Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 46

SEKEPING gambar Damia ditenungnya lama. Sesekali bibirnya menguntum satu senyuman. Sungguh dia rindukan Damia. Sungguh betapa dia mahukan Damia di sisinya saat ini. Dia mahu mereka bersama seperti dulu. Seperti lima tahun lepas.

Damia... maafkan saya.

Damia... tak kan tak ada peluang lagi untuk saya?

Damia... kenapa?

   "Ziyyad!"

Bahu Ziyyad terhinjut. Terus dia angkat wajah memandang Puan Rafidah yang sudah bercekak pinggang di hadapan. Ziyyad pandang wanita itu sekilas sebelum matanya kembali tertancap pada sekeping foto di tangan.

   "Eh, kenapa Ziyyad ni semakin hari semakin kurang ajar dengan mama? Dah tak reti nak hormatkan mama lagi ya?" soal Puan Rafidah, berang. Ziyyad mengeluh bosan.

   "Mama nak apa lagi daripada Ziyyad?"

   "Buang gambar tu, Ziyyad! Mama tak nak tengok Ziyyad simpan gambar perempuan tu lagi!" jari telunjuk Puan Rafidah dah menunding ke arah sekeping foto di tangan anak lelaki tunggalnya itu. Panas hatinya bila tengok Ziyyad asyik merenung wajah Damia di dalam foto. Berapi!

   "Tak. Mama tak ada hak nak suruh Ziyyad buang gambar Damia!" Ziyyad melawan. Mamanya itu dijeling.

   "Eh, kenapa dengan Ziyyad ni hah? Dah berani bangkang cakap mama! Mama cakap buang, buang aje lah. Tak payah nak simpan gambar perempuan tu lagi. Dia tu dah kahwin, dah ada suami dah pun!" suara Puan Rafidah dah naik seoktaf.

Ziyyad ketap bibir. Matanya sudah tajam memandang ke arah Puan Rafidah. Terus dia bangun dari duduk, berdiri menghadap wanita itu.

   "Sebab mama lah dia kahwin lain!"

   "Eh, kenapa pulak? Dah jodoh kau orang tak panjang, nak buat macam mana? Lagipun, Damia tu bukan perempuan baik. Dia tu selama ni berselindung aje di sebalik tudung dan muka polos dia tu. Jangan termakan lah dengan penipuan dia tu, Ziyyad! Buka mata tu luas-luas. Sedar!"

Ziyyad genggam buku lima.

   "Kalau bukan sebab mama, kita orang tak bercerai lah! Mama punca semuanya!"

   "Ziyyad nak salahkan mama lah? Eh, ingat sikit Ziyyad. Kalau Ziyyad tak melayan si Jasmin tu sangat, Ziyyad takkan berpisah dengan Damia. Cuba ingat balik, Ziyyad yang buang dia. Mama cuma berdiri belakang Ziyyad aje. Dah Ziyyad sendiri yang jatuhkan talak atas Damia, mama nak buat apa lagi? Terima je lah." Menjeling Puan Rafidah memandang anak lelakinya itu. Sedaya upaya dia cuba memenangkan dirinya sendiri.

   "Mama sepatutnya layan Damia baik-baik masa dia jadi isteri Ziyyad dulu. Mama tak patut bencikan dia. Kalau mama layan dia elok, mungkin sekarang ni Ziyyad dah bahagia dengan Damia. Ziyyad dah ada anak, mama." Kolam mata Ziyyad dah bergenang air mata. Puan Rafidah mendengus.

   "Sudah lah, Ziyyad. Benda dah jadi lima tahun lepas. Buat apa nak diungkit lagi? Move on lah! Ramai lagi perempuan yang lebih cantik, lebih baik daripada Damia tu."

   "Tapi dia orang semua tak sama macam Damia, mama! Ziyyad cuma nak Damia seorang aje!"

Puan Rafidah gelak sinis.

   "Agaknya betul lah firasat mama sebelum ni. Si Damia tu dah bomohkan Ziyyad sampai Ziyyad jadi tak betul macam ni. Perempuan tu memang melampau! Dia guna cara kotor pulak nak kasi Ziyyad berubah jadi macam sekarang. Dah berani melawan cakap mama, tengking mama." Dada Puan Rafidah dah berombak kasar.

   "Bomoh? Apa yang mama merepek ni? Mana ada Damia bomohkan Ziyyad!"

   "Habis tu, yang Ziyyad meroyan nakkan Damia tu balik kenapa? Sedar lah, dia tu dah kahwin. Dah bahagia dengan suami baru dia tu! Ziyyad pulak yang sengsara dah kenapa? Sepatutnya perempuan tu yang sengsara, bukan Ziyyad!"

Ziyyad diam dulu.

   "Suka hati mama lah nak cakap apa pun. Ziyyad tetap nak kan Damia. Damia milik Ziyyad seorang. Ziyyad akan buat apa saja janji Damia jadi milik Ziyyad balik." Kata-kata Ziyyad penuh tekad. Puan Rafidah terus saja menolak kasar bahu anak lelakinya itu. Mukanya sudah merah menahan marah.

   "Kamu ni dah gila ke, Ziyyad?!"

   "Ya, memang! Memang Ziyyad gila! Ziyyad gilakan Damia!"

   "Ahmad Ziyyad!"

   "Mama tak boleh halang Ziyyad. Kalau mama halang Ziyyad, mama akan hilang satu-satunya anak mama sampai bila-bila." Terus Ziyyad angkat kaki beredar daripada situ meninggalkan Puan Rafidah. Tangan Puan Rafidah naik menyentuh dada, ditepuknya perlahan beberapa kali. Dadanya terasa sempit, nafasnya sesak.

Ziyyad, kenapa kamu berubah sampai macam ni sekali?

*****

"DAMIA! DAMIA!"

Puan Anisah yang sedang melipat kain di ruang tamu berkerut dahi. Bunyi suara manusia memanggil-manggil Damia kedengaran di luar. Lantas Puan Anisah bergerak ke arah pintu lalu dibuka. Dahi Puan Anisah dah berlapis-lapis melihatkan Ziyyad yang berdiri di luar rumah.

   "Ziyyad?"

   "Mak, Damia ada?"

   "Tak ada. Dia kan tinggal dengan suami dia. Kenapa cari Damia?"

Ziyyad berlari mendapatkan Puan Anisah. Tangan tua itu ditarik lalu dicium beberapa kali.

   "Mak, saya minta maaf. Saya minta maaf sebab saya dah lukakan hati Damia. Saya mengaku yang saya jahat sangat dulu sebab dah kecewakan Damia. Saya dah sia-siakan dia dulu. Tapi sekarang saya dah sedar dan saya dah menyesal, mak. Saya masih cintakan Damia. Saya nak dia jadi milik saya balik, mak. Tolong saya..." tutur Ziyyad sambil memegang erat tangan tua itu. Puan Anisah mengeluh.

   "Kamu tak boleh macam ni, Ziyyad. Damia tu dah kahwin. Dia dah ada kehidupan dia sendiri. Tak ada guna kalau kamu terus terkejar-kejarkan Damia lagi. Teruskan hidup kamu, Ziyyad. Kamu masih muda," lembut tutur kata Puan Anisah cuba menenangkan hati Ziyyad. Ziyyad menangis kecil.

   "Saya tak boleh hidup tanpa Damia, mak... Tolong lah saya..." esakan kecil Ziyyad mula kedengaran.

   "Mak mintak maaf, Ziyyad. Mak tak boleh tolong kamu. Damia dah bersuami."

   "Suruh suami dia ceraikan dia, mak!"

   "Astaghfirullahalazim, Ziyyad. Berdosa runtuhkan rumah tangga orang!"

Ziyyad lepaskan tangan Puan Anisah. Mundar-mandir dia di hadapan orang tua itu sambil menarik-narik kasar rambutnya yang sudah agak panjang hingga hampir mencecah bahu. Sesekali dia menarik air hingus.

   "Damia mesti jadi milik saya semula, mak. Tak ada orang yang boleh rampas dia daripada saya!"

Puan Anisah hela nafas panjang.

   "Kalau dari dulu lagi kamu berusaha mempertahankan rumah tangga kamu, pasti kamu masih ada peluang Ziyyad. Tapi sekarang, kamu tak boleh buat macam ni. Damia dah bersuami. Dia tak mungkin kembali pada kamu." Pujuk Puan Anisah. Kesian pula dia lihat keadaan Ziyyad yang sekarang ini. Sangat tidak terurus!

Mendengarkan kata-kata Puan Anisah, laju sahaja Ziyyad berlari mendapatkan Puan Anisah. Kedua-dua belah bahu wanita tua itu dicengkam sehingga Puan Anisah berdecit sakit. Tubuh Puan Anisah digoncangnya beberapa kali.

   "Aku nak Damia! Kau faham tak?!"

   "Zi... Ziyyad. Bawak bertenang, nak. Mengucap..."

   "Ah! Tak guna!" terus tak berfikir panjang, tubuh Puan Anisah ditolaknya ke dinding. Melorot jatuh Puan Anisah sambil tangan terketar-ketar naik memegang tepi dahinya. Darah! Dengan pandangan yang berbalam-balam, Puan Anisah lihat Ziyyad sudah seperti tidak tentu arah.

   "Ziyyad..."

   "Tak, tak. Aku tak buat kau!"

Mata Puan Anisah terpejam rapat. Melihatkan orang tua itu sudah tak sedarkan diri, Ziyyad mencengkam rambutnya.

   "Aku tak tolak dia! Aku tak tolak dia!"

   "Oi, kau buat apa tu?!" mendengar jeritan dari jiran tertangga, laju sahaja Ziyyad melarikan diri. Dia takut tertangkap. Dia takut dituduh membunuh sedangkan dia tak ada niat untuk menolak orang tua itu.

Tak, bukan aku yang buat! Aku tak sengaja!

*****

BALIK sahaja daripada Bali, Damia sudah menerima berita yang sungguh tak sedap didengar. Puan Anisah pengsan dan luka di tepi dahi. Kata jiran sekampungnya iaitu Pak cik Halim, emaknya itu ditemui tidak sedarkan diri selepas berlaku pergelutan dengan seorang lelaki. Menurut Pak cik Halim, lelaki itu adalah bekas suaminya. Ziyyad.

   "Mak!" Damia berlari masuk ke dalam rumah.

Puan Anisah yang sedang duduk di atas kerusi diterpanya. Tubuh Puan Anisah dipeluk erat. Seketika, Damia melepaskan pelukan. Kedua-dua belah pipi emaknya itu dipegang sambil dia membelek-belek tubuh tua itu. Tangannya naik menyentuh balutan di tepi dahi Puan Anisah.

   "Mak okey?" soal Damia.

   "Mak okey. Sikit je ni." Jawab Puan Anisah.

   "Sikit mak cakap? Pak cik Halim cakap mak pengsan. Bagitahu Mia, Ziyyad buat apa lagi dekat mak?" desak Damia. Terasa mendidih darahnya bila mengingatkan Ziyyad lah punca emaknya pengsan dan luka di tepi dahi. Puan Anisah capai tangan Damia lalu ditepuk perlahan.

   "Dia tak buat apa pun. Mungkin dia tak sengaja tertolak mak,"

   "Tak sengaja? Mak, macam mana dia boleh tak sengaja pulak? Lain lah kalau dia tu gila! Mia kena jumpa dia, Mia tak boleh tahan lagi dengan perangai dia tu." Nafas Damia turun naik. Redza yang baru muncul segera mengambil tempat di sebelah kiri Damia. Melihatkan wajah tegang Damia, tahu lah dia bahawa isterinya itu sedang marahkan sesuatu.

   "Tak payah la, Mia. Biarkan dia."

   "Lepas dia dah buat mak pengsan, lepastu luka macam ni. Mak nak suruh Mia lepaskan dia macam tu aje? Tak, Mia takkan berdiam diri."

Redza mengusap perlahan belakang tubuh Damia. Sedar dirinya sudah meninggikan suara, Damia pantas beristighfar perlahan. Puan Anisah hela nafas panjang. Pipi anak perempuannya itu diusap.

   "Mak okey, Damia. Mungkin emosi Ziyyad tak stabil, sebab tu dia tertolak mak. Mak tak salahkan Ziyyad..."

   "Mak jangan jadi baik boleh tak? Dari dulu sampai sekarang, mak asyik bagi muka aje dekat Ziyyad dengan mak dia tu. Mak langsung tak melawan dia orang. Mia benci bila Mia jadi baik dekat depan dia orang tapi Mia lagi benci bila dia orang pijak kepala mak." Damia ketap bibir. Rasa nak menangis. Puan Anisah diam, tak membalas. Matanya sahaja merenung jauh ke dalam anak

   "Mia nak pergi jumpa Ziyyad." Putus Damia, bertekad.

   "Mia, tak payah lah..."

   "Mia tetap dengan pendirian Mia. Mia nak jumpa Ziyyad."

Redza hela nafas berat.

   "Biar abang ikut awak." Redza mencelah. Damia raup wajah. Dia boleh terima kalau Ziyyad menyakitinya, tapi bila Ziyyad dah sentuh emaknya... dia takkan berdiam diri. Ziyyad tak boleh diberi muka.

*****

SAMPAI sahaja di rumah Puan Rafidah, Damia dah melaung memanggil nama Ziyyad. Terkejut dengan kehadiran Damia, cepat-cepat Puan Rafidah melangkah keluar. Riak wajah tak usah dicakap lah. Kalau dengan Damia, dia memang tak reti nak tunjuk muka manis. Senyum lagi lah tak.

   "Eh, tak malu ke datang terpekik terlolong dekat rumah orang?" marah Puan Rafidah. Damia pandang Puan Rafidah dengan pandangan yang tajam.

   "Tak payah nak cakap dekat saya macam tu lah, mak cik. Mak cik pun datang rumah saya tempoh hari terpekik terlolong macam orang tak beradab jugak." Sindir Damia, geram. Puan Rafidah tahan rasa. Geram rasanya dengan perangai Damia yang baginya begitu biadap. Tak reti nak hormat orang tua!

   "Kau buat apa datang sini?"

   "Saya nak jumpa Ziyyad!"

   "Ziyyad takde. Buat apa kau nak jumpa dengan anak aku? Nak merayu supaya anak aku balik dekat kau ke?"

Damia gelak sinis.

   "Mak cik ingat anak lelaki mak cik tu anak raja ke sampai saya nak terkejar-kejar? Lagipun, suami saya sekarang sejuta kali lebih baik dari anak mak cik yang gila tu lah." Balas Damia. Mencerlung tajam Puan Rafidah pandang Damia yang sesuka hati melabel anak lelakinya itu gila.

   "Anak aku tak gila. Kau tu yang gila!"

   "Kalau dia tak gila dia takkan tolak mak saya sampai pengsan lah, mak cik! Mana Ziyyad? Saya nak jumpa Ziyyad sekarang jugak." Tak berfikir panjang, Damia berura-ura mahu menceroboh masuk ke dalam rumah itu sebelum tangan Puan Rafidah laju menahan Damia. Tubuh Damia ditolak kasar.

   "Kau ni memang tak beradab kan? Ikut suka hati kau aje nak masuk dalam rumah aku."

   "Saya nak jumpa Ziyyad!"

   "Aku dah kata kan, Ziyyad takde dekat rumah. Kau pekak ke apa?!" jerit Puan Rafidah bagai nak tercabut anak tekak. Redza yang sedari tadi lebih banyak melihat segera mendapatkan isterinya itu. Lengan Damia dipegang perlahan.

   "Sayang, Ziyyad takde dekat rumah. Kita datang lain kali, ya?" pujuk Redza. Mata Damia dah berkaca-kaca.

   "Tak nak! Saya nak jumpa Ziyyad jugak."

   "Dia kan takde dekat sini. Nanti..."

   "Damia?"

Terus beberapa pasang mata menoleh ke arah empunya suara yang mencelah di antara mereka. Ziyyad yang sedang berdiri tidak jauh dari situ dipandang. Lihat sahaja muka Ziyyad, hati Damia kembali membengkak. Terus dia berlari mendapatkan Ziyyad dan sekelip mata sahaja wajah Ziyyad sudah terteleng ke kanan dek ditampar Damia. Masing-masing terpaku, terdiam.

   "Hei, perempuan! Berani kau tampar anak aku?!" Puan Rafidah mendapatkan Ziyyad. Tubuh anak lelakinya itu dipeluk dari tepi.

   "Lebih daripada ni pun saya berani buat lah, mak cik." Dada Damia sudah turun naik menahan rasa marah. Ziyyad pegang perlahan pipinya yang ditampar Damia sambil matanya tunak memandang wajah wanita kesayangannya itu. Wajah Damia dah merah dan tegang. Liur ditelan kasar.

   "Damia. Kenapa?" soal Ziyyad, perlahan.

   "Kenapa? Kau tanya aku, kenapa? Kau buat apa dekat mak aku?! Kau tolak dia sampai dia pengsan. Sampai dahi dia berdarah... kau... kau buat apa?!" Damia menyoal sambil mengenggam buku limanya.

Ziyyad diam.

   "Damia. Awak dah salah faham..."

   "Salah faham?! Ada orang nampak kau tolak mak aku! Kau nak apa sebenarnya daripada aku, Ziyyad?"

   "Damia. Saya minta maaf. Saya... saya tak sengaja..."

Damia pejam mata. Kepalanya dah mula terasa berpusing-pusing. Melihatkan Damia yang terasa sudah mahu tumbang, laju sahaja Redza memegang kedua belah bahu Damia daripada belakang.

   "Damia, are you okay?" Redza menyoal. Damia mengangguk lemah. Tangan memegang lengan Redza sambil matanya kembali memandang ke arah Ziyyad.

   "Aku takkan lepaskan kau kalau kau cuba sentuh mak aku atau keluarga aku, Ziyyad. Aku... aku benci kau. Tolong... jangan ganggu aku lagi." Damia kancing gigi. Usai menuturkan ayat itu, Damia beredar dari situ. Redza jeling Ziyyad dan Puan Rafidah sebelum segera mendapatkan Damia. Pintu kereta dibukanya buat Damia. Tak sampai seminit, pacuan empat roda milik Redza dah berlalu meninggalkan perkarangan rumah.

Ziyyad raup wajah.

   "Ziyyad, apa sebenarnya yang Ziyyad dah buat?! Betul ke Ziyyad dah tolak mak dia sampai pengsan?" Puan Rafidah mencengkam lengan Ziyyad. Perlahan-lahan Ziyyad merentap tangannya dari pegangan mamanya itu.

   "Ziyyad tak sengaja lah, mama!"

   "Tak sengaja? Kenapa Ziyyad pergi jumpa mak dia tu?!"

Ziyyad mendengus kasar.

   "Mama jangan masuk campur urusan Ziyyad boleh tak? Semak lah!" terus Ziyyad berlari masuk ke dalam rumah. Dia sudah cukup serabut. Pertanyaan daripada Puan Rafidah buat kepala dia semakin berserabut. Panggilan mamanya itu tidak diendahkannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro