Bab 47
DAMIA terjaga daripada tidur tatkala jam tepat menunjukkan ke pukul 3 pagi. Perlahan-lahan Damia bangun daripada pembaringan. Redza yang masih nyenyak tidur itu dipandang sekilas. Tekaknya terasa kering, haus. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari bilik menuju ke arah dapur di tingkat bawah.
Lampu yang dibuka di luar rumah membuatkan keadaan di dapur kelihatan malap. Sengaja dia tak buka lampu dapur kerana niatnya mahu minum sekejap sahaja di dapur. Peti ais ditujunya seraya dia mengeluarkan botol air sejuk. Cawan dicapai lalu dituang air ke dalamnya. Seketika telinganya menangkap bunyi derapan tapak kaki di ruang tamu. Siapa lagi yang bangun tengah-tengah pagi ni? Dalam rumah ni ada dia dan Redza aje.
Damia melangkah keluar daripada dapur dengan penuh berhati-hati.
"Abang?"
Senyap. Pandangan Damia agak terbatas bila mana keadaan di ruang itu begitu malap. Cahaya lampu dari luar rumah tidak membantu Damia untuk melihat dengan lebih jelas manusia yang ada di ruang tamu itu. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah dinding, mahu memetik suis lampu.
Kaki Damia berhenti melangkah tatkala telinganya mendengar bunyi sesuatu jatuh. Sebiji bola golf berwarna putih bergolek ke kakinya. Dahi Damia berlapis-lapis sebelum dia membongkok mencapai bola golf tersebut. Kalau tak silap, ni bola golf milik Redza. Sengaja Redza letakkan bola kecil itu di dalam bekas kaca sebagai hiasan. Tapi macam mana bola golf ni boleh jatuh bergolek dari tempatnya? Jantung Damia sudah berdetak tidak teratur. Bermacam-macam perkara mula menyinggah di fikirannya. Manusia atau entiti?
"Astaghfirullahalazim!" kaki Damia terundur beberapa langkah ke belakang apabila ada susuk tubuh berpakaian serba hitam sedang berdiri pada sliding door. Puas matanya menilik gerangan manusia itu. Redza ke? Tapi kenapa Redza pakai baju serba hitam pulak waktu-waktu macam ni? Tadi elok aje tidur dalam bilik. Siap berdengkur lagi.
"Kau siapa?" soal Damia, terketar-ketar. Lelaki itu menoleh lalu mula menapak mendekati Damia dan Damia pula berundur ke belakang. Tiada suara yang kedengaran cuba derap langkah lelaki itu. Bola golf dalam genggamannya itu dipegang erat.
"Aku tanya kau siapa? Jangan dekat dengan aku!" Damia kawal nada suara.
Terperangkap. Peluh sudah merenik di dahi bila belakang tubuh Damia sudah bertemu dengan meja makan. Sudah tidak ada ruang untuk dia melarikan diri. Kalau dia ke kanan, lelaki itu pasti dapat menangkapnya. Kalau dia ke kiri, pun begitu juga. Mahu buka lampu tapi suis jauh untuk digapainya.
"Jangan... dekat dengan aku. Kau siapa? Kau nak apa? Macam mana kau boleh masuk dalam rumah aku?" terketar-ketar suara Damia sambil dia sudah melorot jatuh bersandar pada kaki meja. Terus lelaki tersebut duduk mencangkung di hadapan Damia. Diam lelaki itu merenung Damia di sebalik topeng muka yang menyembunyikan wajahnya. Damia mahu menjerit memanggil Redza di tingkat atas tetapi suaranya seakan-akan tersekat di kerongkongan. Sudahnya dia menangis di situ.
Abang, tolong saya!
"Aku rindu kau, Damia..." suara lelaki itu kedengaran disebalik topeng yang menutupi mukanya.
"Kau... siapa..."
"Kau milik aku, Damia..." lelaki itu tidak menjawab soalan Damia. Damia diam tak membalas. Cuba meneliti gerangan manusia yang bersembunyi di sebalik topeng wajah. Dari bentuk badan, dia tahu siapa lelaki itu. Dan suara lelaki itu... sah! Memang dia.
"Ziyyad?"
Ziyyad gelak.
"Awak boleh cam saya, Damia?" soal Ziyyad. Panggilan aku-kau yang digunakannya tadi dah bertukar. Damia kancing gigi. Sudah la sekarang ni dia tak bertudung dan rambutnya kini menjadi tatapan percuma untuk Ziyyad. Nafas Damia turun naik menahan rasa marah dan takut.
"Kau buat apa dekat sini, Ziyyad? Ini rumah aku!" Damia mengawal suara. Ikutkan mahu sahaja ditengkingnya Ziyyad sekarang juga. Damia menarik lututnya ke dada. Seboleh-bolehnya dia tak mahu berada dekat Ziyyad sekarang ini.
"Saya dah tak ada cara lain, Damia. Saya... saya betul-betul rindukan awak." Luah Ziyyad, lirih. Damia mendengus.
"Kau gila. Kau betul-betul gila, Ziyyad. Kau kena sedar yang aku dah kahwin. Aku ni isteri orang!" Damia membalas. Ziyyad diam lalu tertawa kecil. Buat seketika tawanya tadi berganti pula dengan satu tangisan kecil.
Okey, ini seram. Tengah-tengah malam buta macam ni Ziyyad tiba-tiba menangis.
"Awak tahu tak betapa terseksanya saya? Hari-hari saya rindukan awak. Hari-hari saya ingat dekat awak, Damia. Saya betul-betul tak boleh hidup tanpa awak. Saya perlukan awak, Damia." Bergetar suara Ziyyad di sebalik topeng muka yang dipakainya. Kepala Damia dah tergeleng-geleng.
"Kau betul-betul dah gila, Ziyyad. Aku takkan balik dengan kau. Aku dah kahwin, aku dah bersuami."
Mata Ziyyad tajam memandang ke arah Damia. Terus tanpa amaran, dagu Damia dicengkamnya kasar. Damia sudah takut-takut bila Ziyyad mula berkasar begitu. Bermacam-macam andaian bermain di dalam kepala. Sudah lah Redza berada di atas. Dia tak rasa Redza akan terjaga sekarang ini.
"Aku akan pastikan jantan tu ceraikan kau!"
"Kau gila!"
"Memang! Sebab aku gila kan kau, Damia! Kau buat aku jadi macam ni. Kau dengan mama aku... yang buat aku jadi segila ni!" kasar Ziyyad menekan kasar kedua-dua belah pipi Damia sehingga mulut Damia termuncung sedikit. Damia meronta sakit. Tangan Ziyyad dipukulnya kasar sehingga cengkaman itu terlepas.
Mata Damia sudah berkaca-kaca sebelum ada air mata menitis di pipinya. Ziyyad telan liur. Tiba-tiba sahaja dia rasa bersalah bila wanita kesayangannya itu menangis. Ziyyad cuba untuk menyentuh Damia tapi cepat sahaja ditepis kasar.
"Mia... maafkan saya. Saya... saya tak bermaksud nak buat awak menangis. Saya..."
"Sayang?"
Belum sempat Ziyyad habiskan ayat, suara Redza sudah kedengaran daripada anak tangga. Laju Ziyyad bangun lalu berlari keluar melalui pintu sliding door yang sedikit terbuka. Nafas Damia sudah agak teratur bila Redza muncul dan Ziyyad sudah melarikan diri. Melihatkan seperti ada figura yang berlari keluar dari pintu rumahnya, laju sahaja Redza memetik suis. Tak sampai sesaat ruang bawah yang tadinya malap sudah terang benderang.
"Sayang?!" laju Redza berlari mendapatkan Damia yang sedang duduk bersandar memeluk lutut pada kaki meja makan.
"Awak okey tak ni?" soal Redza, cemas. Air mata Damia makin galak berjuraian keluar bila Redza menyoalnya begitu. Tubuhnya yang sedikit menggeletar ditarik ke dalam pelukan lelaki itu. Damia diam tidak membalas cuma esakannya saja kedengaran.
"Shhh. Okey, relaks. Abang ada dekat sini. Awak selamat sekarang," Redza cuba menenangkan Damia di dalam pelukannya. Belakang tubuh Damia digosoknya perlahan sambil sesekali rambut panjang Damia dibelai.
Siapa yang masuk ke dalam rumahnya tadi? Perompak ke? Kalau perompak, kenapa rumah tak bersepah? Tak ada kesan yang orang itu mahu mencuri pun. Redza buang pandang ke arah pintu sliding yang sedikit terbuka. Macam mana orang tu boleh masuk melalui pintu sliding tu? Tak berkunci ke? Tak, dia ingat lagi yang dia kunci pintu tersebut sebelum masuk tidur.
Dan, siapa lelaki tu?
*****
"KAMU dari mana aje Ziyyad?"
Kus semangat!
Ziyyad memandang Puan Rafidah yang tiba-tiba sahaja melangkah keluar daripada biliknya. Berkerut dahi Puan Rafidah memandang anak lelakinya yang baru sahaja pulang tatkala jarum jam sudah menghampiri ke pukul lima pagi.
"Tak pergi mana-mana." Jawab Ziyyad, mendatar.
"Jangan nak tipu mama. Kamu keluar pergi mana Ziyyad dengan pakaian serba hitam macam tu? Balik pulak nak dekat subuh." Puan Rafidah menghampiri anak lelakinya itu. Ziyyad diam dulu.
"Bukan urusan mama. Ziyyad lelaki, ikut suka hati Ziyyad lah nak pergi mana pun." Ziyyad merengus. Tangan Puan Rafidah merampas kasar sarung topeng di dalam pegangan Ziyyad. Dibeleknya dengan wajah penuh pertanyaan.
"Kamu pergi pecah masuk rumah orang ke? Kamu dah pandai merompak?!"
"Eh, mama! Jangan nak tuduh Ziyyad buat benda tak elok boleh tak?!"
"Habis tu, topeng ni apa? Kamu keluar pergi mana dengan topeng macam ni? Baju serba hitam macam baru lepas merompak aje. Bagitahu mama, Ziyyad!" lengan Ziyyad dicengkam kasar. Ziyyad merengus kasar.
"Ziyyad pergi rumah Damia. Ziyyad nak jumpa Damia. Puas hati mama?!"
"Apa? Ziyyad pergi rumah dia lewat-lewat macam ni? Ziyyad dah gila ke apa?"
"Ziyyad dah bagitahu mama kan? Ziyyad memang gila. Gilakan Damia. Selagi Damia tak jadi milik Ziyyad, selagi tu lah Ziyyad akan kejar dia ke mana sahaja dia pergi. Damia milik Ziyyad seorang."
Bibir Puan Rafidah bergetar. Sarung topeng di tangannya dilempar kasar ke wajah Ziyyad. Terteleng wajah Ziyyad ke tepi.
"Ini bukan anak mama yang mama kenal! Anak mama tak segila ni, Ahmad Ziyyad! Berapa kali mama kena ulang benda yang sama? Lupakan Damia. Dia bukan perempuan yang sesuai untuk Ziyyad!"
Ziyyad ketap bibir. Bahu Puan Rafidah dicengkam sedikit kasar sehingga mata Puan Rafidah membuntang. Sungguh dia terkejut dengan kelakukan Ziyyad padanya sekarang. Ziyyad tak pernah berkasar begini dengannya.
"Habis, perempuan mana yang sesuai dengan Ziyyad? Jasmin? Disebabkan mama jugak lah Ziyyad dengan Jasmin bercerai. Kalau mama tak push Jasmin soal anak, Jasmin takkan mintak cerai dengan Ziyyad. Mama sedar tak, semuanya salah mama? Disebabkan perangai mama, dendam mama yang tak berkesudahan tu... mama hancurkan hidup anak mama ni perlahan-lahan. Mama... mama tak kesian kan Ziyyad ke?
Dari Ziyyad kecil sampai lah Ziyyad besar, mama kongkong hidup Ziyyad. Mama paksa Ziyyad untuk ikut semua kehendak mama. Mama langsung tak fikirkan perasaan Ziyyad. Ziyyad anak mama, sepatutnya mama buat yang terbaik untuk Ziyyad. Mama terima keputusan Ziyyad untuk Ziyyad bahagia. Tapi apa yang mama dah buat? Mama hancurkan masa depan Ziyyad. Hidup Ziyyad..." air mata Ziyyad dah menitis. Dadanya terasa sempit dan ketat. Pegangan di bahu Puan Rafidah perlahan-lahan dilepaskan.
Puan Rafidah terdiam. Ini pertama kali dia mendengar luahan lirih anak tunggalnya. Ziyyad menangis.
"Kalau mama boleh terima Damia, pasti Ziyyad dah bahagia. Pasti Ziyyad dah ada anak. Disebabkan dendam mama dengan Mak cik Nisah, mama hancurkan rumah tangga anak mama sendiri. Lepastu, mama nak Ziyyad kahwin dengan Jasmin. Okey, fine. Ziyyad kahwin dengan Jasmin. Tapi hanya disebabkan Jasmin tak mengandung, mama asyik bagi dia stress. Hari-hari cakap pasal anak, cucu, zuriat. Jasmin mandul, mama. Dia bukan tak nak anak, dia cuma tak boleh.
Tengok apa jadi dengan rumah tangga Ziyyad dan Jasmin? Musnah. Ziyyad jadi duda untuk kali kedua. Mama seronok ke tengok Ziyyad jadi macam ni? Seronok ke, mama?!" sambung Ziyyad. Kakinya sudah lembik untuk menampung tubuh. Perlahan-lahan dia jatuh terduduk di lantai.
Air mata Puan Rafidah sudah mengalir keluar seiring dengan tangisan si anak tunggal. Esakan Ziyyad kedengaran di pagi subuh itu.
"Ziyyad... maafkan mama."
"Maaf mama dah tak valid lagi. Semuanya dah terjadi. Tak ada guna kalau mama nak menyesal. Tak ada guna kalau mama merayu minta maaf macam ni. Ziyyad kecewa, ma. Ziyyad tertekan dengan hidup Ziyyad. Kenapa Ziyyad tak boleh nak bahagia macam orang lain?" lirih balasan Ziyyad sambil mata menekur lantai.
Perlahan-lahan Puan Rafidah duduk melutut di hadapan Ziyyad. Wajah Ziyyad diampunya dengan tangan. Mata anak tunggalnya itu direnung dalam-dalam.
"Mama minta maaf sebab mama dah buat hidup anak mama macam ni. Mama sedar yang mama terlalu ikutkan perasaan dendam mama tapi percaya lah sayang... mama buat semua tu untuk kita."
"Untuk kita? Tak, untuk mama seorang aje. Dendam tu disebabkan ego mama yang tak nak maafkan dia orang. Mama terlampau pentingkan diri sendiri."
"Ziyyad... tolong lah jangan buat mama macam ni..."
Ziyyad tolak tangan Puan Rafidah di wajahnya. Tangannya naik mengesat kasar wajah yang sudah basah dengan air mata. Heh, tak pasal-pasal dia menangis. Disebabkan sekeping hatinya yang sudah begitu rapuh, apa yang selama ini terpendam di dalam hatinya terluah juga. Perlahan-lahan Ziyyad bangun dari duduk.
"Ziyyad penat. Jangan ganggu Ziyyad."
Dengan mata yang berlinang air mata, Puan Rafidah memandang sayu langkah longlai anak lelakinya ke kamar tidur. Tangan naik menyentuh dada, ditepuknya perlahan berkali-kali. Ziyyad, anak mama...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro