Bab 18
TERPEJAM mata Ziyyad sambil menyandarkan tubuhnya pada sofa. Selepas kejadian tadi, terus dia menyuruh Jasmin menghantarnya ke rumah Puan Rafidah, mamanya. Jasmin pula ada hal kerja. Kalau tak difikirkan kerjanya di syarikat, pasti dia menempel di sebelah Ziyyad. Dah macam kutu. Asyik nak menempel atas kepala orang!
"Ziyyad, sayang." Puan Rafidah muncul dengan segelas air oren. Ziyyad mencelikkan matanya lalu memandang Puan Rafidah yang sudah mengambil tempat di sebelahnya. Gelas yang dihulur mamanya itu dicapai lalu diteguk sehingga licin.
"Terima kasih, mama." Ucap Ziyyad sebelum kembali menyandarkan belakang tubuhnya pada sofa. Puan Rafidah menyentuh lengan anaknya itu.
"Kenapa ni? Datang rumah mama dengan muka monyok macam ni. Tadi Jasmin hantar Ziyyad kan? Kenapa tak diajaknya dia masuk sekali?" Soal Puan Rafidah. Wajah Ziyyad dipandang.
"Jasmin ada kerja, tak boleh tinggal. Mama.."
"Ye?"
Ziyyad mencari nafas. Pedih hatinya bila mengingatkan bahawa dia sudah melafazkan talak ke atas Damia. Lagi pedih bila separuh hatinya menyesal bertindak membabi buta begitu. Entah lah. Dia sendiri pun tak faham apa kemahuan dirinya. Tak ada arah tuju!
"Mama, Ziyyad.. Ziyyad dah ceraikan Damia." Ujar Ziyyad sambil menunduk memandang hujung kaki. Hati lelakinya sebak.
Puan Rafidah yang mendengar berita itu terus mengulum senyuman.
"Ya Allah, betul ke? Ziyyad dah ceraikan Damia? Ya Allah... mama suka sangat Ziyyad! Ziyyad memang anak mama." Terus tubuh Ziyyad dirangkulnya dari tepi. Ziyyad membatu. Ya, memang itu yang mamanya mahu dari dulu lagi. Malah sewaktu awal-awal perkahwinannya dengan Damia, mamanya langsung tak kisah membangkitkan isu cerai. Macam cerai itu benda yang boleh dibuat main pulak.
Pelukan di tubuh Ziyyad dirungkaikan. Dengan mata yang bersinar-sinar, Puan Rafidah mula menyoal.
"Macam mana Ziyyad boleh ceraikan Damia? Bila Ziyyad ceraikan Damia?" Suara yang penuh keterujaan itu menyapa gegendang telinga Ziyyad. Gembira sangat ke mamanya bila dia ceraikan Damia?
"Tadi."
"Ish, cerita lah dekat mama macam mana Ziyyad boleh ceraikan perempuan tu? Mama excited nak tahu ni."
Ziyyad hela nafas berat.
"Tadi Ziyyad pergi keluar lunch dengan Jasmin. Bila Ziyyad nak balik ofis, Ziyyad nampak Damia dengan lelaki lain dekat car park. Lelaki itu pegang tangan Damia. Ziyyad pergi dekat dia orang dan Ziyyad tanya siapa lelaki tu. Damia tak jawab tapi dia back up lelaki tu, ma. Ziyyad geram then Ziyyad terus ceraikan Damia depan Jasmin dan lelaki tu." Cerita Ziyyad. Langsung dia tak sentuh kisah yang sebenar.
Huh, mana mungkin dia akan ceritakan tentang pakaian milik Jasmin yang Damia jumpa di dalam bilik tidur mereka. Mana mungkin dia akan ceritakan bahawa dia dan Jasmin sebenarnya sudah terlanjur. Biar lah semuanya menjadi rahsia di antara dia, Jasmin dan Damia. Orang lain tak perlu tahu.
"Serius? Huh, mama dah cakap dekat Ziyyad dari dulu lagi kan? Damia tu bukan perempuan yang baik. Depan Ziyyad boleh lah dia tunjuk muka innocent dia tu, konon-konon dia tu perempuan baik.. isteri solehah. Belakang Ziyyad, nah dia main kayu tiga. Nasib baik Ziyyad nampak kalau tak, sampai bila-bila pun dia akan perbodohkan Ziyyad. Entah-entah anak yang dia kandung tu bukan anak Ziyyad."
"Mama! Apa yang mama merepek ni?!" Ziyyad berang. Dia sedikit pun tak pernah meragukan status anak di dalam kandungan Damia. Malah dia tak pernah terfikir bahawa anak di dalam kandungan Damia bukan dari benihnya. Bagaimana mamanya boleh berfikir sejauh itu?
"Yang Ziyyad nak marahkan mama kenapa? Betul lah apa yang mama cakap. Bila dia senyap-senyap main kayu tiga dekat belakang Ziyyad, tak mustahil kalau dia mengandungkan anak lelaki lain. Yalah, kalau dia mengandung anak lelaki lain pun orang takkan perasan sebab Ziyyad suami dia. Orang akan cakap Ziyyad bapa kepada anak dia. Sekarang ni, Ziyyad dah ceraikan dia. Biar padan muka dia! Dia dengan anak dia tu boleh pergi mati." Lancang setiap ayat yang keluar dari mulut Puan Rafidah. Sungguh dia resa lega dan seronok dengan perpisahan itu. Puas hatinya bila Damia diceraikan.
"Mama, kenapa mama boleh terfikir sejauh ni? Ziyyad tahu mama bencikan Damia, tapi takkan mama sanggup mendoakan Damia dengan anak tu mati? Apa-apa pun, Damia pernah jadi isteri Ziyyad. Damia tak sejahat apa yang mama fikirkan.."
"Ahmad Ziyyad, dengar sini. Dah terang lagi bersuluh Ziyyad nampak Damia dengan lelaki lain berpegang tangan. Ziyyad nak menafikan apa lagi? Dia dah curang dengan Ziyyad tahu tak? Dan sekarang Ziyyad masih nak bela perempuan curang macam tu. Damia dengan mak dia tu takde beza! Sama-sama perempuan tak tahu malu." Turun naik nafas Puan Rafidah bila memikirkan Puan Anisah.
Ziyyad diam. Tak tahu nak balas apa bila mamanya bersungguh-sungguh menuduh Damia. Baginya, Damia memang perempuan yang jahat. Isteri curang. Curang? Dia atau Damia yang curang? Atau sama-sama curang?
Ziyyad.. kau yakin ke Damia curang? Kau cuma nampak lelaki tu pegang lengan Damia dengan berlapik.
Ziyyad meraup wajah. Dia berbelah bahagi. Dia sudah ceraikan Damia dan dia tak boleh putarkan masa kembali. Ziyyad, kau memang suka bertindak tak pakai otak!
"Ziyyad masuk bilik dulu. Ziyyad nak rehat." Terus dia angkat punggung lalu melangkah ke arah bilik tidur. Kepalanya sakit asyik fikirkan pasal itu. Puan Rafidah memandang belakang tubuh Ziyyad. Satu senyuman kepuasan terbit di bibirnya.
Apa-apa pun, dia sangat berpuas hati bila Ziyyad menceraikan Damia. Akhirnya! Berjaya juga dia hapuskan keturunan Anisah dari keluarganya.
"Padan muka kau, Anisah. Karma dah turun dekat anak kau sendiri." Gumam Puan Rafidah dengan tawa kecil.
*****
REDZA menolak pintu wad yang menempatkan Damia. Ditangannya terdapat sejambak bunga Daisy putih yang sempat dibelinya di sebuah kedai bunga berdekatan dengan hospital. Setelah diperiksa oleh doktor bertugas, Damia ditahan di wad kerana wanita itu kehilangan banyak air dan sistem imun Damia lemah.
Kerusi yang terletak bersebelahan katil hospital itu ditarik. Punggung dilabuhkan di atasnya sambil mata tak lepas merenung wajah pucat Damia yang sedang terlena. Mungkin kesan ubat membuatkan Damia tertidur. Tadi dia diberitahu bahawa Damia meracau apabila terjaga. Tak henti-henti Damia menyebut nama Ziyyad. Berkali-kali dia merayu mahu bertemu dengan Ziyyad.
Redza hela nafas berat. Terbit rasa kasihan terhadap ibu mengandung itu.
"Ziyyad.." Redza tersentak. Terus dipandang Damia yang masih memejamkan mata namun bibir keringnya menyebut perlahan sebaris nama itu.
"Ziyyad. Awak tak boleh tinggalkan saya macam ni," Sambung Damia lagi. Kini ada air mata yang mengalir turun melalui hujung matanya yang terpejam rapat. Dahi Redza berkerut. Dia menangis dalam tidur?
Redza hela nafas berat sekali lagi. Bergunung-gunung rasa simpatinya buat Damia. Tidak mahu menganggu Damia, Redza bangun dari duduk. Sejambak bunga Daisy putih yang dibungkus cantik itu diletakkan di atas meja bersebelahan katil. Namun baru beberapa tapak dia melangkah, suara rintihan Damia kembali menyapa pendengarannya.
"Apa salah saya? Ziyyad... apa salah saya?" Esakan kecil mula terbit dari mulut Damia. Redza pantas menoleh memandang Damia yang sedang menangis dalam tidur. Redza kembali menghampiri. Mahu ditinggalkan Damia sendirian dengan keadaan begitu, dia tak sampai hati. Akhirnya, dituruti akalnya untuk berada di situ. Dia kembali duduk, bukan di atas kerusi tapi di birai katil. Wajah Damia yang lencun dengan air mata itu dipandang lama.
"Anak kita. Kenapa awak kejam sangat?"
Jeda. Redza lebih gemar memerhati bibir kering itu bergerak-gerak.
"Ziyyad? Ziyyad jangan pergi! Ziyyad!"
Mata Damia terbuka luas. Terkebil-kebil memandang siling putih. Namun seketika cuma sebelum dia kembali menangis. Esakan yang tadinya perlahan kini bertukar kepada raungan. Tangis itu memenuhi ruang wad yang cuma ada mereka berdua sahaja.
"Ziyyad, awak tak boleh tinggalkan saya! Awak tak boleh tinggalkan anak kita! Ziyyad, mana awak? Mana awak Ziyyad?" Damia sudah bangkit dari pembaringan. Jarum di tangan cuba ditarik namun pantas ditahan Redza.
"Damia, awak nak pergi mana?" soal Redza sambil memegang pergelangan tangan Damia. Damia sedikit meronta-ronta.
"Lepas! Saya nak cari Ziyyad! Saya nak cari Ziyyad sekarang juga!" Tangan Redza ditepisnya kasar.
"Okey, awak boleh jumpa Ziyyad tapi bukan sekarang. Keadaan awak belum stabil lagi." Balas Redza, cuba berlembut. Namun setiap apa yang diperkatakan Redza langsung tak diambil peduli. Pantas dia mencabut kasar jarum di tangannya. Langsung tak difikirkan rasa sakit itu.
"Tepi! Lepas! Jangan halang saya! Saya nak jumpa suami saya!"
"Awak tak boleh pergi mana-mana, Damia!"
"Lepas lah!" Tangan Redza yang sedang memeluk tubuhnya itu dipukul sekuat hati. Kakinya sudah menendang-nendang angin. Berusaha dia mahu melepaskan diri daripada pelukan Redza. Dia mahu mencari Ziyyad. Dia perlukan penjelasan daripada lelaki itu.
"Nurse! Nurse!" Lantang Redza menjerit. Tak sampai beberapa saat, muncul dua orang jururawat dengan wajah terkejut apabila melihat keadaan Damia yang berusaha melepaskan diri. Redza menarik tubuh Damia ke arah katil lalu dibaringkan wanita itu dengan bantuan dua orang jururawat tadi.
"Give her sedative," Arah Redza sambil memegang kedua-dua belah tangan Damia. Pantas jururawat tersebut menyuntik ubat penenang pada lengan Damia. Untuk seketika, Damia berhenti meronta. Tangan yang tadinya lincah menepis segala benda sudah tidak bergerak seperti tadi. Redza menjarakkan tubuh lalu menghela nafas lega.
Tak padan dengan perempuan. Bila dalam keadaan tak sedar, tenaga perempuannya lain macam. Dah boleh jadi Badang versi perempuan. Eh kejap. Badang kuat ke?
"Jangan tinggalkan saya..." Tutur Damia perlahan sebelum matanya terpejam rapat. Dua orang jururawat tersebut segera melangkah keluar setelah merapikan selimut di tubuh Damia dan kembali memasang iv drip pada tangan Damia.
Redza berdiri di hujung katil sambil menghadap Damia. Nafas dihela berat untuk kesekian kalinya. Kesian Damia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro