Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Zakhri memejamkan mata. Sesekali dia mengurut pelipis. Cermin mata tanpa bingkai yang sejak tadi tersarung, dibuka dan diletak di atas meja. Matanya terasa pedih menghadap laptop sejak beberapa jam yang lepas. Menyemak laporan yang diserahkan oleh Jane siang tadi.

Kerjanya semakin bertambah. Semenjak dia mengambil alih syarikat peninggalan keluarga ini selepas uminya membuat keputusan untuk bersara, suka atau tidak, terpaksalah dia bertanggungjawab uruskannya.

Tambahan pula, hanya dia yang masih ada di sini. Tinggal bersama uminya. Abang yang sulung, Zafran, sudah selamat menetap dan bekerja di luar negara. Pulang pun hanya sesekali. Lebih selesa bekerja di sana selepas tamat belajar beberapa tahun yang dulu. Tambah-tambah lagi apabila sudah mendirikan rumah tangga dengan warga tempatan di sana.

Adik pula, Zarif dan Zarina, kedua-duanya masih lagi belajar. Zarif sedang mendalami bidang perniagaan di London. Dia tidak langsung mengharapkan adik bongsunya, Zarina. Gadis itu awal-awal lagi dah beri amaran yang dia mahu berdikari sendiri. Tidak mahu bekerja dengan syarikat keluarga mereka. Siap ada impian hendak memulakan perniagaan sendiri lagi.

Dia hanya berharap Zarif akan segera kembali selepas selesai pengajian dan membantunya menguruskan syarikat peninggalan keluarga ini.

Perlahan Zakhri meraup wajah. Sambil duduk bersandar, dia perhatikan frame gambar yang elok tergantung di dinding. Dia tersenyum melihat wajah tenang arwah abah.

Meski sudah hampir lima tahun pemergian lelaki itu, namun tetap terasa kehilangannya. Seperti baru semalam segalanya berlaku.

"Yie..." Zakhri tersentak. Dia tegakkan duduk. Tersenyum melihat Puan Sri Zahra yang berkerut memandangnya sambil melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengannya. Di dalam bilik bacaan ini.

"Termenung apa?" soal Puan Sri Zahra. Bukan dia tidak nampak, ralit benar Zakhri berkhayal. Sampai tidak sedar dia sudah berdiri di sini. Padanlah beberapa kali dia ketuk pintu tadi namun tiada sebarang jawapan.

"Tak ada apa, umi. Yie tak perasan umi masuk," jawab Zakhri perlahan. Dia capai cermin mata lantas menyarung kembali ke wajah.

"Ada apa, umi?" soalnya sopan. Dia memandang wajah Puan Sri Zahra. Masih kelihatan cantik walaupun sudah berumur hampir 60 tahun. Sudah ada kedutan di sekitar wajah tua itu.

Kerana itulah dia tidak sampai hati menghampakan permintaan Puan Sri Zahra saat wanita itu meminta dia mengambil alih jawatan CEO di NZ Lee Sdn. Bhd.

"Yie okey ke? Banyak kerja?" soal Puan Sri Zahra prihatin. Dia belek-belek beberapa fail yang terbuka di atas meja itu. Pelbagai jenis laporan yang perlu disemak segera. Sudah beberapa hari dia perasan lampu bilik bacaan ini menyala hingga ke pukul 3 pagi. Entah pukul berapalah agaknya Zakhri masuk tidur. Risau pula dia memikirkannya.

Tapi untuk dia mengurus sendiri syarikat ini, dia sudah tidak larat. Puas dipujuk Zafran pulang mengambil alih, namun banyak sungguh alasan yang diberikan. Ini pun, Zakhri terpaksa meninggalkan firma guaman yang diuruskan bersama sahabat baik anaknya itu.

Dia tahu, undang-undang memang minat Zakhri sejak kecil lagi. Kerana itu Zakhri menyambung pengajian dalam bidang perundangan. Akhirnya setelah beberapa tahun tamat belajar dan bekerja, anaknya itu bersama seorang lagi teman sepakat membuka firma guaman sendiri.

Tapi sekarang Zakhri terpaksa membiarkan firma itu diurus sepenuhnya oleh rakan kongsinya. Zakhri pula terpaksa mengambil alih posisi lamanya sebagai CEO syarikat.

Banyak yang perlu Zakhri pelajari dan kerana itu dia risau bila Zakhri terlalu tekun tanpa memikirkan kesihatan diri. Entah bila waktu anaknya itu berehat pun dia tidak pasti.

"Biasalah, umi. Banyak yang Yie kena belajar. Takes time sikit," jawab Zakhri sambil tersenyum. Cuba meredakan gundah hati si ibu. Dia tahu lambat-laun, dia juga perlu melakukan semua ini memandangkan ini adalah syarikat keluarga. Siapa lagi yang nak diharapkan kalau bukan dia?

"Umi minta maaflah kalau dah menyusahkan Yie..." pinta Puan Sri Zahra serba salah.

"Eh, apa cakap macam tu, umi? Yie tak kesah pun. Yie faham. Lagipun memang dah masa umi berehat. Patutnya dari dulu lagi Yie dah buat semua ni. Kalau tak, tak adalah macam sekarang ni. Dah tua-tua nak belajar balik, otak dah lembab sikit," gurau Zakhri.

Puan Sri Zahra ketawa. "Mana ada tua sangat pun. Umi tengok Yie nampak muda lagi," balasnya sambil tersenyum.

"Muda apanya, umi. Yie dah masuk 33 tahun dah. Dah kira tualah ni," jawab Zakhri kembali. Dia capai satu fail di atas meja dan menyelak beberapa halaman.

"Eh, umur tak penting. Umi tengok, muka Yie nampak macam baru 20-an. Tak nampak macam tiga series pun. Kalau tak, takkanlah ramai perempuan yang beratur nak dekat anak umi ni, kan?" usik Puan Sri Zahra lagi.

Bukan sekadar menyedapkan hati Zakhri, tapi memang Zakhri kelihatan jauh lebih muda. Awet muda, kata orang. Dah masuk 33 tahun pun nampak macam sepuluh tahun muda daripada usia sebenar.

Memang kelebihan anak-anaknya memiliki rupa paras kacak dan menawan. Menurun daripada arwah suaminya yang merupakan keturunan Cina campuran Belanda.

"Mana ada, umi. Perempuan mana yang nakkan duda anak satu macam Yie ni?" Zakhri senyum saja membalas kata-kata Puan Sri Zahra.

"Eh, duda sekarang lagi laku daripada bujang tau. Lagi pula kalau yang kacak macam kamu ni, pegang jawatan besar lagi. Berderet perempuan dekat luar sana tu nak," giat Puan Sri Zahra.

"Yie tak terfikir sampai ke situlah, umi. Cukuplah ada umi, ada adik-beradik, ada Tisya. Yie dah tak mahu lebih-lebih." Zakhri tersenyum memandang Puan Sri Zahra.

Namun senyuman itu membuatkan hati seorang ibu merasa sebak. Dia tahu Zakhri hanya senyum sekadar untuk menyedapkan hatinya. Walhal dia tahu segala yang telah anak lelakinya itu lalui selama ini.

"Yie masih fikirkan hal dulu ke?" soal Puan Sri Zahra berhati-hati. Bimbang menggores hati Zakhri. Dia lihat Zakhri bangun dan berjalan menuju ke arah tingkap. Memandang luar yang nyata gelap-gelita.

"Tak sekali pun Yie lupa, umi. Dan takkan pernah lupa. Seumur hidup ni Yie akan bawa rasa bersalah tu. Sampai mati," balas Zakhri perlahan. Dia menghela nafas berat. Tidak ada sehari pun dia lupakan segala yang pernah berlaku.

"Yie..." Puan Sri Zahra bangun dan merapati anaknya. Dia menyapa bahu Zakhri. Tahu bebanan yang Zakhri tanggung tapi dia juga tahu, Zakhri tidak bersalah. Segala yang berlaku adalah takdir dan mereka sebagai hamba yang bertakwa hanya mampu menerima dengan reda.

"Bukan salah Yie semua tu terjadi. Umi tak pernah salahkan Yie. Zaf, Rif, adik, kami semua tak pernah salahkan Yie. Apa yang berlaku semuanya takdir. Umi terima dengan reda. Dan umi nak Yie pun terima dengan reda. Teruskan hidup Yie tanpa ada rasa bersalah," pujuk Puan Sri Zahra.

Sudah berkali-kali dia pesan begini pada Zakhri. Sudah berbuih mulutnya mengatakan kata-kata yang sama. Malah Zafran, Zarif dan Zarina juga beberapa kali menyatakan perkara yang sama tapi Zakhri masih lagi dengan perasaan bersalah yang entah bila akan hilang dari hati anaknya itu.

"Katalah apa pun, umi. Yie tetap anggap Yie adalah punca segalanya. Apa yang berlaku, Yie adalah penyumbang. Kalau tak, mungkin abah..."

"Zakhri Lee!"

Zakhri terdiam bila Puan Sri Zahra menyeru namanya tegas. Dia toleh ke sisi bila lengannya ditarik. Memandang wajah umi yang sudah keruh berserta riak wajah yang berkerut.

"Jangan pernah persoalkan takdir! Apa yang jadi semua kehendak Allah. Umi tak suka perkataan 'kalau' tu keluar dari mulut anak-anak umi. Tak ada perkataan 'kalau'. Semuanya ketentuan. Umi nak Yie terima dengan reda dan berhenti salahkan diri sendiri," tegas Puan Sri Zahra.

"Lagipun umi tahu, arwah abah dah lama maafkan Yie. Arwah abah tak pernah salahkan Yie. Jadi Yie pun berhenti salahkan diri sendiri," sambung Puan Sri Zahra lagi. Kendur sedikit suara melihat wajah lesu Zakhri. Dalam hati, simpati datang bertubi-tubi.

Zakhri senyum hambar. Sekadar menyedapkan hati umi.

"Dah lewat ni. Pergilah berehat. Muka tu dah nampak letih benar. Kerja, kerja juga. Rehat jangan sampai terabai. Kasihan Tisya. Nanti dia terjaga, Yie tak ada sebelah dia, lagi teruk dia menangis," pesan Puan Sri Zahra.

"Baik, umi." Zakhri akur. Bukan dia tidak tahu yang Zetisya kerap mengigau dan terjaga tengah malam. Kalau tak ada sesiapa di sebelah memang meraung anak daranya itu. Habis satu taman dengar nanti.

Puan Sri Zahra tersenyum sebelum menepuk lembut lengan Zakhri. Dia berpaling, melangkah keluar dari bilik bacaan. Ingin menuju ke bilik tidurnya.

Zakhri hanya memerhati kelibat uminya yang semakin hilang dari pandangan. Tubuh dipusing kembali menghadap ke tingkap. Merenung kegelapan malam. Entah kenapa, sukar sungguh untuk dia lupakan kejadian yang pernah berlaku itu.

Berkali-kali Puan Sri Zahra meminta dia melupakan semuanya tetapi dia tetap tidak mampu. Berbuih mulut abang dan adik-adiknya mengatakan hal yang sama, tetap fikirannya gagal melupakan semua itu.

Zakhri menyedut udara dalam-dalam. Sedikit demi sedikit kejadian lima tahun lepas mula terimbau semula...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro