Bab 8
DANI tiba di pejabatnya sedikit awal pagi itu. Rakan-rakan sepejabatnya yang lain belum tiba. Dia menapak tenang ke arah bilik pejabatnya. Daun pintu bilik itu ditolak perlahan. Ada sedikit kejutan saat dia melangkah masuk. Ruang pejabatnya itu kemas dan tersusun. Hatinya menduga tentu Miss Janet telah mengarahkan pekerja pencuci pejabat membersihkan biliknya itu.
Beg sandangnya diletakkan di atas meja. Kakinya kemudian menapak ke arah tingkap. Langsir diselak luas-luasnya. Cahaya menerobos masuk. Panorama pagi kota Kuala Lumpur terhidang di layar matanya. Kenderaan mula bersesak di atas jalan. Penunggang motosikal celah-mencelah. Batang-batang tubuh manusia berpusu-pusu turun dari bas-bas yang berhenti di hentian. Pelayan-pelayan restoran mamak juga mula sibuk mengambil pesanan. Kota Kuala Lumpur tidak pernah sunyi.
Dani kembali semula ke meja. Dia menarik kerusi dan melabuh punggungnya. Ketika membuka beg sandang, anak matanya sempat menjeling papan memo yang tergantung di dinding bilik pejabatnya itu. Ada tiga memo terlekat di situ. Dia bingkas bangun semula. Memo-memo itu ditanggalkan. Segera dibaca. Dua memo itu adalah berkaitan dengan tugasan baru. Manakala satu lagi adalah jemputan makan malam daripada Japan Motors.
Pantas Dani teringatkan June. June cukup ramah walaupun baru saja mengenalinya. Rumusan itu tersimpul dalam hatinya.
Dia duduk semula. Dia merenung kosong ke segenap ruang biliknya itu. Tangan kanannya yang berbalut tiba-tiba berdenyut pedih. Lantas anak matanya mengalih pandang kepada tangannya itu. Peristiwa malam tadi menerjah ke fikirannya.
Sedang dia mula dipanggil ke alam lamun, tak semena-mena pintu biliknya diketuk. Terjongol di muka pintu, Si Amira.
"Awal datang hari ini?"
Dani sekadar mengukir sengih. Dia faham maksud Amira itu. Pekerja penyambut tetamu itu bukan memujinya tapi memerlinya. Selama ini, dia merupakan staf Yellow House yang paling lewat tiba. Boleh dikatakan setiap hari.
"Dah baca memo?" soal Amira kemudian.
Dani mengangguk.
"Okey, saya nak pastikan itu sahaja," ujar Amira sebelum menutup semula pintu.
Dani memulakan tugasannya pagi itu dengan menyemak fail tugasan baru yang tersusun di penjuru meja. Dia membelek helaian-helaian dokumen di dalam fail itu. Segala butiran cuba difahaminya. Kemudian, dia menekan butang suis komputernya. Sementara menunggu komputer itu loading, dia bangun dan memulas tombol pintu bilik pejabatnya. Kakinya melewati pintu itu dan menapak ke arah ruang dapur mini. Terasa tekaknya merintih minta dijirus kopi pekat.
Tiba di ruang itu, tangannya pantas mencapai sebiji mug. Serbuk kopi dicedokkan ke dalam mug itu. Air panas yang telah sedia dimasak oleh Amira kemudian dijiruskan ke dalam mug itu. Dia mengacau sehingga serbuk kopi sebati dengan air panas.
"Hai Dani, dah baik demam?" sapa Jessica.
"Hai," balas Dani ringkas. Disusuli satu anggukan.
"Kenapa dengan tangan?" soal Jessica lagi.
"Tak ada apa-apa, terhiris kaca gelas."
"Ayo, awak ini macam satu peribahasa. Sudah jatuh ditimpa... Ditimpa apa, ya?" Jessica mengentuk-ngetuk dahinya selepas gagal mengingati peribahasa yang turut tertulis dalam soalan peperiksaan anaknya yang disemak malam tadi.
"Ditimpa tangga," celah Amira yang tiba-tiba muncul di ruang itu.
"Hah! Betul. Sudah jatuh ditimpa tangga," tukas Jessica.
Dani sekadar melebarkan sengihannya.
"Sudahlah demam, tercedera pula tangan." Jessica terus memperincikan maksud peribahasa itu.
"Teruk ke, Abang Dani?" tanya Amira pula.
"Sikit saja."
"Macam mana boleh kena?" giliran Jessica kembali menyoal.
"Gelas itu tak sengaja jatuh ke lantai. Waktu nak kutip kaca yang pecah itu, tak semena-mena terkena tangan," jelas Dani bersahaja. Nyata isi jawapannya itu adalah rekaan semata-mata.
"Ini mesti berangan," sakat Amira.
"Dah kerja saya designer, mestilah kena berangan," balas Dani sebelum menghirup kopinya, cuba mengendurkan rasa malu yang mula menyapanya.
"Tapi kebiasaannya kalau sampai pecah gelas ini, berangan pasal lain, bukan pasal kerja." Amira terus dengan usikannya.
"Berangan pasal apa?" Jessica kebodohan.
"Lelaki, pasal apa lagi? pasal perempuanlah," ulas Amira lagi. Gamat seketika ruang itu dengan derai tawa. Merah juga telinga Dani disakat sebegitu.
Dia kemudian kembali ke biliknya meninggalkan Amira dan Jessica di ruang dapur itu. Kopi yang dibawanya dari dapur diletakkan di atas meja. Komputernya sudah sedia untuk digunakan. Dia segera menggerakkan tetikus, sempat dia menyemak akaun Facebooknya.
Matanya tertumpu seketika kepada beberapa foto yang dihantar oleh adik bongsunya yang sedang bercuti panjang di kampung halaman. Terubat juga sedikit rindunya bila dapat menatap wajah ibu dan ayahnya. Sejak pulang dari Jepun, dia belum berkesempatan lagi pulang ke kampung halamannya. Hanya perbualan telefon sahaja menjadi penghubung mereka.
Dia tersenyum sendirian tatkala tercuit dengan telatah adik bongsunya itu. Sememangnya wajah riang itu sangat dirinduinya. Adik bongsunya itu masih di bangku sekolah menengah ketika dia berangkat ke kota Tokyo dahulu. Kini, adiknya itu sudah tamat pengajiannya di sebuah universiti tempatan. Dapat dihitungnya sudah terlalu lama dia tidak merasai keakraban sebuah keluarga seperti mana yang pernah dirasainya sewaktu ketika dahulu.
Matanya sekilas terpandang seseorang menghantar pesanan untuk bersahabat dengannya. Perlahan-lahan dia mengalihkan anak panah tetikus ke atas simbol berwarna merah di bahagian atas skrin.
June?
Terbit nama itu dalam hatinya. Dia berfikir sejenak kerana sedikit rasa berbelah bagi untuk menerima permintaan June itu. Jarinya kemudian perlahan-lahan menekan butang menerima selepas merasakan June ikhlas dengan permintaannya. Laman sosial itu kemudian ditutupnya. Tugasannya pagi itu dimulakan.
MALAM itu, ruang Banquet Hotel Istana Kuala Lumpur dipenuhi para tetamu. Dani yang baru tiba bersama Miss Janet dan staf-staf Yellow House yang lain mencari-cari meja yang telah ditempah khas untuk mereka.
Dari ruang depan restoran, kelihatan June melambai-lambai ke arah mereka. Mereka segera melangkah ke arahnya.
"Hai," sapa June bersama kuntuman senyum tatkala Dani menghampirinya.
"Hai," balas Dani sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi.
"Eh, Kenapa dengan tangan?" soal June tatkala melihat tangan kiri Dani yang berbalut.
"Tak ada apa-apa," jawab Dani dengan riak segan.
"Kena apa?" soal June lagi.
"Terhiris kaca Cik June, berangan kuat sangat," Amira yang muncul entah dari mana menyampuk.
"Begitu rupanya, apa yang diangan tu ya?" June menguntum senyum.
Telinga Dani mula kemerahan.
"Kalau telinga dah merah begitu, berangan apa lagi, berangan ceweklah," tambah Amira dengan kekek tawa.
Semua yang ada di situ menambahkan lagi keceriaan itu. Dani hanya mampu mengukir sengih. Merah di telingannya kini merebak ke pipi.
"Jemputlah semua makan, ya?" ungkap June yang bertindak sebagai koordinator majlis itu di hujung tawanya.
Semua tetamu kemudian mengambil makanan yang terhidang secara bufet. Makan malam sempena kejayaan pelancaran kereta model terbaru keluaran Japan Motors itu turut diserikan dengan persembahan tarian Zapin dan nyanyian oleh sekumpulan pemuzik jemputan.
Sudah lama juga Dani tidak melihat persembahan tradisional sebegitu. Asyik dia menontonnya. Nyata dia gemarkan bunyi-bunyian Nusantara. Tatkala melihat persembahan pemuzik mengalunkan lagu-lagu malar hijau, hatinya tiba-tiba terkenangkan detik kemasyhuran kumpulan muziknya suatu ketika dulu. Terasa rindu pula dalam hatinya terhadap gitar dan mikrofon. Paling dirinduinya, sudah pastilah Ayumi. Sekonyong-konyong gadis itu masuk ke alam fikirannya.
"Eh, jauh menungnya."
Dani sedikit tersentak.
Tercuit hati June melihat reaksi spontan Dani itu.
"Dani tak makan ke?" soal June yang entah sekian bila melabuh punggung di sebelahnya.
"Errr... Kejap lagi."
"Nak saya tolong ambil makanan ke?"
"Errr... Tak perlu. Saya boleh ambil sendiri."
"Boleh ke?" soal June lagi sambil menjeling ke arah tangan kiri Dani.
"Tak apa, sikit saja ni," balas Dani.
"Kalau macam itu, jom saya temankan Dani ambil makanan," ajak June.
Dani menuruti sahaja ajakkan June itu.
Sepanjang majlis itu berlangsung, June sentiasa di sisi Dani. Kejanggalan sedikit demi sedikit hilang antara mereka berdua. Mereka mula serasi. Rancak mereka berbual.
Selesai majlis itu, semua staf Yellow House membawa haluan masing-masing. Ada yang terus pulang ke rumah, ada juga yang ingin ke beberapa destinasi siar malam sekitar ibu kota Kuala Lumpur, mengambil peluang esok cuti hujung minggu. Dani yang hadir menggunakan komuter dan teksi ditumpangkan Miss Janet ke Stesen Kuala Lumpur Sentral, namun dia telah terlepas komuter terakhir ke Shah Alam. Mahu tak mahu dia terpaksa mengambil teksi dari stesen itu untuk pulang ke apartmennya.
Hampir 12.00 tengah malam, baru Dani tiba di apartmennya. Belum sempat dia menghilangkan penat, telefon bimbitnya bergetar di dalam poket seluar.
Hai, tengah buat apa?
Tertera kata-kata itu di skrin bila dia menekan butang telefon. Wajahnya tidak memberi apa-apa reaksi. Jemarinya kemudian menaip jawapan balas.
Esok free tak?
Tertera lagi kata tanya di skrin telefon bimbitnya selepas beberapa ketika. Sekali lagi jemari malasnya menekan huruf-huruf dan terus berlangsung untuk beberapa ketika lagi.
Kepenatan masih dirasainya, tubuhnya kemudian perlahan-lahan direbahkan ke atas sofa. Tangannya disilangkan di atas dahi. Suasana ruang itu sunyi sepi. Yang kedengaran hanya bunyi kipas yang berputar. Matanya merenung kosong ke arah siling. Dalam kelayuan matanya, Ayumi muncul dengan derai tawa.
"Sayang, bangun..." tutur Ayumi lembut. Tangannya menggoncang tubuh Dani. Tawa terus berderai dari bibirnya. Dia geli hati melihat tingkah Dani yang liat itu. Ketenangan bayu lembut dari horizon memalaskannya. Musim panas baru sahaja bermula tika itu.
"Sayang tak bangun, Nona Manis jirus air nanti," ugut Ayumi dengan manja. Dani terus dengan tingkah liatnya. Ayumi mencekak pinggang rampingnya. Satu senyum sumbing terukir di bibirnya. Dia berpusing dan melangkah ke arah pantai. Beberapa ketika kemudian, dia muncul semula di pesisiran itu. Di tangannya ada sebotol air masin.
"Kan dan kena..." ungkapnya dengan ilai tawa.
Dani yang kebasahan bingkas bangun seperti direnjat arus elektrik. Pantas dia mengejar Ayumi yang berlari anak ke arah pantai. Dani terus mengacah. Tawa berderai bila Ayumi dapat mengelak. Akhirnya, tubuh Ayumi berjaya dirangkul oleh Dani. Didukungnya Ayumi ke gigi air.
"Alang-alang dah basah, baik basah bersama!" ujar Dani sebelum melambung lembut tubuh Ayumi. Tapi, rangkulan kuat Ayumi turut menghempaskannya bersama. Gelak tawa terus berderai di situ. Mereka riang bermain simbahan.
"Ayumi!"
Lena panjang itu tersentak. Dani terkebil-kebil. Anak matanya liar ke serata ruang.
Dia mula sedar dia bermimpi rupa-rupanya. Kedua-dua tangannya perlahan-lahan mengusap mukanya. Satu hela nafas panjang ditarik dan dilepas perlahan-lahan.
Telefon bimbitnya di atas meja tamu kelihatan berkelip cahaya. Dengan rasa malas yang memberat, dia mencapai telefon itu. Ingatan daripada June tentang janji mereka untuk berjumpa hari itu tertera di skrin.
Bersarang rasa kesal dalam hatinya membuat janji itu. Namun, rasa itu berdikit hilang. Tak sampai hati pula untuknya menghampakan June yang mula mesra dengannya itu. Dia menjeling jam di dinding ruang tamu. Menyedari June akan datang menjemputnya tak lama lagi, dia bingkas bangun ke kamar tidurnya. Selepas menyalin pakaian, dia masuk ke bilik air.
SEPERTI yang dijanjikan, June tiba tepat pada waktunya. Dani segera menapak ke arah kereta Honda CR-Z yang berhenti betul-betul di hadapan lobi Apartmen Komuter Raya.
"Sorry, buat June tunggu lama," ungkap Dani ketika membuka pintu kereta.
"Tak apa, berjam menunggu pun June sanggup demi Dani," balas June dengan senyuman yang riang terukir di bibirnya. Jantung Dani saat itu mula berdegup sedikit kencang. Entah mengapa setiap kali bersua dengan June, dia akan merasa darahnya bergemuruh. Tambah-tambah lagi bila mendengar kata-kata June itu.
"Jadi, ke mana kita?" soal June.
"Entah, awak yang ajak, saya ikut sahaja ke mana pun."
"Kalau saya nak ke bulan, awak pun akan ikut juga?" June berjenaka.
Dani tersenyum tanpa menjawab.
"Okey, kita ke Putrajaya. Hari ini ada pertunjukan belon panas di sana. Sambil-sambil cuci mata, untung-untung kita boleh ke bulan naik belon," cadang June kemudian dengan kekek tawa.
Dani mengangguk tanda bersetuju. Lebih kurang 30 minit dari Shah Alam, mereka tiba di lokasi itu.
Dani terpegun seketika tatkala melihat belon-belon panas yang berwarna-warni di langit. Mulutnya sedikit terlopong. Nyata perlakuannya itu disedari oleh June.
"Awak pertama kali melihat belon panas ke?" soal June.
Dani mengangguk. Ada sedikit rasa tidak percaya di wajah June dengan jawapan daripada Dani itu. Manakan tidak terundang rasa sangsi, bertahun-tahun tinggal di Tokyo, masakan tidak pernah melihat pertunjukan sebegitu di sana?
"Betul awak tak pernah lihat pertunjukkan seperti ini?" ulang June. Dia cuba meleraikan rasa sangsinya itu.
"Ya, ini pertama kali saya lihat depan mata sebegini. Sebelum ini hanya lihat foto-foto atau di kaca TV saja. Tak sangka cantik," balas Dani dengan pandangannya masih tidak lepas daripada belon-belon aneka warna di angkasa Putrajaya itu.
Jawapan itu pantas memberi satu telahan kepada June, betapa Dani tidak seperti lelaki yang lain. Dia kemudian tersenyum sendirian.
"Okey, kita cari tempat duduk yang sesuai dulu." June mencadang.
Mereka kemudian meninjau ke persekitaran tapak pertunjukan itu. Selepas mendapat tempat duduk yang sesuai, June meminta izin untuk ke gerai menjual makanan dan minuman tidak jauh dari tempat itu. Tapak pertunjukan itu makin lama makin dipenuhi batang tubuh manusia.
Saat menunggu itu, Dani terus mengisi pandangannya ke langit tanpa jemu. Sesekali dia mengabadikan dirinya bersama dengan panorama itu menggunakan telefon bimbitnya.
Ketika melihat gambar-gambar yang ditangkapnya, hatinya sekonyong-konyong teringatkan detik-detik dia bersama Ayumi berkunjung ke Festival Iluminasi di Tasik Sagamiko. Suasananya hampir sama dengan suasana itu. Rasa sayu kemudian terbit di ruang hati kecilnya tatkala mengenangkan Ayumi yang cukup teruja dengan suasana sebegitu.
"Dani..."
Tiba-tiba terasa bahunya disentuh. Lamunan sepinya terus ternoktah. Bola matanya terkebil-kebil kebodohan. Tak disedarinya, June telah melabuh punggung di hadapannya.
"Sorry..." ucap Dani perlahan.
"Dani teringatkan seseorang ke?" cungkil June.
Dani diam. Dia mengalih pandang ke tasik buatan yang terbentang di hadapannya. Beberapa saat selepas itu, dia kembali mengarah kepada June semula. Satu ukiran senyum cuba diberikannya kepada June. Dapat dijejak ketawaran senyuman itu oleh June. June dapat mengagak perasan Dani ketika itu.
Selesai makan, mereka bersiar-siar di sekitar tapak pertunjukan. Mata Dani memandang setiap belon yang masih berada di daratan itu dengan penuh minat. Sememangnya dia cukup teruja dengan sesuatu yang mempunyai nilai seni. Kegundahan hatinya tadi juga hilang begitu sahaja. June di sebelahnya tersenyum sendirian melihat keletahnya itu.
"Dani, boleh June tanya sesuatu?" ungkap June untuk memecah suasana.
"Apa dia?" balas Dani dengan matanya masih tertumpu kepada pelbagai jenis belon di persekitarannya.
"Dani ada girlfriend?"
Sekilas pandangan Dani bertukar arah. Muka cerianya berubah. Dirasakan soalan itu menusuk terus ke jantungnya. Nafasnya seolah-olah tersekat seketika. Soalan itu sememangnya mahu dielakkan kerana dia masih keliru dengan hidupnya sendiri. Sayangnya kepada Ayumi masih tiada galang ganti. Dia sedar Ayumi sudah tiada, namun untuk mengucapkan bahawa dia kini bersendirian amat payah sekali. Ayumi dirasakan masih hidup dalam setiap gerak nadinya.
"Errr... Sorry andainya soalan June tadi mengganggu Dani. Jom kita ke sana!" June yang menyedari punca kehambaran itu segera meredakannya dengan mengajak Dani ke arah sebuah layar gergasi di satu sudut.
Tiba di sudut itu, mereka melabuh punggung pada sebuah bangku konkrit. Ruang itu sudah dipenuhi dengan para pengunjung. Ada yang sekadar duduk berehat sambil berbual. Ada juga yang menumpu pandangan kepada layar gergasi yang ketika itu sedang menayangkan belon-belon yang sedang berada di udara secara lintas langsung.
"Dani nak naik belon itu?" soal June selepas melihat keterujaan Dani yang tak lepas pandang pada objek itu di layar gergasi.
"What?" soal Dani kembali kerana antara dengar dan tidak dengar soalan June tadi. Matanya menyabung mata June yang jernih.
"Dani nak naik belon itu?" tukas June sambil menunjuk ke arah sebuah belon yang disediakan untuk pengunjung di satu sudut tak jauh dari tempat mereka duduk itu.
"Boleh naik ke?" soal Dani yang teruja.
"Boleh, memang khas untuk pengunjung dengan sedikit bayaran. Jom kita naik, June belanja." Belum sempat Dani memberi persetujuan, June sudah menarik tangan Dani ke arah belon itu.
Selepas June membuat bayaran, mereka ditemani oleh pemilik belon itu masuk ke dalam kotak penumpang yang berada di bawah belon. Pemilik belon itu tanpa berlengah menghidupkan suis gas untuk menyalakan api bagi mengampungkan belon itu. Perlahan-lahan belon itu naik ke udara. June dan Dani menjerit keriangan. Satu pengalaman baru kepada mereka berdua. Selepas hampir 30 minit menikmati keindahan suasana di udara, belon itu diturunkan semula ke daratan. Jelas terpancar kepuasaan maksimum di wajah mereka.
Selepas makan tengah hari di sebuah restoran di perut Pusat Pentadbiran Negara itu, June menghantar semula Dani pulang ke apartmennya.
"June sangat gembira hari ini. Terima kasih Dani kerana memberi June keriangan yang June tak pernah rasa sebelum ini," ungkap June sebelum Dani keluar dari kereta. Hatinya benar-benar berbunga girang.
"Sepatutnya, Dani yang perlu ucap terima kasih pada June," balas Dani dengan satu senyuman.
June membalas senyumannya itu.
"Terima kasih June kerana memberi saya satu pengalaman baru hari ini. Terima kasih atas semuanya, nanti Dani balas balik June belanja tadi," tambah Dani lagi.
"Okay, I'm really happy to hear that. Tak sabar nak tunggu harinya, keluar dengan Dani lagi," balas June dengan wajah teruja.
"Okay, jumpa lagi nanti. Bye," ucap Dani sebelum membuka pintu kereta.
"Okay, bye." June membalas dengan kuntum senyuman yang melirik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro