Bab 13
AWAL pagi lagi Dani sudah bangun. Pulang dari Janda Baik, dia hanya tidur beberapa jam saja. Rasa mengantuk masih tebal. Jalur-jalur runggau jelas di wajahnya. Rasa malas juga seakan meraja diri. Oleh kerana sudah berjanji dengan June, dia tabahkan diri untuk bangun dan membilas diri di dalam bilik air. Kala itu, jam menunjukkan tepat 7.00 pagi.
Selepas siap berpakaian, dia berlegar-legar di bawah apartmennya itu. Sesekali dia menjeling jam tangannya. Dia mula resah dan bosan menunggu sebegitu. Menunggu bagaikan satu penyeksaan. Dia bangun dan menuju ke peti suratnya. Sudah beberapa hari dia tidak menjenguk peti surat itu. Kunci peti surat lantas dibukanya. Namun tiada satu surat yang kelihatan. Peti itu hanya terisi beberapa katalog pasar raya dan beberapa keping kad nombor telefon peminjam wang haram.
Setelah sekian lama menunggu, bayang June akhirnya muncul. Dani segera melangkah ke kereta June. Pantas dia membuka pintu kereta dan melabuhkan punggung di sebelah June. June menyambutnya dengan lirikan senyum.
"Dah lama Dani tunggu June?" soal June lembut. Senyumannya makin lebar bila melihat Dani memakai jaket hadiah daripadanya tempoh hari.
"Baru saja," balas Dani walaupun sebenarnya sudah setengah jam dia menunggu.
"Ya ke? Ingatkan June dah buat Dani menunggu lama. June teman kawan sekejap tadi ke Hentian Bas Sementara Shah Alam. Kawan hendak balik ke Ipoh," ujar June.
Dani hanya mengukir senyum pendek.
Tanpa melengahkan masa, mereka memulakan perjalanan ke Genting Highlands. Honda CR-Z putih mutiara itu meluncur lancar menyusuri jalan raya. Jalan raya juga sedikit lengang pagi itu. Tidak banyak kenderaan di jalanan. Mungkin warga kota belum keluar ke mana-mana. Selepas kira-kira empat puluh lima minit menyusuri jalan yang berbukit dan bengkang-bengkok, mereka akhirnya tiba di puncak Genting Highlands.
"Dani pernah datang ke sini?" soal June lembut.
"Pernah, tapi dah lama. Kali terakhir, waktu sekolah menengah dulu," jawab Dani.
"Cantik, kan?" ungkap June lagi sambil menghantar anak matanya ke sekitar. Udara dingin mula terasa menyerap ke tubuh.
Dani di sisinya hanya mengangguk sambil menggosok-gosok tangannya yang mula kedinginan. Jaketnya segera dizip ke paras leher. Lantas June menggenggam tangannya itu. Tangannya kemudian mula terasa sedikit hangat.
"Kat Jepun, tentu lagi sejuk, kan?" ungkap June ketika mereka beriringan menuju ke arah pintu masuk.
Dani sekali lagi mengangguk.
Mereka kemudian berlegar-legar seketika di ruang lapang itu. Batang tubuh pengunjung mula memenuhi ruang itu. Suara riuh anak-anak kecil yang keriangan juga mula kedengaran. Ada yang berlari ke sana sini, seakan-akan tidak sabar lagi merasai setiap permainan yang tersedia di pusat peranginan yang digelar kota keriangan itu.
Dani dan June melabuhkan punggung di atas sebuah bangku yang tersedia di tidak jauh dari kaunter tiket sementara menunggu kaunter tiket dibuka. Kala itu jam menunjukkan pukul 8.25 pagi. Lebih kurang setengah jam lagi akan dibuka kepada semua pengunjung.
June masih tidak lepas pandang pada brosur yang diambilnya di kaunter sebentar tadi. Jelas tergambar keterujaan di wajahnya. Flying Dragon, Spinner, Roller-Coaster Corkscrew, Pirate Ship dan Space Shot seakan-akan melambai-lambai ke arahnya. Hatinya semakin tidak sabar untuk merasai setiap permainan itu.
"How about your band?" soal June tiba-tiba.
Dani sedikit terkejut kerana perihal kumpulan muzik barunya itu tidak pernah diberitahu kepada June.
"Apa?" soal Dani buat-buat tidak dengar.
"Bagaimana dengan band Dani?" ulang June dengan bahasa yang lebih mudah.
"Band?" Dani berpura-pura tidak mengerti. Sebenarnya dia tidak mahu memanjangkan perihal itu memandangkan bandnya itu masih di awal penubuhan.
"Alah, June ada terbaca dalam majalah tentang kumpulan muzik Dani yang baru tubuh itu," balas June. Kotak fikiran Dani akhirnya dapat menjejak asas kepada kata-kata June itu. Seminggu yang lepas, sewaktu dia, Hafifi, Khairul dan Adam membuat latihan di Shah Alam, Abang Ram ada kelihatan di situ. Barangkali Hafifi telah membocorkan perkara itu.
"Hmmm, okey," jawab Dani ringkas dalam rasa serba salah.
"Apa perkembangannya?" Nampaknya June benar-benar berminat dalam hal itu.
"So far so good," jawab Dani acuh tak acuh.
"Bila Dani nak bawa June pergi jamming?" June terus mengasak.
Dani seraya memaling mukanya kepada June. Dirasakan June ikhlas dengan permintaannya itu. Perlahan-lahan dia mengukir satu senyum.
"June suka muzik?" soalnya cuba menduga.
"Suka," balas June pantas.
"Apa jenis muzik?" Soal Dani lagi.
"Hmmm... Pop, R&B. Rock pun layan. Yang sedap didengar, June layan aje. Tak kesahlah apa genrenya," jawab June. Dalam matanya jelas kejujuran isi jawapannya itu.
Sekali lagi Dani tersenyum. Hatinya semakin senang.
"Dani belum jawab lagi soalan June, bila nak bawa June pergi jamming? June teringin nak lihat. Kawan June selalu bercerita tentang band pakwe dia, happening katanya," tambah June sambil memandang tepat ke mata Dani. Dapat Dani jejaki kesungguhan di mata jernihnya itu.
"Nanti Dani bawa June, okey?" Dani memberi harapan kepada dara manis itu. Mendengar jawapan Dani, June melirik senyum sampai ke telinga.
Beberapa ketika kemudian, kelihatan beberapa petugas mula membuka pintu pagar menandakan operasi pusat permainan itu telah bermula. June pantas menarik tangan Dani menyertai pengunjung lain beratur di kaunter tiket. Faham benar dia, kalau lambat pasti mereka akan menunggu lebih lama. Sangkaannya tepat, tidak sampai seminit, barisan itu makin panjang walaupun beberapa kaunter telah dibuka. Pengunjung semakin bertambah. Entah dari mana mereka muncul.
June mendapatkan dua tiket bayaran penuh untuk setiap permainan yang disediakan. Dia betul-betul kemaruk untuk menikmati setiap permainan di situ. Dani sedikit terpanar. Kemudian rasa hairan itu bertukar menjadi kagum. Belum pernah dia lihat perempuan seberani June sebelum ini. Dia sendiri mula kecut perut melihat fizikal setiap permainan itu.
"Apa?" soal June apabila melihat kerutan di dahi Dani.
"June telah membuatkan saya betul-betul kagum," ucap Dani.
June mengekek tawa. Tangannya pantas menarik Dani menuju ke arah Flying Dragon. Dia dan Dani melabuh punggung ke tempat duduk permainan yang menyerupai gerabak kereta api yang berkepala naga itu.
Dani mula berpeluh. Jantungnya juga mula berdegup pantas. Kelajuan sememangnya satu masalah kepadanya. Tangannya memegang kejap pemegang di hadapannya.
"Dani okey?" soal June selepas melihat ketidakselesaan Dani itu.
Belum sempat Dani menjawab, gerabak Flying Dragon itu mula bergerak. Semakin lama semakin pantas. Pegangan Dani semakin kejap. Matanya dipejam rapat-rapat. June di sebelahnya menjerit keriangan. Begitu juga pengunjung yang lain, menjerit keriangan.
Putaran gerabak Flying Dragon itu semakin pantas. Dani rasa seperti dirinya di awang-awangan, ringan dan terbang laksana seekor burung. Matanya terus ditutup rapat. Dalam hatinya hanya terdetik satu perkara, mengharapkan permainan itu cepat berhenti.
Selepas beberapa ketika, permainan itu beransur-ansur perlahan. Akhirnya berhenti. Dani membuka matanya sambil menarik nafas lega. June tertawa kecil melihat telatahnya itu.
"Dani okey?" soal June kembali ketika memimpin tangan Dani turun dari gerabak itu.
"Errr... Okey," jawab Dani. Terasa langkahnya tidak sekata bila kakinya memijak bumi. Kepalanya juga seperti berpusing.
"Kalau Dani rasa pening, kita rehat sekejap," usul June.
Dani hanya mengangguk. Mereka kemudian mencari tempat duduk.
"Dani mesti dah lama tak main permainan seperti ini," kata June.
"Bukan dah lama, tapi tak pernah pun. Speed is always a problem for me," balas Dani sambil ketawa kecil. Dia rasa sedikit lucu. Selepas terjatuh dari basikal sewaktu menyertai satu kejohanan basikal gunung sewaktu di bangku dahulu, dia jadi serik dan trauma pada kelajuan. Traumanya bertambah apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya.
"Patutlah, kenapa tak cakap. Sorry..." ucap June kesal.
"Tak apa," balas Dani. Debarannya semakin berkurangan. Rasa bersalah tiba-tiba bertamu dalam hatinya bila melihat anak mata June tidak lepas daripada setiap permainan yang belum dinaikinya. Selepas menarik satu nafas panjang, dia bingkas bangun dan menarik tangan June menuju ke arah Space Shot. June sedikit terpingga-pinga. Namun hatinya turut melonjak gembira.
Mereka melabuhkan punggung di atas pelantar kerusi permainan itu. Penahan tubuh kemudian dikunci. Beberapa saat kemudian, perlahan-lahan mereka naik ke angkasa dan sepantas kilat pula mereka terjunam ke bawah. Tangan Dani memegang kejap pada pemegang. Sekali lagi dia memejamkan matanya rapat . Yang didengarinya hanya suara jeritan riang June di sebelahnya.
Selepas turun dari Space Shot itu, Dani mula berasa seronok. Rasa gerunnya sedikit hilang. Mereka kemudian menuju ke arah Pirate Ship pula. Permainan ini sedikit santai. Mereka hanya berayun-ayun seperti berada di dalam buaian. Seterusnya mereka beralih pula ke permainan Spinner. Tahap adrenalin mereka kembali meledak apabila mereka berputar ligat seperti gasing. Suara jeritan kedengaran sepanjang putaran itu.
Kini hanya tinggal satu lagi permainan yang belum dicuba mereka. Sengaja mereka memilih untuk menaikinya paling akhir. Mungkin cabaran yang lebih mencabar membuatkan mereka berbuat demikian. Jantung Dani kembali berdegup kencang. Begitu juga June. Lebih-lebih ketika itu cuaca bertambah lembap dan berkabus tebal.
Dani belum pernah menaiki roller-coaster sebelum ini. Apa yang didengari daripada rakan-rakannya, membuatkan dia sedikit kecut perut. Demi tidak membuang masa, June terus menarik tangan Dani masuk ke satu tempat duduk. Sempat Dani berdoa di dalam hatinya sebelum roller-coaster yang digelar Corkscrew itu bergerak. Roller-coaster yang membawa sepuluh gerabak tempat duduk itu mula mendaki landasannya. Kemudian, seperti peluru ia meluru, berpusing, mendaki dan menjunam pula ke bawah. Dani dapat merasakan angin tajam menikam kulit mukanya. Namun seketika kemudian, dia mula ikut June menjerit. Rasa gerun berubah riang. Mereka menjerit sepuas-puasnya sehinggalah roller-coaster itu berhenti.
"June betul-betul seronok hari ini," ungkap June ketika mereka melabuhkan punggung ke atas sebuah bangku.
Dani hanya menguntum senyum sebelum menghulurkan aiskrim yang dibelinya sebentar tadi kepada June.
"Dani bagaimana?" soalnya pula.
"Sama," jawab Dani pendek, mula menjilat aiskrimnya.
"Alangkah seronok kalau dapat selalu bersama Dani seperti ini," kata June sambil tersenyum. Wajahnya jelas terlihat riak-riak bahagia.
Dani sekadar membalas senyuman manis June itu. Mulutnya juga terus menjilat ais krim.
"Dani..." June bersuara selepas beberapa ketika asyik menikmati aiskrimnya.
Dani seraya memaling mukannya, tepat ke mata June.
"Dani sukakan June?"
Hati Dani mula berdebar. Namun, kemudian perlahan-lahan kepalanya mengangguk bersama satu ukiran senyum. Dia sedikit malu.
"Sungguh?"
Sekali lagi Dani mengangguk. Mulutnya seakan kelu untuk menyatakannya.
"Kenapa?" June cuba menduga.
Dani berfikir sejenak.
"Sebab June baik," balas Dani.
"Itu aje?" duga June lagi.
Dani berfikir lagi. June melirik senyum melihat telatah Dani itu. Pancingnya mengena.
"Hmmm... June cantik, menarik, prihatin, penyayang, menyenangkan, funny, sweet, inteligent..."
"Dani..." belum sempat Dani memanjangkan penilaianya, June memotong.
Dani memaling mukanya. Matanya kini bertemu mata June. June tersenyum seraya perlahan-lahan merapatkan mulutnya ke telinga Dani.
Dada Dani tiba-tiba berombak dan jantungnya bergemuruh tatkala mendengar tiga patah kalimat yang dibisikkan oleh June itu. Dia hilang kata-kata buat seketika. Jantungnya bergetar seperti mahu gugur. Hatinya terasa hangat. Inilah kali kedua dia berasa seumpama itu seumur hidupnya.
Rasa serba salah juga sekonyong-konyong hadir di kamar hatinya. Lama dia merenung ke arah mata June. Kemudian perlahan-lahan jemarinya memaut jemari June.
"Me too," balas Dani lirih setelah yakin itulah juga yang terbisik dalam hati dalamnya.
June lantas secara spontan memeluk pinggangnya. Dia betul-betul gembira dengan jawapan Dani itu. Kaget Dani dibuatnya.
"Dani betul-betul maksudkannya?" soal June untuk lebih kepastian.
Dani mengangguk, seakan-akan sudah kelu untuk berkata-kata. Senyuman masih terlekat di bibirnya.
"Jadi, kita dah rasmi couple?" soal June lagi. Di wajahnya jelas kelihatan bunga-bunga ceria.
Dani melebarkan lagi senyumannya. Jemari June digenggam dengan lebih erat lagi. June mengerti maksudnya itu. Terus dia membalas genggaman itu. Lebih erat, seakan-akan tidak mahu melepaskan Dani. Saat itu pasti akan menjadi saat paling bahagia dalam hidupnya dan pasti akan dikenang sampai bila-bila.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro