Bab 6
YUSRA memandang lama wajah Tuan Basri yang sedang memberi penerangan tentang tugas baharu yang harus dipikulnya. Dia sendiri tidak menyangka, majikan baharunya merupakan seorang artis yang terkenal. Sekilas, dia mengerling ke arah majikan baharunya yang sedang tunduk memandang skrin telefon pintar miliknya. Dahi Yusra sedikit berkerut.
Kenapa dia pilih aku sebagai bodyguard dia? Sedangkan dia boleh dapatkan bodyguard yang terbaik di Malaysia ni berbanding dengan aku. Lagipun dia lelaki, sepatutnya dia boleh upah bodyguard lelaki. Bukan perempuan, bisik hati Yusra.
"Macam mana Yusra, awak faham dengan syarat-syarat yang saya baca tadi?" soal Tuan Basri lalu meletakkan failnya di atas meja. Dia kembali mendongak memandang Yusra yang berdiri di hadapannya.
Lamunan Yusra terhenti. Dia membalas pandangan Tuan Basri.
"Saya faham, tuan. Tapi saya kena jaga Encik Adi 24 jam, itu saya rasa susah sikit untuk lakukan, tuan. Bukan tak boleh, saya boleh jaga Encik Adi 24 jam tanpa henti, tapi tuan tahu kan saya ada ibu. Ibu saya tinggal sorang-sorang di rumah. Jadi, saya harap pihak Encik Adi beri kelonggaran untuk saya juga," pinta Yusra dengan penuh sopan.
Rafi menyinggung Syadi yang kelihatan sedang asyik dengan telefon pintarnya. Lelaki itu kelihatan serius tanpa sebarang senyuman sebaik saja Yusra melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.
"Macam mana, Syad? Aku rasa dia tak boleh ikut syarat yang kau kemukakan tu. Tukar bodyguard lainlah," bisik Rafi sambil tangannya diletakkan di tepi bibir. Tidak mahu bicaranya didengari oleh Yusra mahupun Tuan Basri.
Syadi mengangkat tangan. Meminta supaya Rafi mendiamkan diri. Kaca mata diperkemaskan sebelum dia kembali membetulkan duduk. Kakinya disilangkan manakala tangannya memeluk tubuh.
"Jadi, awak tak boleh ikut syarat saya?" soal Syadi dengan suara yang tegas.
Yusra tertelan air liur. Mak aiii, macam garang aje bakal majikan aku ni? desis hatinya. Dia cuba mengawal riak wajah agar tidak ketara rasa cuaknya.
"Saya boleh ikut, encik. Cuma saya minta kelonggaran sikit. Saya perlu jaga ibu saya juga. Saya harap tuan faham," ucap Yusra dengan lambat-lambat.
"Kes saya ni bukan kes main-main tau. Ini melibatkan nyawa saya dan saya tak ambil pengawal peribadi untuk suka-suka. Saya rasa awak yang patut faham situasi saya," balas Syadi kedengaran garang.
Yusra menggigit bibir. Nampak gayanya dia tersalah bicara kali ini. Dia memandang Tuan Basri, berharap agar lelaki itu menolongnya. Namun, pandangan Tuan Basri telah menjelaskan segalanya. Serentak, kata-kata lelaki itu pagi tadi kembali terngiang di telinganya.
"Saya bagi awak peluang sekali lagi memandangkan awak benar-benar perlukan kerja ni. Kalau ikutkan kompelin daripada Tan Sri Ghazali, saya ada hak untuk tak benarkan awak jadi pengawal peribadi buat sementara waktu. Tapi saya tahu awak betul-betul mahukan kerja ni. Jadi, saya harap awak gunakan peluang yang ada sebaik mungkin. Banyak kali saya ingatkan awak, jangan campur adukkan emosi dengan kerja. Awak kena profesional." Nasihat Tuan Basri kembali melintasi ruang memorinya.
"Yusra..." Suara Tuan Basri mengembalikan Yusra ke dunia realiti. Dia resah. Dahinya sudah mula berpeluh.
"Saya cuma nak kepastian sama ada awak bersedia atau tidak jadi pengawal peribadi saya?" soal Syadi lagi.
Rafi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Satu pandangan pelik dilemparkan kepada Syadi. Bukankah lelaki itu yang beria-ia mahukan Yusra sebagai pengawal peribadi tetapi kenapa sekarang Syadi seakan-akan bermain tarik tali dengan Yusra?
"Syad... Apa..." Rafi cuba untuk bertanya tetapi sekali lagi Syadi mengangkat tangan meminta supaya Rafi menutup mulut. Lantas, kata-kata Rafi terbantut.
"Saya bersedia, encik. Kalau permintaan saya akan menyusahkan pihak encik, saya rasa lebih baik saya tarik..."
"Baik! Saya boleh beri kelonggaran yang awak nak," pintas Syadi pantas memotong bicara Yusra.
Yusra terdiam. Dia terkebil-kebil. Rafi terperanjat sedangkan Tuan Basri hanya termangu-mangu.
"Betul ke, encik?" soal Yusra seakan-akan tidak percaya.
"Hmmm... Tapi saya beri kelonggaran hanya untuk awak jenguk ibu awak saja. Nanti manager saya akan terangkan kepada awak tentang jadual. Sekarang boleh kita sign kontrak?" soal Syadi tidak mahu berlengah.
"Kalau macam tu, saya setuju!" jawab Yusra tanpa berfikir panjang. Dia tersenyum lebar.
Lama Syadi memandang senyuman Yusra sebelum tumpuannya diganggu dengan cuitan daripada Rafi. Dia berpaling ke sisi.
"Tapi Syad, kau kena pengawasan 24 jam selagi penjenayah tu tak ditangkap." Rafi mula merungut dengan keputusan Syadi. Fikirnya Syadi akan mengubah keputusan tetapi ternyata lelaki itu tetap dengan pendiriannya. Perbuatan Syadi semakin menimbulkan tanda tanya dalam diri Rafi. Siapa Yusra yang sebenarnya di pandangan Syadi?
"Aku tahu, tapi dia juga manusia. Dia ada keluarga. Kalau dia cuti, kau ada, kan?" soal Syadi sambil mengangkat keningnya dengan suara yang berbisik perlahan.
"Aku tak fahamlah dengan kau ni," balas Rafi. Mengalah.
"Nanti kau akan faham," jawab Syadi, kemudian dia kembali fokus kepada Tuan Basri dan Yusra yang sedang memandang mereka berdua.
"Mana kontrak?" soalnya pendek.
SARJAN Munir masih lagi fokus memandang skrin komputer riba. Anak matanya langsung tidak berganjak daripada meneliti setiap figura yang tertayang di skrin. Sesekali kedengaran bunyi klik daripada tetikus memenuhi ruang kerjanya.
"Macam mana sarjan, ada jumpa sesuatu tak?" soal Inspektor Fariz yang muncul secara tiba-tiba mendekati meja kerja Sarjan Munir.
Sarjan Munir mendongak. Dia menghentikan kerjanya seketika sebelum anak matanya dihalakan tepat ke wajah Inspektor Fariz yang masih menanti jawapan daripadanya.
"Setakat ni saya tak jumpa apa-apa yang mencurigakan daripada rakaman CCTV ni, tuan. Dalam rakaman CCTV di apartmen milik Encik Adi pun saya tak jumpa sebarang perkara yang mencurigakan. Orang yang keluar masuk apartmen tersebut semuanya penduduk di apartmen tu," terang Sarjan Munir.
Inspektor Fariz mendengar dengan teliti. Dia menggosok dagunya. Tanda dia sedang memikirkan sesuatu.
"Sarjan yakin ke?" soal Inspektor Fariz kembali. Lama dia memandang Sarjan Munir yang kelihatan serba salah.
"Setakat ni, maklumat yang saya dapat daripada pengawal keselamatan apartmen tu, tak ada orang yang mencurigakan masa hari kejadian, tuan," jawab Sarjan Munir penuh yakin.
"Dan sarjan percaya?" soal Inspektor Fariz lagi dengan senyuman kecil tersungging di bibir.
Sarjan Munir mula berpeluh. Dia yakin, pasti Inspektor Fariz ada sesuatu yang ingin disampaikan. Tentu inspektor muda itu tidak berpuas hati dengan hasil siasatannya.
"Saya akan lakukan siasatan sekali lagi, tuan," balas Sarjan Munir mengalah.
Inspektor Fariz mengangkat ibu jarinya tanda bagus. Ternyata Sarjan Munir memahami sikapnya ketika bertugas.
"Saya tak nak sarjan terus buat kesimpulan dengan sekali siasatan. Saya yakin walau sehebat mana pun penjenayah tu, pasti dia akan tinggalkan jejak tanpa dia sedar. Saya yakin orang yang mengancam Encik Adi ada berdekatan dengan dia dan bukan orang sembarangan," ujar Inspektor Fariz.
"Tapi tuan, Encik Adi sendiri yang cakap, dia tiada musuh. Malah, saya siasat cerita-cerita di Internet, tak ada satu pun gosip atau kontroversi yang melibatkan Encik Adi. Jadi, apa motif penceroboh tersebut sehingga sanggup hantar surat ancaman kepada Encik Adi?" soal Sarjan Munir masih lagi keliru dengan kes yang baharu dia terima.
"Motif dia mungkin nak jatuhkan karier Encik Adi ataupun sengaja nak rosakkan nama baik Encik Adi. Tak pun, mungkin bermotifkan peribadi. Siapa tahu, kan?" balas Inspektor Fariz.
Sarjan Munir hanya menganggukkan kepala. Tanda faham.
"Tapi saya pelik, tuan. Apa maksud dia kirimkan bunga kemboja kepada Encik Adi? Dan surat tu, apa maknanya? Kau tak seharusnya hidup? Bermakna orang yang letak surat tu kenal dengan Encik Adi?" soal Sarjan Munir membuatkan Inspektor Fariz terdiam. Dia menggigit bibir. Otaknya mula bekerja keras memikirkan sebarang kemungkinan yang berlaku.
Dia tertarik apabila Sarjan Munir menyebut perihal bunga kemboja. Bunga kemboja? Kenapa bunga kemboja berwarna merah darah menjadi pilihan penjenayah itu? Adakah bunga itu memberi sebarang maksud atau sekadar ingin mengalih perhatian? Hati Inspektor Fariz mula dilanda dengan seribu pertanyaan.
"Kita teruskan siasatan. Siasat sekali latar belakang Encik Adi. Mungkin daripada situ, kita boleh jumpa petunjuk." Inspektor Fariz mengeluarkan arahan tanpa menjawab soalan Sarjan Munir.
"Baik, tuan!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro