Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

MALAM kian larut. Dani masih belum dapat memejamkan matanya. Ajakkan Hafifi tadi mula mengetuk pintu kamar fikirannya. Dirasakan seperti ada batu harapan yang berat terkandar di bahunya.

Dulu, memang muzik adalah keghairahannya. Nama The Plastic Tree juga cukup gah di persada muzik Indie di kepulauan Honshu. Populariti mereka juga pantas meredah lautan hingga ke Hokkaido, Kyushu dan Shikoku. Dani juga pernah digelar sebagai jelmaan Kurt Cobain kerana bakat semula jadi yang dimilikinya dalam penciptaan lagu, suara dan gaya persembahannya yang sentiasa bertenaga. Paling yang ditunggu oleh khalayak setiap kali persembahan pentas oleh The Plastic Tree pastinya petikan gitar solo Dani yang mengasyikkan dan ada elemen nusantara yang tebal.

Banyak juga anugerah telah dirangkul oleh The Plastic Tree sepanjang enam tahun berada dalam industri muzik Jepun. Tapi sayang, hasrat untuk membawa The Plastic Tree balik ke Malaysia dan menembusi pasaran antarabangsa tidak kesampaian selepas kematian Ayumi. Oleh sebab itulah juga The Plastic Tree terbubar.

Selepas The Plastic Tree terbubar, Hafifi mendirikan rumah tangga dan pulang ke tanah air. Begitu juga Kobayashi, pemain bass yang membawa haluan sebagai pemuzik undangan dan promoter gig di sekitar Tokyo. Dani pula, dengan dibantu oleh abang Ayumi dia menguruskan syarikat pengiklanan yang ditubuhkannya bersama Ayumi. Namun, perniagaan itu menuju kehancuran ekoran Dani yang kemurungan. Akhirnya, selepas setahun kematian Ayumi, dia membuat keputusan kembali ke Malaysia.

Satu hela nafas dilepaskannya. Kepalanya disandarkan pada kepala katil beralaskan bantal. Fikirannya sedikit demi sedikit terkenangkan saat-saat sebelum kejadian kemalangan itu berlaku.

Tokyo, 2014...

DANI berlari anak memanjat setiap mata tangga kediaman Ayumi di tingkat atas bangunan syarikat pengiklanan yang ditubuhkan mereka berdua. Jelas keriangan di raut wajahnya. Sudah lama dia mengimpikan peluang untuk berkongsi pentas dengan band muzik kegemarannya dari England. Dia sendiri tidak menyangka akan mendapat peluang keemasan itu. Mereka mendapat tawaran itu seminggu yang lalu. Seminggu itu juga mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh.

Selesai sahaja kerja-kerja memasukkan peralatan muzik ke dalam van Volkswagen kepunyaan Ayumi, Dani segera mendapatkan Ayumi yang meminta diri untuk tidur seketika selepas latihan terakhir lewat malam tadi. Mereka sepakat untuk bergerak pada awal pagi ke Osaka.

Pintu kayu diketuknya berulang kali dengan hati berbunga riang. Selepas menunggu seketika, Ayumi membuka pintu. Ayumi kelihatan pucat dan keletihan.

"Nona Manis okey?" Dani pantas menyedari akan hal itu. Sejak bergelar pasangan kekasih, mereka membahasakan diri masing-masing sebagai Nona Manis dan Sayang kerana Ayumi cukup gemar dua perkataan itu.

"Okey," balas Ayumi pendek. Suaranya jelas tidak bermaya.

"Tapi sayang lihat muka Nona Manis pucat. Betul Nona Manis tak apa-apa?"

Ayumi tidak memberi apa-apa respons. Dia sekadar melangkah ke arah sofa di ruang tamu dan perlahan-lahan merebahkan tubuhnya kembali di atas sofa itu. Rupa-rupanya, sejak pulang dari latihan tadi, dia tertidur di atas sofa itu.

Selepas menuntup pintu, Dani segera mendekati Ayumi. Tangannya menyentuh dahi Ayumi.

"Panasnya, Nona Manis demam," ujar Dani. Rasa cemas menyentak fikirannya.

"Sedikit sahaja," balas Ayumi pantas. Dia tidak mahu menimbulkan rasa gusar kepada Dani walaupun hakikatnya dia berasa sungguh lemah ketika itu. Dia tidak mahu mengecewakan impian Dani. Selama ini, Dani telah bekerja keras menaikkan nama The Plastic Tree demi mencari peluang untuk mengembangkan muzik mereka ke arus perdana dan ke persada antarabangsa. Jadi, peluang menjadi pembuka acara kepada band yang terkenal di peringkat antarabangsa itu adalah satu peluang keemasan. Dia juga sedar peluang sebegitu hanya datang sekali.

"Nona Manis okey. Nona Manis sudah makan ubat tadi, sekejap lagi demam ini hilang." Ayumi cuba meyakinkan Dani dengan suara yang sedikit payah untuk dikeluarkan.

"Nona Manis pasti?" Masih ada kegusaran dalam hati Dani. Hatinya juga rasa serba salah.

Ayumi hanya mengangguk bersama satu senyuman.

Melihat senyuman Ayumi, risau Dani sedikit reda. Senyuman yang selalu menenangkan hatinya selama ini.

"Okey, Nona Manis mahu minuman? Sayang boleh buatkan," tanya Dani lagi sambil jemarinya mengusap lembut rambut Ayumi.

Ayumi sekadar menggeleng. Matanya perlahan-lahan layu. Barangkali disebabkan kesan ubat yang dimakannya tadi. Melihat situasi itu, Dani bingkas bangun dari labuhan punggungnya dan menapak ke arah bilik tidur Ayumi. Selepas seketika, dia kembali semula ke ruang itu dengan membawa sehelai selimut. Segera diselimutkannya tubuh Ayumi demi memberi kehangatan kepada tubuh Ayumi supaya cepat berpeluh.

Dani juga menggunakan peluang itu untuk melelapkan mata buat seketika. Sambil bersandar pada kerusi, dia memejamkan matanya.

Sejam berlalu, kedengaran pintu utama diketuk berulang kali. Dani terjaga dari lena pendeknya. Dalam keadaan terpisat-pisat, dia bangun lalu menapak ke arah pintu utama itu.

Hafifi dan Kobayashi terjongol di muka pintu tatkala pintu dibukanya.

"Why, Ayumi?" soal Kobayashi selepas melihat Ayumi berselimut dan terbaring di atas sofa.

"Fever," balas Dani sambil menguap.

"Teruk ke?" soal Hafifi pula.

"Katanya tak teruk. Dia dah makan ubat tadi." Dani menjawab.

Kobayashi berlalu ke tandas. Hafifi melabuh punggung di atas sebuah lagi kerusi di ruang tamu itu.

"Kalau demam Ayumi melarat, macam mana?" Hafifi terus dengan soalan kebimbangannya. Dia pun seperti Dani cukup teruja bila mendapat tawaran bermain di sebuah konsert besar.

"Maksud hang?" soal Dani walaupun dia mengerti maksud soalan Hafifi itu.

"Maksud aku, kalau demam Ayumi melarat, kita nak terus ke Osaka juga ke?" Hafifi memberi lebih pengertian.

Dani terdiam sejenak. Soalan Hafifi itu mula merunsingkan kembali fikirannya. Kepalanya kemudian perlahan-lahan mengangguk. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang keemasan yang datang seumpama itu. Peluang yang tidak akan datang bergolek lagi.

"Boleh ke Ayumi bermain dalam keadaan macam ni?" Dalam fikiran Hafifi masih bersarang rasa gundah.

"Jangan risau, Ayumi okey. Dia pun cakap tadi, demam sikit saja."

"Kalau dia tak dapat main, macam mana?" Hafifi belum hilang rasa sangsinya.

Sekali lagi Dani terdiam sejenak. Soalan-soalan Hafifi mula menekannya.

"Kalau Ayumi tak boleh main, kita perform bertiga sahajalah. Peluang sebegini belum tentu akan datang lagi," balas Dani dengan suara yang sedikit keras. Hafifi sedikit terkedu tatkala mendengar kata-kata Dani itu.

Tiba-tiba Ayumi bangun dan berlari ke arah dapur. Kemudian kedengaran Kobayashi menjerit. Dani dan Hafifi segera mendapatkan mereka. Masing-masing menjadi cemas bila melihat Ayumi yang tertunduk di depan singki. Kobayashi pula dalam keadaan tercenggang sambil kedua-dua tangannya memegang dada. Kelihatan di dalam singki itu selambak muntah.

"Are you okay?" Dani segera menghampiri Ayumi. Ayumi cuma memberi respons dengan menganggukkan kepalanya. Tangannya lemah memulas pili paip. Air dingin kemudian menjirus muntahnya hingga tenggelam ke dasar singki. Dani segera memapah Ayumi dan membawanya masuk ke bilik tidur. Tubuh Ayumi kemudian dibaringkan ke atas katil.

Jemari Ayumi digenggamnya. Wajah pucat Ayumi direnungnya. Hatinya mula diserang rasa bersalah. Apakah dia telah bersikap mementingkan diri sendiri?

"Nona Manis mahu sayang batalkan perjalanan kita ke Osaka?" soal Dani perlahan dengan rasa yang cukup payah.

Ayumi sedikit tersentak.

"No! Kita teruskan." Ayumi membantah.

"Apa kata kita ke klinik," pujuk Dani. Jemari Ayumi digenggamnya lebih erat. Hatinya masih gundah.

"Pada waktu begini? Tak perlu, nanti kita akan terlewat tiba di Osaka. Nona Manis okey. Nona Manis sudah rasa semakin baik selepas muntah tadi." Sekali lagi Ayumi menegas. Di hujung kata-katanya itu terukir satu senyum di bibirnya.

"Nona Manis pasti?"

"Ya, pasti. Nona Manis cuma perlu sedikit rehat lagi. Selepas itu, semuanya akan okey. Sayang jangan bimbang, okey?" Ayumi memberi lebih keyakinan kepada Dani.

Mendengar jawapan daripada Ayumi itu, Dani kembali menarik nafas lega. Dia kemudian meninggalkan Ayumi berehat di bilik itu dan kembali semula ke ruang tamu.

"How about her?" soal Kobayashi setiba Dani di ruang tamu itu.

"She said she fine, just need more rest," balas Dani sebelum melabuh punggung di atas sofa.

"Maybe we will move a little bit late," tambah Dani lagi.

"Are you sure?" Kobayashi masih ragu-ragu. Masakan tidak ragu bila melihat Ayumi muntah sebegitu banyak di depan mata sendiri.

"Yes, she told me like that," jawab Dani.

Hafifi hanya membatukan diri. Dani tahu dia cukup bimbang dengan keadaan Ayumi itu.

OH, Nona Manis... Kalaulah sayang membatalkan sahaja perjalanan ke Osaka itu, pasti Nona Manis masih ada, keluh hati Dani dalam kesepian malam itu. Di bingkai matanya tak disedari bergenang air jernih.

Ayumi...

Hatinya tiba-tiba merasa teramat rindu. Perlahan-lahan dia memejamkan matanya, membiarkan sahaja air jernih mengalir dingin di dua belah lantai pipinya. Suara gelak tawa Ayumi seperti sayup-sayup dalam hatinya.

Nona Manis... Wajah Ayumi tersenyum sekilas terbayang di layar matanya.

Kenapa Nona Manis tinggalkan Sayang? rintih hatinya lagi.

Kenapa?

Kenapa?!

Hati kecilnya terus merintih sepi. Air jernih yang mengalir di pipinya bertambah deras. Dia menangis semahu-mahunya. Sendunya berlarutan hingga mata bengkaknya perlahan-lahan terkatup.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: