Bab 4
PONNN!!! Lolongan hon kereta api di luar Apartmen Komuter Raya di Seksyen 19, Shah Alam itu mengejutkan Dani dari lena panjangnya. Dia mengurut muka sembapnya.
"Pukul berapa sekarang?" ungkapnya kalut sambil mencapai telefon bimbitnya di atas meja tamu, beberapa jengkal di hadapannya. Rupa-rupanya dia tertidur di ruang tamu itu malam tadi.
"Oh, Tuhan!"
Jam di skrin telefon bimbitnya menunjukkan pukul 9.14 pagi. Dia sudah terlewat hampir 45 minit. Seperti orang tak keruan, dia bergegas ke bilik air. Keluar dari bilik air, terus dia masuk ke kamar tidurnya. Dia menyarung apa saja baju dan seluar yang tercapai oleh tangannya. Kemeja dua hari lepas yang belum berbasuh dibutangnya pantas. Kemudian, sehelai jean yang tersangkut di balik pintu bilik dicapai dan disarungkan ke pinggang. Selepas mencapai beg sandang, kelam-kabut dia berlari ke arah lif. Vespa jingganya ditunggang laju ke arah Bangsar South.
Setibanya di Yellow House, kerlingan dan senyuman sinis menyambut kehadirannya.
"Dani, bos nak jumpa," laung Amira di kaunter penyambut tetamu ketika Dani terkocoh-kocoh ke arah bilik pejabatnya. Hampir dia terlanggar Andy, rakan sepejabat yang baru keluar dari bilik Miss Janet. Langkah panjang Dani terhenti dan serentak itu dadanya bergemuruh. Degup jantungnya bertambah tatkala melihat muka Andy yang pucat, barangkali baru lepas dimarahi Miss Janet. Sepanjang seminggu berkerja di situ, memang Dani yang paling lewat hadir ke pejabat setiap hari. Namun, tidaklah selewat itu. Perlahan-lahan dia berpaling kepada Amira.
"Errr... Se... Sekarang?" soalnya tergagap-gagap.
"Ya, sekarang!" balas gadis awal 20-an itu dengan muka serius.
Dani menelan air liur. Terukir satu senyum sinis di tubir bibir Amira. Dani menolak daun pintu biliknya dengan jantung masih berdegup pantas.
Selepas meletak beg sandangnya di atas kerusi, Dani terus mengatur langkah ke bilik Miss Janet. Sempat dia membetul-betulkan rambut dan kolar kemejanya dalam perjalanan yang dirasakan cukup jauh itu, walaupun bilik Miss Janet hanya selang dua bilik sahaja dari biliknya.
"Hah, Dani! Masuk!"
Jantung Dani makin berdegup pantas bila mendengar suara garau Miss Janet. Wanita itu sibuk menaip sesuatu di hadapan komputer.
"Kamu tahu mengapa saya panggil kamu?" soal Miss Janet dengan tangan masih rancak menaip tanpa memandang Dani.
Dani hanya membatu. Perutnya terasa seperti mengecut. Segera dibetulkan kemejanya bila terperasan kemejanya itu tidak dimasukkan ke dalam seluar dengan kemas. Miss Janet sememangnya sangat mementingkan kekemasan setiap pekerjanya.
"Pukul berapa sekarang?" soal wanita yang berkaca mata retro ala Betty dalam telenovela Colombia Yo Soy Betty, La Fea.
Sekali lagi Dani menelan air liur dan perlahan-lahan menyelak lengan kemeja panjangnya.
10.30... desis hatinya kecut.
"Pukul berapa sekarang?" ulang bosnya itu lagi. Kali ini nadanya lebih tinggi.
"Errr... 10.30," jawab Dani tergagap-gagap.
"Kamu dah sedia?"
"Sedia? Sedia untuk apa?" Dani sedikit kebingungan.
"Eh, lupa ke?! Bukankah kita ada mesyuarat dengan klien 11.00 pagi nanti?" Kali ini anak mata wanita Cina peranakan Baba dan Nyonya itu tepat ke mata Dani.
"Oh, tentang itu. Ya, saya sudah sedia," balas Dani dengan cepat-cepat. Wajah tegangnya perlahan-lahan mengendur. Rasa gemuruh juga berdikit hilang.
"Okey, jumpa di bilik mesyuarat pukul 11.00 nanti."
Dani menarik nafas. Terasa seperti dia baru terlepas dari mulut harimau. Miss Janet cukup dikenalinya, walaupun mempunyai hati yang pemurah, namun bila berkaitan soal kerja cukup tegas. Pernah dia melihat Miss Janet memarahi seorang pekerja sampai menitis air mata pekerja perempuan itu. Nyata sangkaan awal tujuan dia dipanggil bersemuka itu meleset.
"Dani!" Belum sempat Dani menjulurkan kakinya keluar dari bilik bosnya itu, Miss Janet memanggil separuh menjerit.
Langkah kaki Dani terhenti betul-betul di muka pintu bilik itu. Jantungnya kembali berdegup kencang. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya menghadap Miss Janet dengan muka yang kembali putih.
"Jangan hampakan saya. Projek ini akan memberi keuntungan yang besar kepada kita. Seperkara lagi, jangan lupa tali leher dan sikat rambut kamu," kata Miss Janet dengan lembut. Namun ada ketegasan yang difahami oleh Dani dalam kata-kata itu. Dani mengangguk faham.
Dia segera berlalu ke biliknya. Beg sandangnya di angkat ke atas meja dan dibukanya. Sebuah laptop berjenama Apple dikeluarkan. Kemudian, beberapa keping story board disusun mengikut turutan. Dia membelek kepingan itu keping demi keping untuk memastikan tiada yang tercicir. Sebuah pen pemancu juga dimasukkan ke dalam poket kemejanya.
Dijeling jam di tangan kirinya sambil tangan kanannya mencapai tali leher biru tua yang tergantung bersama kalendar di dinding bilik. Tali leher itu segera diikat pada leher walaupun tak sepadan dengan kemeja coklat berjalur kecil yang membalut tubuhnya. Itulah satu-satunya tali leher yang dimilikinya.
Menyedari dia masih ada waktu, dia melangkah ke bilik air. Rambut kusutnya kemudian disikat rapi berminyakkan air paip. Senyum sumbing terukir sekilas di bibirnya tatkala menatap wajah sendiri di cermin. Dirasakan raut wajahnya kelihatan sedikit pelik bila kemas begitu.
Sebelum keluar dari bilik air, dia berkumur beberapa kali. Dia meraba-raba poket seluarnya bila teringatkan gula-gula getah yang dibeli seminggu lepas. Sekeping Double Mint Gum kemudian disuakan ke mulutnya. Sekilas fikirannya teringat pada satu artikel yang pernah dibacanya mengatakan menguyah gula-gula getah mampu merangsang otak untuk berfikir lebih baik. Teknik ini telah diguna secara meluas dalam kalangan pengurus dan pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris. Sekali lagi senyum sumbing terukir di bibirnya.
Dia kembali ke bilik pejabat. Laptop dan kepingan story board diambilnya. Sebelum melangkah ke bilik mesyuarat, dia menghela satu nafas panjang. Seakan-akan dia cuba memberi keyakinan kepada dirinya sendiri. Keresahannya dirasakan sedikit kendur. Kakinya kemudian berderap ke bilik mesyuarat. Langkah yang tampak yakin.
"Dani, good luck!" cetus Jessica, rakan sepejabatnya yang juga adik kepada Miss Janet diiringi isyarat ibu jari ke atas oleh beberapa rakan sekerja yang lain termasuk Amira di kaunter penyambut tetamu. Nyata semangat setia kawan menebal dalam kalangan mereka, saling sokong-menyokongi satu sama lain.
Daun pintu bilik mesyuarat ditolaknya perlahan-lahan. Perlahan juga dia menutupnya kembali. Di bilik itu, kelihatan seorang lelaki Jepun dan June yang dijumpainya seminggu yang lalu sudah menunggu. Miss Janet juga sudah berada di situ.
"Dani, kenalkan Mr. Yamaguchi Tamada, Pengurus Unit Pemasaran Japan Motors." Miss Janet memperkenalkan antara orang kuat syarikat pemotoran dari Jepun itu kepada Dani.
"Mr. Yamaguchi, this is our Creative Designer, Danial Putra Ikmal Sani."
Dani menunduk hormat sambil menegur Encik Yamaguchi dalam bahasa Jepun. Budaya menunduk hormat itu pernah menjadi amalannya sewaktu di negara matahari terbit dulu. Selepas itu, dia menghulurkan tangannya kepada Encik Yamaguchi. Encik Yamaguchi turut menunduk dan menyambut salam Dani dengan erat. Pantas Encik Yamaguchi menyenangi sikap Dani itu. Pantas juga dia menarik perhatian June.
"Rasanya Dani dah kenal kan Cik June Yasmine, pembantu peribadi merangkap setiausaha Mr. Yamaguchi," ucap Miss Janet lagi.
Dani sekadar mengangguk. Kedua-dua mereka berjabat salam. Sempat juga June memberi Dani satu senyuman. Dani sekadar membalas dengan satu senyum pendek yang bersahaja. Kemudian, dia melabuhkan punggung di sebelah Miss Janet.
"Silakan, Dani," arah Miss Janet tanpa mahu membuang masa selepas Dani selesai memasang wayar projector ke laptopnya.
Dani bingkas bangun dan memulakan mukadimah ideanya. Lakaran story board dibentangkan satu per satu. Kemudian dia beralih kepada laptopnya. Konsep ideanya secara lebih terperinci kemudian dipancarkan kepada skrin gergasi di bilik mesyuarat itu.
Dengan penuh karisma dan petah dia menerangkan ideanya secara futuristik. Riak dan sikap bersungguh-sungguh itu seakan dia tidak mengalami sebarang kecelaruan fikiran. Encik Yamaguchi, June dan Miss Janet mendengar dengan penuh khusyuk. Sesekali Encik Yamaguchi mencelah bertanyakan itu dan ini dan dijawab oleh Dani dengan jawapan-jawapan yang meyakinkan. Kebolehan Dani bertutur dalam bahasa Jepun juga nyata memudahkan soal jawab itu. Tugas June juga menjadi lebih mudah tanpa perlu bersusah payah memberi kefahaman kepada majikannya itu. Dia hanya sekadar membuat catatan.
Akhirnya, pembentangan itu selesai dengan termenterainya memorandum persefahamam. Miss Janet menjadi orang yang paling lega. Dani turut terpancar satu kepuasan di mukanya. Tepukan daripada Encik Yamaguchi seakan satu kenikmatan yang tiada tandingannya.
"It is a wonderful Mr. Danial," ucap Encik Yamaguchi dengan pelat Jepun ketika menghulurkan tangan kepada Dani tanda dia berpuas hati dengan buah fikiran Dani. Kemudian, disusuli tangan Miss Janet. June turut melakukan perkara yang sama dengan satu ukiran senyuman yang pasti boleh menggoda lelaki yang melihatnya.
Selepas keluar dari bilik mesyuarat itu, Miss Janet segera membuat pengumuman.
"Perhatian semua! Hentikan kerja kamu semua, kita keluar makan tengah hari. Saya belanja." Pengumuman daripada Miss Janet itu kemudian disambut dengan sorakan dan senyuman yang berganti-ganti bibir.
DI RUANG Restoran OldTown, suasana tenang sesekali dicelah dengan ilai tawa. Masing-masing riang menikmati makan tengah hari di situ secara percuma.
Satu lagi kejayaan dalam hidupku. Alangkah indahnya jikalau kejayaan ini dapat dikongsi bersamamu, Ayumi. Kau pasti memberiku kata-kata semangat yang baru seperti selalu kau lakukan setiap kali aku menempah kejayaan di kota Tokyo dulu, hati Dani berbisik sepi di tepi dinding kaca.
"Eh, jauh menungnya, Encik Danial." June yang turut dijemput bersama makan tengah hari itu menyapa Dani membuatkan Dani sedikit tersentak. Pandangannya segera dipalingkan kepada June yang sudah melabuh punggung di atas kerusi betul-betul mengadapnya.
"Apa yang dimenungkan tu, Encik Danial?" soal June lagi dengan satu lirik senyuman yang manis.
"Tak ada apa-apa, Cik..." Dani ingat-ingat lupa nama perempuan muda yang menyapanya itu.
"June Yasmine. Panggil June saja. Hmmm, sebelum ini Encik Danial..."
"Dani," pintas Dani.
"Sebelum ini Dani kerja di mana?" June mengulangi semula soalannya.
"Tokyo," jawab Dani ringkas. Jelas dia tiada mood berbual panjang kala itu. Lebih-lebih lagi dengan June yang baru dikenalinya itu.
Jawapan itu membuatkan June sedikit tersedak.
"Maksud awak Tokyo, Jepun?" soal June dengan wajah teruja.
Dani sekadar mengeyakan soalan June itu dengan anggukan.
"Wah, bukan calang-calang orang Dani ini rupa-rupanya ya! Patutlah macam berpengalaman," puji June. Dani cuba mengukir senyum.
Mereka berbual untuk beberapa ketika lagi. Namun, banyak June yang bertanya itu dan ini. Dani seperti sebelumnya, tidak banyak reaksi yang diberinya. Hanya jawapan yang pendek atau ringkas sahaja diberinya. Dirasakan seperti ada jurang antara mereka. Seakan juga ada sedikit kesukaran untuk dia mesra dengan seseorang kini. Dia lebih selesa dengan menjadi pendengar sahaja. Sebenarnya, bukan dengan June sahaja, tetapi juga dengan setiap orang di sekelilingnya. Dia hanya bersikap profesional untuk urusan kerja semata-mata. Seakan-akan ada satu tempurung yang menutup hampir seluruh jasad dan roh kehidupannya kini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro