Bab 43
KEHADIRAN Puan Saleha dan Encik Razak pada petang itu sedikit mengejutkan Damia. Yalah, dia langsung tak diberitahu bahawa mentuanya itu mahu datang ke rumah. Sudah lah waktu itu Redza berada di hospital. Cuma ada dia sahaja.
"Ibu, ayah. Masuk lah..." pelawa Damia. Fasha yang sudah berusia 13 tahun itu juga dijemput masuk.
"Redza kerja ke, Mia?" soal Puan Saleha.
"Haah, ibu. Terkejut Mia bila ibu dengan ayah datang. Kenapa tak bagitahu dulu? Boleh Mia masak apa yang ada." Tutur Damia dengan senyuman. Dia menghenyakkan punggung di atas sofa berhadapan dengan Puan Saleha dan Encik Razak. Fasha duduk diam di sofa single sambil memegang bantal busuknya. Dari dulu lagi memang Fasha akan mengheret benda alah itu ke mana sahaja dia pergi. Kalau hilang bantal itu, memang boleh bergegar satu rumah dengar Fasha mengamuk.
"Kita orang tak rancang pun nak datang sini. Tadi kami keluar nak beli murtabak dekat area sini juga. Penjual tu cakap lambat sikit sebab customer tengah beratur panjang masa tu. Asha dah merengek-rengek sebab bosan duduk dalam kereta lama-lama. Itu yang pesan dekat penjual tu, kalau dah siap murtabak yang kami pesan tadi... call aje. Nanti kami pergi ambil. Tak payah nak kena tunggu lama-lama dekat situ. Alang-alang tu, saja lah singgah sini. Maaf lah sebab ibu dengan ayah datang mengejut macam ni. Kesian Mia," tutur Puan Saleha. Kepala Damia terangguk-angguk, mengerti.
"Eh, takpe. Datang aje. Tapi tu la, Mia tak masak apa-apa pun untuk ibu, ayah dengan Asha. Kejap ya, Mia buatkan air." Terus Damia berlalu menuju ke arah dapur untuk membancuh minuman. Sesekali dari dapur, kedengaran suara Fasha merengek mahukan sesuatu. Damia langsung tak faham butir bicara adik iparnya itu.
Beberapa minit di dapur, Damia kembali ke ruang tamu dengan sedulang minuman. Baki kek coklat di dalam peti ais pun dibawanya sekali.
"Ni, ada kek sikit. Semalam Mia beli dekat Secret Recipe." Tutur Damia.
"Wah, kek. Asha nak kek tak? Sedap tau kek coklat ni." Puan Saleha memancing Fasha yang masih merengek-rengek. Kakinya sudah dihetak-hentak pada lantai. Tangannya sudah naik memukul sofa dengan bantal busuknya. Entah apa yang dituturkan Fasha, Damia tidak faham.
"Ayyyy! Yonggg!"
"Asha nak Along ke?"
"Ayyyy! Ayyyy! Yonggg!"
Puan Saleha pandang Damia.
"Agaknya Asha rindukan abang dia. Itu yang merengek-rengek panggil 'yong-yong' tu." Ujar Puan Saleha berserta keluhan. Kepala Damia dah terangguk-angguk. Terus dia pandang jam bulat yang tergantung di dinding. Mungkin kurang dari satu jam lagi Redza akan pulang ke rumah.
"Asha, kejap lagi Along balik kerja. Makan la kek ni dulu," Damia cuba memujuk walaupun dia tahu dia tak pandai untuk berinteraksi dengan anak Autisme seperti Fasha.
Fasha terus merengek lagi. Kali ni dia dah bergolek-golek atas sofa. Cepat-cepat Encik Razak memeluk tubuh Fasha. Dibisikkan kata-kata penenang dan pujukan agar Fasha diam sebentar. Buat seketika, Fasha diam tapi mulutnya masih bising memanggil Redza dengan bahasanya. Puan Saleha senyum kecil. Tabah lah kalau dianugerahkan anak istimewa ni.
"Abang pergi ambil murtabak dekat kedai kejap. Leha duduk rumah dengan Damia, tengok-tengokkan Asha." Encik Razak bangun dari duduk. Puan Saleha mengangguk faham. Kalau ditinggalkan Fasha berdua dengan Damia, takut apa pula yang jadi. Sudah la Damia tak biasa melayan karenah Fasha.
"Ibu dah solat asar ke belum?" soal Damia bila jarum jam sudah menginjak ke pukul enam petang.
"Belum. Tadi singgah masjid, tapi susah nak tinggalkan Asha sorang-sorang. Ayah seorang aje lah solat tadi." Jawab Puan Saleha sambil mengerling Fasha yang sedang berbaring di atas sofa. Entah apa yang dibuatnya sambil menggigit bantal busuk dalam pelukan.
"Ibu pergi lah solat dulu. Mia boleh tengokkan Asha."
"Betul ni? Mia boleh tengokkan Asha?"
Damia mengangguk beberapa kali.
"Iya, boleh. Kalau Asha mengamuk, Mia panggil lah ibu." Tersengih-sengih Damia memandang ibu mentuanya itu. Puan Saleha gelak kecil.
"Yalah. Ibu naik solat dulu ya?"
Belakang tubuh Puan Saleha yang hilang di tingkat atas dipandang sebelum matanya beralih ke arah Fasha yang diam di atas sofa. Damia mengemas meja lalu mengangkat dulang minuman tadi ke dapur untuk dibasuh. Bahan-bahan masakan dikeluarkan dari peti ais. Dah petang, jadi dia mahu masak untuk makan malam.
Tak sampai beberapa minit di dapur, Damia dikejutkan dengan bunyi sesuatu pecah dari ruang tamu. Laju Damia berlari keluar dari dapur seraya mendapatkan Fasha yang sedang berdiri tegak di tepi almari. Jelas Damia lihat pasu bunga kecil sudah pecah berderai menyembah lantai.
"Asha? Asha okey tak ni?" soal Damia. Tangan Fasha ditarik perlahan menjauhi kaca. Risau kalau Fasha tiba-tiba berlari memijak serpihan kaca tersebut. Fasha merengek-rengek sambil menarik tangannya dari pegangan Damia.
"Aaaa yonggg! Yonggg!" Fasha menumbuk-numbuk sofa dengan tangannya. Damia cepat-cepat duduk mencangkung sambil mengutip serpihan kaca lalu dibuang ke dalam tong sampah kecil. Penyapu kecil dicapai lalu di sapu cepat-cepat.
"Asha, duduk dulu ya? Ibu tengah solat, Along mesti dalam perjalanan balik. Asha duduk ya?" pujuk Damia.
"Ayyyy!"
Damia sudah mati kutu. Ah, sudah! Macam mana dia nak handle Fasha yang dah meragam ni? Dia dah la dia langsung tak ada pengalaman naik handle anak Autisme macam Fasha. Fasha masih merengek lagi.
"Asha, dengar cakap kakak ya sayang? Duduk dulu..."
"Ayyyy! Ayyyy!" terkejut Damia bila Fasha bertindak memukulnya dengan bantal di tangan. Peluh sudah merenik di dahi bila Fasha sudah agresif begitu. Bertalu-talu dia dipukul Fasha dengan bantal kecil.
Damia rasa nak menangis. Ni dah macam kes dera aje!
"Awww!"
Pedih. Perit. Itu yang dirasakan Damia bila lengannya secara tiba-tiba digigit Fasha. Mata Damia dah berair. Jelas kesan gigitan Fasha di lengannya. Luka dan sedikit berdarah.
"Asha..." rasa nak marah, tapi Damia sabarkan hati. Dia tak tahu apa-apa, Damia.
Sekali lagi Fasha cuba menggigit Damia namun pantas Damia menolak tubuh Fasha. Kedua-dua belah bahu Fasha dicengkamnya agar Fasha tidak bertindak menggigitnya sekali lagi. Gigitan yang pertama tadi masih terasa peritnya!
"Asha, jangan!" air mata Damia menitis bila cepat sahaja Fasha kembali menggigitnya.
"Ya Allah, Asha! Damia!"
Redza yang baru sahaja menolak pintu terus dihidangkan dengan adegan itu. Laju dia berlari mendapatkan kedua-dua manusia. Melihatkan wajah Damia yang berkerut sakit, tubuh Fasha dipeluk dan ditariknya dari belakang.
"Asha, apa Asha buat ni?" soal Redza, memandang adiknya itu.
"Yonggg!" Fasha berhenti meronta seperti tadi bila Redza ada di depannya kini. Redza pantas menoleh bila kedengaran esakan kecil Damia. Melihatkan lengan Damia yang merah dan luka digigit Fasha, pantas Redza bangun mendapatkan Damia.
"Damia, are you okay?" Redza menyoal, bodoh. Perasaan cemas sekarang ni membuatkan soalan begitu keluar dari mulutnya. Damia ketap bibir, tak mampu nak membalas. Lengannya terasa berdenyut-denyut sekarang ni. Pedih.
"Kenapa ni, Damia? Redza?" Puan Saleha yang baru muncul dari tingkat atas segera menyoal. Membuntang matanya melihat lengan Damia yang dah merah dan luka. Ada darah lagi di situ.
"Asha gigit Mia, ibu." Jawab Redza.
"Astaghfirullahalazim! Fasha!" tanpa sedar Puan Saleha menengking anaknya itu. Redza pandang Fasha yang tak beriak. Seolah-olah dia tidak sedar apa yang dia sudah lakukan tadi. Keluhan dilepaskan.
"Ibu jangan marah Asha. Biar Along settle kejap lagi." Ujar Redza bila Puan Saleha sudah merah wajahnya.
"Bawa Mia naik atas. Sapu ubat dekat luka dia tu," arah Puan Saleha. Kesian pula dia tengok muka menantunya yang dah merah kerana menangis. Menyesal pula tinggalkan Fasha dengan Damia sendirian. Mesti Damia takut bila Fasha bertindak agresif tadi.
Perlahan-lahan Redza memimpin isterinya itu ke tingkat atas. Puan Saleha hela nafas berat. Tepi kepala Fasha dipegangnya.
"Asha, tak baik gigit orang tau. Lain kali jangan gigit orang lagi okey? Tak baik." Tutur Puan Saleha. Fasha tidak beriak. Matanya memandang langkah Redza ke tingkat atas. Mulutnya sudah kembali bising-bising.
*****
SESEKALI Damia mendesis sakit bila Redza menyapu krim ubat pada lukanya. Masih berdenyut-denyut lagi rasanya.
"Okay, dah." Redza menyimpan krim yang digunanya tadi di dalam peti first aid. Damia belek lengannya yang masih ada kesan gigitan. Kuat betul Fasha gigit dia tadi. Kalau lah Redza tak balik lagi masa tu, entah apa lah nasib dia.
"Sayang, I'm sorry..." ucap Redza. Tangan Damia dicapai lalu dielus lembut.
"Takpe lah. Sikit aje ni."
"Sikit sampai merah-merah muka awak menangis?"
Damia gelak kecil. Mukanya dah rasa ketat semacam disebabkan menangis macam budak tadi. Mengalahkan Fasha.
"Kalau menangis memang lah muka jadi merah. Takkan lah jadi biru pulak."
"Biru tu muka abang bila nampak Asha gigit awak tadi tahu tak?" jeling Redza. Damia senyum nipis.
"Asha memang macam tu ke? Tiba-tiba bertukar jadi agresif. Terkejut saya. Dah la abang takde, ayah keluar, ibu pulak tengah solat." Perlahan suara Damia menuturkan ayat. Mata dah merenung kesan gigitan Fasha di lengannya itu.
"Asha anak Autisme, sayang. Kadang-kadang dia behave, kadang-kadang dia boleh jadi out of our control. Bukan senang nak handle anak Autisme ni. Ibu yang jaga dia dari kecil pun kadang-kadang fed up. Pernah juga ibu menangis masa Asha buat perangai malam-malam buta. Itu tak kena, ini tak kena. Tapi bila dah lama-lama, ibu redha aje lah. Bukan ibu aje, ayah, abang, Anna semua kena redha." Redza berjeda dulu.
"Tapi awak jangan lah takut dengan dia. Dia okey cuma susah nak bergaul dengan orang yang dia tak kenal. Kalau dia mengamuk, ada lah tu benda yang dia tak suka. Dia tak suka orang sentuh dia, peluk dia. Dia suka main sorang-sorang dengan bantal busuk dia tu. Dia pernah cakar muka abang dulu sebab abang tak kasi dia main gunting. Berparut lah jugak tapi nasib baik maintain handsome." Sempat lagi Redza berseloroh di hujung ayat. Damia gelak kecil.
"Mesti susah kan nak handle anak Austisme ni?"
"Yes. It is not easy, sayang. Pergi mana-mana kena selalu pegang dia takut dia lari. Kalau dia buat perangai dekat public, tebalkan je lah muka tu. Nak buat macam mana, anak istimewa. Bila bercakap dengan dia, kena ada cara. Tak kena cara memang dia takkan dengar cakap kita."
Terangguk-angguk kepala Damia.
"Nasib baik abang ni psychiatrist. Mesti tak jadi masalah nak handle Asha."
"Kadang-kadang ada juga struggle dia but it's okay selagi kita boleh handle, kita handle. Lagipun, Asha tak minta pun dilahirkan macam tu. Fasha anugerah Allah untuk ajar kita macam mana untuk sabar. Anak istimewa tu kan amanah dari Allah." Ujar Redza, tersenyum nipis. Damia hela nafas.
"Bertuahnya saya dapat suami penyabar, penyayang macam abang. Kalau lepasni anak-anak kita buat perangai, saya tahu nak kasi siapa handle." Damia tersengih-sengih. Redza pincingkan mata memandang Damia di hadapan.
"Anak-anak ya?"
"Ya, kenapa?"
"Bila nak ada 'anak-anak' tu?" Redza dah tersengih miang. Menyedari maksud tersirat lelaki itu, laju saja sebelah tangan Damia menyucuk-nyucuk pinggang Redza. Menggeliat lelaki itu dibuatnya.
"Eei, gatal!"
"Eh, awak yang cakap dulu kan? Apa pulak abang yang gatalnya? Abang cuma tanya bila nak ada 'anak-anak' tu? Salah ke?"
Damia mengemam bibir. Balik-balik, dia pulak yang rasa segan sekarang ni diusik begitu. Hai, Redza!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro