Bab 15
Kereta Ziyyad jenis Honda CRV metalik tiada di porch sewaktu dia pulang ke kediaman itu. Selepas pergaduhan yang berlaku malam tadi, Damia terus memandu ke rumah Dahlia dan menginap satu malam di rumah kakaknya itu. Bukan dia tak mahu pulang, tapi dia ditegah berkali-kali oleh Dahlia. Kata Dahlia, dia tak mahu Damia tertekan apatah lagi Damia sedang berbadan dua.
Dia ada mengirimkan pesanan Whatsapp kepada Ziyyad mengatakan dia tidak pulang ke rumah malam itu. Tetapi Ziyyad tidak membalas, bahkan ditinggalkan bluetick sahaja.
Perlahan Damia mengorak langkah menuju ke pintu masuk. Baru sahaja dia mahu memulas tombol, pintu sudah dibuka dari dalam. Terpacul wajah tegang Ziyyad yang nampak berserabut. Damia hela nafas lega. Kus semangat! Ingatkan ada pencuri tolong bukakkan pintu untuknya. Damia pandang kosong wajah Ziyyad. Sungguh dia tak rasa mahu lorekkan senyuman buat lelaki itu setelah apa yang terjadi malam tadi. Damia melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menegur Ziyyad.
"Pergi mana? Baru ingat jalan nak balik rumah?" Soal Ziyyad, menyindir. Langkah Damia terhenti.
"Rumah Kak Lia. Saya ada Whatsapp awak, takkan tak ingat?" Jawab Damia mendatar sebelum menyoal Ziyyad pula. Dia masih berdiri membelakangi Ziyyad, tak sudi nak tatap muka itu. Dia masih sakit hati.
Ziyyad diam. Damia ada Whatsapp dia ke malam tadi? Ah, mesti Jasmin yang bukak chat Damia. Memikirkan perkara yang terjadi malam tadi, membuatkan mata Ziyyad terpejam. Dia berdecit. Macam mana boleh dia ikutkan sangat nafsu malam tadi? Macam mana dia boleh terjatuh dalam godaan Jasmin?
Damia meneruskan langkah bila Ziyyad tak membalas. Perlahan-lahan kakinya memijak anak-anak tangga naik ke tingkat atas. Malam tadi dia tidur di rumah Dahlia selepas dipujuk kakaknya. Disebabkan dia letih dan penat dengan apa yang berlaku malam tadi, dia akur sahaja dengan pujukan Dahlia. Usai bersarapan baru lah dia memandu pulang memandangkan Dahlia dan Khairul masing-masing berangkat ke tempat kerja.
Pintu bilik dikuak dari dalam. Terpaku dia melihat keadaan kamar yang tidak terurus. Dia baru tinggalkan bilik ni satu malam, tetapi sudah jadi begini? Katil berselerak dengan bantal-bantal yang tak tersusun, pakaian-pakaian bersepah di atas lantai. Sungguh menyakitkan matanya!
Lantas dia menghampiri almari dan mengeluarkan tuala bersih dan pakaiannya sebelum bergerak ke bilik tetamu. Dia mahu berehat di bilik tetamu dan dia belum bersedia mahu berhadapan dengan Ziyyad.
*****
DAHLIA menongkat kepala sambil mata merenung ke arah dinding kosong. Jujur, malam tadi dia tak mampu tidur nyenyak. Bukan kerana dia penghidap Insomnia, tetapi mindanya sering kali teringatkan perihal adik kesayangannya itu. Tangisan Damia, raungan Damia dan setiap baris kata pilu yang keluar dari mulut Damia benar-benar menyesakkan dadanya. Ya Allah, sakitnya!
Kalau Ziyyad ada depan matanya sekarang, dah berterabur gigi jantan tak guna tu dikerjakannya. Apa dia ingat Damia tu anak patung ke boleh sakitkan sesuka hati? Haih! Harap muka je handsome tapi.. eh kejap! Handsome ke? Dahlia mengepal penumbuk.
"Ehem!"
Dahlia tetap seperti tadi. Mengepal buku limanya sambil menggigit bibir bawah. Matanya pula terarah pada dinding kosong di hadapan. Redza mengerutkan dahi. Dinding tu telah mencabar kesabaran Dahlia ke sampai macam tu sekali Dahlia tenung dinding tak berdosa tu?
"Ehem! Kak Dahlia?" Redza membuka mulut, menegur wanita itu.
"Aku jumpa kau, aku akan pastikan kau takkan boleh beza mana satu singa dan mana satu Ainul Dahlia!" keluar sebaris ayat itu dari bibir Dahlia. Dahi Redza semakin berlapis-lapis.
Dahlia cakap dengan siapa? 'Kau' tu merujuk kepada dinding ke? Tapi.. mengarut lah. Takkan lah.
"Kak Dahlia!"
"Aku haramkan lidah kau sebut nama aku jantan keparat!"
Redza terngadah. Serius lah? Takkan 'kau' yang Dahlia sebutkan tadi tu, merujuk kepada dia? Terus Redza mencapai buku log yang sedikit tebal lalu dihentak perlahan di atas kaunter jururawat.
Bam!
"Oi Ziyyad jantan tak guna!" Dahlia termelatah. Tegak dia bangun dari duduknya. Redza gigit bibir bawah, menahan gelak. Beberapa pasang mata yang turut berada di dalam wad tersebut memandang-mandang ke arah Dahlia. Masing-masing menahan senyum sambil menggelengkan kepala. Siapa je tak kenal dengan Dahlia, jururawat yang kaki melatah. Pantang kena acah sikit terus melatah.
"Eh, Doktor Redza. Bila sampai?" soal Dahlia dengan sengihan.
"Bila sampai? Bukan ke pagi tadi kita breakfast sekali dengan staff nurse yang lain dekat cafe?" Redza menyoal pula usai mengerling jarum jam yang terlilit di pergelangan tangannya. Dahlia menggeleng.
"Err tak. Maksud saya, bila Doktor Redza ada dekat sini?" balas Dahlia.
"Oh. Hmm.. sempat jugak lah saya dengar Kak Dahlia membebel sorang-sorang. Marahkan siapa tu?"
Dahlia sengih lalu kepalanya terteleng ke kiri dan ke kanan.
"Tak.. tak marahkan sesiapa."
"Sure?"
"Betul, Doktor Redza."
Terjongket sebelah kening Redza memandang ke arah Dahlia. Dia yakin yang Dahlia marahkan seseorang. Bukan dia mahu busy body tapi.. sebaris nama yang keluar dari mulut Dahlia tadi buat dia curious.
Ziyyad. Macam pernah dengar nama tu.
Eh kejap. Ziyyad? Bukan ke tu nama suami Damia? Kenapa Kak Dahlia macam marahkan je suami si Damia tu? Bibir Redza berkira-kira mahu menyoal tetapi ditahankan sahaja. Rasanya dia tak perlu nak ambil tahu pasal lelaki tu.
"Kalau macam tu, takpe lah. Jangan kerut sangat dahi tu, nanti cepat tua." Usik Redza dengan senyuman. Dahlia angguk kepalanya macam burung belatuk sambil matanya memandang belakang tubuh Redza yang bergerak keluar daripada wad pesakit. Nafas dihela panjang sebelum dia lekapkan tangannya pada pelipisnya.
Ayoyo, Dahlia. Jangan terbawak-bawak sangat perasaan tu dekat tempat kerja!
*****
DAMIA melangkah keluar dari bilik tetamu selepas memastikan Ziyyad sudah keluar ke tempat kerja. Tadi melalui jendela, dia lihat Ziyyad masuk ke dalam kereta Honda CRV yang berhenti di hadapan pagar. Puas diperhatikan pemandu kereta suaminya itu, rupanya Jasmin. Jasmin memandu kereta suaminya? Bila Jasmin datang ambil kereta Ziyyad sedangkan malam tadi sebelum dia keluar ke rumah Dahlia, kereta lelaki itu masih berada di bawah porch? Segera dia menggelengkan kepala apabila mindanya sudah fikir yang bukan-bukan. Tak baik menuduh Damia..
Dia turun ke dapur. Lauk pauk yang sudah basi dibuang ke dalam plastik sampah. Usai mengemas dapur dan ruang tamu, Damia melangkah menuju ke arah kamar utama yang dikongsinya bersama Ziyyad. Melihat keadaan kamar yang bersepah, membuatkan Damia hela nafas berat. Semak mata memandang!
Pakaian-pakaian yang pastinya milik Ziyyad dikutip lalu dimasukkan ke dalam bakul yang diletakkan di luar pintu bilik air. Kemudian, dia mengemas pula katil. Cadar ditarik supaya tegang sebelum dia menyusun bantal-bantal pada kepala katil. Namun perlakuannya terhenti apabila dia terpandangkan sesuatu di celahan bantal. Tangannya menarik getah rambut berwarna biru lalu dibelek. Getah rambut siapa? Bukan miliknya dan pastinya bukan Ziyyad. Takkan lah Ziyyad ikat rambut? Sekali lagi Damia sudah berfikir yang bukan-bukan.
Menyedari sesuatu, Damia berlari menuju ke arah raga yang berisi pakaian kotor lalu diselongkarnya. Menggigil tangannya apabila terpandangkan sehelai cardigan polkadot berwarna kelabu. Dibawa cardigan tersebut ke hidung dan menghidu bauan itu. Bau Jasmin. Dia kenal bau perfume yang dipakai gadis itu.
Jasmin ada di rumahnya malam tadi? Jasmin berada di dalam bilik ni sewaktu ketiadaan dia malam tadi? Jasmin.. tidur dalam bilik ni? Menggigil tubuh Damia sambil air mata mula bertakung di kolam mata. Terus dia bersiap-siap mahu bertemu dengan Ziyyad dan juga Jasmin. Dia harus selesaikan semuanya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro