Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 35

BEEP.

Damia yang sedang melipat pakaian tersentak. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas sofa. Kiriman Whatsapp daripada nombor yang tidak dikenalinya itu dibuka dengan dahi yang berlapis-lapis.

Unknown:
Assalamualaikum
Damia?
Saya Dr. Redza
Awak buat apa tu?

Doktor Redza? Macam mana dia boleh dapat nombor telefon aku ni? Ah, ni mesti kerja Kak Lia! Siapa lagi yang nak jual nombor aku selain kakak bertuah seorang tu? Haih.

Damia:
Wasalam, Dr...
Tak buat apa-apa.
Kenapa?

Damia menunggu balasan lelaki itu.

Typing...

Unknown:
Jom keluar?
Saya bosan lah...

Damia:
Keluar?
Dr tak kerja ke?

Unknown:
Tak.
Hari ni saya off

   Patut lah. Damia menggumam sendiri sambil jemarinya lincah menyentuh papan kekunci telefon bimbitnya.

Damia:
Dr nak ajak saya keluar pergi mana?

Unknown:
Jalan-jalan dekat mall.
Makan-makan?

Damia:
Err... just both of us?

Unknown:
Nope.
Saya bawak adik saya.
Okey ke?

   Damia hela nafas panjang. Nasib baik dia heret adik dia! Tak sanggup lah nak keluar berdua sahaja dengan Doktor Redza. Awkward!

Damia:
Elok sangat.
Nak jumpa dekat mana?

Unknown:
Saya ambil awak.
Awak dekat rumah Kak Dahlia,kan?

Damia:
Iya.

Unknown:
Okay. Lagi setengah jam saya sampai.
Bersiap lah...

Damia:
Okay!

Damia letak kembali telefon bimbitnya di atas sofa sebelum bangun dari duduk. Raga yang tinggal separuh pakaian itu ditolak ke tepi dinding. Malam nanti dia sambung lipat. Sekarang dia nak bersiap-siap nak keluar dating dengan Doktor Redza.

   Eh, kejap Mia. Dating? Wah! Kemain lagi kau ya?

   Laju Damia geleng kepala.

   "Tak, ini bukan dating. Aku cuma keluar jalan-jalan tengok dunia luar aje. Lagipun, Doktor Redza bawa adik dia. So, takde istilah 'dating'. Okey!" Damia tarik nafas lalu melangkah menuju ke arah kamarnya.

*****

SURIA KLCC menjadi destinasi pilihan Redza membawa Damia keluar pada hari itu. Damia hanya bersetuju memandangkan sudah terlalu lama dia tidak menjejakkan kaki di situ.

   Damia jeling Redza yang sedari tadi asyik memegang tangan Fasha, adiknya. Langsung tidak dilepaskan sekejap pun tangan itu. Dari dalam kereta, Damia cuma diam mendengar dua beradik itu berborak. Sabar Redza melayan celoteh adiknya yang juga seorang anak Autisme. Terbit rasa bangga dan kagum buat lelaki itu.

   "Ayyyy..." Fasha menarik-narik tangan Redza.

   "Asha nak apa? Asha dah penat berjalan ke?" Redza menyoal, membongkokkan sedikit tubuhnya di hadapan Fasha. Fasha menggeleng namun tangannya menunding ke arah booth Baskin Robbins. Sebelah tangan lagi memeluk bantal busuknya.

   "Asha nak aiskrim?"

   "Aaaa..." terangguk-angguk kepala Fasha. Redza senyum, tangan naik menggosok perlahan kepala adiknya itu.

   "Jom, Along belikan." Tangan Fasha dipimpin mesra. Damia senyum lalu membuntuti belakang dua manusia itu. Matanya tidak lekang daripada memandang Redza yang sabar melayan Fasha. Jujur dia katakan, Fasha seorang yang agak mengada-ngada dan sukar dikawal. Kadang-kadang Fasha memberontak bila tidak dilayan Redza. Damia mengeluh. Dia tidak tahu adakah dia boleh jadi sesabar dan setenang Redza apabila berhadapan dengan seorang anak Autisme seperti Fasha. Damia akui, Redza adalah seorang abang yang sangat hebat dan penyayang. Untungnya kalau dapat lelaki ini. Eh!

   "Damia?" Redza petik jari di hadapan wajah Damia. Segera Damia tersentak. Aduh, ralit sangat tenung anak teruna orang!

    "Ya?" Damia senyum kelat.

   "Awak nak aiskrim jugak?" soal Redza. Damia menggeleng. Harga satu kon aiskrim pun dah boleh mencecah berbelas-belas ringgit. Mahal. Lebih baik dia beli dekat kedai runcit yang harganya cuma RM 2.50. Murah pun murah, sedap pun sedap!

   "Takpe lah, doktor..."

   "Saya belanja. Saya tahu yang perempuan memang hantu ais krim." Redza senyum segaris sebelum membuat pesanan. Beberapa minit menunggu, Redza menghulurkan sebatang kon ais krim kepadanya.

   "Nah, awak punya."

Winter White Chocolate. Macam mana Redza boleh tahu perisa aiskrim kegemarannya kalau di Baskin Robbins? Setahunya, dia tak pernah bagitahu sesiapa pun yang dia sukakan flavor ni. Hmm... pelik bin ajaib. Kebetulan kut.

   "Terima kasih," Damia sambut juga aiskrim yang dihulur Redza. Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.

   "Sama-sama kasih."

Eh?

   "Jom lah," Redza memegang sebelah tangan Fasha lalu berjalan perlahan. Damia menyaingi Redza di sebelah sambil menikmati aiskrim yang dibelikan Redza untuknya tadi. Hmm, sweet jugak doktor ni. Eh sekali lagi!

   "Macam mana study awak dekat Kanada? Is everything okay?" soal Redza.

   "Alhamdulillah, okey. Berkat doa mak saya," Damia senyum. Lima tahun dia di Kanada, hampir saban malam dia akan ber-video call dengan emaknya. Dan setiap kali bersua muka di alam maya, pasti Puan Anisah menitip doa buatnya.

   "So, apa perancangan awak lepasni?"

   "Tak tahu lagi. Rehat sekejap sambil jaga mak saya kut. Saya nak spend time masa dengan dia dulu. Rindu,"

Redza mengangguk faham.

   "Nak tengok wayang tak?" Redza menyoal lagi. Dahi Damia berlapis dulu.

   "Tengok wayang? Saya okey je tapi... adik doktor? Dia okey ke?" Damia pandang Fasha yang leka menikmati aiskrim yang dibeli abangnya tadi. Langsung tak pedulikan orang sekeliling. Redza sentuh kepala Fasha, lembut.

   "Dia adik saya, tahu lah saya nak handle dia. Kalau dia buat perangai, apa susah? Keluar lah dari hall." Redza sengih.

   "Yalah. Saya ikut doktor je. Doktor nak belanja kan?" Damia berseloroh.

   "Mesti lah. Takkan saya nak suruh awak belanja pulak? Saya yang ajak awak keluar kan..." Redza tarik tangan Fasha dan mereka mula melangkah menuju ke aras yang menempatkan panggung wayang. Damia melilaukan pandangan ke sekeliling. Memandang manusia-manusia yang sibuk dengan aktiviti masing-masing. Makan, shopping. Sudah menjadi aktiviti wajib untuk mengisi masa lapang tambah-tambah pada hujung minggu.

Langkah kaki Damia terhenti. Mata Damia terpaku ke arah seseorang yang cukup dikenalinya. Walaupun sudah lima tahun tidak bersua muka, Damia masih belum dapat lupa seraut wajah itu. Jasmin. Isteri Ziyyad, bekas suaminya. Wanita itu kelihatan agak mesra dengan seorang lelaki. Yang pastinya, lelaki itu bukan Ziyyad. Tetapi orang lain. Mana Ziyyad? Kenapa Jasmin boleh bermesra-mesra begitu dengan lelaki yang bukan suaminya? Lima tahun sudah berlalu, adakah...

   "Damia? Awak tengok apa tu?"

Bahu Damia terhinjut apabila Redza tiba-tiba menyoalnya. Terus wajah Redza dipandangnya sebelum bibirnya melorek satu senyuman kelat.

   "Tak tengok apa-apa. Kenapa?"

   "Saja tanya. Mana lah tahu kut awak ternampak kawan lama awak ke?"

   "Eh, takde lah. Dah lama tak balik Malaysia, rasa lain sikit."

Redza gelak.

   "Tu lah. Siapa suruh duduk dekat Kanada tu lama-lama? Seronok sangat belajar dekat negara orang berbanding dekat negara sendiri." Balasan Redza buat dahi Damia berlapis-lapis. Seketika dia menggelengkan kepalanya sambil ketawa kecil.

   "Eleh, doktor pun sama jugak. Dulu pun sebelum jadi psychiatrist, doktor belajar dekat luar negara jugak. Doktor tak boleh nak cari salah saya aje. That's not fair!" balasan Damia buat Redza tarik sengihan panjang.

   "Okey-okey. I surrender!" bila Redza angkat tangan tanda menyerah, Damia lepaskan tawa kecil. Sesekali matanya kembali menjeling Jasmin yang sedang duduk bersama seorang lelaki yang cukup asing pada pandangan matanya di sebuah restoran. Siapa lelaki itu? Mana Ziyyad?

*****

REDZA menarik handbreak kereta sebelum dia menanggalkan seat belt di tubuh. Fasha yang sudah lena di tempat duduk belakang di pandang.

   "Asha, bangun. Kita dah sampai rumah ni." Tangan Redza dah mencuit-cuit kaki Fasha. Terasa diganggu, Fasha mendengus geram. Namun matanya masih terpejam rapat. Penat berjalan agaknya, itu yang nampak letih sangat sampai tak mahu bangun tidur. Damia gelak kecil. Alahai, comelnya Fasha.

   "Dia memang macam ni. Kalau boleh tidur tu..." tergeleng-geleng kepala Redza sebelum dia menoleh memandang Damia di sebelah. Tadi ketika mereka menonton wayang, Fasha tiba-tiba merengek. Risau dengan pandangan manusia-manusia di dalam hall, cepat-cepat Redza tarik Fasha untuk keluar. Kalau dibiarkan lebih lama, pasti Fasha akan menganggu konsentrasi manusia-manusia yang sedang menonton wayang. Tak pasal-pasal dia orang kena marah nanti.

Mujur Damia memahami keadaan waktu itu. Kalau tidak, pasti bergunung rasa bersalahnya buat wanita itu. Yalah, dia ajak Damia menonton wayang tapi belum pun panas punggung Fasha dah buat perangai. Sudahnya, terpaksa lah mereka keluar meninggalkan hall.

   "Saya bawa Asha masuk dalam dulu eh? Lepastu, baru saya hantar awak balik. Boleh?" soal Redza. Damia mengangguk.

   "Boleh aje..."

   "Tunggu sekejap eh?" Redza melangkah keluar dari perut kereta. Fasha yang terlentok elok di tempat duduk belakang dicempungnya. Damia meliarkan pandangan ke sekeliling. Ini kali kedua dia datang ke rumah keluarga Redza. Besar, cantik. Seketika Damia terpandangkan susuk tubuh Puan Saleha di muka pintu. Terus Damia melangkah keluar dari dalam perut kereta seraya mendapatkan wanita itu. Terasa biadap pula kalau dia cuma duduk diam di dalam kereta tanpa menegur tuan rumah.

   "Assalamualaikum, Mak cik..." tangan Puan Saleha diciumnya penuh sopan.

   "Waalaikumussalam. Eh, macam pernah nampak tapi..."

   "Saya Damia. Adik kepada Dahlia, nurse tempat Doktor Redza kerja. Saya ada datang malam kenduri kesyukuran tempoh hari."

Mulut Puan Saleha automatik membentuk 'o'. Baru dia ingat! Bakal menantunya yang Redza sebut-sebutkan tempoh hari.

   "Haah, iya. Baru mak cik ingat. Maaf lah, dah tua-tua ni susah betul nak cam muka orang." Tersengih-sengih Puan Saleha sambil menepuk lembut lengan Damia. Damia tersenyum manis.

   "Eh, takpe. Mia tak kisah pun,"

   "Damia dari mana? Macam mana boleh ada dekat sini?" soal Puan Saleha, pelik. Baru aje Damia mahu buka mulut, suara Redza terlebih dahulu membalas.

   "Along keluar dengan Damia tadi. Bawa Asha sekali."

   "Oh! Eh, tapi sekejapnya keluar. Rasanya baru tadi Along keluar dengan Fasha..." berkerut-kerut dahi Puan Saleha.

   "Fasha buat perangai, ibu. Itu yang Along balik hantar Asha dulu. Ni, Along nak hantar Damia balik pulak." Ujar Redza sambil memandang Damia sekilas. Terangguk-angguk kepala Puan Saleha.

   "Eh, jangan lah balik lagi! Masuk lah, boleh kenal-kenal dulu. Bukan selalu Damia datang sini." Pelawa Puan Saleha. Damia dan Redza saling berpandangan.

   "Err awak nak duduk dulu atau awak nak balik?" soal Redza. Damia berkira-kira. Kalau dia berkeras mahu balik, apa pula kata Puan Saleha nanti? Takut pula orang tua ini berkecil hati dengannya bila dia menolak pelawaan itu.

Wajah Puan Saleha dan Redza dipandang silih berganti.

   "Duduk sini dulu ya? Meh masuk." Tangan Damia dah ditarik Puan Saleha masuk ke dalam rumah. Damia menganggukkan kepalanya lalu memandang wajah Redza. Soalan Redza tadi dijawabnya dengan senyuman.

Bila tengok Puan Saleha bukan main lagi menyoal Damia itu ini, terus kepala Redza dah tergeleng-geleng. Alahai, ibu! Bukan main lagi teruja sambut 'bakal menantu' dia. Sabar ya, ibu. Along sedang mengatur strategi. Hehe.

*****

"ASSALAMUALAIKUM." Pintu ditolak dari luar seraya Damia melangkah masuk ke dalam rumah. Dia ingatkan sekejap sahaja dia duduk di rumah keluarga Redza. Tapi rupanya sehingga ke malam. Lepas makan malam baru lah Redza menghantarnya pulang. Itu pun sempat lagi Puan Saleha mempelawanya untuk menginap di situ.

Dahlia yang sedang duduk menonton televisyen menjawab perlahan salam yang dihulur Damia.

   "Amboi, baru jumpa jalan balik rumah. Buat apa aje tadi dekat rumah bakal mentua?" soal Dahlia, mengusik. Damia menjeling sebelum mengatur langkah mendapatkan Dahlia di ruang tamu. Ruang kosong di sebelah Dahlia didudukinya.

   "Banyak lah akak punya bakal mentua!"

   "Eh, tak betul ke?"

Damia diam tak membalas.

   "Cepat lah cerita. Buat apa aje dekat rumah Doktor Redza sampai malam baru balik?" soal Dahlia, menunjukkan betapa berminatnya dia mahu nak tentang aktiviti yang Damia buat di rumah doktor kacak itu. Damia menjeling.

   "Tak buat apa-apa pun lah. Borak-borak, lepastu makan malam. Lepastu balik."

   "Borak pasal apa je?"

   "Macam-macam lah. Takkan Mia nak cerita dekat akak satu persatu? Jenuh la Mia nak ingat semuanya."

Tercebik bibir Dahlia mendengar balasan adiknya itu.

   "Alah, kedekut betul nak cerita."

   "Betul lah. Borak-borak kosong je. Ibu Doktor Redza tanya Mia pasal pelajaran Mia dekat Kanada, pasal keluarga kita. Takde apa yang diborakkan sangat pun." Balas Damia. Dahlia mengangguk faham.

   "Mesti ibu Doktor Redza tu layan Mia special kan? Yalah, Mia kan bakal menantu dalam keluarga tu..."

Mata Damia dah terbuntang.

   "Eh, siapa kata?! Bila masa pulak Mia ni bakal menantu dalam keluarga tu? Cakap baik-baik sikit eh Kak Lia. Mia cilikan mulut akak karang." Damia dah cuit-cuit pinggang Dahlia. Dahlia menampar perlahan tangan Damia di pinggangnya sambil tertawa. Damia yang dah cemberut wajahnya itu dipandang.

   "Alah, marah pulak dia."

   "Kak Lia lah! Merepek tak habis-habis!"

   "Apa pulak merepeknya? Apa salahnya kalau Mia jadi sebahagian dari keluarga tu? Sampai bila Mia nak hidup membujang lagi? Doktor Redza tu bukan main sempurna lagi. Takkan Mia tak sangkut kut dengan dia?" kerlingan Dahlia di sebelah tidak diendahkannya. Ah, tak nak layan Kak Lia!

   "Jangan cakap benda yang bukan-bukan lah, akak."

   "Bila masa akak cakap benda yang bukan-bukan? Kalau dah jodoh tu, Mia. Lari lah keliling dunia pun, kalau ditakdirkan Doktor Redza tu jodoh Mia... memang jodoh Mia lah tu." Balas Dahlia, selamba. Tak dihiraukan Damia yang dah tak selesa bila dia bangkitkan soal jodoh. Lagi-lagi berkait rapat dengan Redza.

Damia diam. Tak mahu layan!

   "Kak Lia!"

Terhinjut bahu Dahlia yang sedang khusyuk melayani filem dari negara China itu. Damia di sebelah dipandangnya dengan pandangan yang tidak puas hati.

   "Apa lagi kau ni, Mia?"

   "Kak Lia kenal tak dengan Jasmin? Alah, Jasmin isteri Ziyyad tu."

   "Hmm, kenapa dengan dia?"

   "Tadi dekat mall, Mia nampak dia dengan seorang lelaki. Tapi, lelaki tu bukan Ziyyad. Dari cara dia orang tadi, nampak mesra sangat. Mana Ziyyad? Dia tak marah ke Jasmin bermesra macam tu dengan lelaki lain?" soal Damia dengan dahi yang berlapis-lapis. Masih terbayang-bayang lagi kemesraan yang ditonjolkan dua pasangan itu.

Dahlia diam dulu.

   "Kak Lia! Dengar tak apa yang Mia cakapkan tadi?"

   "Ya, akak dengar..."

   "Akak tahu mana Ziyyad pergi?"

Dahlia hela nafas panjang. Damia yang sedang ternanti-nanti jawapan darinya itu dipandang lama.

   "Mia... Ziyyad dengan Jasmin dah bercerai setahun yang lepas."

   "Ya Allah!" mata Damia membulat. Tangan automatik naik menekup mulutnya yang dah terbuka. Jawapan yang keluar dari mulut Dahlia benar-benar buat dia terkejut. Jasmin dan Ziyyad dah bercerai?

   "Ber... bercerai? Tapi kenapa? Bukan ke dia orang..."

   "Punca dia orang bercerai, akak tak tahu. Akak tak ambil tahu pun. Akak boleh tahu dia orang bercerai pun sebab Abang Khai nampak dia orang dekat mahkamah syariah tahun lepas. Lagipun banyak kali juga akak dengan Abang Khai nampak Jasmin keluar dengan lelaki lain lepas dia orang bercerai." Potong Dahlia. Sungguh dia tak berminat nak ambil tahu hal kehidupan Ziyyad dan isteri barunya itu. Selepas apa yang Ziyyad dah buat dekat Damia, rasa bencinya buat Ziyyad tak pernah hilang. Bila berita penceraian Ziyyad dan Jasmin sampai ke pengetahuannya, dia hanya mampu mengangguk sahaja. Mungkin jodoh mereka cuma bertahan untuk beberapa tahun. Mungkin itu kifarah di atas segala perbuatan kejam yang Ziyyad lakukan terhadap Damia dulu.

Damia diam. Dia tak sangka Ziyyad dan Jasmin boleh bercerai. Bukan kah mereka berdua saling mencintai satu sama lain? Bukan kah Jasmin cinta mati akan Ziyyad? Bukan kah Jasmin menantu kesayangan Puan Rafidah?

   "Sudah lah, Mia. Tak payah serabut fikir pasal dia orang. Dia orang bercerai pun, bukan urusan Mia. Lantak dekat dia orang lah nak tunggang terbalik pun. Lebih baik Mia fikir pasal masa depan Mia sendiri." Teguran Dahlia buat Damia mengangguk perlahan. Betul juga apa yang diperkatakan Dahlia. Buat apa dia nak serabutkan kepala fikir pasal dua manusia itu? Lebih baik dia fikirkan pasal diri sendiri.

   "Mia masuk dalam dulu ya, Kak Lia. Mengantuk. Oh ya, ni ada sikit kek lapis. Ibu Doktor Redza yang kasi tadi."

   "Yelah. Kejap lagi akak makan. Selamat malam."

   "Selamat malam, Kak Lia..."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro