Bab 9
"SIAPA perempuan ni?" soal Syadi yang turut terkejut dengan apa yang ditunjukkan oleh Rafi. Dia cuba mengamati figura perempuan yang berada di dalam gambar.
Memang jelas gambar itu menunjukkan dia sedang berdiri berhadapan dengan seorang perempuan bertudung. Sudut yang ditunjukkan menampakkan mereka berdiri dengan jarak yang agak rapat. Hanya wajah Syadi yang kelihatan sedangkan gambar gadis itu tidak jelas kerana membelakangkan kamera.
"Mana aku tahu! Aku tahu pun selepas Encik Halim telefon dan sekarang ni telefon aku tak henti-henti berbunyi. Semua wartawan tak kira daripada stesen TV sampai ke blogger, call aku minta penjelasan. Aku nak cakap apa pun tak tahu sebab 24 jam aku dengan kau. Jadi, dari mana datangnya gambar-gambar ni semua?" soal Rafi. Resah.
Syadi mundar-mandir sambil tangannya kemas memegang telefon Rafi. Memang benar kata lelaki itu, iPhone milik lelaki itu tidak henti-henti berbunyi. Nasib baik Rafi menetapkannya dalam mod senyap. Kalau tidak, pasti bingit telinga dengan deringan yang tidak berkesudahan.
Yusra hanya mampu mendiamkan diri. Manakala Mak Yah terlebih dahulu meminta diri ke dapur. Dia tidak mahu campur tangan dalam urusan majikannya.
"Kau tak rasa ke ada orang sengaja edit gambar aku ni? Album aku nak keluar tak lama lagi, mana tahu ada pihak yang nak sabotaj?" Syadi membuat andaian sendiri. Dia meletakkan telefon pintar itu di atas meja.
Kesempatan itu diambil oleh Yusra. Dia memanjangkan leher cuba mengintai gambar yang dikatakan oleh Syadi dan Rafi melalui skrin telefon yang masih terbuka. Matanya dikecilkan sambil otaknya ligat berfikir.
"Tuan..." panggil Yusra tiba-tiba.
Syadi dan Rafi yang asyik bertukar andaian, menghentikan perbualan. Dia menoleh ke arah Yusra.
"Ada apa?" soal Rafi dan Syadi serentak.
"Saya rasa saya macam kenal aje gaya perempuan tu..." ucap Yusra antara yakin dan tidak yakin.
"Hah?!" Syadi dan Rafi berkata serentak. Suara mereka meninggi tanpa sedar akibat terkejut dengan kenyataan Yusra.
"Macam mana kau boleh kenal gaya perempuan tu sedangkan kau baru kerja dengan aku tak sampai sehari? Lagipun gambar perempuan ni dari arah belakang. Cuba cakap, macam mana kau boleh kenal?" soal Syadi inginkan jawapan yang pasti.
"Boleh saya tengok gambar tu dengan lebih dekat?" soal Yusra sopan. Jarinya ditunjukkan ke arah telefon pintar milik Rafi yang berada di atas meja.
Rafi menganggukkan kepala tanda membenarkan. Lalu, Yusra mencapai telefon tersebut. Dia memandang gambar yang berada di dalam telefon Syadi silih berganti sebelum memandang dirinya sendiri.
"Saya rasa perempuan dalam gambar ni... Saya..." jawab Yusra dengan tergagap-gagap.
"What?! Kau?!" Syadi terpinga-pinga. Rafi pun.
"Tuan jangan terkejut dulu. Biar saya jelaskan. Tuan perasan tak warna tudung yang perempuan ni pakai sama macam warna tudung yang saya pakai sekarang? Baju yang tuan pakai pun warna dia sama dengan baju yang tuan pakai semasa tuan datang syarikat saya tadi. Bermakna, gambar yang diambil ni, hari ni dan disebarkan hari ni juga," terang Yusra sambil menghulurkan kembali telefon pintar itu kepada Syadi.
Huluran bersambut. Dia kembali mengamati gambar tersebut bersama dengan Rafi. Mereka berdua ternganga seketika. Apa yang dikatakan oleh Yusra ada benarnya dan ada logiknya. Rafi memandang Yusra dan Syadi silih berganti. Dia cuba meneliti sesuatu.
"Aku rasa betul cakap Yusra, Syad. Ketinggian kau dan Yusra sama seperti ketinggian kau dengan perempuan yang ada dalam gambar ni. Apa yang Yusra cakap tu logik," ujar Rafi. Wajahnya yang kelat, kini kelihatan tenang.
"Tapi, gambar perempuan ni dari arah belakang..."
"Ya, memang dari arah belakang, tapi kalau tuan zum dekat-dekat di bahu lengan baju perempuan tu, tuan akan nampak satu logo. Walaupun blur, tapi tuan akan nampak bentuk logo tu," ucap Yusra lagi. Kali ini dengan yakin.
Syadi menurut. Jarinya mula bergerak untuk zum dekat gambar tersebut dan hasilnya membuatkan Syadi ternganga seketika. Dia memandang hasil zumnya dan bahu lengan baju milik Yusra silih berganti. Sah, memang betul! Hatinya menjerit.
Yusra menunjukkan logo syarikat yang terdapat di bahu lengan baju miliknya. Rafi ikut serta meneliti gambar tersebut. Serentak mereka berpandangan sesama sendiri. Rafi tersenyum lega.
"Haah, betul. Bentuk logo di bahu perempuan ni sama dengan bentuk logo di baju Yusra. Memang betul cakap kau, Syad. Ada orang nak sabotaj kau dan ada orang yang ekori kau," ujar Rafi yakin dengan telahannya sendiri.
Syadi menghulurkan telefon tersebut kepada Rafi. Dia memicit kepalanya yang berdenyut.
"Kau rasa, ni kerja paparazi ke?" soal Syadi lagi.
"Paparazi? Aku pun rasa macam tu. Sekarang, kau kena bersihkan semua ni. Aku yakin masa press conference nanti, reporter akan bangkitkan isu ni. Kau kena jelaskan betul-betul. Kalau tidak, nama baik dan reputasi kau akan terjejas," nasihat Rafi dengan berhemah.
Syadi melepaskan keluhan.
"Mungkin kereta hitam yang kejar kita tadi tu, paparazi yang tuan cakapkan." Yusra memberi pendapat.
Pandangan Syadi terarah tepat ke wajah Yusra. Lama wajah itu menjadi tatapannya.
"Boleh jadi juga. Apa yang kau rasa, Raf?" soal Syadi.
Rafi turut menganggukkan kepala tanda mengeyakan kata-kata Syadi dan Yusra. Ternyata telahannya sebelum ini benar tentang pemilik kereta tersebut.
"Aku pun rasa macam tu. Sebab hari ni hari pertama kita jumpa dengan Yusra. Jadi, dia orang guna kesempatan ni untuk cari gosip murahan. Gambar sensasi macam inilah yang media sosial suka sangat ketengahkan. Sekadar nak naikkan rating page, nak naikkan follower tanpa siasat terlebih dulu sama ada cerita tu betul atau tidak. Orang-orang macam inilah yang suka buat aku pening kepala," dengus Rafi. Geram.
Syadi mengulum senyum mendengar bebelan Rafi. Lantas, bahu sahabatnya itu ditepuk dengan perlahan.
"Tapi, sekarang kau dah tahu kebenarannya, kan? Kau jangan fikir sangat, tahulah aku nak uruskan nanti. Kalau dia orang gunakan media sosial untuk burukkan aku, kita juga boleh guna media untuk bersihkan nama. Kita dah ada bukti yang jelas, jadi kita tak perlu takut," ujar Syadi dengan bersungguh-sungguh.
"Apa kau nak buat, Syad?" soal Rafi ingin tahu.
Syadi tidak menjawab sebaliknya dia menyeluk poket seluar dan mengeluarkan sesuatu sebelum dicampakkan ke arah Yusra.
Yusra tersentak. Nasib baik tangannya cekap menyambut barang yang dicampakkan oleh Syadi. Dia memandang barang yang berada di tangannya dengan dahi yang berkerut.
"ID card?" soalnya pendek.
"Buat masa sekarang, kau pakai ID card ni dulu. Nanti aku tukarkan dengan yang baru. Kau pakai ID card ni masa sidang akhbar tu nanti. Aku nak kau ada sekali," jawab Syadi mengungkapkan tentang rancangannya.
Rafi tercengang-cengang. Dia tidak dapat meneka apa yang berada dalam fikiran Syadi saat ini.
"Tapi Syad, aku rasa makin banyak soalan nanti yang timbul. Pasti wartawan akan pelik, kenapa kau upah bodyguard perempuan berbanding dengan bodyguard lelaki? Aku ni pun masih pelik lagi dengan keputusan kau, apatah lagi wartawan," komen Rafi tidak berpuas hati.
"Kau percayakan aku tak?" soal Syadi menikam tepat ke mata Rafi.
Rafi mengetap bibir. Dia kalah dengan pertanyaan Syadi.
"Percaya, tapi..."
"Kalau percaya, tak perlu ada perkataan tapi." Jawapan Syadi membuatkan Rafi terdiam.
"Yalah, aku ikut aje rancangan kau," balas Rafi mengalah.
Sedangkan Syadi tersenyum kemenangan.
SIDANG akhbar hampir bermula. Kelihatan beberapa kakitangan sedang sibuk memeriksa tetamu media yang telah dijemput. Yusra turut mengambil bahagian di pintu masuk. Dia mengawasi setiap gerak-geri tetamu yang hadir. Bimbang jika lelaki misteri yang menceroboh masuk rumah Syadi akan datang kembali untuk melunaskan dendamnya terhadap Syadi.
Sedang asyik Yusra memerhatikan keadaan sekeliling, tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar. Tertera nama Encik Rafi di skrin. Lantas, dia menjawab telefon sambil anak matanya tetap fokus kepada tetamu yang mula memasuki dewan hotel untuk sesi bersama media.
"Ya, encik. Saya ada di luar dewan sekarang ni," ujar Yusra sebaik saja talian bersambung.
"Bagus. Saya nak awak perhatikan betul-betul setiap orang yang datang malam ni. Kalau ada perkara yang mencurigakan, awak terus repot kepada bahagian keselamatan atau awak boleh bertindak mengikut SOP yang telah syarikat awak tetapkan. Faham?" soal Rafi di hujung talian.
"Faham, encik," balas Yusra bersungguh-sungguh.
"Bagus. Lagi satu, selepas semua tetamu dah masuk, saya nak awak datang ke depan. Berdiri di belakang Adi," ujar Rafi memberi arahan.
"Hah?" Yusra tersentak dengan arahan yang dikeluarkan oleh Rafi.
"Kenapa saya perlu berdiri di belakang Tuan Adi? Saya boleh aje berdiri berhampiran dengan pentas tu, encik," balas Yusra cuba memberi pendapatnya sendiri yang dirasakan lebih baik.
"Ini arahan bos awak. Saya cuma sampaikan aje. Dia nak kenalkan awak kepada media sebagai pengawal peribadinya. Dia nak clearkan isu yang dah timbul tengah hari tadi. Walaupun saya rasa ni bukan cara yang terbaik, tapi sekurang-kurangnya bila awak berdiri di belakang dia, awak boleh nampak setiap tetamu yang hadir. Awak boleh berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan," terang Rafi lagi.
Yusra melepaskan nafas pendek.
"Baik, encik. Saya akan ke sana sekejap aje lagi," akur Yusra akhirnya. Dia menamatkan panggilan.
Yusra mengerling jam yang melilit di pergelangan tangan. Hampir ke pukul lapan malam. Bermakna, sesi soal jawab akan bermula beberapa minit saja lagi. Anak mata Yusra kembali melilau memerhati satu per satu wajah para jemputan. Selepas segalanya berjalan dengan lancar, Yusra mula melangkah masuk ke ruang dewan dan menuju ke arah pentas seperti yang dimaklumkan oleh Rafi.
Dia melangkah dengan penuh tertib naik ke atas pentas dan berdiri di belakang Syadi seperti yang diarahkan oleh lelaki itu melalui Rafi. Saat dia berdiri di belakang Syadi, dia terasa seolah-olah semua mata memandangnya dengan pandangan pelik. Namun, Yusra hanya menayang muka selamba walaupun hatinya disapa debar kerana ini merupakan pengalaman pertamanya berhadapan dengan silau kamera yang tidak henti-henti ingin merakam Syadi.
Sidang akhbar dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Rafi sebagai pengurus Syadi sebelum mikrofon dialihkan kepada Encik Halim, selaku pengurus syarikat rakaman yang menjaga Syadi semenjak lelaki itu bergelar penyanyi. Mereka terpaksa menerangkan sebab mengapa pelancaran album Syadi terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Malah, Syadi turut menjelaskan tentang kes pencerobohan rumahnya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan dan terpaksa dimasukkan ke hospital.
Suasana sidang akhbar berlangsung dengan tenang. Yusra yang berada di belakang Syadi, tetap dengan kerjanya mengawasi setiap gerak-geri orang yang berada di dalam bilik tersebut. Setakat ini, semuanya tidak menunjukkan ada sebarang perkara yang mencurigakan.
"Jadi, apa perkembangan kes ini, Adi? Dah ada suspek ke belum?" soal seorang wartawan lelaki yang memakai jaket jean dan berkaca mata.
"Setakat ni tiada tangkapan dibuat dan tiada suspek. Kes ni masih dalam siasatan polis. Jadi, saya tak boleh cakap lebih daripada itu," jawab Syadi tenang.
"Adi rasa, penceroboh tu orang yang Adi kenal ke? Atau mungkin orang yang berada dalam industri ni yang cuba untuk merosakkan karier Adi?" soal wartawan yang lainnya.
Syadi terdiam seketika. Dia mengemam bibir yang terasa kering.
"No komen. Saya tak dapat nak beri jawapan yang tepat dan saya tak boleh nak tuduh sesiapa," jawab Syadi.
"Adi, saya nak tanya satu soalan yang mungkin keluar daripada topik sidang akhbar ni diadakan, cuma saya wakil daripada wartawan dan peminat Adi dekat luar sana nak tahu tentang kesahihan berita yang tersebar beberapa jam yang lepas. Siapa perempuan yang bersama-sama dengan Adi dalam gambar tu?" soal seorang wartawan wanita yang berbadan gempal dengan rambut yang diikat tocang.
Syadi tersenyum mendengar soalan yang diajukan. Tepat jangkaan dia dan Rafi, pasti soalan itu turut diselitkan di dalam sidang akhbar ini.
"Dia pengawal peribadi saya," jawab Syadi ringkas.
Sebaik saja Syadi menghabiskan ayat, satu dewan tersebut gamat dengan suara-suara yang menyoal sesama sendiri. Hal itu merupakan satu kejutan yang baharu buat mereka.
"Pengawal peribadi? Apa buktinya?" soal salah seorang daripada wartawan di sebalik keriuhan yang terjadi.
"Ini buktinya..." ucap Syadi tanpa teragak-agak. Dia menunjukkan Yusra yang berada di belakangnya.
Yusra tersentak. Dadanya berdebar hebat, namun seboleh mungkin dia cuba mengawal riak wajahnya. Dia malu tetapi dia cuba mempamerkan riak serius. Kau bukan artis, Yusra. Kerap kali hatinya mengulang perkataan itu sedangkan saat ini dia benar-benar gelisah apabila menjadi tumpuan lensa kamera.
"Boleh bagi penjelasan tak, kenapa Adi upah pengawal peribadi? Ayu pula tu. Dah ada hajat nak ambil pengawal peribadi untuk seumur hidup ke?" gurau wartawan lelaki sambil disambut dengan tawa oleh wartawan lainnya.
Syadi hanya tersenyum kecil mendengar usikan itu. Dia masih lagi tenang.
"Ni semua ada kaitan dengan kes yang terjadi kepada saya. Atas nasihat pihak berkuasa dan hasil perbincangan di antara pengurus dan syarikat rakaman, saya terpaksa mengupah pengawal peribadi sehingga kes ni selesai. Insya-Allah, saya seorang yang profesional. Saya takkan campurkan hal peribadi dengan kerja," jawab Syadi ringkas.
"Tapi kenapa upah bodyguard perempuan? Kenapa tak upah lelaki sebagai bodyguard?" soal seorang wartawan wanita yang bertudung biru.
"Dia bodyguard yang terlatih dan saya rasa isu bodyguard lelaki atau perempuan ni tak perlu dipersoalkan. Lelaki atau perempuan, bagi saya sama saja asalkan tidak melanggar batas yang sepatutnya. Kalau dia tak layak, dia takkan jadi bodyguard," jawab Syadi tenang tetapi tegas.
Wartawan tadi terdiam. Yusra yang mendengar, sedikit kagum dengan jawapan balas daripada Syadi. Ternyata lelaki itu cukup tenang dalam menjawab soalan yang sesekali dirasakan tidak masuk akal. Tetapi itu bukan menjadi keutamaan Yusra meskipun para wartawan sedang berbicara soalnya, saat ini anak matanya terhenti pada seorang lelaki yang memakai topi sedang berdiri berhampiran dengan pintu masuk dewan tersebut. Lelaki itu memakai pakaian serba hitam. Wajahnya tidak kelihatan kerana dia menundukkan wajah.
Dahi Yusra berkerut. Penampilan lelaki itu tampak mencurigakan apatah lagi arah pandangnya tepat ke arah Syadi. Jangan-jangan itu lelaki yang menceroboh masuk rumah Syadi tempoh hari? fikir Yusra. Lalu, dia bergerak menghampiri Rafi.
"Saya keluar dulu, ada sesuatu yang perlu saya periksa..." bisik Yusra dari arah belakang.
Rafi hanya menganggukkan kepala tanda membenarkan.
Dengan kebenaran yang diberikan, Yusra turun dari pentas dan berlagak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Perlahan-lahan, dia berpura-pura menyapa kakitangan wanita yang sedang membawa beberapa botol air mineral untuk diagihkan kepada para wartawan yang hadir. Sambil itu, matanya melirik ke arah lelaki tadi. Serentak, pandangan mereka bertembung. Walaupun jarak di antara mereka boleh dikatakan jauh, namun Yusra dapat rasakan lelaki itu menyedari dirinya sedang diperhatikan.
Sekali lagi Yusra mempamerkan riak bersahaja. Seolah-olah pandangan lelaki itu tidak memberi sebarang makna. Tetapi apabila dia menyedari lelaki tersebut mula mengorak langkah untuk keluar dari dewan tersebut, tidak dapat tidak, Yusra turut mempercepatkan langkahnya.
Yusra mengetap bibir. Lelaki itu berjaya menyusup keluar dari dewan hotel tersebut tanpa ada seorang pun yang curiga. Tetapi tidak bagi Yusra. Melihat pandangan lelaki itu hanya terarah kepada Syadi, sudah cukup mencurigakan. Ditambah pula dengan pakaiannya serba hitam serta topi yang dipakainya hampir menutupi bahagian atas wajah membuatkan Yusra mengesyaki sesuatu.
Lantas, Yusra mula bertindak. Turut menyusup keluar dari dewan dan mencari figura lelaki bertopi tadi. Nah, lelaki itu masih tidak jauh daripadanya. Dia mengikuti langkah lelaki itu dengan perlahan-lahan kerana bimbang lelaki itu menyedari kehadirannya. Apabila menyedari langkah lelaki itu menuju ke tempat letak kereta tingkat bawah, cepat-cepat Yusra mendail nombor Rafi.
"Saya sedang menuju ke tempat letak kereta tingkat bawah. Ada seorang lelaki yang mencurigakan. Saya nak buat pemeriksaan dulu," ucap Yusra berbisik. Lantas, talian dimatikan tanpa menunggu balasan daripada Rafi.
Lelaki itu menggunakan lif. Maka, Yusra terpaksa menggunakan tangga untuk memintas jalan lelaki itu. Sewaktu dia sampai di tingkat bawah, suasananya cukup sunyi. Hanya kedengaran angin yang berdesir menyapa telinganya. Anak mata Yusra mula melilau-lilau mencari kelibat lelaki itu.
Akhirnya, pandangannya tertancap ke arah batang tubuh lelaki itu yang mula menapak keluar dari lif. Lagaknya seperti orang biasa. Berjaket hitam dan berseluar jean. Wajahnya memang tidak kelihatan kerana asyik tertunduk dan ditutupi dengan topi yang turut berwarna hitam.
Yusra meneruskan intipan. Kali ini dia memberanikan diri untuk mengikuti lelaki itu dengan lebih dekat.
"Excuse me, encik," sapa Yusra sambil cuba mengintai wajah lelaki yang sedang membelakanginya saat ini.
Sebaik saja mendengar sapaan Yusra, lelaki itu menghentikan langkah secara mendadak. Perbuatannya membuatkan langkah Yusra terhenti. Dia menelan air liur dengan jantung yang berdetak kencang. Siapa dia ni? Adakah dia penceroboh rumah Syadi?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro