Bab 16
"ZIYYAD ada?!" soal Damia, kasar kepada penyambut tetamu apabila dia tiba di Ruhaidan Architects. Bukan niat dia mahu berkurang ajar, tetapi kesabarannya terhadap Ziyyad dan Jasmin kian menipis.
"Err.. Puan Damia kan? Encik Ziyyad takde.." Takut-takut penyambut tetamu itu menjawab. Gerun juga dia lihat wajah tegang Damia dan nada suara wanita itu. Hari tu Damia datang dengan wajah yang ceria sahaja. Siap bagi dia bekal lagi.
"Dia pergi mana?" Lagi Damia menyoal.
"Tak tahu, puan. Dia memang tak masuk ofis dari tadi." Jawab penyambut tetamu itu lagi. Damia menahan rasa, buku limanya digenggam kuat. Terus dia berura-ura mahu keluar dari bangunan tersebut sebelum dia kembali menghadap penyambut tetamu tersebut. Senyuman nipis diukir.
"Terima kasih dan saya minta maaf." Terus Damia beredar usai menuturkan ayat itu. Perlahan kakinya menghampiri kereta comel miliknya dengan dada yang sebak. Mana Ziyyad pergi? Sudah puas dia menghubungi Ziyyad namun langsung tak berangkat. Hendak ke tempat kerja Jasmin, dia tak tahu di mana. Mahu menghubungi Jasmin, dia tak ada nombor telefon gadis itu. Mahu ke rumah Puan Rafidah? Memang tak lah. Memang caci maki sahaja lah yang dia akan dapat nanti. Sudah lah Puan Rafidah bencikan dirinya.
Damia terduduk mencangkung di tepi tayar keretanya apabila terasa lututnya sudah tak mampu menyokong kakinya untuk berdiri. Beg tangan miliknya dipeluk erat sambil wajahnya sudah mula basah dengan air mata. Bahunya sudah terhinjut-hinjut. Sedih bila memikirkan bahawa Ziyyad curang dengannya. Sudah lah curang, berani pula bawa Jasmin masuk ke dalam bilik tidur mereka.
Ya Allah, sakitnya.
"Damia?" Teguran seseorang buat Damia angkat wajah. Mendongak dia memandang seorang lelaki yang sedang membongkok di hadapannya. Pantas dia mengesat wajahnya dengan belakang tangan dan berdiri.
"Doktor Redza?" perlahan nama itu meniti di bibir Damia. Berkerut dahi Redza memandang Damia yang sedang tertunduk-tunduk. Tadi dia berjumpa dengan salah seorang rakannya dan kebetulan dia perasan kereta milik Damia. Bila dia hampiri, terus matanya disajikan dengan susuk tubuh Damia yang sedang duduk mencangkung sambil menangis. Sudah lah cuaca panas dengan matahari di atas kepala.
"Are you okey?" soal Redza, prihatin. Damia mengangguk.
"Doktor buat apa dekat sini?" soal Damia dengan suara yang sedikit serak.
"No, you're not okey. You're crying, Damia. Bagitahu saya kenapa?" Redza tidak membalas soalan Damia, malah dia menggesa wanita itu untuk menceritakan hal sebenar. Melihat keadaan Damia, dia tak rasa Damia sengaja membuat drama percuma dengan duduk mencangkung di tepi tayar kereta sambil menangis.
Damia menggeleng.
"Saya tak apa-apa, doktor. I'm really okey."
"No, you're not!" nada suara Redza sedikit menaik. Berbalam-balam pandangan Damia memandang wajah Redza. Air matanya kembali bertakung.
"Saya.. saya.."
"It's okey. Awak bagitahu saya apa yang dah jadi. Siapa buat awak?"
Suami sendiri. Damia menjawab dalam hati. Kepalanya digeleng-gelengkan beberapa kali. Dia tak boleh aibkan suaminya kepada orang luar. Dia harus dapatkan kepastian yang sahih daripada Ziyyad dan Jasmin.
"Saya okey. Doktor tak perlu masuk campur hal saya. Saya pergi dulu.." Damia berura-ura mahu membuka pintu kereta sebelum lengannya ditarik dari belakang. Damia menoleh memandang wajah Redza.
"Nureen Damia!" Damia dan Redza masing-masing tersentak sebelum keduanya memandang ke arah Ziyyad yang sedang menapak menghampiri. Wajah lelaki itu kelihatan tegang. Dan Jasmin. Perempuan itu setia membuntuti belakang Ziyyad.
Tajam Ziyyad memandang ke arah Redza dan Damia silih berganti.
"Ziyyad.." Tutur Damia. Terkejut juga bila Ziyyad muncul tiba-tiba.
"Oh, ni lah lelaki simpanan kau?" Ziyyad memandang Redza atas bawah sambil sebelah tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar slack. Damia gigit bibir bawah mendengar tuduhan suaminya itu.
"Jaga sikit mulut awak tu, Ziyyad." Bergetar suara Damia. Ziyyad mencebik.
"Hmm, interesting! Dah pandai back up jantan lain," Sinis balasan Ziyyad. Mata tajam merenung ke arah Damia.
"Jangan awak nak tuduh saya yang bukan-bukan, Ziyyad. Cermin diri awak dulu sebelum awak nak tuduh saya." Damia membalas renungan tajam Ziyyad. Dia cuba kuatkan hatinya tatkala berhadapan dengan Ziyyad. Dia tak boleh nampak lemah!
Ziyyad gelak sinis melihat Damia. Sedikit terkejut sebenarnya bila isterinya itu sudah berani membalas renungan tajamnya. Damia menyelongkar tas tangannya yang sedikit besar lalu dibawa keluar sehelai cardigan polkadot berwarna kelabu dan juga getah rambut yang dijumpainya di dalam bilik tidur rumahnya.
"Ni! Siapa yang punya?!" soal Damia, menengking. Dadanya sudah berombak menahan rasa kecewa, sebak dan marah. Wajah Ziyyad berubah apabila melihat barang yang berada di dalam pegangan Damia.
Barang milik Jasmin. Rahang Ziyyad bergerak-gerak.
Jasmin yang berdiri di belakang Ziyyad menyimpan senyuman kemenangan. Ya! Ini yang dia inginkan! Berhasil juga rancangannya menggoda Ziyyad malam tadi. Memang sengaja dia tinggalkan pakaiannya di kamar itu malam tadi supaya Damia menghidu sesuatu yang telah terjadi.
"Kenapa diam?! Saya tak rasa awak yang punya sebab saya tak bodoh untuk bezakan barang lelaki dan barang perempuan. Cakap dengan saya, Ahmad Ziyyad. Barang-barang ni siapa yang punya?" Damia bersuara lagi bila Ziyyad diam tidak membalas. Mata lelaki itu sahaja yang memandangnya.
Ziyyad diam lagi.
"Jasmin, kan? Barang-barang ni milik betina yang tengah berdiri belakang awak tu kan?" Damia menjeling Jasmin di belakang. Bukan dia tak nampak perempuan itu tersenyum-senyum di belakang Ziyyad.
"Nama dia Jasmin, bukan betina." Ziyyad bersuara. Hancur hati Damia bila Ziyyad mempertahankan Jasmin. Air mata Damia kembali menitis. Tangannya menggigil sebelum dia melempar barang milik Jasmin ke wajah Ziyyad.
"Aku benci kau, Ziyyad! Kau curang dengan aku!" Tengking Damia dengan nafas yang turun naik. Ziyyad tidak membalas. Cardigan polkadot dan getah rambut milik Jasmin yang jatuh di hujung kasutnya dicapai sebelum diserahkan kepada Jasmin. Damia yang sedang berendam air mata itu dipandang.
"Ya, aku curang. Puas hati kau?" Balas Ziyyad, tenang.
"Sampai hati awak, Ziyyad. Kenapa awak buat saya macam ni?" Lirih Damia menyoal sebelum menekup mulutnya dengan sebelah tangan. Ziyyad membuang pandang ke arah lain. Sejujurnya, dia tak sanggup lihat Damia menangis. Dia benci bila Damia menangis kerananya.
Redza cuma diam. Lebih gemar menjadi pemerhati buat masa sekarang.
"Apa kurangnya saya, Ziyyad? Apa salah saya dekat awak sampai awak sanggup buat saya macam ni? Tak cukup ke sayang dan cinta saya untuk awak? Apa lagi yang awak harapkan dari saya, Ziyyad?" gogoi Damia sambil sebelah tangan memegang badan kereta, menampung tubuhnya yang seakan-akan sudah tak mampu untuk berdiri.
Ziyyad diam. Hatinya sedikit pilu mendengar suara Damia.
"Kenapa awak diam? Say something, Ziyyad! Cakap lah!" Damia menolak-nolak bahu Ziyyad. Tak cukup dengan itu, dada bidang Ziyyad ditumbuknya dengan rasa kecewa. Ziyyad menangkap kedua-dua belah pergelangan tangan Damia. Mata Damia direnungnya.
"I'm sorry. Aku tak boleh nak teruskan perkahwinan ni. Kita cerai,"
Pang!
Terteleng kepala Ziyyad ke kanan. Perit pipi kirinya menjadi mangsa tamparan Damia. Redza dan Jasmin masing-masing terkedu melihat drama sebabak itu di hadapan mata.
"Awak kejam, Ziyyad! Awak sedar tak yang saya tengah mengandungkan anak awak? Awak nak lepaskan saya dengan keadaan saya yang macam ni? Mana hati dan sifat berperikemanusiaan awak?" soal Damia, sebak. Air mata masih galak merembes. Sungguh dia sedih bila memikirkan pengakhiran rumah tangganya yang 'tragis'. Dengan keadannya yang berbadan dua. Bagaimana nasib anak yang sedang dikandungnya nanti? Dilahirkan tak berbapa?
"Awak patut cari ayah yang lain untuk dia." Balasan Ziyyad buat tangisan Damia pecah. Bahu Ziyyad dipegang.
"Ziyyad.. Awak sedar tak apa yang awak tengah cakapkan sekarang?" soal Damia. Dia juga pelik dengan dirinya. Jauh di sudut hati, dia mahukan perpisahan. Buat apa lagi dia mahu hidup dengan orang yang curang di belakangnya? Tetapi, bila memikirkan bayi di dalam rahimnya sekarang.. dia harus rendahkan egonya. Masa depan anaknya lagi penting dari dirinya. Dia takkan biarkan anaknya lahir tak berbapa.
Ziyyad menolak tangan Damia di bahunya lalu berundur setapak.
"Dengar sini baik-baik, Nureen Damia Binti Zainol Abidin. Aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau tunggu je surat dari mahkamah nanti." Usai menuturkan ayat itu, Ziyyad menapak pergi diikuti Jasmin di belakang. Sempat dipandang Damia sekilas.
Damia terkedu. Tubuhnya terasa mahu rebah sebelum ada sepasang tangan memegang bahunya dari belakang, membantunya untuk berdiri.
"Damia, awak boleh berdiri tak ni?" Soal Redza. Damia diam, cuma air mata sahaja yang masih menitis keluar. Dia tak salah dengarkan tadi? Ziyyad baru sahaja menjatuhkan talak ke atasnya. Ziyyad baru sahaja menceraikannya di hadapan Redza dan Jasmin.
"Damia?"
"Dia... dah ceraikan saya?" Damia pandang Redza sebelum dia terasa kepalanya semakin memberat dan selepas itu dia sudah tak nampak apa-apa. Perkara terakhir yang dia dengar adalah suara Redza yang memanggil-manggil namanya selepas itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro