Bab 1
Prolog
Hana yang lesu dan kelelahan berjalan keluar dari restoran mamak bistro. Saja janji temu dibuat sambung-menyambung dengan klien dan pembekal. Serabut kepala dengan hal rumah tangga dipasung seketika.
Dia berbual dengan Biah di telefon, setiausaha di pejabat sambil berjalan menuju ke kereta. Lama dia berdiri di depan Range Rover Sport di depan kedai. Kunci penggera ditekan namun kereta masih bisu. Kerutan risau mulai timbul di dahi.
"Biah, nanti saya call awak balik..." Telefon bimbit yang dipegang dimasukkan ke dalam beg galas.
"Ah, jangan kata kau buat hal pula maghrib ni." Hana mengeluh.
Kunci penggera diketuk berkali pada tapak tangan. Sebelah telinga yang bersumbat earphone dicabut keluar dari telinga. Sempat mata mengilas pada jarum jam di pergelangan tangan kiri. Resah!
"Aduiii, janganlah buat hal macam ni. Sudahlah abang outstation hari ni." Hana membebel. Mata tak lepas memandang pada kereta merah di hadapan. Nak baiki, dia tak reti.
"Kenapa cik?" Tauke restoran berdiri sebelah Hana. Sedari tadi diperhatikan Hana. Pelik, melihat wajah Hana yang tadinya penuh keyakinan kini bingung di depan restorannya.
"Entahlah, encik. Saya pun tak tahu. Tiba-tiba pula kereta ni tak boleh unlock. Nak kata bateri kong, tak masuk akal, sebab baru Isnin lepas servis. Dah berkali-kali tekan alarm ni tak boleh." Hana mengadu polos. Pintu kereta cuba dibuka, tak boleh.
Tauke restoran merangkap lelaki budiman sebelah Hana menoleh. Kening terangkat pelik pandang Hana. Tersungging sengih jahat sejemput di bibirnya. Lelaki itu melangkah ke depan kereta yang diparkir mengiring. Jari telunjuk lurus menghala pada nombor plat kereta sambil memandang Hana.
"Rasanya AB55 nombor kereta saya." Lelaki itu buat riak bingung untuk mengawal tawa dari terburai. Tak sampai hati sebenarnya nak gelakkan Hana yang jelas bingung.
Hana yang terkejut terus berdiri sebelah lelaki itu. Liur ditelan pahit. Muka terus berona merah. Nak pandang orang sebelah pun tak mampu. Malunya!
"Maaf," ucap Hana sepatah.
"Cuba cik tekan alarm sekali lagi." Lelaki itu bersuara lembut. Kesian melihat Hana yang tertunduk malu.
Hana menurut. Selang beberapa buah kereta dia mendengar bunyi alarm kereta. Membesar mata Hana terkejut. Langkah terus diatur laju menuju ke kereta tanpa menoleh ke belakang langsung.
"Pandu kereta elok-elok ya, cik. Jangan gabra!" jerit tauke restoran yang tersenyum senang. Mata tak berhenti memandang pada Range Rover Sport merah yang keluar meninggalkan kotak parkir. Kereta serupa, pemiliknya yang berbeza.
Assalamualaikum, cik comel. Jika kita dipertemukan sekali lagi. Aku yakin kita berjodoh. Masa tu, aku kejar kau sampai dapat. Sampai kau bergelar...
Bab 1
"Abang, apa semua ni?" soal Hana yang hilang sabar. Dicampaknya sampul berisi gambar ke atas meja Azlan.
Selama ini, dirawat saja rasa hati yang acap kali rasa sangsi pada kejujuran sang suami. Tanpa bukti sahih, dia tak mampu bersuara. Tapi kini semuanya jelas depan mata. Azlan mengambil gambar yang berterabur di atas meja. Wajahnya yang selamba berubah serius. Dipandang tajam pada Hana.
"Ini office, Hana. Hormat abang sikit." Azlan bersuara tegas.
Hana melangkah ke arah pintu yang terbuka. Ditolaknya kuat hingga bergegar dinding pejabat Azlan. Tak dipedulikan apa tanggapan staf di luar.
Azlan terkejut. Bangun dan menghampiri Hana. Lengan isterinya itu ditarik. Mahu memeluk Hana. Hana menepis dan menjauh dari Azlan. Air mata mula membasahi pipinya. Tubuhnya menggeletar menahan marah dan kecewa yang menggunung.
"Apa semua tu, bang? Cakap terus terang dengan Hana. Tak payah nak berdalih lagi. Apa lagi yang tak kena? Apa yang kurang? Kenapa hal ni tak pernah selesai?" Hana hamburkan marah penuh kecewa. Berombak kencang dadanya.
Azlan berpeluk tubuh, bersandar di sisi meja. Hela nafas berat dilepaskan. Tak ada yang dapat disembunyikan lagi. Apa yang bersepah di atas meja itu adalah kebenaran. Dia memang dah jatuh cinta pada Aina, eksekutif baru di syarikatnya ini.
"Bukan Hana, tapi abang... Abang tak rasa cinta ada lagi antara kita. You don't have time for me anymore. The chemistry is missing somewhere." Azlan berterus terang. Serba salah pandang Hana.
Tergamam Hana hingga terhenti esakannya. Dipandang Azlan tak berkelip. Bagaikan baru dijatuhkan hukuman mati. Dunia rasa terhenti berputar. Tangannya menggigil menarik kerusi depan meja Azlan. Badan dihenyakkan di situ.
"Dulu abang kata kat Hana, dah ada anak ni, tak payah fikir pasal cinta. Mana ada orang kahwin fikir pasal cinta dah. Fokus aje pada anak dan masa depan keluarga. Masa abang ada affair dengan perempuan lain sebelum ni pula, alasan abang sebab Hana ni tak pandai bergaya, tak pandai berkomunikasi. Hana ubah ikut selera abang. Dan sekarang abang kata, sebab abang tak cintakan Hana." Hana ketawa buat-buat. Sungguh dia tak jangka itu alasannya.
"Tak cintakan Hana. Huh! Damn. Stupid. Me. Enam belas tahun, bang! Enam belas tahun Hana jadi isteri abang. Jadi ibu pada anak-anak kita. Abang kata tak cinta. Tak ada cinta antara kita lagi. Crazy."
Hana geleng kepala tak percaya. Tangisnya terus lenyap. Hilang sendu. Yang kelihatan hanyalah deraian air mata yang tak berhenti mengalir. Pandangan matanya bertaut kosong pada Azlan.
Azlan terdiam kaku. Terkelu lidah untuk memujuk Hana. Semuanya berlaku secara mengejut.
Tiba-tiba pintu pejabat Azlan dikuak bersama suara manja memanggilnya cukup lembut.
"Sugar! I'm back."
Terkaku Aina melihat Hana berada di pejabat Azlan. Pucat lesi wajahnya. Setahunya jadual Hana hari ni penuh di luar pejabat. Waktu ini, Hana sepatutnya menghadiri taklimat di Putrajaya. Ditambah pula isyarat pintu pejabat Azlan yang bertutup memang bermaksud dia sendirian. Itu kod rahsia mereka.
Hana tergamam. Tajam matanya memandang Azlan. Kebenaran yang tak dapat disorok. Kepala digeleng tak percaya. Terlepas ketawa sinisnya.
"Sorry, wrong timing." Aina mahu keluar. Hana berdiri pandang Azlan yang tak bersuara.
"Nanti!" panggil Hana. Aina terpaku di situ.
"Sugar, ya? Awaklah perempuan yang paling. Tak. Kenang. Budi. Saya layan awak macam keluarga saya sendiri. Saya bantu keluarga awak macam keluarga saya sendiri. Ini balasan awak pada saya, Aina?" Lantang suara Hana. Bergetar nadanya menahan sebak. Ikutkan hati, memang lunyai Aina dikerjakannya. Tapi memikirkan bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi, dia tahan sabar. Marah dikulum agar maruah dan nama baik Azlan tetap dijaga.
"Errr... Apa puan cakap ni? Puan dah salah faham ni." Aina tergagap. Hana mencapai beberapa keping gambar dari atas meja dan disuakan kepada Aina. Melihatkan gambar itu, Aina tergamam. Glurp! Red handed.
"Salah faham ya, Aina? Dulu awak juga yang cakap pada saya. Awak benci lelaki yang menduakan isterinya. Sebabnya itulah yang ayah awak buat pada mak dan awak adik-beradik. Awak sedih tengok mak awak jatuh dan kecewa. Awak benci orang ketiga sebab kerana dia, ayah awak abaikan tanggungjawabnya pada awak sekeluarga. Perempuan itu juga buatkan ayah awak ceraikan ibu awak dan tinggalkan keluarga. Sekarang, awak pun sama macam dia. Rosakkan rumah tangga orang lain."
Hana hamburkan kebenaran depan mata. Tak ada satu pun yang diselindungnya kini. Aina tunduk menangis di tepi Azlan. Esakan halusnya buatkan Azlan bengang. Egonya tercabar bila tindakannya dipertikai. Tajam pandang Hana.
"Cukup, Hana! Hormat sikit, abang ni suami Hana. Abang ni ketua kat sini!" tengking Azlan.
Hana terus berdiri di hadapan Azlan. Cintanya hilang. Hormatnya melayang. Keputusannya nekad. Apa nak jadi, jadilah. Dia dah penat memikirkan hal yang sama berulang-ulang kali. Cukuplah dibohongi selama ini. Cukup!
"Baiklah, bang. Macam inilah. Hana dah penat. Hana dah penat ubah ikut selera abang. Semuanya tak pernah cukup. Tak pernah sempurna di mata abang. Apa kata untuk kali ni. Abang pilih. Jika abang pilih Hana, jadilah suami yang benar-benar mencintai dan menerima kekurangan Hana. Sekiranya tak. Lepaskan Hana. Gelaran isteri Azlan tak ada makna buat Hana. Tiada istimewa dari perempuan lain. "
Azlan terus gelak tak percaya. Sungguh dia tak terfikir Hana seberani itu. Ugutan Hana langsung tak menakutkannya. Dipandangnya sekilas pada Aina yang teresak halus menunduk dari tadi.
"Kau nak jadi janda ke, Hana? Kau sedar tak, kau tu tak ada apa-apa. Macam mana kau nak teruskan hidup? Kau lupa ke, ini semua usaha abang," provokasi Azlan.
"Tak! Hana tak pernah lupa siapa Hana. Dan sekarang Hana dah penat. Hana dah letih sangat. Selama ni abang buat Hana rasa... I'm not good enough. Tapi hari ni, abang buat Hana rasa terlalu besar kekurangan Hana sampaikan abang tak boleh buat apa-apa. Abang tak boleh terima Hana. Abang tak mampu cintakan Hana lagi. You know what, thanks to you... Saat ini Hana sedar, Hana tak salah. Hana tak ada kurang. Cuma, abang yang tak pernah cintakan Hana," luah Hana tanpa selindung. Ego Azlan dipancingnya meninggi.
"Shut up, Hana!" tengking Azlan. Pipi Hana terteleng ditampar.
"No! You shut up. Choose!" Hana meraba pipi yang pedih. Tiada langsung riak gentar di wajahnya.
"Jangan mengarutlah, Hana. Jangan nak ikut perasaan tak betul tu. Tak ada maknanya abang nak lepaskan Hana." Azlan memberi alasan mudah bagi menutup rasa bersalah. Dia jarang angkat tangan pada Hana. Jarang. Hana pun tak pernah sekasar ini. Sedegil dan sekeras hari ini.
Hana tertawa sinis. Dia memandang Aina yang berdiri di sebelah Azlan.
"Jadi, abang pilih Hana daripada cinta hati abang ni la, ya? Aina, dengar tu. Lelaki macam ni ke yang awak rebut dari saya?" lembut balas kata Hana. Namun berbisa pedih.
Aina terkejut. Mata terkebil-kebil pandang Azlan mohon diselamatkan. Rahang Azlan bergerak menahan marah. Hana yang selama ini lembut dan menurut kata, hari ini kasar dan menjengkelkan.
"Ain Farhana!"
"Ya, saya."
"Hana betul-betul nak bercerai ke? Nak sangat jadi janda?"
"Ya."
Keyakinan Hana menjawab mengejutkan Azlan. Wajah tenang Hana dipandang cari jawapan. Aura serius Hana membawa imej tekad yang cukup jelas.
"Baiklah. Dengar sini, Ain Farhana binti Sulaiman, aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau keluar saja dari pintu bilik ni. Anak anak hak aku. Satu sen pun duit aku, kau tak layak." Lantang talak dijatuhkan dengan rasa marah yang membuak. Kemudian Azlan tergamam. Diam terkaku.
Hana menghela nafas lega. Sekian lama dia menanggung kecewa, hari ni terasa ringan bahu. Bibir mengukir senyum kelat. Air mata yang bergenang di tubir mata diseka lembut. Tangan dan kaki yang menggigil tak dihiraukan langsung.
"Terima kasih. Dah lama Hana sedar, semua harta itu bukan milik Hana. Ambillah. Tapi, tolong jangan halang Hana jumpa anak-anak Hana. Itu nyawa Hana."
Hana melangkah meninggalkan bahagia yang berderai hancur.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro