Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

SEMENJAK rapat dengan June, Dani mula melupakan Ayumi. Bayang-bayang Ayumi juga seakan-akan merajuk dengannya. Rasa bahagia mula menyelinap kembali ke kamar hatinya. Bunga-bunga cinta juga mula berkembang mekar laksana disapa mentari pagi. Udara cinta yang nyaman juga kembali dihelanya.

Seperti belangkas, Dani dan June seakan-akan susah untuk dipisahkah. Setiap waktu terluang pasti diisinya bersama. Jika tidak menonton wayang, mereka keluar bersiar-siar di sekitar ibu kota tidak kira siang atau malam.

Hari minggu menjadi hari yang paling dinantikan mereka. Setiap destinasi percutian dan rekreasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dikunjungi mereka pada hari-hari itu. Beberapa kali juga mereka keluar menonton konsert atau gig-gig kecil yang diadakan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Dani tersenyum sendirian. Detik-detik bersama June beberapa minggu lalu baru diimbaunya. Dia membelek diarinya helai demi helai. Kuntuman senyum terus mekar di bibirnya.

Terima kasih June, bisik hati kecilnya sambil tangannya mula memandu sebatang pena.

Kau telah memberi aku pelangi indah. Seperti rupanya, kau mewarnai hidupku dengan tujuh lapis rasa bahagia. Suatu ketika, aku hampir luput dari dunia ini. Semangatku luntur. Warna hidupku pudar. Aku seperti kehilangan segalanya. Kini jiwaku kembali segar. Semangatku kembali bugar. Gelora perasaanku kembali tenang. Emosiku juga kembali waras. Bukan kecantikan yang aku dambakan dari seorang perempuan. Bukan juga materialistik yang aku tagihkan. Hanya rasa tulus cinta yang aku dahagakan. Belaian kasih sayang paling aku impikan. Supaya aku terus gagah untuk berdiri, melangkah dan berlari di dunia fana ini. June, aku pernah merasai nikmat cinta suatu ketika dulu. Cinta yang menjadikan aku seagung watak tulisan Shakespeare. Sehingga kini aku dapat merasai getaran dan kehangatannya. Moga kau dapat memberi aku getaran dan kehangatan itu lagi...

Dani sekali lagi mengukir senyum sebelum menutup mata penanya. Buku diari itu diletakkan semula ke atas rak meja tulisnya itu. Perlahan-lahan dia bangun dan menyorong kerusi ke bawah meja dan melangkah keluar dari bilik ketiga yang dijadikan ruang pejabat kecilnya. Kemudian, dia melangkah menuju ke arah balkoni. Angin dingin malam datang menyapanya. Dia memeluk tubuhnya dan tubuhnya itu mula terasa sedikit hangat. Anak matanya dilemparkan ke persekitaran. Sesekali dia menarik nafas panjang. Malam yang semakin larut itu memberinya sedikit ketenangan.

Beberapa ketika di balkoni itu, dia kembali semula ke ruang tamu. Pintu gelangsar dan langsir ditariknya menutup pandangan luar yang telah sekian lama disimbah dakwat hitam pekat.

Langkah kakinya menuju ke arah akuarium di ruang tamu apartmennya itu. Jarinya mengetuk dinding kaca itu beberapa kali sambil memanggil nama panggilan ikan peliharaan kesayangannya. Seekor kelisa emas hadiah daripada Miss Janet kemudian datang bermesra dengannya di tepi dinding kaca itu. Masih segar dalam ingatannya kata-kata Miss Janet betapa spesies ikan itu akan membawa tuah jika dipelihara di dalam rumah.

Dani senyum sendirian. Baginya, Miss Janet terlalu percayakan feng shui. Setelah beberapa ketika bermesra dengan ikan peliharaannya itu, Dani menutup suis lampu di ruang tamu itu dan melangkah ke kamar tidurnya. Lampu meja dipasangnya. Cahaya malap kemudian terpancar ke setiap inci ruang tidur itu. Dani perlahan-lahan merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Ingatannya tidak lepas kepada sesusuk tubuh yang kini menghujani kemarau hatinya. Setiap yang menghiasi wajah June itu dapat diingatinya. Juga keletahnya. Senyumannya. Gelak tawanya. Semuanya kini menghakis kesedihan yang membelenggu selama ini. Lama juga dia di alam khayal itu. Beberapa minit kemudian, kelopak matanya perlahan-lahan memberat.

"Selamat malam, June..." Terbisik ungkapan itu dari mulutnya sebelum jarinya menekan suis lampu. Dalam pekatan malam, dia tersenyum sendirian.

"Selamat malam, Dani..." ucap June dengan senyum melirik di dua tubir bibirnya. Hatinya cukup riang mengenangkan apa yang dilafaz Dani tempoh hari. Lafaz ucapan itu kini sentiasa mengekori setiap hela nafasnya.

Selimut tebal yang membungkus tubuhnya dileraikan dari tubuhnya selepas hilang rasa dingin walaupun suhu ruang bilik itu menurun kepada 16 darjah Celcius ketika itu. Seolah-olah kehangatan cinta telah membarakan ruang bilik hotel itu. Baringannya di atas tilam empuk berubah posisi. Dari mengiring berubah menelentang. Tangan kanannya menyilang di atas dahi. Senyuman mekar di tubir bibirnya.

Lirikan senyum itu sekonyong-konyong terhenti, tatkala telinganya menangkap bunyi dehem dan pintu dibuka dari arah bilik air. Pantas dia menarik semula selimut membungkus tubuhnya dan kembali mengiringkan tubuhnya. Kemudian, dia berpura-pura memejam kejap matanya. Beberapa saat kemudian, dapat dirasakan seseorang merebahkan tubuh di sebelahnya sebelum tubuhnya itu dipeluk.

DAKWAT gelap kian pudar. Waktu pantas berdetik merangkak ke hening pagi. Hari baru muncul lagi. Jam loceng dari telefon bimbit di atas meja di sisi katil tiba-tiba menjerit lantang. Dani perlahan-lahan membuka matanya. Rebahan tubuhnya perlahan-lahan juga dibangkitkan. Sambil menguap panjang dia mencapai telefon bimbit itu. Jeritannya tidak kedengaran lagi selepas itu. Dani merasakan waktu cepat berlalu. Belum pun sempat mimpi indahnya ke penghujung, dia harus bangkit untuk menjalani rutin biasanya. Walaupun penat tubuhnya masih degil, dia memaksa juga tubuhnya itu untuk bangun.

Dengan langkah malas, dia menuju ke bilik air. Beberapa ketika, dia menjirus tubuhnya dengan air dingin pagi. Selesai, dia kembali semula ke bilik tidur. Sehelai kemeja lengang panjang segera disarungkan ke badannya. Diikuti sehelai seluar slek hitam pekat. Hari ini dia harus kelihatan lebih kemas kerana perlu menghadiri satu mesyuarat di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya bersama Miss Janet.

Setelah melilit tali leher ke lehernya, dia masuk ke ruang dapur. Kali ini tiada lagi tali leher biru jalur-jalur biji kundang kerana dia kini sudah mempunyai June sebagai perunding imej. Suis pembancuh kopi dibukanya. Seterusnya, dua keping roti Gardenia dilesetkan jem perisa anggur kegemarannya. Selepas beberapa minit, suis pembancuh kopi ditutupnya semula. Kopi pekat yang terisi dalam teko kaca itu dituangkan ke dalam sebiji cawan seramik. Dengan mulutnya menggigit sekeping roti, dia membawa cawan seramik yang berisi kopi pekat itu ke meja ruang tamu.

Mentari mula memancarkan cahayanya ketika Vespa Dani masuk ke laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan. Selepas menempuh kabus pagi dan jalan yang sesak dengan kenderaan, dia akhirnya tiba di pejabatnya. Ketika melangkah melewati pintu utama pejabatnya itu, Miss Janet telah menunggu di atas sofa di hadapan meja penyambut tetamu.

"Good morning," sapa Miss Janet.

"Morning," balas Dani sambil menjeling jam tangannya.

"Jangan bimbang, jam Dani betul, saya yang datang terlalu awal," kata Miss Janet sambil tersenyum.

Dani turut tersenyum. Perlahan-lahan dia menarik nafas lega. Takut juga dia kalau-kalau dia yang terlewat dan membuat Miss Janet ternanti-nantikannya.

"So, are you ready?" soal Miss Janet.

Dani pantas mengangguk kepalanya.

Selepas meletakkan topi keledar di atas meja di ruang pejabatnya, Dani mengekori Miss Janet ke keretanya. Mereka terus menuju ke arah Putrajaya melalui Lebuhraya Elite. Perjalanan mereka lancar tanpa sebarang gangguan kesesakan lalu lintas. Setengah jam kemudian, mereka tiba di destinasi yang dituju itu.

Dani membuntuti Miss Janet masuk ke ruang bangunan yang menempatkan pejabat Kementerian Belia dan Sukan itu. Yellow House sebenarnya berjaya mendapatkan tender untuk mengiklankan satu program sukarelawan muda yang dianjurkan oleh kementerian itu. Tujuan mesyuarat itu pula adalah untuk menerangkan butiran dan konsep iklan yang bakal ditayang di saluran televisyen kebangsaan.

Perjalanan mesyuarat itu berjalan lancar. Setelah beberapa jam di pusat pentadbiran negara itu, mereka kembali semula ke Yellow House. Tiba di Yellow House, Dani mendapati satu memo ditinggalkan di atas mejanya. Dia segera membaca memo tulisan tangan itu. Lantas dia mendail telefon bimbitnya.

"Hello, sorry saya matikan telefon tadi. Meeting dengan klien dekat Putrajaya. Lama ke tunggu tadi?" ucap Dani selepas June mengangkat telefon.

"Lama juga," balas June. Daripada nadanya ada sedikit kehampaan.

"Ya ke? Dani minta maaf June. Dani lupa nak beritahu June Dani meeting hari ini," ucap Dani dengan suara yang kesal.

"Tak mengapa. Malam nanti June jemput Dani, okey?" ungkap June.

"Okey, jumpa malam nanti." Dani menyatakan persetujuan sebelum meletak telefon. Dia mengukir senyuman lega. Mujur June seorang yang boleh bertolak ansur. Memang dia silap membuat janji dengan June untuk keluar makan tengah hari bersama. Dia betul-betul terlupa bahawa dia ada pertemuan dengan pelanggan dalam masa yang sama.

Dani membuka diari kerjanya. Selepas menanggalkan tali leher, dia menyingsing lengan kemejanya ke paras siku. Kemudian suis komputer di hadapannya dibuka. Sementara menunggu komputer itu sedang loading, dia mengeluarkan sekeping kertas A3 dari beg sandangnya. Tangannya mula melakarkan konsep iklan seperti butiran yang tercatat dalam diari kerjanya. Lakaran itu kemudian digrafikkan ke dalam perisian komputer. Tugasan itu dilaksanakannya dengan tekun sehingga melewati tamat waktu kerjanya.

SETIBA di apartmennya lewat petang itu, hujan turun dengan lebat. Mujur dia sempat sampai. Jika tidak, pasti dia kebasahan. Dia bersandar pada sofa, menghilangkan penatnya.

Selepas rasa penatnya kendur, dia masuk ke bilik tidurnya. Tangannya mencapai tuala. Setelah menanggalkan kemeja dan seluar, dia masuk ke bilik air. Selesai mandi, dia kembali semula ke bilik tidurnya. Tika itu waktu menghampiri pukul tujuh setengah malam.

Tika melewati pintu biliknya, dia melihat skrin telefon bimbitnya bercahaya. Lantas dia mengambil telefon itu. Satu pesanan WhatsApp diterimanya daripada June memaklumkan dia dalam perjalanan ke apartmen Dani. Selepas mengelap rambutnya, dia menyarung kain pelikat dan sehelai T-shirt yang diambil dari almari baju. Solat maghrib segera dikerjakannya setelah menyedari waktu kian ke penghujung. Usai solat, dia segera menukar kain pelikatnya dengan sehelai seluar jean.

Lima belas minit kemudian, June sekali lagi menghantar pesanan WhatsApp kepada Dani. Kali ini dia memaklumkan bahawa dia telah sampai dan menunggu di bawah. Dani segera melangkah ke muka pintu apartmennya itu. Selepas menyarung sepatu New Balance hitamnya dan mengunci pintu, dia melangkah panjang mendapatkan June.

KERETA yang dipandu oleh June meluncur laju ke arah Putrajaya. Malam ini, satu persembahan pertunjukan bunga api berlangsung. Setelah menempuh perjalanan yang sesak, mereka akhirnya tiba di pekarangan Tasik Putrajaya, di mana tempat persembahan itu akan dilangsungkan. Mereka segera mencari sudut pandangan yang sesuai. Ratusan manusia mula memenuhi sekitar tasik buatan itu. Mereka bersila di atas lantai rumput di tepi tasik. Persembahan akan bermula sedikit masa lagi.

"Di Jepun dulu, pasti Dani selalu melihat pertunjukan bunga api, kan?" soal June dengan lembut.

"Setiap kali tahun baru," jawab Dani. Memorinya mula menggamit kenangan indah itu.

"Mesti cantik, kan?" ungkap June lagi.

"Yup, penuh warna-warni," balas Dani selepas menganggukkan kepalanya. Anak matanya merenung jauh ke tengah tasik.

"June maksudkan... Ayumi. Tentu orangnya cantik."

Kata-kata June itu membuatkan Dani terdiam seketika. Dirasakan sudah lama nama itu tidak dikenangnya. June cuba merenung ke dalam matanya. Namun, dia segera melarikan anak matanya itu.

"Boleh June tahu tentang diri Ayumi?" June bersuara lagi.

Dani masih membisu.

"She must be a special," June membuat telahan setelah gagal mendapat sebarang reaksi daripada Dani.

"Sangat istimewa..." Dani tiba-tiba bersuara, namun perlahan saja. Dia mengambil nafas seketika.

"Terlalu sempurna. Segala tentang dirinya, sempurna. Dani sentiasa cari peluang untuk bersamanya. Setiap waktu bersamanya sangat indah dan bermakna. Belajar bersama, cipta lagu bersama, bersiar-siar bersama. Pendek kata, segala benda dilalui bersama. Dia bukan saja beri Dani inspirasi, tapi juga seperti memberi tenaga kepada Dani untuk hidup. Untuk memilikinya, Dani terpaksa menghampakan hati seorang lagi gadis." Separuh sedar Dani meluahkan isi dalam hatinya. Anak matanya terus merenung ke tengah tasik, seolah-seolah segala apa yang disebutnya itu tertayang di lantai air tasik itu.

"Seorang lagi gadis?"

Dani sekadar mengangguk perlahan. Seolah-olah masih bersarang rasa kesal dalam hatinya.

"Siapa dia?" June terus mengcungkil.

Satu nafas dihela lagi oleh Dani. Nafas itu kemudian dirasanya sedikit payah untuk dilepaskan.

"Selain Ayumi, ada seorang lagi gadis yang rapat dengan Dani. Entahlah, Dani pun tidak tahu di mana dia berada sekarang," keluh Dani sepi. Seketika dia kaget kerana baru tersedar dia telah bercerita tentang kisah lampaunya itu.

"Boleh June tahu, apa yang Ayumi sukakan tentang Dani?" soal June lagi. Riak wajahnya jelas penuh minat.

Namun dia hampa, tiada reaksi daripada Dani.

"Dani..."

"Ya..."

"Boleh June tahu apa yang Ayumi sukakan tentang Dani?" June mengulang semula soalannya.

"Entahlah..." keluh Dani.

June masih tidak puas hati dan tidak berputus asa. Dengan bahasa tubuhnya dia mahu penjelasan yang lebih jelas daripada Dani.

"Dia tak pernah cakap tentang itu. Dani pun tak pernah tanya. Tapi bagi Dani, semua itu tak penting. Jika kita menyukai seseorang itu, sukailah dia seadanya," ulas Dani tulus.

"Selain muzik, apa lagi yang Dani suka lakukan jika ada masa terluang?" soal June lagi. Perihal Dani mahu dikajinya.

"Eh, mengapa tiba-tiba saja June tanya pasal Dani ni? Macam penyiasat persendirian pula. Ada sesiapa yang mengupah June menyiasat Dani ke?" soal Dani dengan niat melucu. Dalam hatinya, ada juga rasa hairan.

"Memang cita-cita June dulu nak jadi PI, tapi tak cukup tangkas." June berjenaka. Mereka ketawa kelucuan.

"Hmmm, sebenarnya June mahu tahu segala-galanya tentang diri Dani. Sebab June juga mahu jadi sebahagian daripada hidup Dani. June akan cuba sebaik-baiknya." June berterus terang.

Dani jadi terharu apabila mendengar kesungguhan June itu.

"Hmmm... Dulu, Dani suka sukan bola sepak. Waktu sekolah dulu, hampir-hampir menjadi pemain negeri kelahiran. Tapi tak kesampaian kerana kaki Dani tercedera akibat kemalangan basikal sewaktu menyertai satu pertandingan basikal gunung. Jadi, Dani tumpukan pada pelajaran sahaja selepas itu." Dani menjelas sambil mengimbau sewaktu di alam persekolahan dulu.

"Ya ke? Ada pasukan favourite?" June terus dengan wajah berminatnya.

"Liverpool," balas Dani pantas.

"Pasukan di Malaysia?" June terus dengan soalan.

"Sudah pastinya pasukan negeri kelahiran saya, Terengganu dan pasukan negara walaupun pasukan bola sepak kita tak berapa bagus di peringkat antarabangsa," jawab Dani sambil tersenyum.

June turut tersenyum, seperti puas mendengar setiap penjelasan Dani itu.

"Bagaimana pula dengan June?" soal Dani pula.

"Maksud Dani?" June buat-buat kurang mengerti.

"Dani juga mahu tahu segalanya tentang diri June," balas Dani.

June tidak terus menjawab. Di wajahnya menunjukkan riak-riak malu. Dani terus mendorong dengan memandang tepat ke wajahnya.

"Hmmm... Apa ya? Okey, June suka baca majalah dan novel, terutamanya novel cinta. June juga suka fotografi. Dulu June ingat nak jadi jurugambar, tapi dapat course lain dekat kolej. June suka menconteng tapi tak pandai melukis. Shopping, travel, ice-cream, fashion, kucing dan... Apa lagi, ya? Hah, makan! Tapi terus-terang June cakap, June tak pandai masak. Sukan pula, June suka tenis. I love Maria Sharapova so much. She is very stylist, but so sad she was banned. Hmmm... June fikir itulah semua tentang diri June," jelas June tentang perihal dirinya dengan riak-riak malu masih terlukis di wajahnya. Tercuit juga hati Dani tatkala melihat sikap malu-malunya itu.

"Kenapa ketawa?" June jadi sedikit hairan.

"Dani terhibur dengan June," balas Dani.

Mendengat jawapan Dani itu, June melirik senyum panjang, menunjukan wajah gembira dan bahagianya.

Selang beberapa minit selepas itu, rasa gembira dan bahagianya itu makin bertambah tatkala letusan pertama bunga api meletus di udara. Percikan warna-warni yang menghiasi dada langit. Dia menjerit riang. Cahaya api warna-warni itu juga menghadirkan sorakan daripada semua pengunjung di sekitar tasik itu. Dani sekadar memandang dengan senyum.

Letusan demi letusan kemudian menerangi angkasa raya Putrajaya malam itu. Warna-warninya sungguh mengasyikkan dan memukau pandangan semua mata. June tak henti-henti menangkap gambar menggunakan Kamera Nikonnya. Dani juga sempat mengabadikan suasana indah itu dengan menangkap gambar menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Selepas dua jam berlalu, mereka pulang semula ke Shah Alam. Tiba di Shah Alam waktu telah menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Walaupun hari sudah lewat, June mengajak Dani singgah di Uptown Seksyen 24 dengan memberi alasan mereka belum mengisi perut malam itu. Sebenarnya, June masih belum puas mengisi waktu dengan Dani.

Selesai mengisi perut, June menarik tangan Dani meninjau gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan di situ. Mahu tak mahu Dani menurutinya sahaja walaupun matanya sudah mengantuk ketika itu. Setelah itu, baru June menghantar Dani pulang ke apartmennya. Jelas terpancar di wajah June, rasa bahagia dan gembira malam itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: