Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

KITARAN waktu terus berputar. Pantas dan deras masa berdetik. Bulan baru muncul dengan kesibukan.

Ruang legar dewan pameran PWTC itu hingar bingar. Batang tubuh manusia di mana-mana sahaja. Sebentar lagi pelancaran kereta terbaru keluaran Japan Motors akan dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Walaupun acara belum bermula dan selimut kereta belum ditarik, adegan perang cahaya kamera telah berlangsung.

Dani menyelit di tengah-tengah orang ramai. Dia yang turut dijemput ke majlis itu mula berasa rimas. Pada mulanya dia keberatan untuk hadir, namun akur dengan arahan Miss Janet sebagai mewakilinya yang tidak dapat meluangkan masa kerana ada urusan keluarga.

Dani berlegar-legar di sekitar dewan pameran automotif itu. Terbit juga rasa kagum dalam hatinya apabila melihat kecanggihan dan potongan tubuh badan kereta-kereta yang dipamerkan di situ. Namun begitu, kereta-kereta rekaan terkini bukanlah menjadi kegemarannya. Dia lebih gemarkan sesuatu yang bersifat antik dan vintaj, seperti kereta Toyota AE86 yang dimiliki oleh Hafifi.

Dahulu juga, ayahnya pernah menghadiahkan kepadanya sebuah Volkswagen Beetle. Rakan-rakan sekampungnya menggelarkan kereta itu kereta kura kerana bentuk tubuhnya seperti seekor kura-kura. Namun, kereta yang berusia seabab Perang Dunia Kedua itu terbiar selepas dia melanjutkan pelajaran ke Jepun. Mungkin tubuhnya kini telah mereput di belakang rumahnya di kampung.

"Assalamualaikum..." ucap satu suara ketika dia asyik memerhati sebuah kereta buatan nasional yang telah dimodifikasi. Dia memaling mukanya. June melirik senyum kepadanya.

"Waalaikumussalam," balas Dani.

"Dani seorang saja ke?" soal June.

Dani hanya mengangguk. Jantungnya entah mengapa mula berdegup pantas.

"Miss Janet tak datang ke?" soal June lagi.

"Tak. Dia minta maaf sebab ada urusan yang tak dapat dielakkan. Saya diminta mewakilinya," jelas Dani.

"So, apa pendapat Dani tentang hari ini?"

"Nice," jawab Dani ringkas. Dia sebenarnya masih kelu. Kotak fikirnya masih kemarau idea saat itu.

"Ada yang berkenan?" tanya June dengan wajah yang sentiasa ceria.

Dani mengerut sedikit dahinya, kurang mengerti.

"Maksud saya, kereta-kereta yang ada di sini ada yang berjaya menambat hati Dani?" June memberi lebih kefahaman kepadanya.

Dani menggeleng dengan satu riak malu. Satu senyuman cuba diukirnya untuk menutup rasa malunya itu. Pantas gerinya yang sedang tersipu itu mencuit hati June.

"Bagaimana pula dengan kereta baru kami?" June terus bersuara. Seperti Dani, dia juga gemuruh tatkala berdepan dengan Dani, entah mengapa.

"Masih tidur," balas Dani dengan bersahaja walaupun dengan niat untuk melucu. Giliran June pula mengerut sedikit dahinya bila mendengar jawapan Dani itu.

"Masih berselimut, jadi masih tidur lagilah," ulas Dani selepas menyedari June tidak dapt menangkap maksud jenakanya itu. Dia sebenarnya cuba untuk menghilangkan rasa kekoknya. Ulasan bersahajanya itu membuatkan June mendekah tawa.

"Lupa pula saya. Tapi bukankah you yang buat iklannya? Takkan buat sambil pejam mata?" ungkap June memulangkan buah jenaka. Dani tersenyum kambing, terkena checkmate oleh June.

"Hmmm, secara peribadinya memang sebuah mesin beroda empat yang mengagumkan," ulas Dani secara spontan. Niatnya sekadar mengambil hati June.

"Wah, dah macam tagline bunyinya. Saya kira ia satu testimonial yang jujur." June mengungkap dengan wajah berseri.

Dani membalas senyumannya itu. Walaupun pendek, lirikan senyuman Dani itu cukup menawan pada pandangan June. Kali pertama dia melihat senyuman sebegitu daripada seorang jejaka.

Mereka kemudian beriringan meninjau beberapa gerai pameran di sekitar perut dewan besar itu. Hari itu bukan Japan Motors sahaja yang mempamerkan kereta-kereta buatan mereka, namun pelbagai syarikat pengeluar yang lain. Kesempatan berlangsungnya karnival automotif tahunan itu, Japan Motors turut mengambil peluang untuk melancarkan kereta terbaru keluaran mereka.

Beberapa ketika kemudian, mereka kembali semula ke pentas utama apabila satu pengumuman kedengaran melalui corong pembesar suara menyatakan perasmian kereta model terbaru keluaran Japan Motors akan dilaksanakan.

Upacara perasmian itu berjalan dengan gilang-gemilang. Nyata model terbaru itu menarik perhatian ramai. Cahaya kamera berkilauan dari pelbagai sudut. Perasmian itu turut mendapat liputan saluran-saluran televisyen.

Berbekas juga sedikit kebanggaan dalam hati Dani tatkala buah fikirannya menjadi pemula acara itu dan dipaparkan di layar gergasi yang menjadi latar belakang perlancaran itu. June di sebelahnya tak henti-henti memuji hasil kerjanya. Terbit satu kepuasan dalam hati Dani bila semua mata terpegun ke layar itu. Nyata konsep iklan rekaannya itu sungguh futuristik.

Dia kemudian ditemani June menghampiri pentas utama menyertai peminat-peminat automatif yang lain. Masing-masing sibuk dengan kamera. Dani turut mengambil beberapa keping gambar menggunakan kamera telefon pintarnya untuk dijadikan bahan dokumentasi yang perlu diserahkan kepada Miss Janet.

"Saya minta diri dulu," ungkap Dani kepada June di sisinya sambil buat-buat melihat jam di tangannya.

"Eh, tak nak sertai jamuan dulu ke?" tanya June.

"Saya minta maaf. Saya ada urusan lain yang perlu disegerakan." Dani memberi alasan, cuba mengelak. Suasana korporat sebegitu sememangnya satu perkara yang janggal kepadanya walaupun ayahnya seorang yang cukup dikenali di negeri kelahirannya.

"Seronok berjumpa dengan awak di sini hari ini," ucap June. Wajahnya ada sedikit kehampaan.

"Saya juga," balas Dani bersahaja.

"Betul?" soal June dengan wajah kembali ceria.

Dani seperti tersentak. Kepalanya yang tidak gatal digaru. Dia merasakan dia telah tersalah cakap.

"Do you have any contact number?" pinta June tak disangka-sangka.

Dani pegun seperti orang bodoh seketika. Jantungnya berdegup deras. Kali kedua dia merasa seumpama itu dalam riwayat hidupnya. Pantas June mengulangi soalannya selepas melihat Dani yang masih pegun.

Mendengar kesungguhan June itu, Dani mula jadi serba salah. Tidak sampai hati pula dia untuk mengabaikan permintaan itu. Lalu dia mengoyakkan secebis kertas dari helaian brosur yang diambilnya dari sebuah gerai pameran tadi. Kemudian, dia meraba-raba poket kemeja dan seluarnya. Perlakuan itu sekali lagi menggeletek hati June.

"Awak cari apa?" soal June dengan senyuman melirik di bibirnya.

"Pen."

June yang tak lekang dengan senyuman seraya membuka tas tangannya. Kemudian, sebatang pen berjenama Parker dihulurkan kepada Dani. Dani menerima huluran itu dengan malu-malu. Pen itu kemudian segera mencatit digit-digit telefon tangannya.

"Terima kasih," ucap June bersama satu lagi ukiran senyum. Walaupun pendek tetap manis.

"Jumpa lagi nanti," ucap June lagi sebelum Dani berlalu. Dani hanya mengangguk. Satu senyum juga sempat dikuntumnya kepada June.

Patutlah susah nak senyum, mahal harga senyumannya. Menawan... Hati June berbisik sambil anak matanya menghantar susuk Dani hingga ke pintu utama pusat pameran itu.

"Pelik, seorang eksekutif tak ada kad nama," keluh June sambil menilik cebisan kertas yang diberi oleh Dani tadi. Dia senyum sendirian. Hatinya cukup tercuit dengan telatah bersahaja Dani. Tak pernah dia berjumpa dengan lelaki seperti Dani sebelum ini. Dirasakannya Dani ialah seorang yang tulus.

PERJALANAN pulang Dani masih panjang. Beberapa ketika menunggu, LRT dari arah Sentul membawanya ke Stesen KL Sentral. Tiba di situ, dia perlu menaiki komuter arah laluan Pelabuhan Klang pula. Bukan dia tidak mampu untuk memiliki sebuah kereta tapi dia lebih suka menjalani kehidupan secara sederhana.

Sepanjang perjalanan pulang ke Shah Alam, Dani mengelamun di tepi tingkap. Hiruk-pikuk dan riuh-rendah warga asing yang memenuhi ruang kabin tidak sedikit pun menarik perhatiannya. Di sebelahnya, sudah berdengkur seorang pelajar lelaki sebuah sekolah SJKC yang dapat Dani jejak melalui lencana di atas poket baju sekolahnya. Sebuah beg violin didakap erat budak lelaki itu.

Dalam menungan sepinya di tepi tingkap, wajah Ayumi sekonyong-konyong muncul melambai-lambai kepadanya. Gelak tawa, lenggang-lenggok dan segala keletah gadis itu menghiburkan hati sepinya. Tiba-tiba muncul pula wajah June.

Dapat dikesan gadis itu juga berwajah lonjong seperti Ayumi. Kedua-duanya juga beralis lebat dan berbulu mata lentik. Kulit wajah juga sama cerah. Cuma yang membezakan June dan Ayumi ialah lesung pipit di pipi kanan Ayumi. Itu membuatkan senyuman Ayumi lebih manis. Dari tutur bicara juga, Ayumi lebih meruntun jiwa. Lebih lembut dan menenangkan. Namun, Ayumi tewas dari segi ketinggian. Ayumi juga tewas jika diukur dari segi gaya dan pemakaian. June lebih menyerlah dibandingkan Ayumi yang serba ringkas.

Perbandingan itu teranalisa di benak Dani, entah mengapa. Satu hela nafas kemudian dilepaskannya cepat-cepat.

Tak! Nona Manis tetap nombor satu dalam hati aku! Hatinya menjerit.

Lamunan sepi Dani itu terhenti apabila telinganya menangkap pengumuman bahawa komuter yang ditumpanginya telah menghampiri Stesen Shah Alam. Tanpa disedarinya juga, ruang yang sendat seperti tin sardin awal tadi sudah lengang. Hanya beberapa orang penumpang sahaja di ruang kabin itu. Budak Cina yang mendakap beg violin di sebelahnya juga sudah tidak kelihatan. Juga tak disedarinya, hujan renyai di luar perut komuter.

Dia bingkas bangun dan mula bergerak ke pintu yang terbuka secara automatik. Sempat dia menjeling jam di tangannya sebelum kakinya melangkah keluar dari perut komuter itu. Jam menunjukkan 7.00 petang.

Pantas dia berlari ke arah Apartmen Komuter Raya yang terletak kira-kira 100 meter dari stesen itu.

Belum sempat Dani melangkah melewati pintu apartmennya, kedengaran nada WhatsApp telefon tangannya berbunyi dan bergetar dalam poket seluarnya. Namun, mesej itu tidak diendahkan. Dia terus ke kamar tidurnya. Pantas dia mencapai tuala. Dia selalu ingat pesan ibunya, jika terkena hujan mesti terus mandi. Jika tidak, pasti akan demam. Peringatan itu seakan sudah kejap dalam ruang ingatannya. Selepas menyalin baju dan seluar, dia masuk ke bilik air. Tubuhnya yang kuyup dibasahi hujan dibilas semula dengan air paip.

Badannya terasa amat penat sekali. Hidungnya pula mula berair. Dia menyarung seluar trek Puma ke pinggangnya. Sehelai sweater kemudian dizipnya dari paras pusat ke leher demi menghilangkan rasa dingin. Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Saat dia hampir menutup mata, fikirannya teringatkan telefon bimbitnya. Dia bangkit semula dan menapak ke arah baju dan seluar yang dipakainya tadi, yang masih terjelepok di atas lantai satu sudut kamar tidurnya itu. Perlahan-lahan diraba isi poket seluarnya itu.

Paparan WhatsApp dibukanya. Tertera satu nombor yang tak dikenali di skrin telefonnya dengan foto seorang gadis yang tidak berapa jelas. Jarinya segera menekan butang membuka, lalu tertera susunan kata-kata dari June di skrin. Sapaan itu dibacanya. Kemudian, jemarinya pula menaip. Mereka selepas itu berbalas aturan kata buat seketika waktu sebelum Dani terlelap bawaan kepenatan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: