Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

1. Playdate

"Jom main pondok-pondok!"

Sebab ayat keramat tulah...

"Abang, jom makan."

Kini, dia milik aku.

Wajah bak bidadari itu aku pandang. Setiap kali memandang wajah itu, bibirku sentiasa menguntum senyum. Senyuman di bibir merah dia itu seakan-akan tidak pernah luntur.

"Okay. Awak masak apa?"

Komputer riba itu aku tutup. Aku merangkul pinggang isteriku ketika kami berjalan menuju ke ruang makan.

"Ayam masak merah. Boleh kan?"

"Mestilah boleh. Awak masak apa pun, abang akan makan."

Dia tersenyum mendengar kata-kataku. Itu satu sikap yang aku puji tentangnya. Jarang sekali wajah itu tidak tersenyum. Siapa sangka senyuman itu dapat aku lihat setiap hari sebaik sahaja mataku terbuka. Wajahnya sahaja sudah menenangkan, inikan pula ketika dia tersenyum.

Hailah, sayang.

Cepat betul masa berlalu!

◇◇◇


Dua puluh tahun lalu...

"Saya jadi isteri, awak jadi suami. Okay?"

"Hah? Jadi suami? Apa tu?"

"Alah, macam papa mama kitalah. Papa suami, mama isteri."

Aku terdiam. Apa maksudnya ni? Suami tu lelaki ke?

"Macam mana nak jadi suami? Kita tak tahulah."

Budak perempuan itu turut tersenyum. Kemudian, dia memegang tangan aku dan membawa aku ke satu tempat.

Pondok di dusun.

"Duduk."

Aku hanya menurut. Dia pula duduk disebelah aku.

"Macam nilah suami isteri. Kita kena sayang awak, awak kena sayang kita."

Sayang?

Aku mengerutkan dahi. Tak fahamlah apa yang dia cakap.

"Apa tu sayang?"

Tangan aku dipegang dan diangkat. Dia juga melakukan hal yang sama. Kemudian, tangan kami disatukan dan membentuk...

"Ni bentuk love. Maknanya, kita kena saling sayang dan awak tak boleh tinggalkan saya sorang-sorang. Kita kena sama-sama sentiasa. Okay?"

Dia tersenyum manis. Terlalu manis sehingga aku rasa gementar.

Kita kena saling sayang dan aku tak boleh tinggalkan dia seorang diri.

Ceh! Senang je!

"Okay!"

"Yeay! Kalau macam tu, awak kena pura-pura balik daripada kerja. Saya tengah masak kat dapur tau!"

Dia berlari dan masuk dalam pondok. Mulakan lakonannya sebagai isteri. Dan aku hanya menurut segala yang dia minta.

Segalanya.

◇◇◇

"Mama, Daim nak tanya boleh?"

"Apa dia?"

"Susah ke jadi suami?"

Mama tersenyum nipis apabila mendengar soalan aku sambil dia menyelimutkan aku. Kemudian, ubun-ubun aku dikucup.

"Jadi suami itu satu tanggungjawab yang berat untuk seorang lelaki. Suami itu perlu menjaga isterinya dengan baik. Tak boleh marah-marah isteri."

"Kenapa suami kena jaga isteri pulak? Isteri tu tak boleh jaga diri sendiri ke?"

"Maksud suami kena jaga isteri itu macam Iman kena jaga, lindungi dan sayang seorang perempuan tu dengan sepenuh hati Daim. Tak boleh biarkan dia menangis. Kena selalu ada untuk dia setiap kali dia bersedih, gembira. Macam rumah untuk berlindung."

Mama tersenyum nipis lagi. Walaupun aku kurang faham dengan apa yang mama katakan, aku hanya membalas senyuman itu.

"Dah, tidur. Esok nak ke tadika. Lambat pulak bangunnya."

"Okay, mama. Goodnight! Iman sayang mama!"

Lampu ditutup dan aku mula berlayar ke alam mimpi.

◇◇◇

"Huwaaaaaaa!!!"

Aku memandang ke arah tangisan itu dan bergegas ke arah dia yang terduduk di atas rumput.

"Kenapa ni?"

"Sakit...jatuh tadi..."

Aku memegang tangannya itu. Ada beberapa luka akibat dia jatuh tadi.

"Sakit lagi ke?"

Dia mengangguk perlahan. Air matanya mula mengalir. Mata aku dialihkan kembali memandang luka di tangannya sebelum aku meniup lembut ke arah luka-lukanya itu untuk beberapa saat. Kemudian, secara spontan aku menghapuskan air matanya. Dia hanya terduduk kaku.

"Janganlah nangis. Kan saya ada."

Aku tersenyum nipis apabila melihat dia mengukir senyuman. Lega hati aku apabila melihat dia yang kembali tersenyum.

"Jom kita jumpa cikgu. Suruh cikgu letak ubat."

Dia hanya menurut kata-kataku. Dan ketika itu, aku mengerti maksud mama. Perasaan untuk jaga, lindungi dan sayang itu wujud untuk dia. Aku tak mampu untuk melihat dia menangis. Jadi, aku akan pastikan akulah orang yang akan menghapuskan air mata dia setiap kali dia menangis.

Pasti.

◇◇◇

"Daim! Cepatlah! Lambatlah kau ni!"

"Ya, kejap!"

Terkocoh-kocoh aku berlari keluar daripada rumah selepas bersalaman dengan mama. Basikal aku kayuh kemudian kami sama-sama menuju ke sekolah.

Kelas tambahan petang untuk pelajar UPSR ni memenatkan! Kenapa perlu adakan kelas tambahan? Aku bukannya tak pandai! Aku dan dia sama-sama di kelas pertama.

"Keluarkan kerja yang saya bagi masa kelas tambahan minggu lepas. Saya nak tengok."

Aku keluarkan kertas soalan matematik itu. Fuh! Mujurlah aku siap.

"Kertas kamu mana?"

Aku memandang ke arah pelajar yang disoal oleh cikgu Hairi.

"Kenapa tak siap lagi? Kan saya dah bagi masa seminggu untuk siapkan."

Diam. Dia tidak memberikan jawapan.

"Berdiri belakang kelas. Hari ni, saya terpaksa denda kamu."

Dia berjalan menuju ke belakang kelas. Ketika itu, aku menyorokkan kertas matematik aku di bawah meja.

"Cikgu."

Aku mengangkat tangan aku.

"Saya punya kertas tertinggal dekat rumah."

"Kalau macam tu, kamu pun saya denda. Berdiri dekat belakang."

Aku tersenyum nipis lalu berdiri di belakang kelas.

"Bukan kau bawak ke kertas tu?" bisik dia dengan perlahan.

"Mana ada. Aku memang tak bawaklah."

"Dasar pelupa."

Dia tertawa kecil. Melihat dia ketawa sebegitu, sudah cukup membuatkan aku bahagia. Senyumannya terlalu berharga.

◇◇◇

"Kau nak pergi mana?"

"Tandas."

Hrm, aku tak percaya.

"Ke kau nak ponteng kelas? Sekarang ni masa addmath kan?"

"Mana ada! Cikgu dah masuk kelaslah. Aku minta izin cikgu kut tadi."

"Kalau kau nak ke tandas, kenapa lalu sini? Tandas perempuan kan kat hujung sana."

Dia terdiam. Takutlah tu kalau aku bagitahu cikgu pasal hal ni.

"Aku tak suka addmath. Aku tak suka. Janganlah paksa aku."

Mendengarkan hal itu, aku tersenyum nipis.

"Aku kan ada untuk ajar kau. Jadi, kau kena belajar. Okay?"

Dia mendongakkan sedikit kepalanya untuk memandang aku.

"Betul ke kau nak ajar aku?"

"Mestilah. Aku akan ajar kau sampai kau pandai. Sekarang ni, pergi masuk kelas. Belajar rajin-rajin. Kalau ada hal yang kau tak faham, boleh tanya aku."

"Okay. Thank you, Daim."

Dia berjalan pulang ke kelas. Aku pun meneruskan perjalanan aku ke makmal sains. Mujurlah aku ternampak dia yang cuba untuk ponteng kelas. Bukannya aku tidak tahu sikap dia yang sangat tidak sukakan subjek matematik tambahan.

Aku akan halang dia daripada melakukan hal-hal yang merugikan dirinya sendiri. Aku akan lindungi dia.

◇◇◇

"Daim, aku dah ada boyfriend!"

Hati aku bagaikan dirobek dan ditikam berkali-kali.

Apakah benar hati dia dihuni orang lain?

"Daim! Dengar tak?"

"Ya, aku dengar. Tahniah. Aku happy untuk kau."

Aku terpaksa mengukir senyuman palsu untuknya. Tidak pernah aku terfikir bahawa senyuman ceria itu terlakar untuk orang lain.

Namun, senyuman itu hanya sementara. Selepas beberapa bulan...

"Kenapa kau menangis ni?"

"Azlan curang dengan aku. Apa kurangnya aku sampaikan dia pilih orang lain? Dia cakap dia nak jaga aku."

Teresak-esak gadis itu menangis. Hendak dipeluk, aku masih tahu batas agama. Jadi, aku hulurkan sapu tangan untuk dia hapuskan air mata.

"Tak perlu tangisi orang murah yang mempermainkan setia. Hati yang sedang berduka sekarang bukan kerana kekurangan pada diri tetapi kerana belum menemui yang sejati. Kesempurnaan itu tidak pernah wujud namun lengkap itu pasti."

Jeda.

"Aku takkan biarkan kau menangis seorang diri. Setiap kali kau menangis, aku akan ada untuk kau. Okay?"

Dia kembali mengukur senyuman indah.

"Kau ada cara untuk aku move on?"

Aku tersenyum nipis.

"Let's go for a playdate."

◇◇◇

"Daim, aku bosan."

Aku mengerutkan dahi.

"Bosan? Kata esok ada exam. Dah study ke?"

"Dah, tadi. Otak aku dah tak mampu nak tampung apa-apa. Aku macam tak percaya lagi yang kita tak sama universiti."

Aku tersenyum dengan kenyataan dia. Buku aku tutup dan kaca mata aku betulkan.

"Dah nak habis belajar dah ni. Tinggal lagi dua sem nak grad. Tak boleh terima kenyataan lagi ke?"

"Tak. Selama ni, kita mana pernah terpisah. Aku tengok muka kau, kau tengok muka aku. Lagipun, dah lama kita tak keluar sekali."

Aku tertawa kecil. Apabila teringatkan hal itu, aku pasti tersenyum.

"Erm, kalau macam tu, kita playdate hari Sabtu ni?"

"Betul ke? Kau tak busy?"

"Ya, betul. Aku tunggu kau dekat stesen LRT."

"Yeay! Daim baik! Kita pakai baju warna biru tau Sabtu nanti!"

"Okay."

Sejak peristiwa itu, perkataan playdate itu tidak asing lagi untuk kami. Setiap hari Sabtu, kami akan berpura-pura seperti kami ini pasangan kekasih.

Kepuraan itu mendatangkan rasa bahagia dalam diri aku.

◇◇◇

Ketika melihat dia yang sedang tekun melihat menu makanan untuk dipilih, aku terfikir sendiri.

Adakah benar hatiku ini milik dia? Sudah bertahun-tahun lamanya aku mencintai dia. Hari ini, sudah cukup dua puluh tiga tahun kami berkawan dan perasaan aku terhadap dia masih sama.

"Daim, nak yong taufu set B ni."

Lamunan aku mati ketika suaranya menyapa gegendang telingaku.

"Okay. Order lah."

Dia tersenyum lagi.

Selepas makan, aku dan dia berjalan di tepi tasik. Malam itu, angin hanya sepoi-sepoi bahasa. Nyaman. Laluan berjalan itu hanya diterangi oleh cahaya daripada tiang lampu.

"Daim, tengok bulan tu!"

Dia duduk di bangku kosong dan kepala didongakkan ke atas, memandang bulan penuh yang terang itu.

Aku melihat dia yang disinari cahaya lampu tiang itu. Blouse berwarna biru laut itu sangat sesuai dengan dia. Menampakkan dia lebih cantik. Dan senyuman itu. Senyuman yang tidak pernah hilang manisnya. Aku ingin melihat senyuman itu setiap kali aku bangun daripada tidur. Aku ingin jadikan dia milikku.

"Duduklah," pelawanya. Namun, aku tidak menghiraukan hal itu.

"Dahlia binti Hamid, sudi tak kau jadi isteri aku?"

Dia terkaku mendengar persoalan aku.

"Daim, aku..."

"Aku ikhlas, Dahlia. Aku nak kau jadi isteri aku. Sejak kita kecil, aku dah sukakan kau. Sejak kau putuskan untuk aku jadi suami dan kau jadi isteri, aku dah mula sayangkan kau. Aku nak jadi yang halal untuk kau supaya setiap kali kau menangis, aku orang pertama yang akan hapuskan air mata kau. Mungkin aku bukan yang pertama tapi aku nak jadi yang terakhir untuk kau."

Sudah aku lafazkan perkara yang terbuku di hati aku sejak lima belas tahun lalu. Aku sangat cintakan seorang wanita yang terlalu manis senyumannya.

Aku cintakan Dahlia.

Hanya Dahlia.

◇◇◇

"Abang, saya takut..."

Aku memandang wajahnya yang semakin pucat menahan sakit. Tangannya aku pegang dan aku kucup.

"Jangan takut. Allah ada dengan kita. Allah akan lindungi awak dan anak kita."

Aku setia berada di sisi dia. Aku tidak mahu biarkan dia bertarung nyawa seorang diri untuk melahirkan anak pertama kami.

Melihat dia yang bermati-matian berjuang itu membuatkan air mataku mengalir. Sebegitu hebatnya seorang ibu bertarung nyawa demi melahirkan anak mereka.

Apabila kami berdua mendengar tangisan si kecil, aku dan dia mengucapkan syukur.

"Tahniah. Kalian dapat baby boy."

Aku dan dia tersenyum bahagia. Aku mengucup ubun-ubun isteriku.

"Terima kasih, sayang."

◇◇◇

"Danial dah tidur?"

"Dah. Nyenyak betul."

Aku membantu isteriku yang masih dalam pantang itu memakai sarung kaki.

"Sayang, terima kasih sebab setia di sisi abang. Abang beruntung sebab Allah kurniakan abang isteri sebaik awak."

Dia tersenyum mendengar kata-kataku.

"Abang, saya yang patut ucapkan terima kasih. Bertahun abang pendam rasa cinta pada saya. Tapi saya yang buta menilai dan pilih untuk sakitkan hati abang dulu. Kalaulah saya sedar lebih awal, pasti takkan ada diantara kita yang patah hati."

"Sayang, setiap hal yang terjadi itu dah ditakdirkan oleh Allah dan masanya sentiasa tepat. Patah hati yang dirasakan itu sebenarnya syarat untuk kita rasa bahagia di masa akan datang. Patah hati itu dah digantikan dengan hubungan ni. Tak perlu jadi sempurna kerana yang tepat sahaja akan melihat diri kita cukup seadanya."

Aku memeluk dia dengan erat.

Dahlia.

Satu-satunya wanita yang mampu membuatkan hati aku berdebar-debar ketika melihat senyumannya. Dia yang selalu berjaya mencuit hati aku tak kira apa pun yang dia lakukan. Dia sahaja yang mampu membuatkan aku rasa ingin melindunginya melebihi nyawaku.

Hanya Dahlia.



◇ it is just a playdate, but something has changed. Can you feel it?

EXO-CBX : PLAYDATE

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro