Bab 10
"BILA terjadinya kes seperti ini, ada tak Adi rasa Adi nak kurangkan aktiviti seni Adi?" Soalan demi soalan masih lagi diajukan kepada Syadi saat ini.
Syadi terdiam seketika. Tumpuannya sedikit terganggu apabila melihat Yusra menghilangkan diri di sebalik pintu dewan. Ke mana pula minah tu nak pergi? soal hatinya. Kemudian, dia menoleh ke sisi. Rafi memberi isyarat agar Syadi menjawab soalan wartawan tanpa perlu mempedulikan Yusra.
Syadi hanya akur. Senyuman diukirkan. Walaupun dirasakan sangat hambar.
"Kerjaya saya, jiwa saya. Kalau saya kurangkan aktiviti, bermakna orang yang nak tengok kejatuhan saya akan bersorak. Jadi, walau apa pun yang terjadi, saya akan tetap teruskan kerja saya. Negara kita ada undang-undang. Negara kita ada pihak berkuasa dan media yang terbaik, saya pasti, siapa pun orang yang cuba hancurkan saya dan karier saya, pasti akan tertangkap juga suatu hari nanti."
Jawapan yang diberikan oleh Syadi mendapat tepukan daripada para wartawan yang rata-rata kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Syadi. Namun, sebaik saja tepukan berakhir, tidak semena-mena, lampu yang menerangi dewan tersebut terpadam dengan sendirinya.
"Aaa!" Mereka menjerit. Suasana terang bertukar gelap.
Masing-masing panik. Kedengaran suara wartawan perempuan menjerit ketakutan dan terkejut.
"Kenapa ni? Apa dah jadi ni?" soal Syadi sambil teraba-raba mencari arah.
Rafi turut cemas. Dia memegang lengan Syadi dalam kegelapan. Telefon bimbitnya dikeluarkan.
"Jangan panik, Syad. Nanti aku check apa yang dah jadi," ujar Rafi sambil menenangkan Syadi.
Ruang dewan mula dipenuhi dengan cahaya daripada telefon bimbit. Rafi bingkas bangun dan memohon maaf kepada pihak wartawan sebelum memanggil kakitangan yang bertanggungawab mengawal dewan untuk memeriksa bekalan elektrik.
"Saya minta maaf. Mungkin ada kesilapan yang tidak disengajakan berlaku," ujar Rafi dengan suara yang kuat.
"Ainan mana?" bisik Syadi apabila Rafi kembali duduk di sisinya.
"Dia keluar sekejap. Dia nak check sesuatu katanya," jawab Rafi turut berbisik.
"Check apa?" soal Syadi lagi. Ingin tahu.
"Aku pun tak tahu. Dia cakap dia on the way ke lot parkir tingkat bawah. Katanya, ada lelaki yang mencurigakan..." jawab Rafi. Namun, dia menghentikan kata apabila terfikirkan sesuatu.
Syadi turut terdiam. Mereka berpandangan. Tiada yang terluah daripada bibir, hanya mata yang berbicara. Mungkinkah lelaki yang dikatakan oleh Yusra itu adalah lelaki misteri yang menceroboh rumahnya? Hati Syadi terdetik. Rafi pun.
Kedua-duanya meneguk liur dengan dada yang berdebar. Serentak, lampu kembali bernyala. Ruang dewan yang gelap kini bertukar terang-benderang. Masing-masing mula menarik nafas lega. Tapi tidak bagi Syadi dan Rafi.
Anak mata mereka berdua kini tertegun ke arah meja yang berada di hadapan mereka. Dada Syadi berombak dengan mata yang terbuka luas. Sedangkan Rafi turut ternganga dengan bulu roma yang tegak berdiri. Sekarang ini, terpampang di mata mereka sehelai kertas yang bertaip kemas. Terdapat juga sekuntum bunga kemboja berwarna merah darah diletakkan di atas kertas tersebut.
Syadi dan Rafi berpandangan dengan dada yang berdebar. Surat dan bunga yang sama pernah dia dapat sebelum ini. Jangan-jangan...
"Apa tu, Raf?" soal Encik Halim pelik.Ini baharu pertama kali dia melihat kertas dan bunga kemboja tersebut berada di atas meja Syadi padahal semasa sesi temu bual, meja lelaki itu kosong.
Syadi bertindak mencapai kertas tersebut dengan wajah yang dibasahi peluh. Lipatan kertas itu dibuka dengan penuh debaran.
BUNUH DIRI KAU SENDIRI ATAU...
Mata Syadi terbuntang. Kata-kata yang dibiarkan tergantung itu menambah lagi rasa gerun dalam hati Syadi. Orang yang cuba menakutkannya kali ini bukan main-main. Tanpa sedar, kertas yang dipegang, terjatuh daripada genggaman.
Rafi tersentak. Kertas tersebut diambil lalu dibaca perlahan. Dia turut tertelan air liur lantas dia berpaling ke arah Encik Halim dengan riak yang cuak.
"Kita kena batalkan sidang akhbar ni sekarang!" ujar Rafi dengan suara yang cukup perlahan.
"Hah? Kenapa kena batalkan?" Encik Halim terkejut. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.
"BOLEH saya tahu, encik ni wartawan ke?" soal Yusra lambat-lambat. Dia mencari raut wajah lelaki yang sedang membelakanginya.
Senyap. Tiada jawapan. Lelaki itu hanya membatukan diri tanpa sedikit pun menjawab soalan yang diajukan oleh Yusra.
"Encik?" Yusra bersuara lagi. Kali ini dia menapak selangkah menghampiri lelaki tersebut dengan rasa yang bercampur baur.
Yusra cuba menyentuh bahu lelaki tersebut, namun lelaki itu terlebih dahulu mengangkat kaki dan berlari meninggalkan Yusra. Yusra tiada pilihan. Dia mengejar dari belakang.
"Berhenti!" jerit Yusra. Dengan sekuat hati dia mengejar lelaki tersebut.
Apabila arahannya tidak diendahkan oleh lelaki itu, Yusra terpaksa mengambil tindakan nekad. Dia menguatkan larian dan apabila dia semakin hampir dengan lelaki tersebut, dia melompat sambil kakinya menapak ke dinding sebelum satu sepakan dihadiahkan pada belakang tubuh lelaki tersebut.
"Arghhh!" Lelaki itu menjerit keras sebelum jatuh tertiarap di atas lantai parkir.
Yusra turut terguling di atas lantai. Dia menjerit kesakitan. Namun, perasaan itu dibuang jauh-jauh. Dia bingkas bangun dan terus mendapatkan lelaki yang sedang mengaduh kesakitan itu. Yusra melompat ke atas belakang lelaki itu. Kedua-dua belah tangan lelaki itu dikilas ke belakang.
"Lebih baik kau cakap, siapa kau sebenarnya? Kenapa kau ekori Adi Arsyad? Apa yang kau nak?" soal Yusra garang.
"Arghhh! Lepaskan. Lepaskan aku. Sakit!" Akhirnya lelaki itu bersuara juga. Dia meronta-ronta minta dilepaskan.
Namun, Yusra enggan. Lengan lelaki itu dipulas sekuat hati.
"Lebih baik kau cakap siapa kau dan apa yang kau nak daripada Tuan Adi sebenarnya? Aku tahu kau ekori dia, kan?!" bentak Yusra dengan garang.
"Arghhh! Lepas! Lepas!" Lelaki itu terus-terusan menjerit. Dia tidak menyangka gadis yang berbadan genit itu mempunyai kekuatan yang luar biasa.
"Kalau kau tak terus terang, jangan salahkan aku..."
"Yusra!"
Bunyi suara yang menjerit memanggil namanya menghentikan perbuatan Yusra. Dia berpaling. Kelihatan Syadi, Rafi dan dua orang lelaki berpakaian pengawal keselamatan sedang berlari ke arahnya. Yusra menghembuskan nafas lega. Akhirnya, bantuan sampai tepat pada waktunya.
"Sampai pun tuan. Ni dia, lelaki yang saya curigakan tu. Saya nampak dia dalam dewan tadi. Rasanya bukan wartawan. Dia renung aje tuan, kemudian dia keluar dari dewan. Saya syak dia lelaki yang tuan cari tu," ujar Yusra yakin. Naik turun dadanya menahan rasa penat.
Dia menarik lengan lelaki tersebut dan dihadapkan ke arah Syadi dan Rafi. Namun, Yusra pelik apabila reaksi Syadi yang terkejut melihat wajah sebenar lelaki yang dia kejar sebentar tadi. Kelopak mata lelaki itu terbuka luas bersama mulut yang ternganga.
"Pak cik?!" Suara Syadi melengking tinggi.
Rafi dan Yusra terpinga-pinga. Mereka berpandangan sesama sendiri sebelum anak mata mereka terhenti di wajah Syadi dengan seribu persoalan bermain dalam minda.
"Pak cik?!" soal mereka serentak.
"Ni pak cik kau ke Syad?" soal Rafi sambil memandang lelaki yang berusia dan Syadi silih berganti.
"Pak cik tak apa-apa ke?" soal Syadi tanpa menghiraukan soalan daripada Rafi. Dia memegang lengan Tuan Mukhtar dengan lembut.
"Pak cik okey. Cuma kaki aje sakit sikit," jawab Tuan Mukhtar dengan senyuman menghiasi bibirnya.
Syadi mengetap bibir. Dia menjeling ke arah Yusra yang sedang menundukkan wajah. Rasa ingin ditelan gadis itu.
"Kau tolong bawa pak cik aku ke rumah. Nanti aku menyusul," tambah Syadi lagi.
Rafi gelisah. Dia berpandangan dengan Yusra yang turut tertunduk malu. Dia rasa bersalah.
"Habis tu, kau macam mana? Takkan aku nak tinggal kau kat sini sorang-sorang. Wartawan masih ramai tunggu kau kat luar," ujar Rafi dengan riak risau jelas terpamer di wajahnya.
"Kau tak perlu risau. Aku dah ada bodyguard sekarang. Inilah masanya untuk dia tunjuk kemahiran dia sebagai bodyguard," ucap Syadi sambil mengerling ke arah Yusra yang terkulat-kulat.
"Lagipun aku nak jumpa Inspektor Fariz. Pasal wartawan, biar aku yang uruskan. Berapa lama aku boleh mengelak? Daripada timbul cerita yang bukan-bukan, biar aku yang terangkan kepada reporter," sambung Syadi membuatkan Rafi akur. Dia tiada pilihan lain. Lalu dia menghampiri Tuan Mukhtar.
"Pak cik boleh ikut saya," ajar Rafi lalu menunjukkan jalan ke arah Tuan Mukhtar.
Tuan Mukhtar memandang ke arah Syadi. Dia tersenyum nipis.
"Pak cik tunggu kat rumah."
Syadi hanya menganggukkan kepala. Dia menghantar kelibat Rafi dan Tuan Mukhtar sehingga hilang daripada pandangan sebelum dia kembali memandang Yusra yang sedang menundukkan kepala. Satu keluhan dilepaskan.
"Kau ikut aku sekarang!" Suara Syadi meninggi.
Yusra hanya mampu menelan air liur. Kecut perut.
"Saya minta maaf, tuan. Saya tak tahu itu pak cik tuan," ucap Yusra sambil mengejar langkah Syadi yang jauh meninggalkannya.
Syadi menghentikan langkah dan membuatkan Yusra secara tidak sengaja terlanggar tubuh Syadi. Hampir dia terjatuh, namun Syadi sempat menangkap lengannya. Sepantas kilat Yusra menarik tangannya dan menjarakkan diri daripada Syadi.
"Saya minta maaf, tuan," ucap Yusra lagi. Kali ini dia menundukkan kepala. Cuba melindungi wajahnya yang berona merah. Dia malu dengan insiden tadi.
Syadi melepaskan keluhan berat. Hanya jelingan dihadiahkan kepada Yusra.
"Macam mana kau boleh jadi bodyguard dengan sikap kelam-kabut kau ni? Kalau pun lelaki tu bukan pak cik aku, itu bukan alasan untuk kau bersikap kasar macam tu. Nasib baik pak cik aku tak cedera. Kalau tak, aku saman kau!" ujar Syadi membuatkan mata Yusra terbeliak.
"Saman? Mana boleh. Lagipun saya tak salah. Saya dah minta pak cik tuan berhenti untuk pemeriksaan tapi pak cik tuan tak nak berhenti. Saya cuma fikirkan keselamatan tuan aje," balas Yusra cuba membela dirinya sendiri.
"Jadi, kau nak salahkan pak cik akulah sekarang ni?" soal Syadi cuba mengawal kesabarannya dengan sikap Yusra.
Yusra mengangguk pantas dengan riak wajah yang tidak bersalah.
Lama Syadi memandang wajah Yusra. Senyuman yang diukirkan oleh Yusra membuatkan dia mengetap bibir. Dia kalah dalam diam.
"Aku nak kau minta maaf kepada pak cik aku nanti. Sikap kau menunjukkan yang kau tak hormatkan orang tua. Aku tak suka pekerja aku kurang ajar!" balas Syadi dengan tegas. Dia melarikan pandangan ke tempat lain.
"Baik, tuan."
"Kita nak ke mana sekarang, tuan?" soal Yusra tidak lama kemudian. Sekarang ini mereka sedang menuju ke arah lif untuk ke tingkat atas.
"Kita ke dewan semula. Aku nak jumpa Inspektor Fariz," jawab Syadi.
"Jumpa inspektor? Ada apa-apa yang berlaku ke, tuan?" soal Yusra pelik. Dia kebingungan.
Dia menekan punat lif untuk Syadi. Sebaik saja lif terbuka, dia membiarkan Syadi masuk terlebih dahulu.
"Orang yang serang aku di rumah, muncul semula."
"Muncul semula? Maksud tuan dia ada di dewan tadi?" soal Yusra seakan-akan tidak percaya.
Syadi menjongketkan bahu. Dia terus terdiam sementara Yusra berdiri di hadapan Syadi sebagai langkah berjaga-jaga. Mereka berdua terus melangkah menuju ke dewan tersebut, namun belum sempat mereka melangkah masuk, Syadi terlebih dahulu diserbu oleh para wartawan.
Yusra kaget seketika. Namun, dia cepat bertindak dengan melindungi Syadi. Dia mendepangkan tangan bagi menghalang para wartawan mendekati majikannya itu.
"Adi, apa yang terjadi sebenarnya? Kenapa tiba-tiba sidang akhbar ni dibatalkan?"
"Adakah ini berkaitan dengan kes awak, Adi? Boleh tolong jelaskan?"
"Atau ini semua gimik untuk pelancaran album awak nanti?"
Bertalu-talu soalan yang dilontarkan oleh wartawan kepada Syadi. Syadi hanya mampu menayang wajah selamba.
"Saya minta maaf, tapi saya tak rasa Adi Arsyad bersedia untuk jawab soalan tuan dan puan sekarang ni." Yusra bersuara bagi pihak Syadi yang hanya mendiamkan diri.
"Tapi Adi, kami ternampak pihak polis masuk ke dalam dewan tadi? Ada apa-apa yang berlaku ke?" soal wartawan tanpa mempedulikan kata-kata Yusra. Mereka tetap menggasak soalan demi soalan kepada Syadi.
"Nanti Adi akan jawab setiap soalan dalam sidang akhbar seterusnya. Buat masa sekarang, dia perlukan rehat," tambah Yusra lagi. Sedangkan saat ini Syadi sudah menjegilkan matanya kepada Yusra. Dia menggigit bibir.
"Awak akan buat sidang akhbar seterusnya Adi?" soal wartawan wanita inginkan kepastian.
"Insya-Allah, saya tak dapat berikan apa-apa komen tentang perkara yang berlaku hari ni. Semuanya masih dalam siasatan pihak polis. Saya harap semuanya faham. Jika ada perkembangan, manager saya akan inform awak semua," ucap Syadi. Dia tersenyum tapi dirasakan hambar.
"Saya minta diri dulu," tambahnya lalu menarik belakang baju Yusra sebagai isyarat agar gadis itu bergerak.
Yusra menganggukkan kepala tanda faham. Dia berpaling dan terus menghalangi tubuh Syadi sehinggalah mereka berdua masuk ke dalam dewan. Pintu ditutup dengan rapat.
Nafas dilepaskan. Yusra mengelap peluh di dahi. Dia tidak menyangka hari pertama dia menjadi pengawal peribadi kepada Syadi begitu memenatkan.
"Siapa bagi kau arahan untuk cakap macam tu?" soal Syadi apabila melihat Yusra kembali stabil.
Dahi Yusra berkerut.
"Cakap apa, tuan?" soalnya pelik.
"Kau cakap aku akan adakan sidang akhbar yang seterusnya. Siapa yang bagi arahan untuk kau cakap macam tu?" Syadi mengulang kembali kata-katanya. Kali ini lebih garang. Wajahnya turut masam mencuka.
"Errr... Saya cuma bercakap mengikut keadaan. Apa lagi alasan yang perlu saya cakapkan untuk mengelak wartawan daripada terus menekan tuan. Itu alasan yang paling logik saya rasa," terang Yusra berharap agar Syadi memahami.
"Kau..."
"Encik Adi!" laung satu suara membuatkan kata-kata Syadi terhenti dengan sendirinya. Dia berpaling. Kelihatan Inspektor Fariz mengangkat tangan ke arahnya. Syadi menganggukkan kepala.
"Kau tunggu kat sini. Jaga pintu ni, jangan bagi sesiapa masuk. Faham?" soal Syadi.
Yusra menganggukkan kepala. Dia hanya melihat Syadi yang melangkah menghampiri seorang anggota polis. Wajah lelaki itu kelihatan serius. Kelihatan Syadi menghulurkan sekeping kertas kepada polis tersebut. Dahi Yusra berkerut. Surat apa tu? Dia mula tertanya-tanya.
Dia terus memerhatikan setiap langkah Syadi tanpa berganjak walau sedikit pun. Dia tidak mahu sebarang perkara buruk berlaku kepada majikannya itu. Namun, semakin lama dia memerhatikan gerak-geri Syadi, dia terasa seperti pernah bertemu dengan Syadi sebelum ini. Perasaan itu sukar untuk dia gambarkan tetapi dia sendiri pelik dengan gerak hatinya sendiri.
"Kau tunggu aku di dalam kereta. Aku nak ke tandas sekejap," tegur Syadi membuatkan Yusra kembali ke dunia realiti. Entah bila Syadi menghampiri tempat dia berdiri? Yusra sendiri tidak sedar.
"Errr... Tak bahaya ke kalau tuan pergi sorang-sorang?" soal Yusra.
Syadi menjongketkan keningnya.
"Kau nak ikut ke?" Soalan dibalas soalan oleh Syadi. Yusra tertunduk.
"Bukan itu maksud saya, saya boleh tunggu di luar tandas kalau tuan nak," balas Yusra cuba berlagak selamba.
Syadi tersenyum sinis. Dia menggelengkan kepala.
"Tak payah. Kau tunggu aje di dalam kereta. Aku tak rasa orang tu akan datang ke sini semula. Dia mesti tahu polis ada di kawasan ni. Tentu dia tak berani nak dekat," jawab Syadi dengan yakin.
"Baiklah kalau itu yang tuan nak. Saya tunggu tuan di dalam kereta ajelah," ujar Yusra akur dengan arahan Syadi walaupun hatinya berlagu bimbang.
Syadi hanya menganggukkan kepala. Dia dan Yusra mula melangkah mengikut haluan masing-masing. Yusra berpaling memandang Syadi yang semakin menjauh. Dia menyentuh dadanya. Kenapa aku risau semacam ni? detik hatinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro