Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Murni bengang dengan Hana. Pagi tadi dia dah puas membebel pada Hana yang tiba-tiba buat keputusan untuk ke pejabat Azlan. Alasan Hana mudah. Nak selesaikan back lock dengan Biah setiausaha Azlan. Permintaan terakhir Azlan katanya.

Pak su dan mak su pun dah cakap tak usah. Tapi, Hana degil. Alasan Hana senang saja. Dia pergi pejabat bukan sebab permintaan Azlan tapi masa depan staf yang kerja di situ. Dan sekarang lepas dah selesai di pejabat, Hana turun pula ke kafe di tingkat bawah.

Pekerja lama hanya tinggal tiga orang saja yang bertahan. Yang lain semua dah berhenti. Sekarang semuanya muka baru yang Hana tak kenal langsung. Memang nampak bezanya suasana di kafe sekarang dengan masa dia ada dulu.

"Puan sihat?" soal supervisor.

"Alhamdulillah. Wah! Semua muka baru, ya? Bergetah dengan uniform baru," puji Hana ringkas. Pembaharuan kafe yang kelihatan mewah di mata Hana. Pasti kos operasinya pun turut meningkat. Telah Hana sekilas.

"Pengurusan baru, puan. Strategi pemasaran pun baru. Itu yang ramai berhenti. Tak tahan dengan kerenah pengurusan baru yang tak tetap pendirian," cerita supervisor cukup ringkas. Namun, cukup difahami oleh Hana.

Bukan mudah nak uruskan perniagaan runcit yang mengendalikan aliran tunai keluar masuk setiap hari. Nak pula, dalam bentuk makan minum. Peratusan untung rugi hujung jari saja. Silap percaturan boleh rugi besar. Betul pengiraan boleh untung berganda. Cabarannya pun banyak. Tak boleh ambil ringan faktor tukang masak, tukang buat air dan pelayan. Malah faktor kebersihan dan layanan pada pelanggan pun dititikberatkan.

"Eloklah tu. Pembaharuan yang menguntungkan kafe," puji Hana. Dia tak mahu komen lebih. Kafe ini bukan urusannya lagi.

"Elok apanya, puan? Sales bulan lepas pun tak capai target. Dah dua bulan sales tak capai target ni. Lepas ni tak tahulah apa yang encik nak tukar," adu supervisor.

"Dia lebih arif. Ikutkan aje," balas Hana mudah. Supervisor angguk. Setuju.

Murni yang duduk sebelah Hana hanya diam mendengar. Dari pagi tadi telinganya dipasung mendengar komen negatif tentang pengurusan Azlan. Kat pejabat tadi pun, dia dengar ada beberapa orang eksekutif kesayangan syarikat berhenti kerja dengan notis sebulan. Biah yang dah bekerja lebih empat tahun tu pun dah mula hantar resume pada syarikat lain. Tak tahan katanya.

"Assalamualaikum, puan," tegur Aina yang berdiri di tepi meja Hana.

"Waalaikumussalam. Tak payahlah panggil saya puan. Panggil Hana cukup," ucap Hana lembut. Ini pertama kali dia bersemuka dengan Aina selepas kejadian hari itu. Entah kenapa, sudah hilang rasa marah dan dendam dalam hatinya.

Murni angkat kening menyoal siapa perempuan ini pada Hana. Hatinya rasa lain macam saja tengok gaya ayu dengan penampilan mewah Aina dengan beg tangan, kaca mata hitam dan kasut berjenama mewah.

"Kita duduk sanalah, puan. Lebih privasi," minta Aina. Segan pula dia berdepan dengan Murni yang bergaya walaupun gayanya ringkas. Hana sengih kelat. Geleng kepala.

"Lupa nak kenalkan. Ini kawan baik saya, Murni. Uni, kenalkan ini Aina," jelas Hana memperkenalkan Aina pada Murni.

Terbeliak mata Murni dengar nama itu disebut. Muka yang tadinya tenang kini dah bertukar macam Incredible Hulk.

Aina takut-takut nak tarik kerusi dan duduk semeja dengan Murni. Tapi isyarat Hana suruh duduk diikutkan saja. Dia percayakan Hana.

"Kau nak buat apa duduk semeja dengan perempuan ni, Hana? Jom kita balik. Aku jijik nak dengar dia cakap. Tengok muka dia pun meluat," kata Murni dah tarik tangan Hana. Aina telan liur. Jantung dah berdegup lain macam. Kecut perut dia.

"Uni, sekejap. Bagi peluang Aina nak cakap. Dia memang dah mesej pada aku nak jumpa kat sini. Aku saja tak cerita pada kau. Aku nak kau teman aku bersemuka dengan Aina. Untuk menghalang timbul fitnah yang tak sepatutnya," pinta Hana lembut. Murni mengeluh. Dijeling menyampah pada Aina.

"Please," pinta Hana.

"Yalah. Yalah. Kau cakaplah dengan perempuan ni. Aku duduk kat meja sana. Bernanahlah telinga dengar suara ayu dia tu," kata Murni meluahkan rasa meluat.

Hana angguk. Aina lepas nafas lega apabila Murni meninggalkannya sendirian dengan Hana. Ada banyak yang ingin disampaikan pada Hana.

"Puan nak minum apa?"

"Saya tak layak dipanggil puan lagi, Aina. Tak apa, saya puasa sunat hari ni. Ada apa Aina nak jumpa saya?" Lembut balasan Hana.

Aina telan air liur. Ketenangan Hana buatkan hatinya rasa bersalah sangat. Nak pula lepas mendengar leteran dari ibunya. Cinta dan perhatian Azlan buatkan dia buta melihat realiti depan mata. Nafsu melebihi segala-galanya.

"Saya nak minta maaf. Saya tak pernah terniat pun nak rosakkan rumah tangga puan. Saya..."

"Dah, Aina. Dah. Macam saya pernah cerita pada awak sebelum ini. Dalam perhubungan cinta, kita tak pernah akan kenal pasangan kita. Sifat tu sentiasa berubah. Sebelum bertunang, lain. Lepas bertunang, lain. Lepas nikah pun lain. Lepas lima tahun kahwin, lain. Lepas sepuluh tahun, lain. Lepas enam belas tahun pun lain. Jadi untuk itu, perempuan kena sentiasa bersedia. Awak pun tahu kisah Encik Azlan sebelum ini, kan? Sebelum awak jadi girlfriend dia pun, dia pernah ada perempuan lain. Cuma satu aje saya nak minta tolong daripada awak," pinta Hana.

"Apa, puan?"

"Pulihkan nama bekas suami saya ni pada mata staf, klien dan pembekal. Saya yakin, berita perceraian kami beri impak negatif pada syarikat. Staf ramai yang dah berhenti. Medina yang dah lama kerja sini pun dah berhenti. Azlan, seorang ketua yang berkaliber. Seorang lelaki yang bertanggungjawab sebenarnya. Saya nak tengok dia terus sukses capai cita-cita dia," pinta Hana.

Tergamam Aina. Dia tak pernah fikir akan berdepan dengan situasi sebegini. Disangkanya, pertemuan empat mata ini akan berselang-seli dengan hamburan marah dan deraian air mata. Tapi ini, lain!

Dipandangnya pada Hana yang tenang depan matanya. Dapat dilihat sinar mata Hana, betapa sedihnya hati seorang isteri. Kelihatan susuk tubuh yang sedikit kurus dari biasa. Sudah cukup membuktikan wanita ini sengsara batinnya.

"Kahwin semula dengan Encik Azlan, puan," ucap Aina terpacul tanpa sedar.

Aina sendiri tergamam. Menyesal. Hana tersenyum tawar. Nampak kekalutan Aina yang terperangkap dengan permintaan sendiri. Dipandangnya kiri dan kanan restoran.

"Saya sedang belajar untuk move on, Aina. Sepanjang bergelar isteri dulu, saya hanya beri tumpuan pada rumah tangga saya aje. Saya hanya fikir syurga saya bawah kaki suami. Sampai saya abaikan diri sendiri. Saya abaikan keluarga saya. Saya abaikan kawan-kawan saya. Sekarang saya nak kenal balik siapa diri saya."

"Tapi, puan. Encik Azlan masih sayangkan puan," kata Aina separuh menduga. Ingin dikorek rasa dalam hati Hana.

"Sayang saja tak cukup untuk buatkan rumah tangga itu bahagia, Aina. Cinta saja pun tak menjamin bahagia. Pasangan perlu ada ikatan cinta mencintai. Satu rasa yang tak boleh dipaksa. Rasa yang buatkan mereka saling memerlukan. Saling melengkapi. Saling melindungi. Saling menyayangi. Saling membimbing satu sama lain. Saling mengingatkan tugas sebagai seorang Muslim. Itulah bezanya saya dengan Azlan. Itulah yang buatkan saya nekad untuk berpisah." Penjelasan Hana cukup ringkas, namun padat.

Untuk dia teruskan hidup dalam membina bahagia, dia perlu memaafkan dan melupakan kisah sedihnya dengan Azlan. Macam yang Nik cakap hari tu. Selagi masih bersujud pada yang Satu, jangan pernah putus asa.

"Tapi, puan..." bicara Aina termati bila jarinya disentuh Hana.

"Tolong saya, Aina. Untuk bersemuka dengan awak setenang ini pun, saya ambil masa. Saya tak kuat. Saya pun sama macam perempuan lain. Terlalu kecewa bila diceraikan kerana orang ketiga. Setakut mana pun saya dari bergelar janda, tapi itulah pilihan saya... Saya dah maafkan awak. Ambillah iktibar perjalanan hidup saya ni. Berubahlah. Dan berusahalah untuk bina bahagia awak sendiri. Assalamualaikum," ucap Hana lembut. Ditepuk jari Aina bersama senyum kelat.

Hana berdiri. Aina belum habis meluah. Murni yang memerhati dari meja sebelah sudah turut sama berdiri.

"Puan," panggil Aina. Hana pandang padanya.

"Jika tiada aral melintang, akhir bulan depan saya akan bernikah dengan encik. Saya nikah di Masjid Shah Alam. Kenduri pun dibuat kat situ."

Hana berpaling membelakangkan Aina. Bagai ditoreh hati mendengar berita itu. Wajah yang tadinya tenang kini sudah goyah dek rasa sakit yang berganda. Walaupun dia dah nekad untuk move on, tapi bila mendengar Azlan akan bernikah dengan perempuan lain tetap buatkan hatinya terasa.

"Tahniah. Moga awak berbahagia sampai akhir hayat," ucap Hana. Langkah diatur perlahan meninggalkan meja.

"Puan, saya boleh tolong puan dapatkan Kimi dan Ida semula," suara Aina bergema kuat. Terhenti langkah Hana. Dengan bibir yang bergetar menahan sedih dia berpaling memandang Aina.

"Puan nikah baru. Saya janji, Kimi dan Ida akan bebas jumpa puan lepas tu," ucap Aina penuh yakin.

Murni terus memaut lengan Hana. Lagi menggebu rasa bencinya pada perempuan yang bernama Aina. Ditariknya Hana keluar dari kafe.

"Tak guna! Memang berjodoh betul kau dengan si mangkuk ayun tu. Aku doakan kau orang berdua menikmati azab cinta hebat tu sampai ke jannah," bebel Murni.

Hana lemah. Ketenangan yang dikumpulnya hilang. Yang ada cuma rasa kosong dan kehilangan yang tak dapat nak diluahkan. Dipandang wajah Murni dengan pandangan mata kalahnya.

"Dia orang dah nak kahwin, Uni," bisik Hana.

"Lantaklah. Kau jangan lemah Hana. Ingat, kau dah mula move on. Kau nak mulakan hidup baru. Jangan peduli langsung pasal Azlan, pasal pejabat dia, pasal kafe. Lantaklah nak terlingkup ke. Nak bankrap ke. Itu tanggungjawab dia. Kau dah lepaskan semua pada dia. Kau kena ingat. Kau kena bangkit. Kau kena tunjukkan pada si mangkuk ayun tu, kau mampu berdikari. Lepas tu kau tuntut anak-anak kau semula," ucap Murni memberi semangat pada Hana.

Bahu Hana yang dipegang digoncang oleh Murni. Hana hanya angguk.

Aku perlu move on. Bagaimana aku perlu move on, jika kesakitan itu sering hadir mengingatkan aku erti kecewa? Ya Allah! Lapangkanlah dadaku. Titipkanlah kesabaran yang luas dalam hatiku. Aku mohon, ya Allah. Aku mohon kekuatan daripada-Mu, pinta hati kecil Hana. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro