Bab 9
HUJAN makin lebat. Sesekali kilat berdentum. Dani yang sedikit tersepit di ruang pemandu berhempas-pulas untuk keluar. Selepas berjaya, dia segera merangkak keluar dari van itu. Berbekalkan tenaga yang masih ada, dia sedaya upaya bangun. Namun, kakinya tiada daya untuk berdiri. Dia kaget dan cemas. Matanya liar mencari Ayumi sambil menjerit memanggil nama Ayumi berulang kali. Beberapa saat kemudian, matanya berjaya menjejaki sekujur tubuh di atas jalan.
Ayumi yang berlumuran darah cuba bangun. Nafasnya tersekat-sekat. Sekali lagi dia muntah darah. Dia kelihatan sungguh bingung. Dani cuba dicarinya. Belum sempat dia mengangkat kepala...
Bang!!! Tubuh Ayumi sekali lagi terpelanting. Tubuhnya dibawa lebih jauh. Jauh dan terus jauh.
"Ayumi!!!" jeritnya sekuat hati.
DANI terjaga dari lena pendeknya. Tubuhnya dibasahi peluh. Jantungnya berdegup kencang. Tangannya segera meraba keningnya. Walaupun tangannya yang baru cedera terkena serpihan pasu kaca, tapi pedih terasa di parut luka di keningnya itu. Dia bermimpi perkara yang sama lagi.
"Astaghfirullahalazim." Istighfar itu terpancul dari mulutnya.
Dia duduk di bucu katil sambil mengurut mukanya. Dadanya masih berombak. Dia sedar itulah bahananya kalau tidur petang. Matanya menjeling jam di dinding bilik. Kemudian, perlahan-lahan dia bangun dan menyalin pakaian. Selepas bertuala, langkah kakinya diaturkan ke arah bilik air. Usai mandi, dia segera mengerjakan solat asar apabila menyedari hari hampir senja.
Selesai solat, dia melangkah ke dapur. Kerongkongnya terasa sangat haus. Mungkin disebabkan cuaca panas yang melanda Malaysia ketika ini. Air kosong di dalam botol plastik dituangnya ke dalam gelas lalu diteguknya dalam satu nafas. Sekali lagi dia mengisi gelas itu dengan air. Kemudian, dibawa bersama gelas itu ke ruang tamu. Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa.
Jam di dinding ruang tamu itu dijelingnya sepintas. Jarum jam menunjukkan hampir pukul 7.00 malam. Di luar apartmen, mega-mega kemerahan sudah kelihatan di ufuk timur. Air kosong diteguk sekali lagi sebelum satu nafas panjang ditariknya.
Ayumi...
Nama itu terbisik dalam hati kecilnya ketika dia merebah malas belakang tubuhnya ke penyandar sofa. Kepalanya mendongak ke siling. Kemudian, dia menghantar anak matanya pada sebuah lukisan yang tertutup dengan kain putih di satu sudut di ruang tamu itu.
Dia cuba mengingati kembali peristiwa yang mengganggu tidurnya itu. Perlahan-lahan tergambar dalam fikirannya. Ketika itu mereka sedang berkonvoi menuju ke Osaka kerana diundang membuat persembahan dalam satu festival muzik. Kemalangan ngeri itulah yang telah memisahkan dia dengan Ayumi buat selama-lamanya.
Air jernih mula mengalir di pipinya. Selepas beberapa ketika di ruang itu, azan maghrib berkumandang dari corong pembesar suara dari sebuah surau berdekatan. Fikirannya kembali tenang. Menyedari dia masih dalam keadaan berwuduk, bingkas dia bangun dan menapak ke arah bilik tidurnya. Tanpa berlengah solat tiga waktu dikerjakannya.
HARI baru muncul lagi. Dani masih belum sedar dari lenanya di atas sofa di ruang tamu itu. Ketika itu jam di dinding menunjukkan tepat pukul 12 tengah hari. Mungkin disebabkan dia tidur lewat malam tadi kerana menyiapkan satu tugasan yang perlu dibentangkan kepada klien pada hari Isnin nanti. Selepas subuh baru dia tidur. Telinganya menangkap bunyi deringan telefon bimbit dari arah bilik tidurnya beberapa kali. Namun, tubuhnya memberat untuk bangun.
Tiba-tiba pintu apartmennya diketuk. Sayup-sayup kedengaran suara orang memberi salam. Mulanya, tubuhnya tetap degil untuk diangkat. Namun, dengan terpaksa dia bangun juga akhirnya selepas pintu utama itu diketuk lagi. Sambil menguap dia melangkah malas ke arah pintu.
Terpancul tubuh Hafifi di muka pintu tatkala dia menarik daun pintu. Dani sedikit tersentak kerana tidak dimaklumkan oleh Hafifi kedatangannya pada hari itu.
"Assalamualaikum ya ahli kubur, ingatkan dah jadi mayat. Senyap tanpa khabar berita." Hafifi mengomel dengan wajah yang bersahaja.
"Waalaikumussalam, kejap aku ambi kunci," balas Dani dengan langkah-langkah yang masih malas menuju ke arah meja TV. Selepas mendapatkan segugus anak kunci, dia kembali semula ke pintu utama dengan nguapan panjang.
"Apa hal, bro?" soal Dani ketika membelakangi Hafifi ke arah ruang tamu.
"Eh, nak kena ada hal dulu ke baru boleh datang, atau kena buat janji temu dulu? Datang jenguk hang la. Senyap sunyi tanpa khabar berita. WhatsApp tak ada, SMS pun tak ada. Nak telefon aku lagilah tak ada." Hafifi menyambung bebelannya seakan-akan melepaskan isi-isi yang terbuku daripada hati.
"Sorrylah bro, aku sibuk sikit sejak kebelakangan ini. Banyak projek masuk." Dani memberi alasan, cuba menangkis.
"Sibuk sibuk jugak, takkanlah satu pesanan WhatsApp pun tak boleh hantar kat aku? Aku ingat hang dah tak wujud di muka bumi ini." Rajuk Hafifi masih bersisa.
Kedua-dua mereka melabuh punggung di atas sofa. Dani pantas mengemas helaian-helaian kertas yang bersepah di atas meja dan menyimpan laptop ke dalam beg galasnya. Hafifi secara spontan mencapai alat kawalan jauh TV.
"Hang pi mana semalam?" soal Hafifi sambil matanya fokus pada skrin TV dengan jemarinya lincah menekan nombor-nombor alat kawalan decoder Astro.
"Tak ke mana." Dani berbohong. Dia tidak mahu Hafifi tahu perihal dirinya dengan June kerana dirasakan masih terlalu awal untuk dikongsikan hal itu.
"Betul tak ke mana-mana?" Hafifi menarik muka curiga, kemudian berubah sinis.
"Yang hang tanya aku macam Encik Kagaro Mouri ini kenapa pula?" Dani cuba mengubah pokok persoalan.
"Hang buat apa semalam kat Putrajaya?"
Terkantoi. Pantas wajah bersahaja Dani berubah sedikit kaget.
"Errr... Hang ada kat sana ke semalam?" soal Dani.
"Amboi, bukan main happy lagi hang semalam ya, sampai tak perasan aku ada kat situ. Siapa perempuan tu?" Hafifi menjawab dengan soalan.
"Errr... June." Mahu tak mahu, Dani berterus terang juga.
"June? Wah, cantik namanya macam orangnya jugak," ulas Hafifi dengan senyum nakal.
"Eh, aku tak ada apa-apalah dengan dia. Baru kenal. Dia hanya klien aku." Dani cuba menepis anggapan Hafifi.
"Oh, berdating dengan klienlah ni," ungkap Hafifi disusuli kekek tawa.
"Hebat!" tambah Hafifi lagi sambil mengangkat ibu jarinya kepada Dani.
"Malaslah aku nak layan hang ni. Hang duduk dulu, aku nak mandi sekejap." Dani mendapat ilham untuk melarikan diri dari Hafifi. Sudah tidak tertahan dia dengan sakatan Hafifi itu.
Hilai tawa Hafifi makin kuat tatkala melihat telinga Dani yang kemerahan.
"Hang nak minum air, hang bancuh sendirilah kat dapur itu kalau hang rajin. Kalau hang malas, dalam peti ais itu ada Orange Tropicana dan kalau hang tak malu, biskut jangung ada dalam tin kat dapur itu. Buatlah macam rumah sendiri." Sempat Dani mempelawa Hafifi sebelum berlalu ke bilik air.
"Cantik, memang tekak aku tengah haus ni," balas Hafifi sambil bingkas bangun.
Selesai mandi, Hafifi mengajak Dani keluar makan tengah hari di sebuah restoran di sekitar Seksyen 19 itu. Sebenarnya kedatangan Hafifi ada tujuan lain yang ingin dibincangkan dengan Dani. Cuma secara kebetulan Nurul, isteri Hafifi terlihat Dani dan June di tapak pertunjukan belon panas di Putrajaya semalam. Nurul sebenarnya berkhidmat dengan penganjur pertunjukan itu.
"Bro, aku sebenarnya gembira jika hang dah ada pengganti Ayumi. Yalah, aku rindu diri hang yang dulu. Sebagai seorang sahabat, aku ingin lihat hang bahagia, macam aku dengan Nurul sekarang. Dan kebahagiaan kami berdua makin lengkap bila Ahmad Danial muncul dalam hidup kami. Aku pun harap, dapat lihat kebahagiaan hang suatu hari nanti. Tak pernah putus aku doa untuk hang. Tapi, sebenarnya bukan pasal adegan di Putrajaya semalam menjadi tujuan utama aku datang jumpa hang ini," ulas Hafifi panjang lebar selepas menyuap nasi ke mulutnya. Dani sekadar memasang telinga. Fikirannya dapat mengagak apa yang ingin dimaksudkan oleh Hafifi. Tanpa memberi apa-apa reaksi, dia terus menikmati makanannya.
"Hang dengar tak apa aku cakap tadi?" Hafifi kembali bersuara selepas tiada apa-apa reaksi daripada Dani. Dani sekadar mengangguk kepalanya.
"Jadi, hang fahamlah tujuan aku jumpa hang ni, kan? Takkan tak cukup masa lagi hang nak berfikir? Dah lebih empat minggu. Takkan belum ada apa-apa kata putus?" Hafifi membuat kesimpulan sendiri.
Dani berhenti menyudu. Sudu dan garpu diletakkannya. Seleranya tiba-tiba mati. Tangannya mencapai gelas minumannya. Air kosong sejuk diteguknya dua tiga teguk. Selepas mendapat sedikit ketenangan, gelas itu diletak semula ke atas meja.
"Aku belum ada semangat untuk itu bro. Hang pun tahu aku dah janji tak nak main muzik lagi. Kalau tak kerana sikap penting diri sendiri aku, Ayumi pasti masih ada. Dan hang pasti akan lihat betapa bahagianya aku jika Ayumi masih di sisi aku. Aku minta maaf, bro." Dani mengatur kata-katanya dengan rapi.
"Itu semua qadak dan qadar Allah, kita tak boleh nak lawan apa yang telah ditentukan-Nya. Kita orang Islam perlu percayainya. Dah tertulis dalam rukun iman. Bukan salah hang, itu semua ketentuan Ilahi. Mungkin ada hikmahnya." Hafifi memberi nasihat. Sememangnya, Hafifi nampak sahaja brutal tapi hakikatnya sangat mengikut landas agama. Dulu pun ketika menunggu keputusan permohonan ke Jepun, dia pernah menimba ilmu di sekolah pondok di daerah kelahirannya sebagai bekalan di tempat orang.
Dani tertunduk. Kata-kata Hafifi itu bagaikan anak panah yang terus tertusuk ke jantungnya. Kebenaran kata-kata Hafifi itu diakuinya. Dia bukan mahu melawan takdir. Jauh sekali mahu bersengketa dengan Tuhan. Tapi, dia masih tiada kekuatan untuk melupakan apa yang telah terjadi.
"Aku memang sengaja datang jumpa hang hari ini, bro. Sebab kalau aku berbual dengan hang menggunakan telefon saja, aku rasa kita bukan makin dekat tapi makin jauh. Bila berdepan begini, aku rasa lebih dekat dengan hang. Macam dulu. Aku bukan nak menekan hang, bukan nak memaksa hang. Tapi aku rasa, hang ada sesuatu yang orang lain tak ada. Dah lama industri muzik kita ini ketandusan karyawan macam hang. Aku bukan membodek hang, bukan juga nak ambik hati hang. Tapi ini adalah realiti. Hakikat. Dah banyak ulasan dan artikel tentang hang keluar di majalah muzik. Di Jepun dulu pun, ramai penggiat muzik kagum dengan hang. Jujur daripada hati paling dalam aku, hang seorang yang berbakat besar. Bakat kurniaan Ilahi. Tak semua orang ada. Jadi, jangan sia-siakannya." Hafifi memberi syarahannya dengan penuh tulus.
Buat sekian kalinya, Dani membisu. Lama juga, dia membiarkan Hafifi menanti. Terasa besar penghargaaan yang telah diberi oleh rakannya itu.
"Beginilah, bro. Beri aku sedikit masa lagi." Dani akhirnya memberi sedikit harapan kepada Hafifi selepas mula terkesan dengan nasihat rakannya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro