Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

FIKIRAN June dilanda kebimbangan. Sejak peristiwa semalam, Dani seakan-akan memencilkan diri darinya. Puas dia mendail nombor Dani. Namun, tidak berangkat. Pesanan melalui aplikasi WhatsApp juga tidak berbalas. Hendak menghubungi pejabat Yellow House, segan pula dirasakannya.

Akhirnya, dia membuat keputusan. Tengah hari itu dia memandu keretanya ke pejabat Dani. Tiba di sana, hatinya hampa. Melalui rakan sepejabat Dani, dia mendapat tahu Dani tidak hadir ke pejabat hari itu. Lantas dia segera menyusuri Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

Terpandang oleh matanya Vespa milik Dani di tempat letak motosikal di kawasan kediaman Dani ketika dia bergerak ke arah lif. Tiba di pintu bernombor 501, diketuknya beberapa kali pintu itu sambil memanggil nama Dani. Beberapa ketika menunggu, namun tiada apa-apa reaksi. Dani seperti tiada di rumah. Akhirnya, dia kembali semula ke pejabatnya dengan hati yang hampa.

DI TENGAH-tengah Ibu kota Kuala Lumpur, Dani merayau tanpa tujuan. Perilakunya sewaktu awal kematian Ayumi dulu kembali menghantuinya. Pernah satu ketika, satu hari dia menjelajah ke seluruh bandar di Jepun tanpa hala tuju dengan kereta api laju. Dia seperti mencari-cari Ayumi di setiap bandar-bandar itu.

Selepas penat berjalan tanpa tujuan, dia melabuhkan punggung di atas satu pelantar tempat duduk dalam LRT yang sedang menuju ke arah KL Sentral dari Menara KLCC. Dia bersandar pada kerusi aluminium itu. Fikirannya cuba dikosongkan. Namun gagal.

Fikirannya tetap diganggu bayang-bayang wajah Ayumi. Sekonyong-konyong dia teringat foto Ayumi yang masih tersimpan dalam galeri telefon bimbitnya. Segera dia membuka galeri itu.

You're so beautiful, Nona Manis, keluhnya perlahan. Di bingkai kedua-dua matanya mula bergenang.

LRT perlahan-lahan berhenti di satu hentian. Beberapa orang penumpang masuk ke gerabak itu.

"Ayumi?" Dani tersentak. Ayumi muncul betul-betul di hadapannya.

"Maaf, awak silap orang." Seorang gadis Cina yang baru melabuhkan punggung di hadapannya itu membetulkan kekeliruannya.

"Errr... Sorry." Dani memohon maaf selepas menyedari kesilapannya. Wajah gadis itu memang ada iras dengan Ayumi.

Tiba di KL Sentral, Dani mengubah keputusan untuk berpatah ke Central Market. Dia masuk semula ke dalam sebuah LRT yang lain selepas mendapatkan tiket baru.

Ruang kabin LRT agak lengang ketika itu. Mungkin kala itu, warga Kuala Lumpur masih di tempat kerja. LRT berhenti di stesen Masjid Jamek. Dani pantas melangkah ke arah bangunan biru di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur beberapa meter dari stesen Masjid Jamek. Beberapa jejaka sasa berkepala botak mengeluinya ketika dia melewati sebuah restoran berhampiran dengan pentas hiburan di belakang bangunan biru itu. Namun kelui nakal itu sedikit pun tidak diendahkannya.

Dani merayau di sekitar kedai yang menjual pelbagai jenis barangan, terutamanya barangan kraf tangan dan hasil-hasil halus seni. Kemudian dia mengunjungi ruang pelukis. Beberapa lukisan dan lakaran menarik perhatiannya. Dia menyapa seorang pelukis di situ untuk bertanyakan tentang teknik melukis pelukis itu yang sedikit membuatnya rasa kagum. Mulanya, pelukis lewat usia 50-an itu seperti enggan berkongsi ilmunya, namun setelah diberitahu bahawa dia merupakan seorang graduan seni, pelukis itu tidak betah berbual dengannya.

"Mungkin orang seni akan bercakap dengan orang seni kerana percakapan itu akan jadi lebih mudah bila sama-sama memahami. Dan mungkin seorang seniman itu akan mengalami kepayahan untuk menjelaskan sesuatu yang berkaitan dengan seni kepada seseorang yang tiada asas pengetahuan dalam bidang itu. Mungkin ia juga akan jadi buang masa..." Falsafah ini pernah didengari oleh Dani daripada mulut Sensei Nakamura. Kini, Dani mula mengerti dan bersetuju dengan falsafah itu.

Selepas meninggalkan ruang itu, Dani masuk ke sebuah premis yang menjual ikan hiasan. Hatinya mengundang sayu tatkala melihat beberapa ekor anak kura-kura di dalam sebuah akuarium. Dia terkenangkan saat-saat dia menghadiahkan Ayumi sepasang anak kura-kura di awal perkenalan mereka suatu ketika dulu. Jelas terbayang wajah girang Ayumi.

Setelah puas menatap binatang-binatang kesayangan di situ, dia beredar ke ruang siar kaki di luar perut bangunan Pasar Seni itu apabila anak telinganya menangkap suara lunak pemuzik jalanan sedang busking dari arah situ. Dani melabuhkan punggung pada konkrit simen di bawah sepohon pokok pinang hiasan.

Asyik dia mendengar kelunakan suara pemuzik jalanan itu mengalunkan lagu-lagu evergreen pelbagai ritma sambil memetik gitar kapok. Dari blues ke reggae, dari reggae ke country dan dari country ke pop Melayu. Lagu-lagu seniman agung P. Ramlee turut dibawanya selepas mendapat permintaan daripada beberapa pengunjung di situ selain lagu-lagu pop semasa. Dani menghulurkan sekeping not merah sebagai tanda menghargai seni pemuzik jalanan itu. Raut wajah pemuzik itu bersinar. Gembiranya bukan kepalang. Barangkali dia belum pernah dihargai dengan not merah sebelum ini. Pantas senyuman mekar dikuntumkan kepada Dani.

Menyedari waktu kian senja, Dani segera melangkah ke arah stesen LRT Pasar Seni. Ketika menunggu LRT tiba, telefon tangan di dalam poket seluar jean Levi's 501nya yang semakin lusuh itu bergetar.

"Helo," ucapnya perlahan.

"Helo, Dani kat mana?" soal suara dalam telefon.

"Stesen LRT, on the way nak balik," jawab Dani.

"Stesen LRT mana?" soal suara dalam telefon lagi.

"Pasar Seni," balas Dani.

"Kebetulan June dekat KL Sentral ni. June tunggu Dani kat sini, ya? Kita balik sama-sama," ujar June sebelum meletak telefon. Rupa-rupanya June telah meletak keretanya di ruang parkir di hadapan Stesen Komuter Shah Alam dan menaiki komuter ke tempat kerjanya selepas meninggalkan apartmen Dani tengah hari tadi. Dia berbuat demikian disebabkan menyedari dia telah terlalu lewat tengah hari tadi dan juga untuk mengelak daripada kesibukan jalan raya. Lagipun pejabatnya hampir dengan KL Sentral. Rumah sewanya pula di Seksyen 13, masih dalam kawasan Shah Alam.

Tiba di Terminal KL Sentral, June telah menunggu.

"Dah lama tunggu?" soal Dani ketika menghampirinya.

"Baru lima minit," jawab June sambil mengukir satu senyum. Hatinya senang apabila melihat Dani tersenyum.

"Dani, dah makan?" soalnya lembut.

Dani hanya menggeleng.

"Okey, jom kita makan dulu. June belanja," tutur June sambil menarik tangan Dani dan melangkah ke arah tangga bergerak menuju ke medan selera di tingkat atas Terminal KL Sentral itu.

Mereka memesan makanan. Selepas menunggu beberapa minit, makanan yang dipesan siap. Mereka kemudian mencari tempat makan. Selepas mendapat meja, June pergi ke kios minuman untuk membeli minuman. Dia kembali semula ke meja dengan menatang segelas oren segar dan segelas jus jambu batu merah jambu.

"Dani pergi mana tadi?" soal June selepas menyuap sizzling mee yang masih berasap ke mulutnya.

"Errr... Mid Valley, BB, Lot 10, Low Yatt, Pavilion, Pertama, Sogo, Petaling Street, Chow Kit, KLCC, CM," jawab Dani jujur. Dia menyedut jus jambu batunya dua kali seperti tiada apa-apa. June yang menghadapnya sedikit tercengang.

"Wah, banyaknya tempat yang Dani pergi! Tentu penat," ulas June seperti tidak percaya.

Dani sekadar memberi sengihan.

"Hmmm, baguslah. Dani kena banyak berjalan. Tak boleh terperap kat rumah saja," kata June lagi.

Dani cuba mengukir senyum, namun tawar sahaja. Nasi ayam di dalam mulutnya dikunyah perlahan-lahan.

"Apa kata, hujung minggu ini kita pergi Genting. Dah lama June tak ke sana." June mencadang selepas menyedut minumannya.

Dani terdiam buat beberapa ketika. Hatinya bimbang takut peristiwa semalam berulang lagi. Emosinya masih tak keruan.

"Macam mana?" soal June kembali selepas Dani tidak memberi apa-apa tindak balas.

Hati Dani sedikit gundah. Tak sampai hati pula dirasakannya untuk menghampakan hasrat June itu.

"Okey." Akhirnya, Dani membuat keputusan. Gembira bukan kepalang hati June bila mendengar jawapan daripada Dani itu. Jelas terlihat di wajahnya. Makin lebar juga senyuman di bibirnya.

Selesai makan, mereka tidak jadi untuk terus pulang, sebaliknya mengubah fikiran untuk ke KLCC.

Selepas mengharungi hiruk-pikuk batang tubuh manusia di dalam kabin LRT, mereka tiba di KLCC. Kali kedua untuk Dani dalam sehari. Kala itu jam menunjukkan hampir pukul lapan malam. Mereka masuk ke dalam beberapa premis perniagaan silih ganti, mencuci mata dan melihat fesyen-fesyen kasual pelbagai jenama.

Sejak dari KL Sentral lagi June menggenggam jemari tangan kanan Dani. Mulanya, Dani rasa janggal. Namun, rasa itu perlahan-lahan bertukar rasa bahagia. Hatinya seolah-olah sudah berjaya diselinap oleh June. June juga seperti dilamun bahagia. Ketika tiba di hadapan butik Giordano, June menarik tangan Dani masuk ke dalam premis itu. Dia memilih beberapa helai pakaian di bahagian pakaian perempuan. Dani hanya mengekori tanpa membantah. Sesekali dia menjawab bila ditanya June pendapatnya tentang pakaian yang dipilih oleh June. Tika menghampiri bahagian pakaian lelaki, June mengambil sehelai jaket dan diukurkan ke badan Dani. Dani hanya mengikut saja perlakuannya itu.

"Cantik dan padan dengan Dani," ungkap June.

Dani membalas dengan ukiran senyum. Seleranya turut bersetuju dengan pilihan June itu.

"Do you like it?" soal June.

Dani sekali lagi mengukir senyum. Daripada senyuman Dani itu, June mengerti Dani menyukainya.

"June belikan untuk Dani, okey?" ujar June.

"Mahal harganya ni," keluh Dani selepas membelek tanda harganya.

"Tak mengapa. Memang niat June mahu beli sesuatu untuk Dani," balas June dengan wajah bercahaya.

Dani masih berkerut dahi.

"Untuk apa?" soal Dani bingung. Dia juga berat hati dan tidak mahu June mengeluarkan duit sebanyak itu demi untuk membeli sehelai jaket kepadanya.

"Anggap sesuatu yang istimewa daripada June. June betul-betul maksudkannya." June terus meyakinkan Dani.

Akhirnya, Dani beralah. Jawapan daripada June itu mula difahaminya.

"Terima kasih, June. You're so kind to me," ucap Dani terharu.

June hanya tersenyum.

"Saya tak ada apa-apa nak beri kepada June," kata Dani lagi.

"June tak perlu apa-apa. Luang masa bersama sebegini sudah tidak ternilai bagi June. June sangat senang bersama Dani." June membalas. Bibirnya terus melirik senyum. Mekar dan manis.

Dani menatap wajah June untuk beberapa ketika. Kalaulah June itu mahramnya, pasti telah dipeluk gadis di hadapannya itu untuk menggambarkan perasaannya ketika itu.

"Dani okey? Kenapa Dani lihat June macam tu?" tanya June yang mula timbul jejalur kemerahan di wajahnya.

"Errr... Sorry," jawab Dani sedikit malu.

Selepas itu, mereka bersiar-siar di sekitar KLCC untuk beberapa ketika sebelum bergegas ke stesen LRT semula. Bimbang juga mereka, takut terlepas komuter terakhir ke Shah Alam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: