Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

MATAHARI bersinar indah hari ini. Cuacanya pula redup. Angin sepoi-sepoi bahasa sesekali bertiup menyapa kulit tubuh.

Dani bangkit dari katil. Langkahnya berderap ke arah perakam CD di tepi televisyen di ruang tamu. CD Anthology The Beatles diputarnya. Selepas mencuci muka, langsir yang sekian lama menjadi penghalang cahaya masuk ke ruang apartmennya itu diselak luas-luas.

Cahaya mentari terus berlumba-lumba menerobos masuk dan menerangi segenap ceruk apartmen. Pintu gelangsar pembahagi antara ruang tamu dan balkoni turut dibuka. Udara segar juga berlumba-lumba masuk. Dani menghela satu nafas panjang. Rasa tenang yang sekian lama menghilang, kini mengundang dalam fikirannya. Seperti segala kabut yang membebani fikiran dan emosinya selama ini telah cair. Barangkali kesan daripada luahan perasaannya kepada June tempoh hari. June juga seolah-olah telah memberi semangat baru kepadanya.

Buku-buku, majalah dan kertas yang berselerak di ruang itu dipungut satu per satu. Mana yang berguna disusun rapi di atas rak. Kertas-kertas yang tidak berguna dimasukkan ke dalam plastik hitam. Kemudian, dia menyapu setiap inci lantai apartmen yang sekian lama tidak terurus itu. Debu, habuk dan sawang yang selama ini menghuni setiap sudut apartmen itu turut disapunya.

Sesekali mulutnya menyanyi bait-bait lirik lagu I Saw Her Standing There yang berdendang dari kotak pembesar suara perakam CD. Entah kenapa hatinya girang sekali pagi itu. Jiwanya betul-betul bersemangat dan berkobar-kobar. Kerjanya tidak hanya terbatas di ruang lapang itu. Dia selepas itu mengambil mop dan mengemop seluruh lantai apartmen tiga bilik itu sehingga terbit bayangnya sendiri pada lantai marmar.

Selesai kerja mengemop, dia beralih ke ruang dapur. Pinggan mangkuk yang tak berbasuh sejak dua hari lepas yang melambak di dalam singki dicucinya satu per satu. Pembalut dan pembungkus makanan dan minuman yang bersepah dan tergantung di sana-sini dikutipnya lalu dibuangkan ke dalam plastik sampah. Plastik sampah yang hampir penuh itu diikat ketat-ketat supaya tidak terhidu lagi bau-bau yang kurang menyenangkan hidungnya. Dapur gas yang berdaki turut dibersihkannya.

Tenaga empat keratnya terus dikerahkan. Kali ini di kamar tidur pula. Cadar dan sarung bantal yang dipenuhi tompok air liur basi digulungnya lalu dimasukkan ke dalam besen bersama timbunan pakaian yang sudah seminggu tidak dicuci. Langsir bilik ditariknya luas-luas. Kemudian, dia menepuk-nepuk tilam yang makin naik jeragat menggunakan batang penyapu. Bantal juga. Berterbangan debu dan habuk di sana sini. Dilibas-libas tangannya di udara, cuba menghindari debu dan habuk itu hinggap ke tubuh serta masuk ke dalam mulut dan rongga hidungnya.

Besen yang penuh berisikan cadar, sarung bantal dan gumpalan pakaian kotor itu dibawanya ke bilik air kedua di sebelah ruang dapur. Kemudian, dicuah semuannya ke dalam mesin basuh. Selepas menekan butang mesin basuh automatik itu, dia beralih ke arah balkoni. Kepingan pasu pokok bonsai yang dihempasnya hingga mengakibatkan tangannya luka beberapa hari lepas dikutip semuanya sebelum dimasukkan ke dalam plastik sampah.

Pohon bonsai setinggi lutut yang terbongkas pula dimasukkan ke dalam sebuah pasu gantian yang baru dibeli. Pokok bonsai itu sebenarnya dihadiahkan oleh Miss Janet kepadanya sebulan yang lalu. Kata Miss Janet, pokok bonsai itu akan memberi tuah kepadanya. Dia menuruti sahaja kata Miss Janet itu walaupun dia merasakan kepercayaan Miss Janet itu suatu yang melucukan.

Selesai kerja kemas-mengemas itu, dia melucutkan tuala yang melilit pinggangnya. Air paip dingin kemudian menjirus tubuhnya dari hujung rambut ke hujung kakinya. Lama juga dia membilas dirinya di bilik itu.

Lagu I Want To Hold Your Hand sedang berkumandang ketika Dani keluar dari bilik air. Sempat dia menyanyikan beberapa bait lagu itu sebelum masuk ke bilik tidurnya. Selepas lengkap berpakaian, dia menikmati segelas oren di ruang tamu. Dia bersandar pada sofa. Benaknya yang kosong mula terisi benih-benih fikiran. Lantas volume perakam CD diperlahankan sebelum mendail telefon tangannya.

"Helo..." ucapnya selepas menunggu beberapa saat.

Suara garau Hafifi kemudian menyambut panggilannya itu.

"Aku dah buat keputusan," kata Dani.

"Bagus. Jadi, apa kata putusnya?" ungkap Hafifi dengan sepantas kilat. Jelas keterujaan daripada suaranya.

"Aku setuju, tapi..."

"Tapi apa?" pintas Hafifi yang melonjak gembira sebelum Dani menghabiskan ayatnya.

"Kita perlu tukar nama kumpulan," jawab Dani. Dia sudah membuat satu tekad.

Perbualan itu terdiam seketika. Hafifi seperti sedang berfikir. Berat juga hatinya. The Plastic Tree cukup nolstagia kepadanya. Namanya juga sudah cukup besar.

"Hmmm, okey. Aku setuju," ungkap Hafifi dengan sedikit berat.

"Okey," sambut Dani

"Bila kita boleh mula?" soal Hafifi pantas sebelum Dani menyatakan syarat seterusnya.

"Nanti, ada lagi syaratnya. Aku hanya nak tumpu pada vokal dan rhythm gitar sahaja. Cari seorang lagi gitaris. Waktu rakaman, tak mengapalah aku main dua-dua bahagian itu.

"Emmm... Okey, no problem." Hafifi bersetuju.

"Bila nak mula? Aku ikut hang aje," ujar Dani lagi.

"Apa kata hari ini? Hang ada apa-apa urusan tak hari ini?" tanya Hafifi yang dilanda rasa teruja dan hilang sabar.

"Tak ada," jawab Dani pendek.

"Okey, jumpa hang di Shah Alam petang nanti," kata Hafifi.

"Bassist macam mana?" soal Dani bila teringatkan kekurangan itu.

"Itu hang tak payah risau. Aku sudah ada pengganti Koba. Sebenarnya, aku sering juga jamming dengan kawan-kawan aku. Jadi sesionist. Itu hari pun jumpa Abang Ram kat belakang pentas di Ipoh," jawab Hafifi berterus-terang.

Selepas perbualan itu ternoktah, Dani masuk ke bilik tidurnya. Sebuah briefcase ditariknya dari bawah katil. Briefcase itu kemudian dibawanya ke ruang tamu. Selepas meninggalkan bekas gitar itu seketika di ruang itu, dia masuk ke bilik stor pula. Sebuah amplifier berjenama Marshall diangkutnya juga bersama sekotak efek gitar ke ruang tamu. Selepas mencucuk plag amplifier pada sumber elektrik, dia membuka briefcase yang terbaring di atas meja tamu.

Fender Jaguar berwarna merah buatan tangan yang dibeli daripada seorang veteran muzik sewaktu di Jepun dulu masih seperti beberapa tahun yang lalu sifatnya. Gitar elektrik yang banyak jasa dan kenangan itu ditatap dan dibelainya setiap inci. Jelas tiada sedikit pun yang berubah. Tali-temali yang kendur ditalanya semula dengan teliti.

Selepas suis amplifier dibuka, Dani mula memetik beberapa notasi muzik untuk cuba menguji bunyi gitar itu. Bunyinya masih tidak berubah. Dani tersenyum sendirian. Dia kagum dengan daya tahan gitar itu. Hatinya mula berasa lapang. Beberapa buah lagu Pearl Jam, Soundgarden dan Nirvana dimainkannya sebagai pemanas jemarinya. Nyata jemarinya itu belum keras walaupun sudah hampir dua tahun ia tidak dilenturkan.

SEMINGGU berlalu. Hafifi mengatur satu lagi sesi jamming malam itu susulan sesi terdahulu di Shah Alam berlangsung dengan sedikit gangguan daripada beberapa pelanggan studio yang lain. Sekumpulan Muda-mudi pada hari itu tiba-tiba menjadi teruja apabila menyedari Dani dan Hafifi membuat kemunculan semula di situ.

Ternyata pengaruh The Plastic Tree telah merebak ke Malaysia beberapa tahun yang lalu. Kali ini Hafifi menempah sebuah studio yang terjamin bebas daripada sebarang gangguan dengan bantuan gitaris baru band yang belum bernama itu, Khairul. Studio itu milik bapa saudara Khairul sendiri. Lokasinya jauh terpencil di Janda Baik, kampung halaman Khairul.

Tatkala Dani dan Hafifi tiba di studio yang terletak di pinggir ibu kota itu, Khairul dan Adam, iaitu pengganti Kobayashi sudah lama menunggu. Khairul dan Adam merupakan bekas anggota dua buah band Indie tempatan. Pendek kata, nama kedua-duanya sudah harum di persada muzik Indie Malaysia. Namun, kumpulan muzik mereka itu telah dibubarkan selepas ahli-ahli lain membawa haluan sendiri. Apabila menerima pelawaan Hafifi, mereka terus menyahutnya kerana cukup gembira dapat bekerjasama dengan Dani dan Hafifi yang sememangnya pernah menjadi buah mulut penggemar muzik Indie tempatan suatu ketika dahulu.

Sesi jamming malam itu berjalan dengan lancar, tiada sebarang gangguan. Mungkin disebabkan studio yang terletak di Homestay Janda Baik itu jauh dari kesibukan manusia. Suasana yang tenang dengan udara kaki bukit yang segar-bugar menjadikan suasana latihan sungguh kondusif. Masing-masing menarik muka puas. Tanpa sedar sesi latihan itu berlanjutan sehingga lewat malam.

Hampir 15 buah lagu cover daripada band-band seperti Nirvana, Soundgarden, Pearl Jam, Radiohead dan beberapa buah lagu yang pernah dipopularkan oleh The Plastic Tree sendiri dimainkan oleh mereka. Keserasian antara mereka mula terjalin saat itu. Maka tersemailah benih-benih idea kepada kumpulan pemuzik yang belum bernama itu untuk mencipta lagu-lagu baru dan merakamkannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: