Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

LAMA dia bersandar pada sofa di ruang tamu itu untuk menghilangkan penat selepas mengharungi kesesakan lalu lintas kota Kuala Lumpur. Jam di dinding tika itu menunjukkan hampir pukul 7.00 petang. Fikirannya yang kosong perlahan-lahan melayang.

Ayumi...

Susuk tubuh gadis manis sederhana tinggi itu meliuk-liuk di dalam anak matanya. Senyum tidak lekang di bibirnya menampakkan jelas lekuk lesung pipit di pipi kirinya. Giginya yang melepak dan tersusun rapi menambahkan lagi keayuannya. Gadis itu terus melambai-lambai ke arah Dani sambil mengekek manja.

Perlahan-lahan satu senyum terukir di tubir bibirnya. Dia teringatkan detik perkenalannya dengan Ayumi.

Tokyo, 2008.

RUANG legar bilik seni Universiti Tsukuba itu tenang. Kelas kelolaan Sensei Nakamura itu berlangsung dengan perlahan. Seperlahan pergerakan dan pertuturannya. Lelaki di akhir usia itu tampak jelas kaya dengan pengetahuan dan pengalaman seninya. Gaya pemakaiannya, gaya penghayatannya malah segalanya menjelaskan bahawa beliau sememangnya seorang yang menghalusi seni. Rerambut putih di kepala serta di sekitar bibir dan dagunya mengingatkan Dani kepada Sasterawan Negara, A. Samad Said.

Dalam asyik melakar pada kertas lukisan, tak semena-mena mata Dani terpandang kepada sesusuk tubuh beberapa meter di hadapannya. Gadis Jepun itu tekun dengan lakarannya. Dani memerhatinya dengan pegun.

"Cantik, kan?" sapaan itu membuatkan Dani sedikit gelabah. Dhea Azlina, rakan senegara melirik senyum di sebelahnya. Rasa malu lantas menyirat di wajah Dani.

"Apa dia?" soal Dani buat-buat tak mengerti.

"Itu Ayumi," ujar Dhea. Dani masih cuba berlagak bersahaja walaupun hatinya kala itu teruja.

"Dhea kenal dia ke?" soal Dani tapi masih berlagak bersahaja.

Dhea hanya mengangguk dengan sekuntum senyum.

Mereka kemudian menyambung semula tugasan. Selepas hampir satu jam, semua pelajar siap dengan tugasan masing-masing. Sensei Nakamura kemudian meronda untuk melakukan penelitiannya. Tiba di sudut Dani, langkahnya terhenti. Jantung Dani berdegup kencang. Lama Sensei Nakamura merenung lakarannya dengan riak muka serius. Tokoh seni itu kemudian mengalih pandangan. Kali ini tepat ke muka Dani. Warna pucat pantas muncul di wajah Dani. Serentak Jantungnya berdegup lebih kencang.

Sensei Nakamura kemudian perlahan-lahan mengangkat ibu jarinya. Hati Dani lega bila mendapat pujian itu. Warna putih di wajahnya kembali berpelangi. Dia segera menunduk hormat. Sensei Nakamura kemudian berlalu. Dani menarik nafas panjang sambil mengurut dadanya. Sempat dia menjeling ke arah semua mata yang memandangnya.

Semua kemudian melempar senyum kepadanya termasuk Ayumi yang berada beberapa meter di hadapannya. Dirasakan senyuman itu paling manis pernah ditujukan kepadanya. Seperti direnjat arus elektrik, Dani pantas membalas senyum itu. Hatinya gembira bukan kepalang bila Ayumi sekali lagi membalas senyumannya. Dirasakan senyuman kedua Ayumi itu lebih manis daripada senyuman Julia Roberts dalam filem lama Pretty Woman yang pernah ditonton sewaktu di bangku sekolah rendah dahulu.

Lewat petang itu, Dani duduk bersendirian di satu sudut di kafeteria. Kelas seni kelolaan Sensei Nakamura adalah kelas terakhirnya pada hari itu. Dia menunggu Dhea di situ untuk pulang bersama-sama kerana rumah sewa mereka berdekatan. Dia terlebih dahulu keluar dari bilik seni itu kerana terlalu haus. Dhea ketika ditinggalkannya tadi masih ada sedikit tugasan yang perlu disiapkan.

Sementara menunggu Dhea, dia mengisi waktu terluang itu dengan mendengar lagu dari telefon bimbitnya. Matanya melilau ke sekeliling menjejak andainya ada pelajar Malaysia yang lain di kafeteria itu. Boleh juga dia berkenalan dan jadi teman bersembang. Sedang dia meninjau, akhirnya Dhea muncul.

Jantung Dani tiba-tiba berdegup kencang bila melihat Ayumi turut bersama Dhea datang menghampirinya. Mereka kemudian melabuh punggung di hadapan Dani.

"Assalamualaikum," ucap Dhea lembut, selembut wajahnya.

"Waalaikumussalam," balas Dani sambil menarik keluar earphone dari kedua-dua liang telinganya. Pipinya mula terasa tebal.

"Kenalkan Dani, Ayumi Takashi." Dhea memperkenalkan Ayumi kepada Dani.

"Dani," kata Dani sambil menghulurkan tangan kanannya.

"Apa khabar, Dani?" ungkap Ayumi ketika menyambut salam daripada Dani. Dani terlopong. Tidak disangkanya Ayumi boleh berbahasa Melayu. Tiada sedikit pun pelatnya.

"Khabar ba..."

Tiba-tiba deringan telefon mengejutkan dia dari lamunan sepinya itu. Dia terkebil-kebil seketika sambil anak matanya mencari-cari arah deringan itu. Sebuah Samsung Galaxy J1 dapat dijejakinya bergetar di atas meja televisyen kira-kira dua langkah dari labuhan punggungnya. Namun, sauh punggungnya terasa amat berat untuk diangkat. Deringan itu terhenti.

Sesaat kemudian berdering lagi. Dani masih dengan kemalasannya. Deringan itu masih tidak diendahkannya. Telefon tangan yang baru dua bulan digunakannya itu kembali menjerit. Walaupun mampu untuk memiliki telefon tangan yang lebih canggih dan terkini, sikap bersederhana telah sebati dalam dirinya. Akhirnya, deringan ketiga itu berjaya memujuk dia untuk bangun. Dengan langkah yang berat, dia mendapatkan telefon tangan itu.

"Helo..."

"Helo, aku kat bawah ni!" Sambut satu suara dalam talian sedikit tinggi. Barangkali geram selepas terpaksa menekan butang mendail berulang kali.

"Okey," balas Dani, hambar. Sebenarnya, tengah hari tadi dia sudah berjanji dengan rakan baiknya Hafifi untuk berjumpa malam itu. Hafifi akrab dengannya sejak sama-sama belajar di kota Tokyo lagi. Lebih-lebih lagi, mereka serumah pada waktu itu. Juga sama-sama menubuh sebuah kumpulan muzik Indie di sana. Hafifi yang berasal dari Kedah itu sudah seperti saudara kandungnya sendiri. Kini Hafifi bertugas di Telekom Malaysia sebagai sorang jurutera.

Dani masuk ke kamar tidurnya. Pakaian yang telah seharian suntuk membalut tubuhnya itu ditanggalkan. Kemudian, dia berlalu ke arah bilik air.

Usai mandi, dia mencapai sehelai jean paras lutut dari penyangkut di belakang pintu bilik lalu disarung ke pinggang. Kemudian, dipakainya sehelai kemeja T pendek Nike berwarna hijau yang kian lusuh warnanya.

Langkahnya segera diaturkan ke pintu utama setelah menyedari Hafifi telah lama menunggu. Namun, tiba di muka pintu langkah itu terhenti. Tubuhnya berpusing semula ke arah ruang tamu. Tangannya meraba-raba poket seluarnya mencari sesuatu. Anak matanya kemudian meninjau di sekitar ruang tamu itu sambil tangan kirinya mengaru-garu kepala yang tidak gatal.

Selepas menyedari apa yang dicari tiada di situ, dia beralih semula ke kamar tidur. Tak berapa lama, dia kembali semula ke ruang tamu. Tangannya terus menggaru kepala yang tidak gatal. Bola matanya liar ke kanan dan kiri.

Kunci rumah selalu menjadi satu benda yang susah hendak dijejakinya setiap kali ingin keluar rumah. Tabiat yang juga seakan sudah sebati dengan dirinya, mencampak kunci itu di mana-mana. Kepalanya yang tidak gatal digaru lagi entah kali yang ke berapa. Memorinya dikerah, memaksa mengingati mana-mana sudut yang mungkin menjadi tempat letak anak kunci itu.

Telefon tangannya berdering lagi.

"Hoi, cepatlah sikit! Mekap apa lebih-lebih?" Kedengaran leteran suara dalam telefon.

Namun, tiada jawapan balas daripada Dani. Matanya terus melilau. Memang selalu dia bersikap acuh tak acuh sahaja melayani rakannya itu. Kenal sangat dia dengan fiil Hafifi yang bermulut becok. Yang pasti nanti, telinganya akan menadah leteran sahabat yang digelarnya Doraemon itu. Mengapa dia menggelarkan Hafifi sebegitu? Kerana susuk tubuh Hafifi yang bulat persis watak kartun popular itu. Ditambah pula otaknya yang sentiasa bergeliga dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.

Seperti mendapat ilham, Dani mendeku dan menghantar anak matanya ke bawah sofa di ruang tamu itu. Ternyata anak kunci yang dicari ada. Anak kunci bergugus bersama kunci vespanya itu segera dicapai.

Dengan langkah panjang, dia melangkah semula ke muka pintu utama. Selepas mengunci pintu dan menyauk sepasang selipar, dia mengatur langkah menuju ke arah lif dengan langkah-langkah yang pantas kerana tidak mahu memanjangkan ayat-ayat leteran pekat loghat utara Hafifi.

Pintu lif terbuka perlahan-lahan. Di dalamnya ada dua anak gadis awal remaja. Dani masuk ke perut lif dan segera menekan butang menutup pintu lif. Serentak pintu lif tertutup, ilai kecil kedengaran di belakangnya. Namun, dia tidak sedikit pun mengendahkan dara-dara sunti itu.

Di parkir kereta, sebuah Toyota AE86 berwarna hitam dan putih telah menanti. Langkah Dani semakin pantas.

"Our time is runnig out... Our time is running out..." Hafifi berlagu sedikit sinis ketika Dani menjongol kepalanya ke dalam kereta sambil mengetuk-ngetuk jam tangannya. Ketika itu, lagu Time is Running Out dari band popular British, Muse sedang berkumandang dari pembesar radio keretanya itu. Namun, Dani yang sudah masak dengan Hafifi tidak mempedulikan sindiran itu. Dengan bersahaja dia melabuhkan punggungnya di sebelah Hafifi.

"Apa yang hang khayalkan?" Tersembur kata itu pula dari mulut Hafifi tatkala Dani menarik tali pinggang keledar untuk disilangkan ke badannya.

Dani berpaling ke arah Hafifi sambil mengangkat kedua-dua bahunya, tidak mengerti maksud rakannya itu.

"Aku tahulah hang tu pereka grafik merangkap perunding kreatif," rungut Hafifi lagi. Lirik sinisnya makin lebar.

"Apa?" soal Dani dengan satu riak bingung.

"Hang tengoklah, pakai baju pun boleh terbalik. Loklak betuilah hang ni," sindir Hafifi lagi dengan pekat loghat daerah kelahirannya.

Patutlah mereka gelak tadi. Hati kecil Dani seraya berbisik. Pantas dia membuka semula pin tali pinggang keledar yang menyilang di dadanya dan secara bersahaja dia menanggalkan kemeja T itu sebelum memakainya semula.

"Hisy, hang ni! Itu pasallah aku suruh hang kahwin cepat. Tengok aku, terurus zahir dan batin." Buah perli terus terbit dari mulut rakannya yang makin meluncai perut itu. Dani sekadar mampu mengukir senyum kelat.

"Susah betuilah nak jumpa hang ni. Nak buat hang keluar dari gua pertapaan hang tu bukan main susah, terpaksa buat janji temu. Dah buat janji temu pun, bukan main liat hang nak tunjuk muka. Hisy, tak tau apa nak jadi hang ni." Hafifi terus membebel. Dani buat dono sahaja.

"Jadi, apa perkara yang kau nak bincang dengan aku?" soal Dani terus kepada tujuan pertemuan itu sambil jarinya selamba menekan frekuensi 105.30 radio kereta rakannya itu. Ketika itu lagu Aku Tanya Apa Khabar dendangan Joe Flizzow dan SonaOne sedang ke udara.

"Aku khabar baik, aku khabar baik, aku khabar baik..." Hafifi melawak sambil ketawa sendirian.

"Hang tengok lagu macam ini pun, ulang lirik berkali-kali boleh jadi Juara Lagu," bebel Hafifi di hujung tawa sinisnya.

Dani tidak berminat untuk berbahas isu itu dengan Hafifi walaupun di Facebook hangat perkara itu dibahaskan suatu ketika dulu. Bagi Dani, siapalah dirinya untuk mengkritik hasil seni orang lain.

"Apa perkara yang hang nak bincang dengan aku?" tukas Dani sekali lagi.

"Kita santap dulu," balas Hafifi dengan senyuman sinis masih melekat di tubir bibirnya.

Patutlah perut macam mengandung anak kembar. Sempat juga gerutuan itu bertamu dalam hati Dani.

Perjalanan mereka lancar sekali. Tidak banyak kenderaan di atas jalan raya kala itu. Mereka akhirnya tiba di Uptown Seksyen 24. Tempat parkir juga mudah didapati. Barangkali disebabkan malam masih muda. Kebiasaannya kenderaan akan diparkir berlapis-lapis di bazar larut malam itu.

Selepas kereta diletak di ruang parkir, mereka menapak ke arah gerai-gerai makan. Hafifi memanjangkan lehernya meninjau gerai pilihan. Dani membuntuti sahaja. Akhirnya Hafifi memilih sebuah gerai yang hampir dengan layar gergasi. Pantas kedatangan mereka disedari pelayan gerai itu. Dua kerusi disorong kepada mereka berdua. Mereka tanpa banyak bicara melabuhkan punggung.

"Make gapo, abe?" Dengan loghat pekat sebuah negeri di Pantai Timur, pelayan itu segera bertanyakan pesanan.

"Mi goreng basoh so, sirap limau so. Kurang manis deh," ujar Hafifi dengan loghat ajuk sambil mengeluarkan satu set vape dari beg pinggangnya. Rokok elektronik itu diletakkan di atas meja. Tangannya kembali menyeluk beg pinggang. Bebarapa botol perisa rokok elektronik yang menjadi kegilaan muda-mudi masa kini itu kemudian dikeluarkan bersama sekotak aksesori.

"Abe minum gapo?" soal pelayan gerai lagi selepas seketika menanti Dani yang seperti terpaku melihat telatah Hafifi. Di kepalanya hadir rasa pelik, mengapa muda-mudi Malaysia kini sanggup berhabis wang ringgit untuk benda itu? Seolah-olah sudah menjadi gadget keperluan seumpama telefon bimbit.

"Errr... Teh O ais limau," balas Dani pantas.

"Make?" soal pelayan gerai lagi.

Dani hanya menggelengkan kepalanya.

"Eh, hang tak nak makan ke?" soal Hafifi.

Dani hanya mengangguk. Perutnya masih kenyang. Lewat petang tadi, sebelum pulang ke apartmennya, dia telah singgah di restoran OldTown yang terletak berdekatan dengan bangunan pejabatnya.

"Macam mana tak sekeping," ungkap Hafifi dengan tawa kecil. Dani sekadar mengukir senyum yang dibuat-buat.

"So..." cetus Dani kembali. Dia mahu kepastian segera tujuan pertemuan itu.

"So what! So what!" Hafifi yang gemar berjenaka itu menyanyikan bait-bait lirik yang pernah dipopularkan oleh kumpulan muzik Heavy Metal terkenal, Metallica dengan bergendang meja. Beberapa pasang mata di sekitar menjeling ke arah mereka.

"Okey, macam ni. Semalam aku ada lepak dengan Abang Ram. Hang kenal Abang Ram?" Satu kepulan asap dilepaskan ke udara. Bau perisa Mango Blackcurrant semerbak di ruang itu.

Satu kelebihan yang dapat Dani simpulkan mengapa vape menjadi kegilaan masa kini adalah kerana tiada lagi bau tembakau hangit dan tengik. Namun, dakwaan mengatakan menghisap vape lebih menjimatkan berbanding rokok biasa bagi Dani hanyalah satu mitos. Bagaimana boleh dikatakan jimat jikalau perlu berbelanja untuk membeli perisa dan aksesori lain setiap bulan? Satu senyuman sinis sekonyong-konyong mekar di bibirnya tanpa disedari.

"Hoi, yang hang tiba-tiba senyum sorang-sorang ni kenapa?" tegur Hafifi sambil menepuk meja. Walaupun tepukan itu tidak keras, cukup untuk menyedarkan Dani dari lamunannya.

"Errr... Apa hang cakap tadi?" soal Dani yang terkebil-kebil.

"Semalam aku ada lepak dengan Abang Ram. Hang kenal Abang Ram?" tukas Hafifi dengan wajah sedikit geram. Mungkin kerana disebabkan terpaksa mengulang ayatnya.

Dani kemudian perlahan-lahan mengganguk. Masakan dia tidak mengenali otai penubuh majalah Rock The World, sebuah majalah yang menukilkan artikel-artikel berkaitan muzik dan pemuzik rock dalam dan luar negara itu.

"Dia tanya aku pasal Pokok Plastik. Jadi, pasal itulah aku nak bincang dengan hang ni."

The Plastic Tree? Sekonyong-konyong tercetus kembali nama kumpulan muzik itu dalam benak Dani.

"Begini, dia tanya kita tak nak reunion semula ke? Katanya, ada pembaca majalah Rock The World bertanyakan pasal kita. Jadi, aku terfikirlah juga, mengapa tidak? Selepas sekian lama kita buat kemunculan semula." Menyedari Dani tidak memberi apa-apa reaksi, Hafifi kembali bersuara.

Dani masih terdiam. Semakin lama dia membiarkan rakannya itu menunggu reaksi daripadanya. Walaupun The Plastic Tree masih segar di ingatan dan banyak momen indahnya, dia serba salah kerana dia telah berjanji dengan dirinya sendiri tak akan bermain muzik lagi.

"Pasal Ayumi, dah tiba masa hang lupakan dia. Tak bagus untuk hang dan kita juga," ungkap Hafifi kembali selepas masih tiada respons daripada Dani.

Dani terus membisu. Pandangannya kosong ke arah layar gergasi yang ketika itu sedang menayangkan sebuah drama Melayu. Nasihat Hafifi itu mula menjadi bebanan yang sangat berat kepadanya.

"Aku fikir dia pun pasti tidak setuju dengan cara hidup hang sekarang. Hidup mesti diteruskan, bro. Hang kena fikirkan masa depan. Sampai bila hang nak hidup macam ni? Umur kita pun bukannya berkurang, sentiasa bertambah. Lupakanlah kisah-kisah semalam. Hang patut ucap sayonara pada dia. Biarkanlah dia tenang di sana." Hafifi terus menambah buah-buah nasihat. Berbeza sekali riak wajahnya kini. Jelas keseriusan di wajahnya itu.

Ayumi...

Sayup-sayup bergema di lubuk hati Dani. Fikirannya sekonyong-konyong menerawang, menyambung kembali ingatannya terhadap Ayumi yang terganggu oleh deringan telefon daripada Hafifi Maghrib tadi.

DIA tidak dapat melelapkan matanya. Ingatannya masih teringat kepada Ayumi yang diperkenalkan oleh Dhea tengah hari tadi. Senyumannya manis sekali. Lekuk lesung pipit di pipi kanannya menambahkan lagi keayuannya.

Malam terus menyimbah dakwat gelap pekat. Mata Dani masih degil untuk pejam. Pelbagai cara dilakukannya untuk cuba tidur. Selepas terlentang, dia mengiring. Selepas mengiring, dia meringkuk. Namun semuanya gagal membuatkan matanya pejam. Hafifi di bilik sebelah sudah sekian lama diulit mimpi indah. Dapat didengari oleh Dani dengkuran dari arah bilik itu. Dia tersenyum sendirian mengenangkan tabiat rakannya itu. Hampir setiap malam mencipta ritma dengkuran yang baru, tak ubah macam dalam cerita Pendekar Bujang Lapok.

Lantas dia bangun dan mengeluarkan sekeping kertas lukisan dari beg sandangnya. Tangannya mula melakar wajah Ayumi yang setiap detik bermain-main dalam benaknya itu. Sesekali dia merenung dinding, cuba mengingati bentuk dan raut wajah Ayumi setepat yang mungkin. Selepas dua jam, akhirnya dia terkulai dengan lakaran yang belum siap di atas dadanya.

Mentari mula menyinar di ufuk barat. Pagi itu seperti biasa Dani dan Dhea bersama-sama ke kuliah. Namun, penampilan Dani sedikit berbeza hari itu, berkaca mata hitam. Gayanya itu pantas mengundang soalan kepada Dhea, gadis sederhana tinggi yang berasal dari Tanjung Karang.

Dia cuba merenung wajah Dani untuk merungkai rasa ingin tahunya itu. Namun, Dani melarikan wajahnya. Reaksi daripada Dani itu menambahkan lagi kehairanan Dhea. Dani kemudian mengatur langkah panjang menuju ke kafeteria. Dhea yang bertambah bingung segera membuntutinya.

"Kenapa Dani pakai kaca mata hitam?" soal Dhea, tidak tertahan lagi rasa ingin tahunya ketika melabuh punggung di atas sebuah kerusi. Betul-betul menghadap Dani.

Dani menundukkan sedikit kepalanya.

"Errr... Tak ada apa-apa," jawab Dani tergagap-gagap.

"Mari Dhea tengok, Dani sakit mata, ya?" teka Dhea. Belum sempat Dani membalas, Dhea menarik kaca mata itu. Dhea kemudian ketawa kelucuan.

"Ini pasti tidur lewat malam tadi," ujar Dhea di hujung tawanya selepas melihat kelopak mata Dani biru dan sedikit bengkak.

Dani tersengih malu.

"Dani buat apa malam tadi?" soal Dhea lagi.

"Tak ada buat apa-apa," jawab Dani pantas.

"Masakan tak ada buat apa-apa sampai bengkak begitu," balas Dhea.

"Errr... Dani buat revision," dalih Dani selepas mendapat ilham itu.

"Hai, exam lambat lagi dah buat revision?" Dhea meragui.

"Tak salah, kan? Dani ni pelupa, itu pasal kena sentiasa buat revision." Dani terus cuba meyakinkan Dhea.

"Pelupa? Ya ke?" Dhea terus mengusik, seakan meragui kata-kata Dani itu.

"Betul, Dani ini pelupa orangnya. Kena banyak makan kunyit." Dani membalas bersama sengihan.

"Apa kena-mengena kunyit dengan pelupa?" Dhea mengerut dahinya.

"Menurut kajian saintis Jerman, kunyit boleh mengatasi masalah lupa," jelas Dani. Penjelasan Dani itu membuatkan Dhea mengekek tawa.

"Ada-ada sahajalah Dani ini," ungkap Dhea lagi, seperti masih meragui.

"Betul. Dani tak tipu. Dani pernah baca satu artikel dalam surat khabar." Dani terus cuba meyakinkan Dhea. Nyata apa yang dikatakannya itu adalah satu fakta yang benar.

"Hmmm, dah tahu kunyit boleh mengatasi masalah lupa, kenapa Dani tak makan kunyit banyak-banyak?" cetus Dhea kembali.

"Bukan tak nak makan, tapi takut gigi Dani jadi kuning. Kalau gigi Dani kuning, pasti Dhea lari jauh-jauh nanti."

Kali ini tawa Dhea berdekah-dekah. Sungguh tercuit dengan kata-kata Dani.

Dalam asyik mereka berbual, Ayumi muncul. Dani cepat-cepat memakai semula kaca mata hitamnya. Cukup untuk membuatkan Ayumi mengerut dahinya. Dia segera bertanya kepada Dhea dengan bahasa tubuhnya.

Dhea menjelaskan dengan membuat isyarat jari ke matanya sambil tersenyum.

"Kasihan, tak pergi klinik?" tanya Ayumi.

"Errr... Sikit sahaja, rasanya tak perlu pergi klinik kut," kata Dani. Dia masih cuba menyembunyikan rasa malunya.

"Awak pasti?" soal Ayumi lagi, cukup fasih bahasa Melayunya.

Sebenarnya Ayumi pernah ke Malaysia beberapa tahun lalu ketika mengikuti program pertukaran pelajar dan menjadi anak angkat kepada seorang pengusaha rumah tumpangan di Pulau Pangkor. Kesempatan itu, dia mempelajari bahasa Melayu. Berkat ketekunannya, dia dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa beberapa bulan sahaja.

"Ya, pasti," jawab Dani pantas. Dhea di sebelahnya tersenyum sumbing.

"Ambil ini." Ayumi menghulurkan sesuatu seakan ubat sakit mata yang dikeluarkan dari beg galasnya. Mulanya Dani segan untuk menerimanya, namun Dhea mendorongnya.

"Arigato," ucap Dani ketika menyambut huluran Ayumi.

Ayumi hanya mengukir senyum.

Manis. Sempat juga terbisik kata nakal itu dalam hati kecil Dani.

Mereka bertiga kemudian beriringan masuk ke dewan kuliah. Selepas kuliah multimedia, mereka masuk ke bengkel seni lukis pula untuk mengikuti sambungan pelajaran semalam oleh Sensei Nakamura.

Dani mengeluarkan kertas lukisannya dan tak semena-mena lakaran potret Ayumi turut terselit dalam susunan kertas-kertas lukisan yang lain. Dani segera menindan kertas itu di bawah kertas lakaran yang sedang diikutinya itu. Sesekali, dalam diam-diam dia mencuri pandang ke arah Ayumi. Kemudian tangannya mencuri-curi melakar potret gadis itu.

Selesai sesi bengkel itu, Dani mengajak Dhea ke kafeteria untuk makan tengah hari. Dhea bersetuju. Mereka beriringan ke arah kafeteria.

"Dhea!"

Tiba-tiba dari arah lobi kelihatan seorang pemuda memanggil sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah mereka berdua.

"Alamak, sorry Dani. Dhea lupa nak beritahu Dani, Dhea nak jumpa seseorang hari ini. Dani pergi dululah, ya? Nanti, tak perlu tunggu Dhea. Mungkin Dhea balik ke rumah sewa lewat sikit," beritahu Dhea dengan nada sedikit kesal.

Dani menuruti saja kata Dhea walaupun dalam hatinya tertanya-tanya juga siapakah gerangan pemuda yang memanggil Dhea itu. Namun, fikiran itu cepat terpadam bila matanya terpandang Ayumi di hadapannya. Pantas dia berlari ke arah gadis itu.

"Ayumi!" laung Dani.

Ayumi berhenti dan seraya berpaling kepada Dani yang berlari anak ke arahnya. Satu senyum diukirnya. Manis seperti selalunya.

"Dani, kenapa?" soal Ayumi ketika Dani mendekatinya.

"Saya mahu pulangkan semula ini kepada awak," balas Dani sambil menghulurkan ubat sakit mata yang diberi oleh Ayumi pagi tadi.

"Mata awak sudah elok?" soal Ayumi lagi. Lenggok bahasa Melayunya seperti seorang penutur Melayu tulen. Gaya tuturannya tak ubah seperti tokoh budayawan Allahyarhamah Azah Aziz. Kelebihannya itulah yang membuatkan Dani makin terdorong untuk mendekatinya.

"Ya, beransur baik. Terima kasih kerana memberi ubat itu kepada saya," ucap Dani, mula terikut-ikut dengan lenggok gaya bahasa buku Ayumi.

Ayumi sekali lagi mengutum senyum. Kali ini, lebih manis. Makin tertawan Dani dibuatnya. Dani tersenyum sendirian seperti orang kena pukau.

"Dani, kenapa senyum sebegitu?" ucap Ayumi selepas menyedari kelainan Dani itu.

"Errr... Tak ada apa-apa. Ayumi mahu ke mana ni?" Cepat-cepat Dani menutup rasa malunya.

"Kafe," balas Ayumi ringkas.

"Kebetulan, saya pun mahu ke sana. Boleh saya belanja Ayumi?" ujar Dani. Niatnya untuk membalas budi.

"Awak pasti untuk itu?" Soal Ayumi pula. Hatinya terkesan dengan kos hidup seorang pelajar asing di tanah airnya itu.

"Ya," balas Dani pantas.

"Okey." Ayumi bersetuju.

Dani tersenyum riang.

"HOI! Dah masuk telenovela mana pulak hang ni? Apa benda hang angankan? Sampaikan senyum sorang-sorang macam kerang busuk," jerkah Hafifi.

Dani tersentak. Riak malu seraya timbul di mukanya. Dengan lagak bersahaja, dia segera menyedut teh O ais limaunya yang makin tawar, cuba mengendurkan rasa malunya itu. Hafifi mula mengekek tawa melihat telatahnya. Senang juga hatinya melihat Dani senyum sebegitu kerana sudah lama dia tidak melihat senyuman menguntum di tubir bibir Dani.

"Jadi?" cetus Hafifi. Riak wajahnya seperti sudah tidak sabar menanti persetujuan daripada Dani.

"What?" Dani tidak mengerti. Mungkin kerana konsentrasinya telah diganggu oleh kenangan lama tadi.

"Yang kita bincang tadi." Hafifi memberi pengertian.

"Entahlah... Beri aku masa untuk fikirkannya dulu." Dani membalas dengan riak wajah yang sedikit payah.

Mereka terus berbual di situ. Isi bualannya adalah tentang muzik dan kenangan sewaktu bersama The Plastic Tree dahulu. Band mereka itu cukup gah di persada muzik Indie Jepun. Boleh dikatakan saban minggu mereka beraksi di atas pentas. Malah band mereka itu juga mempunyai kelompok peminat setia sendiri. Di mana-mana sahaja mereka membuat persembahan, pasti ada sokongan daripada kelompok itu. Gabungan dua anak muda dari Malaysia dan dua anak muda dari Jepun nyata ada tarikannya. Dani selaku gitaris dan vokalis. Hafifi pula di posisi dram. Manakala Ayumi memikul tanggungjawab sebagai pemain keyboard dan vokalis kedua di samping Kobayashi yang yang terkenal dengan aksi gila-gilanya di posisi pemain gitar bass. Nyata juga antara mereka ada kimia yang serasi.

Menjelang tengah malam, Hafifi menghantar semula Dani ke apartmennya.

"Bro, aku harap hang cepat-cepat buat keputusan, sebab aku dah tak sabar nak kembali ke pentas semula bersama hang," ungkap Hafifi sebelum Dani mengangkat sauh labuhan punggung daripada kerusi penumpang di sebelahnya.

"Aku fikirkan dulu, bro." Dani menutup perbualan dan perjumpaan malam itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: