Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"INI rumah bos awak. Saya nak awak hafal alamat rumah ni. Sebelah rumah ni pula, studio mini Adi. Kalau dia tak ada di dalam rumah, awak carilah dia dekat sini," terang Rafi sambil membuka pintu mini studio yang dikatakan oleh Rafi.

Melopong seketika Yusra sebaik saja dia berdiri di hadapan pintu masuk studio mini milik Syadi. Keluasan studio mini itu menyamai sebuah rumah. Terdapat pelbagai alat muzik yang tersusun kemas di dalam ruang tersebut. Pelbagai jenis gitar berbagai saiz dan warna tergantung di dinding. Di suatu sudut, kelihatan ruang rehat yang dipenuhi dengan buku-buku dan trofi yang dimenangi oleh Syadi. Sungguh, Yusra merasa kagum saat ini.

"Bos tu memang kaya sejak kecil ke?" soal Yusra tidak semena-mena. Memandangkan Syadi tidak bersama mereka saat ini, jadi bolehlah dia mengetahui serba sedikit tentang majikannya daripada Rafi.

Rafi tersenyum kecil mendengar soalan yang diutarakan oleh Yusra.

"Kau memang tak kenal aku ke?" sampuk satu suara dari arah belakang mengejutkan Yusra dan Rafi. Kedua-duanya berpaling.

Yusra menelan air liur. Dia menundukkan kepala. Bahasa yang digunakan lelaki itu masih lagi kasar membuatkan Yusra rasa dirinya sedang melakukan kesalahan.

"Kau cakap nak rehat, Syad. Biar aku yang terangkan kepada Yusra tentang tugas-tugas dia. Kau pergilah rehat dulu. Lepas maghrib kita kena gerak," ujar Rafi. Dia menghampiri Syadi. Bimbang jika amarah Syadi masih lagi bersisa terhadap Yusra.

Namun, pandangan Syadi hanya tertumpu kepada Yusra yang sedang tertunduk. Bicara Rafi hanya singgah seketika di pendengarannya.

"Aku nak jumpa dia ni sekejap," ucap Syadi. Perlahan tapi tegas.

Rafi terdiam. Dia menggaru keningnya yang terasa gatal. Riak Syadi yang serius sudah cukup untuk membuktikan bahawa lelaki itu sedang menahan rasa marah. Kenapa dan mengapa, itu masih menjadi persoalan dalam diri Rafi. Akhirnya, Rafi terpaksa berundur.

"Kalau macam tu, aku ke rumah kau dululah. Mak Yah ada kat rumah, kan? Nanti aku minta Mak Yah siapkan lunch," ujar Rafi lantas melangkah setapak ke belakang. Dia mengerling sekilas ke arah Yusra yang kelihatan mati kutu. Good luck, Yusra! Bisik hatinya lantas meninggalkan Yusra dan Syadi di muka pintu mini studio milik lelaki itu.

"Masuk!" arah Syadi.

"Hah?" Yusra tersentak. Dia mendongak. Pandangan mereka bertaut. Renungan Syadi yang tajam sedikit sebanyak membuatkan hati Yusra bergetar. Dia resah.

"Tak dengar ke? Aku cakap masuk. Takkan nak bincang pasal kerja depan pintu ni?" ujar Syadi sambil meliarkan pandangan ke sekeliling tempat mereka berdiri.

Yusra mula serba salah. Dia turut memandang ke kiri, kanan, depan dan belakang. Ternyata hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ.

"Tapi dalam rumah ni tak ada orang lain yang..." Bicara Yusra terhenti apabila Syadi mula menjeling.

"Habis tu, kau nak berapa ramai join perbincangan kita ni?" sinis Syadi.

"Bukan itu maksud saya, tuan. Saya perempuan, tuan lelaki. Walaupun hal kerja, saya rasa tak berapa nak..." Ayat Yusra tetap tergantung. Di hujung bicaranya, dia memperlahankan suara. Bimbang Syadi naik angin sekali lagi.

Syadi mengecilkan mata. Kedua-dua belah tangannya disilangkan ke dada. Dia tersenyum sinis.

"Selama kau kerja, takkan kau tak pernah berdua dengan majikan kau?" sinis Syadi.

"Tak pernah. Sebab sepanjang saya bertugas, saya ada rakan setugas. Ini kali pertama saya bertugas sendirian," jelas Yusra.

Syadi terdiam. Tidak lama kemudian, dia berdeham kecil.

"Kau menyesal ke terima tugas ni?" soal Syadi seterusnya.

Dengan pantas, Yusra menggelengkan kepala. Tidak ada perkataan menyesal dalam kamus hidup Yusra apabila berkaitan dengan kerja. Setiap kali dia ingin menolak sesuatu tugasan yang diberikan, pasti wajah si ibu kembali terlayar di ruang fikiran. Hanya satu matlamat dalam hidup Yusra tika ini, iaitu membahagiakan ibunya dan memberikan yang terbaik buat insan kesayangannya itu.

"Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik untuk setiap tugasan yang saya dapat."

"Kalau macam tu, ikut aku masuk studio ni sekarang. Aku tak ada masa nak layan kau. Lagipun aku nak bincang soal kerja, bukan nak berdating dengan kau. Studio ni bersambung dengan rumah aku. Ada pintu yang hubungkan studio ni dengan rumah aku. Jadi, kau tak payah nak fikir benda yang bukan-bukan. Rafi ada di sebelah dengan Mak Yah, pembantu rumah aku. Aku tak ingin pun nak berdua-duaan dengan kau. Jangan nak perasan. Masuk ajelah," bebel Syadi tanpa sedar dia menerangkan situasi sebenar kepada Yusra.

"Satu lagi, pintu ni jangan tutup. Biar aje terbuka kalau kau risau sangat..." ujar Syadi lantas melangkah masuk ke dalam studio terlebih dahulu.

Yusra menghembuskan nafas lega. Akhirnya, dia turut melangkah masuk membuntuti langkah Syadi.

Langkah Syadi terhenti sebaik saja kakinya melangkah ke ruang rehat. Punggungnya dilabuhkan ke kerusi. Kakinya disilangkan sambil anak matanya terarah kepada Yusra yang kelihatan janggal.

"Duduklah," arahnya sepatah.

Yusra hanya tersenyum nipis. Kepalanya digelengkan.

"Tak apalah. Saya dah biasa berdiri," balasnya.

"Ikut suka kaulah. Jangan salahkan aku kalau kaki kau lenguh," jawab Syadi. Fail yang berada di dalam genggamannya mula dibuka tanpa menghiraukan Yusra yang sedang menanti bicara daripadanya. Fokusnya masih terarah di dada kertas yang bertaip kemas.

"Selain jaga dan lindungi aku daripada segala ancaman dan bahaya, kau tahu tak apa kerja kau yang lain?" soal Syadi lantas mendongak. Pandangan mereka bertaut. Syadi cuba untuk tidak melarikan pandangan. Anak mata bundar itu ditentang dengan berani.

Dahi Yusra bertindan-tindih. Terkebil-kebil matanya membalas pandangan Syadi.

"Ada kerja lain ke selain itu?" Soalan dibalas soalan oleh Yusra. Masih kurang mengerti dengan pertanyaan Syadi.

"Kau yang tandatangan kontrak, sepatutnya kau dah faham setiap tugasan yang tertulis dalam kontrak tu. Atau kau sign aje tanpa fikir panjang?" tambah Syadi. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Kakinya tetap disilangkan. Manakala, fail yang dibaca tadi diletakkan di atas meja sisi.

"Saya rasa saya dah baca semua tugasan yang tertulis dalam kontrak tu, tuan. Tak ada yang tertinggal," balas Yusra mulai keliru dengan kata-kata Syadi.

Syadi tersenyum penuh makna. Fail tersebut dicapai kembali sebelum diselak dengan perlahan.

"Jadi, kau setuju akan ikut segala arahan majikan kau tanpa banyak soal? Ini, dalam kontrak ni ada tertera macam tu," ujar Syadi lalu bangun dan menunjukkan kontrak tersebut kepada Yusra.

Pantas, Yusra membaca. Memang dia akui, dia setuju dengan segala syarat yang telah ditetapkan di dalam kontrak. Jadi, apa masalahnya sekarang? soal hati Yusra masih lagi keliru.

"Ya, saya setuju. Memang sepatutnya saya ikut arahan tuan sepanjang saya jadi pengawal peribadi tuan. Sama seperti majikan saya sebelum ni," balas Yusra.

"Bagus kalau kau setuju, tapi aku bukan seperti majikan kau yang sebelum ni..."

"Maksud tuan?" soal Yusra lagi.

Syadi tidak terus menjawab sebaliknya dia tersenyum penuh makna. Lama dia merenung wajah Yusra yang dipenuhi dengan tanda tanya. Hatinya menjerit suka apabila melihat riak Yusra yang keliru.

"Mulai hari ni, selain tugas kau lindungi aku daripada bahaya, jadi bodyguard aku walau di mana saja, jadi driver aku, aku nak kau kemaskan rumah aku, kemaskan studio ni setiap hari. Kalau aku off, tak bermakna kau pun off. Kau kena kawal rumah aku dari dalam studio ni. Nanti aku akan pasang CCTV untuk kau pantau," terang Syadi membuatkan Yusra terlopong.

Dia cuba untuk mengawal rasa tidak puas hatinya dengan kata-kata Syadi. Terang-terang Syadi ingin mengambil kesempatan terhadapnya.

"Saya setuju kalau saya kena jadi driver tuan, sebab memang itu salah satu kerja saya sebagai bodyguard. Saya setuju kalau saya kena kawal rumah tuan 24 jam tapi kerja mengemas rumah tuan, mengemas studio ni, tak termasuk dalam bidang tugas saya, tuan," bantah Yusra dengan nada yang masih bersopan.

"Tapi itu arahan aku. Kau dah setuju untuk ikut segala arahan aku dan sekarang kau nak membantah?" soal Syadi dengan wajah yang tegang.

Yusra melepaskan keluhan kecil. Dia cuba untuk bersabar dengan kerenah majikan baharunya ini. Tidak sampai sehari dia bertugas, pelbagai kerenah terpaksa dia hadapi.

"Ini bukan bantahan tuan, saya cuma nak tuan faham tentang hak saya sebagai pekerja. Saya memang pengawal peribadi tuan, tapi saya bukan orang suruhan dan saya ada hak untuk bersuara jika tuan nak saya buat kerja yang bukan bidang saya," tegas Yusra. Masih tidak mahu mengalah dalam mempertahankan haknya sebagai pekerja.

Syadi tersenyum sinis. Dia menghampiri Yusra dan berdiri betul-betul di hadapan gadis itu. Badannya dibongkokkan sedikit bagi menyamai ketinggian Yusra. Manakala, kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket.

"Jangan lupa, aku bayar kau tau. Bukan sikit aku bayar kau untuk kau buat kerja. Arahan aku bukannya berat. Aku tak suruh kau terjun bangunan pun, aku cuma suruh kau bersihkan rumah dengan studio ni. Susah sangat ke? Atau kau ni jenis yang tak reti kemas rumah?" tempelak Syadi dengan selamba.

Berdesing telinga Yusra, namun dia cuba sabarkan diri. Jika dia terus melawan, pasti perbalahan ini akan berpanjangan tetapi jika dia mendiamkan diri, pasti pelbagai tohmahan yang akan keluar dari mulut si artis popular ini. Jauh dalam hati Yusra sedikit pelik, bagaimana seorang artis popular boleh bersikap seperti ini? Luarannya nampak seperti seorang yang tenang dan baik, namun itu tidak sampai beberapa jam mereka bersua, lelaki itu sudah menunjukkan perangai yang sebenar. Dia ni penyanyi ke pelakon sebenarnya? soal hati Yusra.

"Atau kau nak aku batalkan kontrak? Kau boleh cari majikan lain yang boleh bayar kau sebanyak mana yang aku bayar tanpa perlu kau buat apa-apa," sambung Syadi berbaur ugutan.

Yusra tersentak. Dia melangkah setapak ke belakang dengan anak matanya tepat membalas pandangan Syadi yang kelihatan serius.

"Jangan! Jangan batalkan kontrak. Baiklah, saya setuju," akur Yusra akhirnya. Dia terpaksa.

Syadi mengukir senyum. Sinis. Dia kembali berdiri tegak.

"Kau setuju akan ikut semua arahan aku?" soal Syadi lagi inginkan kepastian.

Yusra mengangguk laju. Dia tiada pilihan. Dia benar-benar perlukan kerja ini. Hutang yang ditinggalkan oleh ayahnya masih bertimbun. Jika Syadi benar-benar ingin membatalkan kontrak mereka, itu akan menimbulkan masalah kepada dirinya sendiri. Apa nasib keluarganya nanti?

"Saya setuju untuk ikut segala arahan tuan," jawab Yusra dengan kepala yang ditundukkan. Dia menahan perasaan dalam diam.

"Bagus. Nanti Rafi akan berikan jadual aku kepada kau. Aku nak kau hafal setiap jadual aku, tiap-tiap hari aku akan check. Kalau kau ada buat silap dalam tugas kau selama kau bekerja dengan aku, aku akan berikan kau hukuman," ujar Syadi membuatkan Yusra terkejut.

Dia mengangkat pandang.

"Hukuman? Hukuman apa ni, tuan?" soal Yusra kebingungan.

"Terpulang kepada aku. Kalau kau nak tahu sangat, cubalah buat salah. Kan aku dah cakap, aku gajikan kau bukan untuk terima segala kesalahan yang kau buat. Kau bodyguard profesional, seharusnya kau tak buat sebarang kesalahan semasa bertugas," tegas Syadi.

"Tapi saya cuma manusia biasa, tuan," jawab Yusra.

Syadi terdiam. Wajah Yusra ditenung lama. Pandangan gadis bertudung hitam itu ditentang untuk kesekian kalinya. Dia menapak selangkah menghampiri Yusra. Manakala Yusra melangkah setapak ke belakang. Cuba mengekalkan jarak di antara dia dan Syadi.

"Kenapa? Kau takut? Badan besar tapi penakut," ucap Syadi dengan nada yang perlahan.

Yusra terkedu kali ini. Dia tersentap. Entah mengapa kata-kata itu berjaya merentap hatinya? Perasaannya sukar diterangkan saat ini. Tiba-tiba saja seraut wajah melintasi ruang fikirannya. Namun, cepat-cepat Yusra menggelengkan kepala. Tak mungkin!

"Saya... Saya... Minta maaf, tuan." Hanya itu yang terluah dari mulut Yusra.

Syadi menggelengkan kepala beberapa kali. Dia mula menjarakkan diri daripada Yusra. Satu keluhan dilepaskan sambil matanya tidak lepas dari wajah gadis itu.

"Kau memang tak kenal aku, Ainan?" soal Syadi bersama keluhan.

Yusra tersentak. Ainan? Kali pertama selepas sekian lama, dia mendengar namanya dipanggil sebagai Ainan dan bukannya Yusra seperti kebiasaannya. Jantungnya berdetak dengan tiba-tiba sebaik saja perkataan Ainan itu keluar dari mulut Syadi.

Dia ingin mengatakan sesuatu tetapi bunyi ketukan di pintu utama studio itu membuatkan perbincangan mereka terbantut. Syadi mengangkat pandangan. Kelihatan Mak Yah berdiri di muka pintu dengan senyuman manis terukir di bibir.

"Maaf, tuan. Makan tengah hari dah siap," ucap Mak Yah.

Syadi menganggukkan kepala tanda faham.

"Mak Yah, tunggu dulu," panggil Syadi sebaik saja dia melihat Mak Yah ingin berpaling.

Langkah Mak Yah terhenti. Dia kembali memandang Syadi dan seorang gadis bertudung hitam silih berganti.

"Ada apa, tuan?" soal Mak Yah sambil melangkah menghampiri mereka berdua.

"Saya kenalkan ini Yusra, pengawal peribadi saya. Dia juga akan tolong Mak Yah nanti," terang Syadi sambil menunjukkan ke arah Yusra.

Yusra tersenyum manis lantas tangan kanannya dihulurkan untuk berjabat dan hulurannya bersambut lalu tangan tua itu dicium tanda hormat. Mak Yah tersenyum senang.

"Ini bodyguard tuan?" soal Mak Yah inginkan kepastian. Dia merenung wajah Yusra dengan lama.

Syadi menganggukkan kepala.

"Ya, Mak Yah. Kenapa Mak Yah macam tak percaya?" soal Syadi kembali.

"Memang tak percaya sebab Mak Yah ingat dia calon isteri tuan," jawab Mak Yah selamba. Dia tersengih.

Syadi menjegilkan mata. Dia tersedak. Manakala Yusra hanya menayang muka selamba seolah-olah kata-kata Mak Yah itu tidak singgah di pendengarannya.

"Saya cari Rafi dulu. Mak Yah tunjukkan dia apa yang patut," ujar Syadi. Cara selamat untuk melarikan diri. Sedangkan Mak Yah hanya mampu tersenyum simpul.

"MESTI dah lama Mak Yah kerja dengan Encik Adi, kan?" soal Yusra sewaktu membantu Mak Yah di dapur sementara menunggu Syadi bersiap sebelum berangkat ke sidang akhbar.

"Lama tu taklah lama sangat. Rasanya dah tiga tahun. Sejak Tuan Adi tu makin popular, sampaikan tak ada masa nak kemas rumah, sejak itulah Mak Yah bekerja dengan dia. Mak Yah bukannya sepenuh masa jadi orang gaji kat sini. Separuh masa aje. Itu pun Mak Yah datang bila Tuan Adi tak ada kat rumah," jelas Mak Yah sambil mengelap pinggan yang siap dicuci.

"Tiga tahun tu boleh dikira lama juga, Mak Yah. Mesti Mak Yah kenal Tuan Adi tu macam mana orangnya, kan? Asal usul dia. Keluarga dia. Mesti Mak Yah tahu," balas Yusra. Berharap agar Mak Yah menceritakan sedikit latar belakang bos mereka itu.

"Kamu tak kenal dia? Mak Yah rasa dia cukup popular sekarang ni. Cucu saudara Mak Yah yang umur sepuluh tahun pun kenal dia," ujar Mak Yah.

Yusra tersengih malu. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Sebenarnya Mak Yah, saya ni kurang ambil tahu sangat pasal dunia artis. Kalau tengok TV pun biasanya tengok berita semasa aje, tak pun teman ibu saya tengok drama. Selebihnya, masa saya habis dengan kerja," terang Yusra.

Memang itulah hakikatnya, kekangan masa membuatkan dia tiada waktu untuk dirinya sendiri.

Mak Yah menganggukkan kepala. Cuba memahami situasi Yusra.

"Yalah, Mak Yah faham. Zaman sekarang, kalau tak kerja, susah nak hidup. Tapi, kenapa Yusra pilih jadi bodyguard? Kerja ni bahaya untuk perempuan macam kamu, kan?" balas Mak Yah sambil menatap wajah Yusra.

Senang hatinya dengan sikap Yusra yang mudah mesra meskipun baru beberapa minit bersua muka.

Yusra yang sedang asyik menyusun pinggan makan di rak, terhenti seketika. Soalan itu yang paling banyak ditanya kepadanya. Jadi, hanya senyuman yang mampu diberikan.

"Saya pun tak sangka saya boleh bekerja dalam bidang keselamatan ni, Mak Yah. Kerja ni memang bahaya, tapi bagi saya, kerja bodyguard ni sama aje macam polis, askar, bomba, kerja menyelamatkan orang daripada bahaya. Bezanya, tak ramai perempuan yang tahu pasal kerjaya ni. Sedangkan kerja ni pun menjamin masa depan juga, cuma masa bersama keluarga tu terhad sikit sebab jadual semuanya mengikut jadual majikan," terang Yusra lagi.

Mak Yah mendengar dengan teliti. Dia menganggukkan kepala tanda faham. Separuh hatinya kagum dengan gadis seperti Yusra. Tidak gentar dalam melakukan kerja yang berlainan dengan fitrahnya sebagai seorang gadis. Tengok saja gaya tubuhnya yang tegap, menyerlahkan karismanya sebagai seorang pengawal peribadi, puji Mak Yah dalam hati.

"Mak Yah kagum dengan kamu. Kalau perempuan lain, pasti sibuk nak cari kerja bawah air cond, cari kerja yang boleh bergaya. Kerja yang perlu solekan yang tebal. Tapi kamu memang lain daripada perempuan lain," ujar Mak Yah ikhlas.

Yusra ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala.

"Eh, boleh aje Mak Yah kalau kami nak bergaya, cuma masalahnya nanti majikan tak kenal. Susah pula," gurau Yusra.

Mak Yah ikut tertawa. Namun, tidak lama kemudian tawanya pudar apabila teringat apa yang terjadi kepada Syadi beberapa hari lepas.

"Mak Yah harap sangat Yusra dapat lindungi Tuan Adi tu dengan sebaik mungkin. Mak Yah takut betul bila tahu apa yang jadi kepada Tuan Adi baru-baru ni. Mak Yah tak rasa orang tu ceroboh rumah Tuan Adi semata-mata nak merompak. Pasti orang tu ada niat lain. Pasti dia nak apa-apakan Tuan Adi," ucap Mak Yah dengan wajah yang berubah sugul.

"Tak ada sesiapa yang boleh dijadikan suspek ke, Mak Yah? Maksud saya, mana kita tahu kalau-kalau Tuan Adi ada musuh," jawab Yusra. Dia kembali serius.

Mak Yah terdiam seketika. Tidak lama kemudian, dia menggelengkan kepala.

"Setakat ni, Tuan Adi tu tak ada masalah dengan artis lain. Dalam berita pun semuanya ceritakan tentang aktiviti dia sebagai penyanyi. Mak Yah tak ada pula dengar gosip dia bergaduh dengan artis lain... Yusra... Nak tahu tak?" soal Mak Yah dengan suara yang diperlahankan.

Mak Yah menoleh ke belakang, cuba memastikan yang tiada sesiapa di antara mereka saat ini.

"Tahu apa, Mak Yah?" soal Yusra turut memperlahankan suara. Dia menghampiri Mak Yah sehingga bahu mereka bersentuhan.

"Tuan Adi ni misteri sikit," bisik Mak Yah dengan berhati-hati.

Yusra terlopong. Kurang mengerti dengan kata-kata Mak Yah. Dahinya mula berkerut.

"Misteri macam mana tu, Mak Yah?" soalnya ingin tahu.

"Misterilah. Tak ada sesiapa pun tahu keluarga Tuan Adi. Siapa ayah dia? Siapa ibu dia? Peminat-peminat dia cuma tahu, dia dibesarkan oleh atuk dan nenek dia. Atuk dan nenek dia pun tak ada siapa yang tahu tau," jawab Mak Yah sambil berbisik.

"Tentu Encik Rafi tahu. Saya nampak Encik Rafi dan Tuan Adi tu macam rapat betul," jawab Yusra setelah memikirkan secara logik.

"Tu Mak Yah tak pasti pula. Nampak macam Encik Rafi tak tahu juga. Kalau tahu, tentu Encik Rafi akan maklumkan pada keluarga Tuan Adi tentang kejadian tu," balas Mak Yah kembali.

Yusra terdiam. Betul juga kata-kata Mak Yah. Takkan tiada seorang pun daripada keluarga Syadi yang datang melawat ataupun bertanya khabar tentang Syadi sedangkan berita tentang pencerobohan rumah artis terkenal itu sudah terpampang di seluruh pelosok media. Tidak kira media sosial ataupun media cetak.

"Tapi siapa pun kenal keluarga Tuan Adi, tentu dia orang kaya, kan? Tengoklah apartmen ni. Siap ada studio lagi sebelah tu," tambah Yusra lagi. Kagum.

"Apa yang Mak Yah tahu, rumah ni memang Tuan Adi yang beli, rumah yang dijadikan studio tu sebelah tu, pak cik Tuan Adi yang hadiahkan. Macam yang Mak Yah cakapkan tadi, siapa pak cik dia, tak ada sesiapa pun tahu," cerita Mak Yah lagi.

"Memang misteri ni, Mak Yah," akui Yusra akhirnya.

"Tapi kalau kamu nak tahu pasal Tuan Adi, kamu cari aje kat Internet. Sekarang kan semua maklumat boleh dapat dengan sekali tekan aje. Nak mengumpat pun, orang guna Internet aje sekarang," ujar Mak Yah sambil tersengih.

Yusra ketawa kecil. Kata-kata Mak Yah ada benarnya. Sekarang ini, media sosial lebih berkuasa daripada media yang ada.

Apatah lagi bagi orang seni yang merupakan tumpuan orang ramai seperti Syadi, tentu saja segala maklumat tentang lelaki itu boleh diperoleh dengan mudah. Kenapa aku tak fikir pasal tu? detik hati Yusra.

"Betul juga kata Mak Yah. Kenapa saya tak terfikir sebelum ni?" ujar Yusra mengakui kesilapan sendiri.

"Yusra!" laung satu suara mengejutkan Yusra yang sedang asyik bersembang dengan Mak Yah.

Yusra menoleh ke belakang.

Kelihatan Rafi sedang berlari ke arah mereka berdua. Mak Yah dan Yusra berpandangan. Riak cemas yang terpapar di wajah Rafi membuatkan mereka turut panik. Dengan pantas, Yusra mengelap tangannya sehingga bersih. Dia turut mempercepatkan langkah bagi mendapatkan Rafi.

"Ada apa, Encik Rafi?" soal Yusra tertanya-tanya.

"Adi mana?" soalnya sambil memusingkan kepalanya ke sekeliling rumah.

"Errr... Tadi tuan ada..."

"Aku ada kat sini. Kenapa?"

Belum sempat Yusra menghabiskan bicara, Syadi terlebih dahulu muncul dari sebalik biliknya dan berjalan menghampiri Rafi, Yusra dan Mak Yah.

"Teruk kau, Syad! Teruk!" ujar Rafi tidak semena-mena sebaik saja wajah Syadi tertangkap di pandangan mata.

"Teruk? Apa maksud kau?" soal Syadi pelik.

Rafi mengeluh.

"Kau tengok ni!" ujar Rafi lalu menunjukkan skrin telefon pintarnya kepada Syadi.

"Ada orang sebarkan gambar kau dengan perempuan!" sambung Rafi lagi.

Syadi tersentak. Jantungnya bagai direntap saat ini.

"Apa?!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro