Bab 17
PERLAHAN-LAHAN Damia mencelikkan matanya. Dia menoleh ke kiri, memandang Dahlia yang masih belum sedar bahawa dia sudah terjaga.
"Kak Lia.." Serak suara Damia memanggil. Dahlia tersentak, lantas terus mendapatkan Damia. Kedua-dua belah pipi Damia dipegang.
"Mia, Mia okey? Mia nak air?" Dahlia menyoal risau. Melihatkan wajah Dahlia membuatkan dada Damia kembali sebak. Matanya terasa panas sebelum ada cecair jernih mengalir keluar dari hujung mata dan jatuh membasahi bantal putih.
"Kak Lia.." Damia bangkit dari pembaringan lalu tubuh Dahlia dipeluk erat. Tangisnya sekali lagi pecah. Uniform putih yang dipakai Dahlia basah di bahagian bahu. Belakang tubuh Damia diusap perlahan.
"Sabar, Mia." Tutur Dahlia. Tadi, Redza yang membawa Damia ke hospital apabila Damia tiba-tiba pengsan tak sedarkan diri. Dan Redza juga sudah ceritakan segala-galanya padanya tadi. Sungguh, dia rasa mahu berjumpa empat mata dengan Ziyyad saat itu juga. Dia mahu menampar wajah Ziyyad sepuas hatinya. Sanggup lelaki itu buat adiknya begini?!
"Mia dah kena cerai Kak Lia. Mia.. Mia dah kena cerai." Gogoi Damia. Entah dah berapa banyak air matanya tumpah hari ini. Kepalanya pula sudah terasa berdenyut-denyut dek terlampau banyak menangis.
"Sabar, Damia. Ingat Allah."
"Dia kejam sangat, Kak Lia. Dia ceraikan Mia tanpa fikirkan kandungan Mia. Apa Mia nak jawab kalau anak Mia nanti tanya siapa ayah dia? Mia tak nak anak Mia tak berbapa. Mia sanggup rujuk dengan Ziyyad asalkan anak Mia berbapa, Kak Lia." Tutur Damia dengan tangis yang mendayu-dayu.
Dahlia menolak perlahan tubuh Damia. Kedua-dua belah bahu Damia dipegang. Wajah pucat Damia dipandang.
"Sudah lah, Damia. Jangan fikir pasal tu sangat, yang penting Mia rehat banyak-banyak. Badan Mia lemah sangat sekarang ni. Kesian baby dalam perut tu. Mia nak ke anak Mia terima sekali tempiasnya? Kak Lia nak Mia rehat secukupnya. Jangan pergi mana-mana, rehat je dekat sini. Faham?" Tegas suara Dahlia. Damia terdiam dengan sebelah tangan menyentuh perutnya.
"Kak Lia.."
"Ye?"
"Mak tahu pasal ni?"
Dahlia diam dan menggelengkan kepalanya.
"Belum. Kak Lia belum kasi tahu mak pasal ni. Nanti Kak Lia.."
"Tak payah bagitahu mak. Mia tak nak mak risaukan Mia. Cukup lah sebelum ni Mia dah buat mak risau bila Mia bertegas nak kahwin dengan Ziyyad. Mia tak nak mak risaukan Mia lagi." Tutur Damia, sebak. Air matanya kembali bergenang apabila seraut wajah tua Puan Anisah terlayar di ruang mata. Kalau Puan Anisah berada di hadapannya, pasti dia sudah menangis sehingga keluar air mata darah.
Menangis disebabkan malangnya dirinya diceraikan ketika mengandung dan menangis disebabkan kebodohan sendiri tidak mendengar nasihat emaknya dulu. Oh, kau sungguh bodoh Nureen Damia. Dan tahniah, ini balasan di atas ke 'bodoh'an kau sendiri.
"Sudah, Kak Lia tak nak Mia fikir lagi. Tidur, nanti Kak Lia datang balik." Dahlia membantu Damia untuk kembali berbaring. Damia menurut tanpa kata. Saat kepalanya mencecah bantal, automatik matanya terpejam. Kepalanya yang sedari tadi asyik berdenyut-denyut membuatkan dia rasa tak selesa. Rasa nak baring sahaja.
"Kalau Mia nak apa-apa, bagitahu je nurse dekat luar tu. Nanti Kak Lia datang." Pesan Dahlia. Melihat anggukan daripada Damia membuatkan Dahlia beredar. Pintu bilik rawatan ditutup rapat.
*****
"DENGAR sini baik-baik, Nureen Damia Binti Zainol Abidin. Aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau tunggu je surat dari mahkamah nanti."
Lafaz cerai itu berkali-kali diulang tayang di halwa telinganya. Masih segar bugar lagi peristiwa itu di fikirannya. Masih jelas lagi bagaimana wajah Ziyyad dan Damia saat baris ayat itu terlafaz lancar.
Redza berdecit.
"Mia dah kena cerai Kak Lia. Mia.. Mia dah kena cerai."
Suara menggogoi Damia yang didengarinya tadi membuatkan hati Redza terasa dihiris-hiris. Kalau lah Damia halal buatnya, pasti sudah dibawa Damia ke dalam pelukan. Sudah dia pujuk wanita berbadan dua itu.
"Dia kejam sangat, Kak Lia. Dia ceraikan Mia tanpa fikirkan kandungan Mia. Apa Mia nak jawab kalau anak Mia nanti tanya siapa ayah dia? Mia tak nak anak Mia tak berbapa. Mia sanggup rujuk dengan Ziyyad asalkan anak Mia berbapa, Kak Lia."
Redza mengeluh berat. Kesian Damia. Langsung tak fikirkan masa depannya, yang dia fikir cuma soal anak di dalam kandungan. Redza raup wajah. Rasa marahnya buat Ziyyad semakin membara. Kalau lah dia hilang sabar tadi, pasti sudah lunyai Ziyyad dibelasahnya.
"Awak patut cari ayah yang lain untuk dia."
Sebegitu mudah? Tak sedarkah bahawa anak di dalam kandungan Damia merupakan benihnya? Senangnya dia lontarkan ayat itu seolah-olah dia tiada kaitan dengan bayi di dalam kandungan Damia. Dasar lelaki tak guna! Redza mengepal buku lima.
"Doktor Redza?"
Redza tersentak. Terus dia memandang ke arah daun pintu yang terkuak sedikit. Terjengul wajah sugul Dahlia.
"Kak Dahlia. Masuk lah," pelawa Redza sambil membetulkan duduknya. Dahlia melangkah masuk lalu kerusi di hadapan meja kerja Redza didudukinya.
"Ada apa Kak Dahlia?" soal Redza.
"Err.. Damia dah bangun?" Sambung Redza lagi sekadar menyoal sedangkan dia tahu Damia sudah bangun. Tadi, dia mengintai perbualan dua beradik itu di bilik rawatan kecemasan.
Dahlia mengangguk lemah.
"Saya nak ucapkan terima kasih dekat Doktor Redza sebab bawakan Mia ke hospital. Kalau takde doktor, saya tak tahu apa jadi dekat adik saya tu. Sekali lagi, terima kasih Doktor Redza." Tutur Dahlia, ikhlas.
"It's my pleasure, Kak Dahlia. Lagipun, kebetulan saya ada dekat situ. Takkan lah saya nak biarkan dia." Balas Redza, mengukir senyuman segaris. Dahlia tiba-tiba teresak. Berkerut dahi Redza memandang Dahlia yang sedang mengesat hujung matanya yang basah.
"Saya kesiankan Mia. Kenapa lah nasib adik saya macam tu? Diceraikan waktu mengandung. Saya tak boleh bayang macam mana dia nak hadap semuanya lepas ni dengan keadaan dia yang sekarang." Bergetar suara Dahlia. Damia satu-satunya adik yang dia ada. Mereka membesar bersama dari kecil sehingga lah sekarang. Susah senang mereka bersama. Teman ketawa, teman bergaduh. Cuma mereka berdua.
Redza diam memberi ruang untuk Dahlia meluahkan isi hatinya.
"Dari dulu lagi saya memang tak setuju bila Mia cakap dia nak kahwin dengan Ziyyad. Beria-ria Mia nak kahwin dengan Ziyyad walaupun saya dengan mak tegur. Tapi Mia degil. Dia terlampau cintakan Ziyyad, jadi kita orang terpaksa turutkan aje kemahuan dia." Dahlia mula membuka cerita dulu-dulu di hadapan Redza.
Redza menegakkan tubuhnya di atas kerusi. Tunak dia memandang ke arah Dahlia dengan penuh minat.
"Maksud Kak Dahlia, perkahwinan Damia dengan Ziyyad tak direstui awalnya?" soal Redza ingin tahu.
Dahlia mengangguk.
"Mak kita orang dengan mak Ziyyad pernah ada kisah silam. Mak Ziyyad tak sukakan mak kita orang. Dia bencikan mak kita orang sebab dia kata mak kita orang perampas. Dia tuduh mak kita orang.. pembunuh."
"What? Pembunuh?"
"Kisah dulu, Doktor Redza. Masa tu saya kecil lagi, mak pun masa tu tengah berpantangkan Damia. Kata mak, arwah ayah Ziyyad selalu datang rumah ziarah mak dengan kita orang dua beradik. Arwah ayah Ziyyad dengan arwah ayah kita orang, kawan baik. Dah macam isi dengan kuku. Bila arwah Pak Cik Mazlan selalu datang rumah untuk ziarah keadaan kami, Mak Cik Fidah mula salah faham. Dia tuduh mak kita orang perampas. Satu hari, Pak Cik Mazlan datang rumah kita orang macam biasa bawak buah tangan. Hari tu jugak, Mak Cik Fidah datang serang mak dekat rumah. Entah macam mana, Pak Cik Mazlan terjatuh dari tangga masa bergelut dengan Mak Cik Fidah. Pak Cik Mazlan meninggal dan Mak Cik Fidah mula tuduh yang semuanya berpunca dari mak. Kalau Pak Cik Mazlan tak datang jenguk mak, mesti Pak Cik Mazlan takkan meninggal." Cerita Dahlia.
Terangguk-angguk kepala Redza. Masih ada lagi rupanya orang yang menyimpan dendam kisah lama dan terbawa-bawa sehingga sekarang.
"So, mak si Ziyyad tu memang tak sukakan Damia? Maksud saya, err.."
"Mak Cik Fidah tak sukakan seluruh keluarga saya. Dia dendam dengan mak saya, dia bencikan saya dan Damia sampai sekarang walaupun Damia dan Ziyyad berkahwin. Damia tak pernah dilayan seperti seorang menantu."
"Kalau Mak Cik Fidah tu bencikan Damia, kenapa dia terima juga Damia sebagai menantu?"
"Sebab cinta, Doktor Redza. Ziyyad satu-satunya harta yang Mak Cik Fidah ada. Bila Ziyyad merayu nak kahwin dengan Damia, terpaksa lah Mak Cik Fidah izinkan. Tapi, dia tetap bencikan kami semua. Bagi dia, kahwin atau tidak sama je. Damia bukan menantu dia. Saya pun pelik, kenapa hati Damia kental sangat? Dah tahu mertuanya tu bencikan dia, tapi dia tetap mahukan Ziyyad. Agung sangat cinta dia orang." Dahlia gelak sinis di hujung ayatnya. Namun sekejap sahaja sebelum bibirnya kembali bergetar bila teringatkan seorang Nureen Damia.
Sayu Redza memandang wajah Dahlia. Lagi sayu bila teringatkan Damia. Bagaimana Damia berhadapan dengan kebencian itu ketika bergelar isteri kepada Ziyyad? Bagaimana Damia kentalkan hatinya menerima kebencian dan tohmahan dari ibu mertua sendiri?
"Tapi sekarang saya lega bila Ziyyad dah lepaskan Damia. Walaupun saya tahu Damia sakit dengan perpisahan ni, tapi itu lah jalan yang terbaik. Damia deserve someone better than Ziyyad." Sambung Dahlia lagi.
Terangguk kepala Redza, bersetuju dengan apa yang diperkatakan Dahlia. Damia layak dapat lelaki yang jauh lebih baik dari Ziyyad. Semestinya.
"Saya yakin Damia seorang wanita yang tabah. Dia kuat," Redza senyum segaris. Dahlia menganggukkan kepalanya beberapa kali.
"Terima kasih Doktor Redza. Dan saya minta maaf sebab dah curi masa doktor. Segan pula saya berdrama air mata depan doktor." Dahlia gelak kecil.
"It's okey, Kak Dahlia. I'm a good listener."
"And a good looking too."
"Eh!" Redza gelak kecil diikuti Dahlia. Dahlia pandang lama wajah Redza yang sedang tersenyum itu. Kacak. Siapa sangka doktor kacak ini masih belum terikat dengan mana-mana perempuan. Dengan wajah yang tampan, ekonomi yang kukuh dan ada pegangan agama mustahil Redza tak ada teman wanita. Tapi itu lah hakikatnya. Redza lebih selesa hidup solo. Katanya, masih ada banyak tanggungjawab yang harus digalasnya sebagai seorang doktor.
"Kan best kalau doktor jadi adik ipar saya. Mesti adik saya bahagia." Seloroh Dahlia membuatkan Redza terkedu. Dia hanya mampu tersengih kelat, tak tahu mahu bagi reaksi yang bagaimana. Dahlia menyedari perubahan wajah Redza segera bersuara.
"Gurau je lah, doktor. Don't take it serious."
"Ouh, okey.."
"Saya pergi sambung kerja dulu lah, doktor. Maaf sekali lagi sebab kacau waktu doktor." Dahlia bangun dari duduk lalu menolak kerusi yang didudukinya tadi. Redza mengangguk dengan senyuman yang masih belum lekang dari bibirnya.
"Takpe, Kak Dahlia. Remember, I'm a good listener and.. a good looking too." Redza sengih. Saja masuk bakul angkat sendiri. Dahlia mencebik sebelum menghilang di sebalik daun pintu bilik kerja Redza. Redza menyandarkan tubuhnya pada kerusi empuknya. Mindanya kembali teringatkan Damia.
"Kan best kalau doktor jadi adik ipar saya. Mesti adik saya bahagia."
Redza menggeleng laju.
"Dah cukup-cukup lah fikir benda yang mengarut tu, Redza. Kerja okey. Kerja!" Fail yang berisi beberapa helaian kertas bercetak dibuka. Cermin mata dicapai lalu diletak elok di atas pangkal hidungnya. Dia mula menyibukkan diri dengan kerja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro