tetapi dia tak kenal empunya suara. Sudah acap kali lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Nabil itu cuba mendekatinya. Pernah juga Nabil mengekorinya dari belakang dengan motosikal semata-mata hendak mengetahui tempat tinggal Tamara. Namun Tamara cerdik, dia sengaja berjalan mengikut arah yang bertentangan dari lokasi kondominium yang dihuninya. Apabila Nabil sudah beredar, barulah dia akan menapak balik ke kondominiumnya semula.
Tamara tak pernah teringin nak layan Nabil berbual. Mustahillah dia nak layan lelaki yang tak dikenali apatah lagi gayanya itu tak mencerminkan lelaki budiman langsung. Lelaki budiman tak menegur sedemikian rupa. Lelaki budiman akan menghormati perempuan dengan tutur kata yang sopan. Ini macam saja nak try aje... Bak kata Zamin.
"Bas dah lepas tadi..." Nabil berkata lagi. Sudah lama dia perhatikan perempuan berwajah Inggeris itu. Inilah peluangnya hendak mendekati.
Tamara langsung tak respons. Jangan kata nak membalas teguran, nak pandang pun Tamara tak ingin. Namun, walaupun dia tak suka, Tamara tak tunjukkan rasa tak sukanya itu terang-terangan. Bahaya! Sudahlah kini mereka berdua saja di perhentian bas itu.
Lelaki tak diundang yang bernama Nabil itu berganjak lalu berdiri di depan Tamara pula. Tamara tersentak sedikit. Namun dia cuba buat-buat berani.
"Malam-malam macam ni, teksi pun payah nak lalu... Jom Abang Nabil hantar balik," pelawa Nabil.
Jantung Tamara sudah mula berdegup kencang. Dia bimbang jika lelaki itu mempunyai niat jahat terhadapnya. Pelan-pelan penyembur cili di dalam poket baju kurungnya dikeluarkan. Sememangnya setiap kali balik malam, Tamara akan letak penyembur cili di dalam poket baju, sebagai langkah perlindungan diri.
"Jomlah! Janganlah jual mahal." Tangan Tamara cuba disentuh. Tamara lekas-lekas mengelak.
"Jangan takutlah... Abang cuma nak hantar balik." Nabil berkata lagi. Cuba memujuk supaya gadis berwajah Inggeris itu mengikutinya.
"Toksah laaa... Kojap laie laki den datang." Helah yang datangnya secara spontan. Mudah-mudahan lelaki itu akan pergi setelah mengetahui dia sudah berkahwin.
Terlopong mulut Nabil. Bukan sekadar tak percaya gadis muda yang sering dia nampak menunggu bas itu sudah berkahwin, tetapi dialek bahasa daerahnya yang pekat itu turut menyumbang kepada keterkejutan Nabil. Langsung tak mencerminkan wajah minah salih perempuan muda itu.
Pin-pin! Kedengaran pula bunyi hon kereta. Tamara dan Nabil lekas-lekas menoleh ke arah kereta yang sudah pun berhenti betul-betul depan mereka. Cermin tingkap kereta perlahan-lahan diturunkan. "Ain! Naiklah..." Pemilik kereta mempelawa. Tanpa bertangguh, Tamara lekas-lekas masuk ke perut kereta milik lelaki yang mempelawa.
Nabil memerhati terpinga-pinga. Dalam cahaya lampu neon itu, masih kelihatan jelas wajah lelaki yang datang menjemput itu. Sama-sama baka mat salih nampaknya. Memang betul suami atau abang? Potong! Baru nak try... Dah ada kesempatan, terlepas pula. Terselit rasa kecewa dalam hati Nabil. Putih bola mata hitamnya memerhati kereta Polo merah meluncur pergi.
"LELAKI tadi kacau Ain?" soal Karl. Dia sebenarnya risaukan keselamatan Ain. Sebab itulah dia tak setuju gadis itu bekerja di hotel yang tak menentu waktu kerja itu.
"Taklah, doktor... Dio cumo tomankan Ain, yo." Ain berdalih. Dia tak mahu nanti doktor muda itu membebel panjang kalau tahu Nabil cuba mengganggunya tadi. Sudahlah doktor itu dari awal lagi tak bersetuju dia bekerja di hotel.
Kening Karl terjungkat tinggi. "Ain kenal dia?" Pic suaranya juga ternaik sedikit.
"Konal gitu-gitu yo. Selalu la nampak dio kat bus stop tu."
"Bahaya, Ain... Dia mungkin perompak atau mungkin juga..."
"Peghogol bersighi?" Bebelan Karl lekas-lekas dipintas.
Karl terdiam. Wajahnya dihala ke depan semula. Ain memang begitu. Selalu mahu berlagak berani atas alasan dia mahu berdikari.
"Doktor toksahlah ghisau... Solain daghipado berdoa kepado Allah, Ain ado bawa sonjato ha. Sekali kono yo, monggolupur punyo." Ain berkata lagi bagi menghilangkan kerisauan hati lelaki itu. Ain tahu Karl terlalu mengambil berat tentangnya.
"Penyembur cili?" soal Karl. Kemudian dia ketawa kecil. Penyembur cili itu dia yang berikan kepada Ain sebagai langkah keselamatan memandangkan waktu kerja Ain yang tak menentu itu. Kadang-kadang siang, kadang-kadang malam.
"Ain... Awak tahu kan, saya ambil berat pasal awak?" Karl berkata lagi. Ain cuma senyap kali ini.
"Ain... Saya tak mahu awak mengalami sebarang kesusahan." Karl melanjut bicara.
"Yo... Ain tau, doktor..." Ain kembali bersuara.
"Boleh tak jangan panggil saya doktor?" Karl rimas dipanggil doktor. Sebelum ini Ain elok saja memanggilnya Karl. Sejak kebelakangan ini saja Ain mula menukar panggilan kepada doktor pula.
"Doktor kan doktor? Kono laaa panggil doktor." Tawa kecilnya dilepaskan. Pelik sungguh doktor muda yang seorang ini. Bukan senang nak dapat gelaran doktor tapi dia tak suka pula digelar sebegitu.
"Orang lain boleh panggil saya doktor tapi bukan Ain. Lagipun kita bukan kat hospital," balas Karl, geram.
Karl baru setahun bertugas sebagai doktor pelatih setelah menamatkan pengajiannya. Bagi Karl, perjalanannya untuk bergelar seorang doktor masih belum sampai ke destinasi. Dia perlu melalui housemanship selama setahun lagi bagi melayakkan dirinya bergelar pegawai perubatan a.k.a doktor. Selain daripada berasa belum layak dipanggil doktor, Karl sebenarnya tak seronok apabila Ain seakan cuba menjarakkan perhubungan mereka dengan panggilan formal itu.
"Laaa... Apo hal lak Ain tak boleh panggil doktor?" Ain persoalkan kata-kata Karl.
"Sebab perhubungan kita bukan perhubungan doktor dan pesakit..." Karl membalas. Mereka berkenalan ketika Karl masih menuntut di universiti. Namun hendak ditakrifkan hubungan mereka sebagai pasangan kekasih pun tak boleh juga kerana Karl tahu, Ain cuma menganggapnya sebagai teman biasa. Usia perkenalan mereka sudah memasuki tahun ketiga namun hendak mendekati Ain begitu payah sekali.
Ain tarik muncung. Tiada sebarang kata-kata keluar dari mulut Ain. Begitulah selalunya apabila Ain tak bersetuju dengan pandangan Karl.
"Okeylah... Dah Ain nak panggil doktor juga, nak buat macam mana? Saya tak boleh paksa..." Buat sekian kalinya, Karl terpaksa beralah lagi. Dia tak seronok kerana apabila Ain sudah mula berdiam, nanti bicaranya cuma sehala.
"Tahu tak pe..." Ain kembali tersenyum.
"Eh, bukan tau takpo, ke?" Karl mengejek apabila gadis muda yang berwajah Inggeris itu tidak bertutur dalam dialek daerahnya yang pekat itu.
"Jahat!" Lengan Karl yang berada pada stereng kereta ditamparnya. Kemudian kedua-duanya ketawa. Keriangan tergambar jelas pada wajah mereka.
"BURUNGLAH kenek-kenek, hinggap di pohon jati, pesanlah datuk nenek, alah! Bangunlah pagi-pagi."
Di tengah malam buta itu kedengaran suara Saerah menyanyi.
"Bangun, boboi. Dah siang, sayang..." Saerah berkata seusai menyanyi. Kemudian dua kelopak matanya dikesat. Seraya itu Saerah tersenyum-senyum sendirian. Rambutnya yang berjuntai di dada, dipintal-pintalnya. Hampir seminit Saerah berkeadaan sedemikian.
"Jangan, tuan! Jangan!" Tiba-tiba saja emosi Saerah bertukar. Kemunculan lelaki binatang itu membuatkannya terjerit-jerit ketakutan.
Seperti malam-malam sebelumnya, jeritan yang datangnya dari bilik menantunya itu Mak Milah sudah lali. Setiap kali Saerah terjerit-jerit ketakutan, dia akan pergi menenteramkan menantunya itu. Jika keadaan Saerah agak kritikal, Mak Milah membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Kemudian nanti Saerah akan kembali lena.
Depan pintu kamar, Mak Milah memerhatikan Saerah yang sedang duduk meringkuk di atas katil. Begitulah keadaan Saerah apabila nanarnya datang. Mak Milah menggelengkan kepalanya seraya menapak ke katil.
"Ingek Allah, Erah... Ingek Allah... Sumo tu mimpi. Buangkan jauh-jauh," pujuk Mak Milah sebaik sahaja duduknya dilabuhkan di sisi menantunya itu.
"Mimpi?" Dalam terpisat-pisat itu, Saerah bersuara.
"Yo... Mimpi jo, Erah. Cubo Erah pandang boto-boto... Erah kek dalam bilik Erah, kan? Dopan Erah ni... Mak, kan?"
Saerah tak bersuara kali ini. Sekelilingnya dipandang dalam takut-takut. "Mimpi ya, mak?" soalnya seolah-olah mahu mencari kepastian bahawa dia benar-benar bermimpi sebentar tadi.
"Yo... Kau cumo mimpi. Sokaghang, tidur balik yo... Baco doa tidur, insya-Allah lopeh ni tak mimpi dah."
Bagaikan anak kecil, Saerah menurut. Doa tidur dibacanya. Anehnya Saerah masih mampu membaca doa itu dengan lancar tanpa ada salah pun. Sesudah itu, dia kembali berbaring.
"Mak!" Mak Milah tak jadi keluar apabila menantunya memanggil.
"Huda dah tidur, mak? Esok dia nak sekolah. Kalau lambat tidur, susahlah nak bangun pagi esok."
"Dah... Mak dah suruh dia tidur tadi lagi. Ekau tu ha yang patut tidur."
Saerah menarik selimut. "Mak, nanti mak keluar, jangan tutup lampu."
"Iyolah..."
Apabila melihat Saerah memejam mata, Mak Milah menggeleng kepala. Kisah yang sudah berpuluh tahun berlalu seolah-olah baru sehari berlalu dalam ingatan menantunya itu. Pada Saerah, Huda masih bersekolah walhal Huda sudah pun berusia 30 tahun.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro