Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

Hana mengajak Murni keluar. Tak sanggup berdepan dengan Murni yang macam robot. Dia ingin mohon maaf dari Murni pasal tindakan bodohnya menghalau Murni keluar bilik hari tu. Sejak itu Murni lancarkan perang dingin dengannya.

"Uni, aku dah dua hari lepak kat studio Timoti. Best sangat. Aku boleh guna bilik tu sorang-sorang. Tak ada orang kacau pun. Bilik tu taklah besar mana, okeylah kalau empat lima orang nak berlatih step tarian. Macam masa kita sekolah dulu," cerita Hana.

Murni diam tak bersuara. Kepala menunduk penuh khusyuk menikmati mi goreng mamak yang dipesannya tadi. Saja nak membalas rasa geram pada Hana. Biar dia rasa!

"Sewa dia pun tak mahal. Untuk dua jam, aku bayar lima puluh ringgit aje. Itupun dah kira berbaloi sangat. Penat gila duduk menari sorang-sorang dalam tu. Lencun habis. Tak payah masuk gim pun tak apa dah," kata Hana menyambung cerita.

Murni berhenti makan. Pandang Hana. Sedut air kemudian tunduk habiskan mi goreng. Hana mengeluh.

"Uni, aku minta maaf," ucap Hana perlahan.

"Nak buat apa minta maaf? Bukan kau buat salah pun. Tak salah pun," sindir Murni. Saja nak mengapikan lagi rasa bersalah dalam hati Hana.

"Aku tahu aku salah, Uni. Janganlah buat aku macam ni. Aku memang dah lama tahu Azlan tak cintakan aku macam aku cintakan dia. Tapi aku sayangkan rumah tangga aku, Uni. Aku nak Kimi dan Ida membesar dalam keluarga yang sempurna. Sebab itulah aku tutup mata. aku keraskan hati. Aku sanggup lakukan apa saja sebab nak yang terbaik buat Kimi dan Ida," cerita Hana perlahan. Sebak hati kini semakin menebal.

Murni berhenti menyuap. Dipandang Hana dengan pandangan mata yang kosong. Saja nak bagi Hana rasa sakit sepertimana yang dirasainya sebelum ini.

"Kalau dah macam tu kenapa nak bercerai juga? Kenapa tak kahwin semula aje dengan mangkuk ayun tu?" soal Murni.

Hana tarik nafas dalam-dalam. Satu rahsia ni dia tak ceritakan pada siapa-siapa. Waima pada Murni pun dia tak berani cerita. Dipandang anak mata Murni mencari kekuatan. Bibir Hana mulai bergetar.

"Sebab aku pernah telan sebotol pil depan Azlan. Aku pernah cuba nak bunuh diri depan Azlan, Uni. Dia tak ambil kesah. Dia tinggalkan aku sorang-sorang malam tu," luah Hana.

Terjatuh sudu di tangan Murni. Walaupun dia sudah tahu pasal kes cubaan bunuh diri Hana daripada Talhah, tapi dia tak tahu keseluruhan cerita. Tergamam Murni. Hanya mata yang menyalurkan pertanyaan.

"Kami bergaduh malam tu. Esoknya lepas aku terjaga dari tidur, kepala aku sakit sangat. Aku teringat apa yang jadi semalam. Aku tak nak mati lagi. Lepas mandi aku terus ke hospital. Aku bawa purse aje, naik teksi. Pak cik teksi itulah yang papah aku masuk bahagian kecemasan. Aku memang dah mamai sangat. Azlan tak tahu pun aku masuk hospital. Lepas dia balik meeting lusanya baru dia tercari-cari aku sebab aku tinggalkan handphone dan kereta kat rumah," cerita Hana. Menitis air mata Hana bila mengenang kembali saat kejadian itu.

Murni terus pegang jari Hana yang menggigil di atas meja. Digenggamnya kuat. Sungguh, dia tak tahu seksa yang Hana hadapi. Tapi, melihat keadaan Hana macam ni pun dia rasa sangat terseksa. Sangat-sangat terseksa.

"Doktor tanya aku, nak beritahu waris ke. Aku geleng. Aku tak nak. Aku kecewa sangat. Dia boleh aje halang aku waktu tu. Dia boleh aje tampar aku waktu tu. Tapi dia tak buat, Uni. Dia suruh lagi aku telan pil sakit kepala tu semua. Dia kata aku lebih-lebih ikut rasa sakit kepala. Bini mana tak sakit kepala jika dah terang-terang tangkap suami ada affair dengan perempuan lain, Uni? Sudahlah dia sendiri cakap tak bernafsu tengok aku..." bicara Hana terhenti. Esakan halus terlepas. Hana menunduk. Menahan air mata yang keluar walaupun dicuba agar tak menitis.

Murni rasa sakit hati melihat cara Hana menahan tangis. Dia lebih suka tengok Hana meraung daripada menahan tangis begini. Terus Murni bangun dari kerusi. Memeluk Hana dari belakang.

"Lepas dua hari aku di hospital, baru dia jumpa aku. Itu pun sebab dia nak buat laporan polis. Walaupun, ikut prosedur polis, lepas dua puluh empat jam dia dah buat repot. Tapi polis suruh dia cari aku dulu. Azlan call semua hospital cari aku. Masa itulah dia tahu aku masuk Hospital Mawar. Dia datang menangis. Merayu aku jangan tinggalkan dia macam tu. Dia akan berubah dan tak sakitkan aku lagi. Dia akan jaga aku macam suami lain jaga isteri mereka. Dia nak berubah. Tapi..." Hana hilang kata. Badannya bergetar melepaskan esakan halus.

"Lepaskan, Hana. Lepaskan apa yang terbuku dalam hati kau tu. Aku sentiasa ada untuk kau. Kita dah janji, kan? Kita akan sentiasa menyokong satu sama lain. Aku sayang kau," bisik Murni yang turut sama teresak menangis.

"Tapi bila dia kata tak ada cinta antara kami, aku rasa seluruh semangat aku hilang, Uni. Macam aku hidup tak ada matlamat. Mencari bahagia yang sememangnya kosong untuk aku. Sakit, Uni. Sakit bila tahu yang pengorbanan aku selama ni sia-sia. Sakit sebab... Aku aje yang berusaha jadi terbaik untuk dia. Tapi dia tak pernah iktiraf aku sebagai isteri yang disyukuri. Pada dia, aku ni banyak betul kurangnya. Sini kurang. Sana kurang. Tak pernah sekali pun dia bangga dengan aku yang dah buat macam-macam untuk dia. Sakit, Uni. Sakit sangat," bisik Hana perlahan.

Murni hanya memeluk dan membelai rambut Hana. Orang di sekeliling yang memandang dan berbisik satu sama lain langsung tak dihiraukannya. Pemulihan Hana yang diutamakannya.

"Sakitnya cinta tu, Uni. Kenapa aku cintakan dia sangat-sangat? Bukan ke cinta tu melatih kita untuk melindungi dan membahagiakan satu sama lain? Kenapa lepas bertahun kahwin dia berubah, Uni? Kenapa bukan sebelum kahwin dia tunjuk sikap dia yang sebenar, Uni? Kenapa? Kenapa, Uni?"

Murni tak mampu menjawab. Bibirnya turut bergetar menahan sedih. Kepala digeleng tak tahu, bila anak mata Hana mencari jawapan di matanya. Peritnya hati melihat Hana ketika ini.

"Kerana cinta itu subjek yang tiada penghujung amalannya. Bukan ketika kenal dan jatuh cinta. Bukan ketika bercinta untuk belajar mencintai. Bukan ketika bertunang untuk mengenal makna cinta. Bukan ketika bernikah janji cinta itu dimeterai. Cinta tak pernah bersalah. Cinta tak pernah jahat. Yang menjahatkan cinta adalah sikap manusia itu sendiri. Manusia yang tak pernah faham maksud dan tanggungjawab bercinta."

Murni dan Hana berpaling ke belakang. Nik berdiri tegak di belakang Murni dengan kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam poket seluar.

"Sorry. Aku terdengar. Kelakuan kau orang berdua ni menimbulkan tanda-tanya. Kot ya pun nak buat drama, janganlah buat kat tengah kedai mamak macam ni. Kau, Uni. Sedar tak yang kau dah buat semua orang kat sini ingat kau orang berdua ni couple yang sedang pujuk satu sama lain?" jelas Nik.

Memang itulah yang difikirkannya ketika mendengar perbualan budak perempuan di meja depan kaunter bayar. Bila dilihat dan nampak Murni, terus dia berjalan ke arah mereka. Lain yang nak dibuat, lain pula yang diketahuinya.

Hana gerakkan bahu untuk meleraikan pelukan Murni. Tas tangan dibuka untuk mengambil tisu untuk mengesat air mata di pipi dan hingus yang menyesakkan pernafasan.

"Kau ni memang ada kat sini ke setiap malam?" soal Murni. Jari mengesat air mata di pipi. Dengan Nik nak malu apanya? Dia dah biasa menangis depan Nik pun.

"Lapar. Aku ni mana ada orang rumah yang sediakan makan kat rumah. Malas nak pergi mana-mana, aku datang sini ajelah. Lainlah kalau ada yang nak teman makan, boleh juga tukar selera makan kat tempat lain," balas Nik selamba.

"Pukul sebelas malam baru nak makan malam?" soal Murni tak percaya. Ni mesti Nik saja buat cerita minta simpati. Mengenali Nik, dia dah masak sangat dengan helah beralasan dongeng tu. Nak pula, Nik turut tahu kisah Hana. Macam ada udang di sebalik batu aje pada pandangan Murni.

"Tadi ada meeting dengan partner. Dah balik rumah. Tiba-tiba perut rasa lapar. Itu yang keluar balik tu. Boleh aku join duduk sini?" pinta Nik selamba.

Hana dah beri isyarat mata tak mahu. Murni dah nampak dari tadi lagi. Tapi bahasa badan Nik ni menyampaikan maksud yang dia sendiri teruja nak tahu.

"Boleh aje," jawab Murni.

Besar mata Hana yang merah menangis tadi. Tak jangka Murni akan benarkan Nik duduk semeja dengan mereka.

"Kalau Hana tak selesa, tak apalah. I boleh aje duduk sorang kat meja tu," kata Nik. Saja nak buatkan Hana rasa serba salah. Dia ingin sangat berada depan Hana ketika ini. Setelah mendengar sendiri suara rintih sendu Hana tadi. Terasa seperti ada sesuatu yang mencengkam kuat hatinya.

"Eh! Duduklah. Saya okey aje. Awak ni sepupu Uni, bukan orang lain pun," kata Hana. Keterpaksaan merelakan.

Nik terus tarik kerusi di depan Hana. Saja ditarik kerusi di depan. Senang nak tengok Hana depan-depan. Murni duduk di sebelah Hana.

"I minta maaf. Busybody. Terdengar apa yang Hana cerita pada Uni. Tak terlintas sebenarnya. I janji tak tanya apa-apa. Cuma I nak beritahu. Orang yang berjuang kerana cintanya suci tak pernah akan rasa kecundang dalam hidup kerana cinta. Matlamat hidupnya jelas. Mencari keredaan Allah. Kenapa harus fikir pada balasan sedangkan kita ikhlas memberi cinta? Jangan rosakkan diri. Jangan salahkan diri sendiri. Hidup memang macam ni. Ada pasang surut. Ada duka, kecewa, gembira dan bahagia. Selagi kita bernafas. Selagi kita bersujud pada Yang Satu, jangan pernah rasa putus asa untuk hidup," nasihat Nik.

Hana yang pada mulanya nak mengeluh geram tergamam. Diangkat kepala memandang pada Nik yang duduk di depannya. Wajah tenang Nik direnungnya dalam. Tanpa sedar bibirnya mengulangi bait kata Nik tadi.

"Selagi kita bernafas. Selagi kita bersujud pada Yang Satu, jangan pernah rasa putus asa untuk hidup. Itu yang saya lupa," ucap Hana perlahan.

Nik senyum sejemput. Suara lembut Hana yang perlahan itu menyenangkan hati yang tadinya sakit. Hebatnya wanita ini menjalani liku hidup kerana cinta. Setia, taat dan tanggungjawabnya pada cinta buatkan dia sanggup korbankan bahagianya.

Bahagia yang kau cari. Reda yang kau pilih. Itu yang akan aku berikan pada kau, Ain Farhana. Aku ingin basuh semua rasa sakit kau tu. Aku sanggup.

Nik sudah buat keputusan nekad. Hati dan akalnya menyokong tanpa rasa gentar dan gusar walaupun sebesar kuman. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro