Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"Abang, tolonglah. Kalaupun abang tak mampu buatkan Hana tersenyum, tolonglah jangan buat Hana kecewa macam ni. Hana rayu pada abang, jangan pisahkan Hana dengan anak-anak. Jangan hukum anak-anak kerana Hana tak nak rujuk kembali dengan abang." Hana sendu merayu.

Azlan keraskan badan. Tiada satu pun rayuan Hana diambil peduli. Keputusannya hanya satu. Nak anak, rujuk! Itu saja jalan untuk Hana kembali sebagai isterinya. Nekadnya seteguh tekad Hana nak berpisah.

"Abang ambillah semua harta. Ambillah semua duit tu. Tapi jangan halang Hana jumpa anak-anak Hana. Tolonglah," rayu Hana lagi. Lengan Azlan digoncangnya merayu simpati Azlan.

"Kita rujuk," kata Azlan senada. Tajam matanya memandang pada Hana.

Geleng Hana. Daripada menangis merayu, dia terus melepaskan ketawa. Rambutnya yang mengurai disauk dan ditariknya macam orang gila. Hana tertekan.

"Tak! Hana tak sanggup."

"And no kids. Fullstop."

"Sampai hati abang," kata Hana sambil geleng kepala tak percaya.

"Keputusan abang sebab Hana yang minta. Hana yang berkeras nak bercerai. Abang dah pujuk. Dah minta maaf. Bukan salah abang. Hana yang nak macam ni," kata Azlan. Hana taburkan tawa dibuat-buat. Geli hatinya mendengar kata yang baru diucapkan Azlan tadi. Salah dia?

"Jawab soalan Hana. Mampukah abang mencintai Hana sebagaimana Hana ikhlas menjadi satu-satunya isteri abang? Boleh ke abang terima semua kekurangan Hana tanpa terniat menduakan Hana lagi selepas ini?"

"Abang lelaki, Hana. Abang berhak kahwin lebih dari seorang. Abang mampu. Hana tak berhak mempersoalkan kemampuan abang."

Hana mengeluh. Kenangan perit itu sering menghantui masa sunyinya sejak hari dia melangkah keluar tinggalkan rumah. Tangan menekup mulut mengambil nafas dalam. Tamat sudah riwayat cinta yang disemai selama ini. Air mata menitis dari tubir mata. Perit!

"Hana, terima kasih." Richard menyapa lembut.

Melayang lamunan Hana. Cepat jari menyeka air mata yang sudah bergenang. Dokumen penyerahan harta dan pelepasan saham syarikat yang ditandatangani Hana, sudah disemak oleh Richard. Dia kenal rapat dengan Hana dan Azlan. Tak sangka percintaan mereka jadi sampai macam ini.

Hana senyum kelat. Tas tangan dibuka. Gugusan kunci dikeluarkan dan diserahkan kepada Richard. Serba salah Richard nak menerimanya. Hana letak atas meja dan ditolak ke depan Richard.

"Tolong serahkan kunci rumah, kedai dan kereta ni pada Azlan. Status perceraian kami pun dah selesai di pejabat agama kelmarin. Saya tak mahu ada perkara berbangkit kemudian hari. Saya harap Azlan tak halang saya berjumpa anak-anak saya selepas saya serahkan semua ni. Saya lebih inginkan anak daripada semua harta ini," lembut bicara tegas Hana.

"I cuba selesaikan semua ni. Tapi Hana, you layak untuk dapat harta sepencarian sepanjang you jadi isteri Azlan. You tahu, kan?" cadang Richard. Hana angguk. Dia tahu semua tu. Dia tahu hak dirinya. Masa di pejabat agama dulu pun sudah dimaklumkan. Tapi Hana nekad. Biarlah semua harta tu bawah seliaan Azlan. Lagipun, harta tu semua untuk masa depan dua orang anaknya.

Rasa terpujuk hati Hana bila mengenangkan yang anak-anaknya tinggal di asrama penuh. Kalau di rumah, Hana tak tahu nak uruskan bagaimana. Emosi mereka yang Hana risaukan. Dicuba sebaik mungkin agar berita perceraian ini tidak mengganggu perkembangan emosi si anak. Sekarang ni, mereka punya masa untuk berdepan dengan mereka masa cuti sekolah bulan depan.

"Itu hak anak-anak saya. Okeylah, Richard. Saya ada beberapa hal lagi yang perlu diuruskan. Oh! After this, kalau ada apa apa, you e-mel aje pada saya ya, Richard? Nombor telefon ni saya tak guna lagi," jelas Hana.

Berkerut dahi Richard. Bagaimana nak berurusan dengan Hana jika terdapat apa-apa dokumen yang perlu ditandatanganinya nanti? Hana tak boleh putuskan hubungan selagi semua urusan pindah milik ini belum selesai.

"Kenapa?"

"Nombor saya ni kan supplementary line Azlan. Masuk dalam bil dia tiap bulan. Jadi, saya tak boleh guna nombor ni. Lagipun, saya dah tak kerja sekarang. Kena jimat cermat," senyum Hana.

"Oh!"

"Okey, Richard. Apa-apa e-mel aje saya, ya? Saya akan bagi nombor baru kemudian."

Hana terus keluar meninggalkan kopitiam. Richard mengeluh. Telefon ditekapkan pada cuping telinga setelah panggilannya berjawab.

Tanpa mereka sedar, Aina sedang minum dengan rakan sekerjanya tak jauh dari meja Richard.

"Aku dah banyak kali cakap dengan kau. Jangan ikutkan rasa hati tu. Puan Hana tu, tak pernah buat apa pun yang menyakitkan kau. Sombong pun tak. Bukan kau aje dia tolong, keluarga kau tu pun dia tolong. Kau tak ingat ke, taska mak kau yang tutup tu. Dia susah payah call kawan-kawan dia promo business tu untuk dibeli. Dia nak bantu ringankan beban mak kau," marah Medina.

"Aku tak suruh pun dia bercerai," balas Aina selamba.

Walaupun pada mulanya terselit juga rasa bersalah dalam hatinya, tapi setelah diyakinkan oleh Azlan yang dia serius pada hubungan mereka. Aina ketepikan terus rasa bersalah. Dibiarkan saja rasa cinta pada Azlan yang semakin menggebu dalam hatinya. Tak mampu disangkal lagi.

"Memanglah kau tak suruh, tapi kau menggatal dengan suami dia. Kau tak fikir ke, apa yang terjadi kat puan akan jadi kat kau? Bos tu bukan elok pun. Solat pun culas. Lelaki macam tu kau nak jadikan suami? Fikir, Aina! Fikir. Itu belum lagi Si Hakimi dan Haida balik. Kita semua tahu, betapa rapat dan sayangnya dua beradik tu dengan puan. Kau ingat senang ke nak ambil tempat puan tu?"

Medina melepaskan geram pada Aina. Dia dah berbuih mulut nasihatkan kawan sekerjanya ini. Perhubungan yang disorok mereka akhirnya kantoi juga depannya. Semuanya kerana Medina menjadi saksi aksi Aina yang manja memeluk lengan Azlan tanpa segan silu di sebuah tasik di Putrajaya dulu.

"Isy... Bos datang. Kau jangan banyak mulut," bisik Aina melihat kelibat Azlan yang datang menghampiri meja Richard. Kehadiran mereka yang terlindung di balik tiang kopitiam langsung tak disedari Azlan.

Azlan terus pesan minuman. Dalam wajahnya yang tenang, terselit juga rasa kesal dengan apa yang terjadi. Ikutkan hati, dia tak mahu lepaskan Hana. Dia selesa dan masih sayangkan Hana. Tapi ego seorang suami yang digugat kewibawaannya buatkan dia terlepas berniat.

"Bagaimana Richard?"

"Semua dah selesai. Aku hantar dokumen ni ke setiausaha syarikat untuk proses pertukaran pemegang saham. Yang lain ni aku urus kat pejabat aje nanti. Dan ni, kunci rumah, kedai dan kereta. Kau memang minta semua ni ke?" soal Richard inginkan kepastian. Setahu dia, Azlan tidaklah sekejam ini. Dia kenal sangat kawan baiknya ini.

Azlan mengeluh. Kemudian angguk. Tak sangka Hana boleh lepaskan semuanya tanpa sebarang rasa tak puas hati. Tujuan asalnya nak gertak Hana saja.

Richard menggeleng tak percaya. Nak cakap pun, dah tak guna. Benda dah jadi.

"Kau tahu kan, dia berhak mendapat harta sepencarian sepanjang bergelar isteri kau. Lagipun, bukan dia duduk goyang kaki. Dia pun sama bantu kau uruskan business tu semua. Bukan aje kat pejabat tapi kat restoran tu sekali. Operasi syarikat kau, dia yang uruskan," kata Richard.

"Hmmm... Hana tak cakap apa-apa ke, Richard?"

Jauh dalam sudut hati, Azlan berharap sesuatu yang dapat kembalikan semua ni seperti sediakala. Dia masih sayangkan Hana, walaupun bukan cinta.

"Dia tak nak semua ni. Dia kata itu hak anak-anak kau orang. Dia minta kau jangan halang dia jumpa anak. Isy, aku tak fahamlah dengan kau ni. Dah dapat isteri yang macam tu punya baik pun kau buang. Sudahlah ada rupa, baik, ada pendidikan. Business tu dia yang tolong jaga. Elok pula tu. Rapat pula dengan keluarga kau. Apa lagi kau nak? Apa lagi, bro?" cungkil Richard. Padanya, Azlan seorang lelaki yang sangat bertuah kerana memiliki isteri dan keluarga yang diidamkan oleh semua para lelaki.

"Entahlah, Richard. Aku tak tahu. Masa dia ada kat rumah, tak rasa sangat. Ni baru sebulan dia tak ada kat rumah tu, aku dah rasa lain. Kalau tak, ada aje lawak bodoh dia. Atau dia menangis sorang-sorang layan novel apa entah yang dibaca," kongsi Azlan. Hakikat yang baru saja diakui.

"Anak-anak dah tahu ke ni?"

"Cuti sekolah bulan depan mereka balik baru aku bagi tahu. Lagipun sekarang ni dia orang sedang periksa. Hana pun setuju macam tu. Apa-apa nanti mereka biasanya call Hana, minta. Aku biarkan aje dulu, sampailah mereka balik rumah nanti. Baru aku beritahu," ucap Azlan sambil mencecap air minuman. Diambil mudah apa yang telah dipersetujui bersama sewaktu mereka berada di pejabat agama tempoh hari.

"Nak call macam mana kalau Hana terminate line tu?"

"Terminate kenapa?" soal Azlan terkejut.

"Itukan sub line kau."

"Oh..."

Azlan meraup rambut ke belakang. Ya Allah, selama ni dia ambil mudah semua perkara. Hana yang ditugaskan mengurus semuanya. Bil-bil bulanan semua Hana yang uruskan setiap bulan. Dia main lepas tangan saja. Sikap menerima dan menurut Hana, buatkan semua perkara diambil mudah. Azlan teguk airnya hingga habis.

Abang yakin Hana akan merayu pada abang semula. Abang yakin Hana akan kembali pada abang. Hana tak betah berpisah dengan anak-anak. Abang yakin tak sampai tiga bulan Hana akan kembali semula pada abang, bisik hati Azlan menyedapkan rasa terkilan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro