Bab 37
RIUH-RENDAH kedengaran suara Danial dan Najihah berkejaran di ruang tamu. Meskipun hanya ada mereka berdua, tetapi sudah cukup meriuhkan suasana. Memandangkan Dahlia dan Khairil bercuti, mereka memutuskan untuk pulang ke kampung halaman mereka. Damia pun ikut sekali. Dah lama betul tak balik kampung. Rindu.
"Ikan kayu ni nak buat masak apa, mak?" soal Dahlia sambil menyiang ikan kayu di sinki. Puan Anisah yang sedang mengopek ikan bilis menoleh sekilas.
"Kalau buat masak cuka pun sedap jugak kan?"
"Haah, mak. Dah lama Lia tak makan ikan kayu masak cuka." Terasa pecah liur bila teringatkan ikan kayu masak cuka. Lama betul tak makan!
"Kalau macam tu, kejap lagi kau siapkan bahan-bahan dia."
"Yelah, mak."
Cekap Dahlia ke hulu ke hilir menyediakan bahan masakan. Puan Anisah pula, selepas mengopek ikan bilis terus mengisar bawang besar, bawang putih dan belacan untuk dibuat ikan bilis cili api. Semerbak bau masakan memenuhi ruangan dapur sederhana besar itu. Dah macam chef pulak Dahlia dan Puan Anisah beraksi di dapur.
Damia yang baru lepas mandi terus mendapatkan dua manusia itu di dapur. Dahinya berlapis-lapis memandang mak dan kakaknya itu. Bukan main banyak lagi masak. Macam nak buat kenduri pulak.
"Banyaknya masak mak, Kak Lia. Ada apa-apa ke?" Damia menyoal sambil tangan mencapai gelas pada rak. Peti ais ditujunya seraya menarik keluar botol air sejuk.
"Saja masak banyak-banyak." Balas Puan Anisah.
"Masak banyak macam ada orang nak datang aje. Siapa yang nak datang makan tenghari dekat sini?" soal Damia lagi, tidak berpuas hati. Makanan yang dimasak Puan Anisah dan Dahlia cukup banyak untuk mereka enam orang di dalam rumah itu. Dia cukup kenal dengan Puan Anisah yang paling pantang kalau membazir. Lagi-lagi bazir makanan.
"Ada lah tetamu yang nak datang..." Dahlia membalas.
"Tetamu? Siapa? Adik beradik kita jugak ke?"
"Ada lah. Kejap lagi Mia tengok sendiri."
Damia cebik bibir. Kaki dibawa menghampiri Puan Anisah yang sedang menumbuk sesuatu di dalam lesung.
"Ada apa-apa yang mak nak Mia buat?" Damia menyoal.
"Tolong perisi kangkung tu. Mak nak buat kangkung masak air." Jawab Puan Anisah, menjuihkan bibirnya pada sayur kangkung yang masih berikat di dalam plastik. Tak banyak soal, cepat sahaja Damia keluarkan sayur kangkung tersebut dari dalam plastik lalu dibawa ke meja makan.
Sungguh dia benar-benar tertanya-tanya. Tetamu? Siapa tetamu yang nak datang makan tengahari dekat sini? Bila tengok banyak juga menu yang dimasak hari ini, Damia tahu mesti bukan sedikit tetamu yang nak datang. Tapi siapa? Heh, kalau dia tanya Dahlia ataupun Puan Anisah mesti dia orang berdua takkan jawab. Ceritanya, tunggu dan tengok aje lah. Damia mengeluh.
*****
ELOK dia selesai menunaikan solat zohor, kedengaran suara riuh orang di luar. Hmm, mesti tetamu yang dimaksudkan mak dan Kak Lia tadi dah sampai. Damia menggumam lalu melipat elok telekung miliknya. Dia bergerak ke arah almari lalu menarik keluar jubah hitam yang tergantung di situ. Malas nak iron baju lain, sarung jubah lagi cepat. Baju yang dipakainya tadi dah berbau sebab bertukang di dapur.
Damia tidak terus ke ruang tamu. Kaki dibawa menuju ke arah dapur.
"Mia dah tengok tetamu dekat depan tu?" soal Puan Anisah. Damia menggeleng.
"Kejap lagi lah. Siapa mak?"
"Kalau nak tahu, pergi tengok sendiri." Balasan Puan Anisah buat Damia tarik muncung sedepa. Seketika Dahlia muncul dari ruang tamu.
"Mak, dia orang semua dah tunggu dekat depan. Jom lah, makan sekali." Ajak Dahlia. Makanan yang sudah dimasak tadi sudah dihidang di tengah-tengah ruang tamu. Nak makan atas meja, tetapi tak cukup pula kerusi. Dahlia mengangkat dulang minuman di atas meja sebelum memandang Damia yang berdiri terpacak di situ.
"Mia berdiri apa lagi dekat sini? Pergi lah jumpa tetamu dekat depan tu."
"Segan lah, Kak Lia. Siapa tetamu tu?"
"Eh, tengok sendiri lah. Jom,"
Damia membuntuti langkah Dahlia keluar dari ruang dapur menuju ke arah ruang tamu. Saat matanya terpandang tetamu yang dimaksudkan Dahlia dan Puan Anisah tadi, automatik mata Damia dah membulat. Hampir sahaja mulutnya nak ternganga.
Doktor Redza? Apa dia buat dekat sini dengan ahli keluarga dia? Kut ya pun kalau cuma datang nak melawat, takkan sampai angkut ahli keluarga?
"Damia..." melebar senyuman Puan Saleha apabila Damia muncul di ruang tamu itu. Lantas Damia menyalami tangan Puan Saleha dan Farhanna, adik kepada Redza. Damia senyum janggal.
"Mia ingat siapa lah yang nak datang. Family Doktor Redza rupanya..." tutur Damia.
"Kenapa? Terkejut ke?" soal Puan Saleha. Damia mengangguk perlahan.
"Haah. Kak Lia tak bagitahu pun mak cik nak datang sini." Damia mengerling Dahlia tidak jauh dari situ. Sesekali Damia bertembung mata dengan Redza yang duduk bersila di sebelah Khairil. Senyuman lelaki itu terasa payah untuk dia membalas. Alahai, kenapa lah hati ni berdebar semacam je?
Relaks, Damia. Relaks.
"Eh, mari kita makan dulu. Lapar pula bila tengok makanan-makanan kampung ni semua. Lepasni, boleh lah kita bincang." Tutur Encik Razak, ayah kepada Redza. Lagi lah dahi Damia berlapis-lapis dibuatnya. Bincang? Bincang pasal apa?
*****
DAMIA meramas-ramas jari jemarinya sendiri. Beberapa pasang mata sudah tunak memandang ke arahnya. Entah berapa kali dia teguk air liur sendiri.
"Damia?" tepukan di bahunya membuatkan Damia angkat kepala. Dipandang satu persatu wajah yang duduk di ruang tamu itu.
"Err..."
"Damia setuju?" Puan Saleha tepuk perlahan paha Damia. Wajahnya penuh dengan pengharapan. Damia telan liur dulu.
"Mia..."
"Kami tahu kedatangan kami hari ni sekali dengan hajat besar ni betul-betul mengejutkan Damia. Kami minta maaf," Encik Razak mencelah.
"Eh, tak. Tak perlu nak minta maaf. Mia... Mia..."
"Mia perlu masa?" soal Puan Saleha. Damia angguk perlahan.
"Kalau Mia perlu masa, takpe. Kami takkan minta jawapan Mia sekarang jugak. Mia nak masa berapa hari? Seminggu? Dua minggu?"
Damia pandang Puan Saleha di sebelah sebelum dia memandang ke arah Dahlia. Isyarat mata diberikan buat kakaknya itu. Kenapa Kak Lia tak bagitahu pasal hal ni awal-awal? Buat aku heart attack aje lah!
"Bagi Mia cakap dengan Kak Lia dulu. Boleh? Sekejap je." Pinta Damia.
"Boleh, sayang."
"Kak Lia..." Damia bangun dari duduk lalu perlahan-lahan berjalan meninggalkan ruang tamu. Dahlia pamit seraya membuntuti langkah Damia masuk ke dalam bilik. Laju Damia menarik tangan si kakak lalu pintu ditutup rapat.
"Kenapa Kak Lia tak bagitahu Mia awal-awal?" mata Damia dah membulat. Rasa nak ditelannya Dahlia sekarang ni.
"Alah, jangan lah marah akak."
"Mahunya Mia tak marah kalau tiba-tiba dia orang datang bawak hajat besar. Boleh kena serangan jantung tau!" Damia hela nafas. Dahlia melabuhkan punggung di birai katil sambil memandang Damia yang sudah tak tentu arah.
"Terima aje lah, Mia. Doktor Redza bukannya orang jahat."
"Memang lah dia bukan orang jahat. Tapi..."
"Tapi apa lagi, Damia? Masih tak boleh lupakan Ziyyad?"
Sengaja! Damia merengus kasar. Tak suka bila Dahlia bangkitkan nama Ziyyad dalam perbincangan mereka.
"Bukan lah!"
"Habis tu?"
"Mia... Mia takut. Takut kalau..."
"Eh, Mia ingat Doktor Redza tu lelaki spesis Ziyyad ke? Yang ikut aje telunjuk mak dia. Mia, lima tahun dah Mia. Lima tahun Doktor Redza tunggu Mia. Sanggup tunggu Mia balik dari Kanada." Tutur Dahlia. Damia pandang Dahlia dengan dahi yang berlapis-lapis. Ruang kosong di sebelah Dahlia didudukinya.
"Maksud Kak Lia?"
Dahlia capai tangan Damia lalu digenggam perlahan.
"Dia dah lama sukakan Mia. Sejak Mia masih bergelar isteri Ziyyad lagi."
Damia gelak.
"Mengarut! Kak Lia merepek apa ni?"
"Kak Lia tak merepek lah. Betul. Doktor Redza memang dah lama sukakan Mia. Lima tahun tau dia tunggu Mia balik dari Kanada. Ramai perempuan yang datang mengurat dia, seorang pun dia tak layan. Sebab apa? Sebab dia tunggu Mia. Kak Lia tahu lah, Kak Lia kerja dengan dia dah bertahun-tahun. Kak Lia kenal betul dengan Doktor Redza tu." Jelas Dahlia bersungguh-sungguh. Damia mengeluh.
"Tapi kenapa Mia?"
"Tanya lah dia sendiri. Sudah lah, Damia. Terima aje lah lamaran Doktor Redza tu. Kak Lia yakin dia adalah lelaki terbaik untuk Mia. Dia pasti akan bahagiakan Mia sampai hujung nyawa. Percayalah cakap Kak Lia ni,"
Damia pandang Dahlia, lama. Mencari kebenaran di sebalik kata-kata yang telah diungkapkan Dahlia sebentar tadi.
"Mia... Mia tak cintakan dia Kak Lia."
"Itu bukan masalah besar, Damia. Lepas kau orang kahwin, Kak Lia yakin Mia akan jatuh cinta dengan Doktor Redza. Fight me!"
"Kenapa Kak Lia yakin sangat ni?"
"Sebab Kak Lia kenal Doktor Redza tu macam mana orangnya. Cuba Mia ingat balik muka Doktor Redza tu. Kacak kan? Dekat hospital tu, bukan setakat rakan doktor dengan staff nurse aje tau boleh jatuh hati dekat Doktor Redza tu. Pesakit pun boleh sangkut! Doktor Redza yang handsome, yang baik, yang penyabar. Kalau Mia duduk satu bumbung dengan dia, berkongsi satu bantal dengan dia, Mia agak-agak Mia akan sangkut tak dengan dia? Suami Mia sendiri?" Dahlia dah mula bermain kata. Damia diam.
Kemungkinan untuk dia jatuh cinta dengan Doktor Redza adalah 99%.
"Kak Lia tahu, Mia sebenarnya sukakan Doktor Redza kan?" soal Dahlia, mengerling Damia dengan hujung mata.
"Ish, mana ada!"
"Tak payah la nak tegakkan benang yang basah Mia. Kak Lia kenal Mia dah tiga puluh tahun. Mustahil Mia tak sukakan lelaki macam Doktor Redza tu. Akak ni, kalau takde suami memang awal-awal lagi akak dah propose Doktor Redza buat laki." Dahlia tayang sengihan gatal. Damia menggeleng kepala sambil matanya dipincingkan.
"Eei, gatalnya Kak Lia ni! Bagitahu Abang Khai!"
"Takde maknanya lah. Dah, kesian dia orang tunggu jawapan Mia dekat luar tu. Alah, Mia. Terima je lah."
Damia diam. Cuba menimbang-nimbang apa yang diperkatakan Dahlia. Terima lamaran keluarga Redza? Patut kah dia?
"Mia dah tiga puluh tahun tau tak? Dah tua! Tak kesian ke dekat diri sendiri?" tambah Dahlia lagi bila Damia diam begitu. Damia menjeling.
Kak Lia ni, memang!
"Jadi... Mia kena cakap..."
"Saya terima."
Dahlia kenyit mata.
*****
"SADAQALLAHULAZIM..."
Damia menutup mashaf Al-Quran lalu diciumnya sekali sebelum kitab suci itu diletakkan di atas meja. Seketika Damia duduk berteleku dulu di atas sejadah. Bibirnya tiba-tiba sahaja mengorak satu senyuman apabila teringatkan perkara siang tadi. Tak sangka, Redza ke sini bersama keluarganya dengan membawa hajat besar. Redza melamarnya sebagai isteri.
"Mia terima..."
"Alhamdulillah!"
Damia jeling Redza yang sudah tersenyum-senyum di sebelah Encik Razak. Tatkala pandangan mereka bertemu, Damia cepat-cepat larikan mata. Oh, segannya!
Beep.
Damia tersentak. Lantas telefon bimbitnya di atas katil dicapai. Whatsapp daripada Redza dibukanya dengan dada yang berdebar-debar.
Redza:
Assalam. Buat apa tu?
Damia:
Baru lepas solat.
Kenapa?
Bluetick. Typing...
Redza:
Saja. Terima kasih, Damia.
Damia senyum sikit.
Damia:
Kenapa dr nak berterima kasih dekat saya?
Redza:
Sebab awak menjadikan penantian saya selama lima tahun tak sia-sia.
Damia pegang pipi. Rasanya pipi dia dah merah mengalahkan tomato!
Damia:
Dr sepatutnya cari orang lain. Tak perlu tunggu lima tahun semata-mata kerana saya.
Saya tak sempurna, dr...
Typing...
Redza:
Tapi bagi saya awak sempurna...
Ah, sweet talker!
Damia:
Sudah lah. Saya ada kerja nak dibuat.
Damia lemas! Baru berbalas mesej begini sudah buat dia hampir sesak nafas. Apa lagi kalau sudah berkahwin nanti. Erk? Berkahwin?
Redza:
Okay lah. Saya nak kena round ward ni.
See you later, Damia.
Damia:
Yelah...
Damia letak telefon bimbitnya kembali di atas katil. Telekung ditanggalkan daripada tubuh lalu disangkut pada penyidai. Damia melangkah keluar daripada bilik lalu mendapatkan Puan Anisah dan Dahlia di ruang tamu. Najihah dan Danial tiada. Ikut Khairil keluar beli barang di pasaraya berdekatan.
"Mak, Kak Lia..." Damia henyak punggung di sebelah Puan Anisah. Lengan emaknya itu dipeluk sebelum dia rebahkan kepala ke bahu wanita tua itu.
"Ni kenapa ni? Manja semacam..." soal Puan Anisah.
"Alah, nak peluk pun tak boleh ke?" Damia tarik muncung. Dahlia menggeleng kepala.
"Dia nak manja dengan mak lah tu. Lepasni, dia nak manja dengan Doktor Redza pulak." Usikan Dahlia terus membuatkan Damia angkat kepala. Dahlia yang duduk di sebelah kiri Puan Anisah itu dipandang tajam.
"Mak, tengok Kak Lia ni!"
Puan Anisah gelak.
"Bergaduh aje lah kerja kau orang berdua ni. Dah besar dah pun," tegur Puan Anisah. Damia jelir lidah sebelum kembali memeluk lengan Puan Anisah. Bahu emaknya itu menjadi sasaran kepalanya untuk berlabuh.
"Manja sangat lah dia tu." Komen Dahlia langsung tidak diendahkan Damia. Biarlah dia nak manja dengan Puan Anisah. Dia kan anak bongsu. Anak bongsu kan anak yang paling manja dan rapat dengan ibu? Betul tak?
Rancangan drama melayu di televisyen menjadi tontonan mereka anak beranak. Senyap diantara mereka melayani drama melayu tersebut. Dah lama mereka bertiga tidak berkumpul macam ni. Terasa bahagia pulak.
"Eh perempuan! Kau keluar sekarang! Aku tahu kau ada dekat dalam. Lebih baik kau keluar sekarang ni! Hoi, Damia!"
Terus Damia angkat kepala lalu memandang Puan Anisah dan Dahlia dengan dahi yang berlapis-lapis. Jelas dia dengar ada orang sedang memekik di luar rumah kampung mereka.
"Keluar kau sekarang, Damia!"
"Mak cik Rafidah!" mata Dahlia membulat sebelum dia berlari membuka pintu. Puan Rafidah yang sedang berdiri bercekak pinggang di luar rumah dipandangnya dengan dahi yang berlapis-lapis.
"Mana perempuan tu? Mana Damia?!" soal Puan Rafidah.
"Ya, saya. Ada apa datang cari saya dekat sini?" Damia mencelah.
"Hah, bagus lah kau keluar. Aku ingat kau pengecut tak nak keluar dari rumah. Sini kau!"
Damia sarung selipar lalu perlahan-lahan mendekati Puan Rafidah dengan dahi yang berlapis-lapis. Dahlia mengekor di belakang. Risau juga kalau Puan Rafidah bertindak gila. Bukan boleh percaya sangat orang tua tu.
"Kenapa mak cik datang sini buat bising? Malu dekat jiran-jiran kalau dia orang dengar." Soal Damia, cuba menahan diri dari meninggikan suara sedangkan dalam hati memang dia mahu sound aje orang tua itu.
"Biar! Biar dia orang dengar! Biar dia orang tahu siapa sebenarnya anak Anisah ni. Perempuan tak tahu malu!"
Damia sabarkan hati. Dahlia pula sudah mengenggam buku lima. Kalau diikutkan hati, memang kenyang Puan Rafidah makan penumbuknya.
"Apa maksud mak cik?" soal Damia.
"Kau jangan pura-pura tak tahu lah, Damia. Apa kau dah buat dekat anak aku sampai anak aku asyik bercakap pasal kau aje kebelakangan ni. Kau cakap apa dekat dia sampai dia buat keputusan nak balik semula dengan kau hah?!" soal Puan Rafidah dengan mata yang mencerlung tajam. Damia hela nafas panjang.
"Ziyyad cakap apa dekat mak cik?"
"Dia cakap dia nak balik semula dengan kau! Dia nak jadikan kau isteri dia balik! Eh, kau ni memang tak tahu malu kan? Banyak lagi jantan dekat luar sana, apasal anak aku jugak yang kau kejar?!"
Eh, helo. Excuse me! Aku kejar anak dia? Oh, tolong lah!
"Kalau Ziyyad nak kan saya balik, itu bukan masalah saya. Untuk pengetahuan mak cik, saya tak nak pun dekat anak mak cik tu. Saya bukan perempuan yang kitar semula sampah yang dah dibuang." Balas Damia, cuba bertenang. Nafas Puan Rafidah kedengaran turun naik menahan amarah.
"Kau tak payah lah nak berselindung di sebalik muka polos kau tu. Kau yang terkejar-kejar anak aku sampai anak aku sanggup nak jadikan kau isteri dia balik! Kau dengar sini, Damia. Aku takkan terima kau sebagai menantu sampai bila-bila pun!"
Damia hela nafas. Bibir bawah diketap.
"Saya pun tak ingin nak jadi menantu mak cik balik. Lebih baik mak cik balik tanya Ziyyad elok-elok. Siapa yang terkejar-kejarkan siapa? Saya kejar Ziyyad? Dalam mimpi pun saya tak ingin dengan Ziyyad tu." Damia peluk tubuh.
Puan Rafidah gelak sinis.
"Hakikatnya, kau memang perempuan tak tahu malu! Lepas kau cerai dengan anak aku, kau langsung tak kahwin lain. Maknanya apa? Maknanya kau masih nakkan anak aku! Anak aku sampai bercerai-berai dengan Jasmin, mesti disebabkan kau kan?!"
Damia mengucap panjang. Apa lah yang orang tua ni fikir? Ziyyad sendiri yang bagitahu dia punca penceraiannya dengan Jasmin. Jasmin tak sanggup nak teruskan perkahwinannya dengan Ziyyad kerana hampir saban hari diasak dengan soalan berkaitan anak. Puan Rafidah begitu memaksa!
"Astaghfirullahalazim. Tak baik mak cik memfitnah saya. Besar dosanya, mak cik."
"Ah! Kau tak payah nak berceramah dengan aku pulak!" tempelak Puan Rafidah. Damia hela nafas. Tak pasal-pasal dikatakan dia mahu berceramah. Kalau lah dia mahu berceramah, dia sudah hampar tikar dekat tengah laman ni. Siap pasang speaker lagi biar satu kampung dengar dia berceramah.
"Balik lah, Mak cik Fidah. Kalau datang sini nak buat bising, baik tak payah. Datang nak fitnah adik saya yang bukan-bukan. Mak cik ingat anak mak cik tu putera raja ke sampai adik saya nak terkejar-kejar sangat? Adik saya tak segila anak mak cik lah." Dahlia yang sedari tadi menahan rasa terus bersuara. Rasa nak sound aje orang tua depan dia ni!
Puan Rafidah mendengus.
"Kau diam, Dahlia! Aku tak bercakap pun dengan kau!"
"Balik lah, mak cik. Tak perlu buang masa nak memekak macam orang gila dekat sini."
"Eh, kau ni memang biadap! Baguslah, anak beranak biadap. Tak tahu malu!"
Dahlia ketap bibir. Eh, ringan aje tangan dia ni nak tumbuk muka Puan Rafidah biar bersepai gigi palsunya itu. Cakap tak pakai otak.
"Kak Lia..." Damia pegang tangan Dahlia bila dia rasa kakaknya sudah seperti lava gunung berapi yang mahu meletus sahaja. Damia pandang Puan Rafidah lagi.
"Mak cik jangan risau. Saya tak nak pun balik dengan Ziyyad. Saya dah buang dia jauh-jauh dari hidup saya sejak lima tahun yang lalu. Lebih baik mak cik balik, bincang elok-elok dengan Ziyyad. Ziyyad pasti dengar cakap mak cik. Lagipun, mak cik... saya dah nak kahwin dah pun. Nanti saya kasi kad jemputan saya dekat mak cik ya?" tutur Damia sambil mengenggam erat tangan Dahlia.
Puan Rafidah menjeling.
"Ha, bagus lah kalau kau nak kahwin! Tak payah nak terkejar-kejar lagi anak lelaki aku!" Puan Rafidah mendengus sebelum angkat kaki beredar daripada situ. Hilang sahaja susuk tubuh Puan Rafidah di sebalik pokok-pokok, Dahlia merengus kasar.
"Kenapa Mia berlembut sangat dengan dia tu? Patutnya orang macam dia tu tak boleh kasi muka! Elok kasi penampar aje dekat dia tu." Dahlia peluk tubuh. Damia senyum nipis sambil menggosok lembut belakang tubuh Dahlia.
"Dah la, Kak Lia. Kalau dia api dan kita pun api, sampai bila-bila pun tak selesai. Silap hari bulan, jiran-jiran kita keluar tengok apa yang dah jadi. Buat malu aje. Lagipun, dia dah pergi. Kita doakan aje lah dia tak datang sini cari kita lagi." Damia hela nafas.
"Geram betul lah. Dah tua-tua pun perangai masih macam tu. Kubur dah memanggil-manggil pun tak sedar lagi. Entah bila la dia nak bertaubat."
Damia gelak.
"Patutnya dari dulu lagi Mia kahwin dengan Doktor Redza tu! Biar orang tua tu tahu yang bukan Mia yang terkejar-kejar anak lelaki dia tu!" sambung Dahlia. Damia geleng kepala. Dahlia kalau dah marah, begini lah.
Damia toleh memandang Puan Anisah yang berdiri di muka pintu. Wajahnya sayu. Laju Damia mendapatkan emaknya itu.
"Mak okey?" soal Damia.
"Mak mintak maaf Mia, Lia. Kebencian Rafidah tu berpunca dari mak. Kalau lah dulu mak tak berhubung dengan arwah Mazlan, semuanya takkan jadi macam ni. Kesian anak-anak mak terkena tempias." Jawab Puan Anisah, lemah. Damia peluk erat tubuh tua itu.
"Jangan lah cakap macam ni, mak. Bukan salah mak pun."
"Haah. Bukan salah mak pun. Lagipun, dia tu yang cemburu buta. Suami dia meninggal pun salah dia sendiri. Tapi sesuka hati tunding jari dekat mak." Celah Dahlia dengan nada marah. Puan Anisah senyum tawar.
"Jom lah, masuk. Dekat luar ni banyak nyamuk..." Puan Anisah sudah mahu lari dari topik itu. Damia dan Dahlia mengangguk lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu kayu ditutup rapat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro