BAD[AR]: 22
"Badrul, aku nak berhijrah. Tolong aku?"
Suasana sunyi tiba-tiba menerpa. Badrul kehilangan kata. Wajah Qowiy dipandang dengan seribu satu kata yang tak terluah.
"Kau yakin?" Dua perkataan berbaur soalan dilontarkan.
Tanpa ragu-ragu, Qowiy laju mengangguk. Sudah tiba masa untuk dia 'bergerak' mengikut pesan Opie dahulu. Lebih tepat lagi, sampai bila dia perlu menolak kebaikan?
Badrul tersenyum. Kemudian kepalanya mengangguk sama sebelum bahu Qowiy dipeluk kuat. Dalam hati, ucapan syukur tak henti-henti dipanjatkan kepada Pencipta. Alhamdulillah, Allah telah memakbulkan doanya!
Qowiy yang sedikit terkejut dengan tindakan Badrul meronta-ronta minta dilepaskan. Lemas dia dibuatnya. "Weh, apa peluk-peluk ni? Kau buat aku takutlah, Bad! Lepas, lepas!" Lengan Badrul ditepuk-tepuk.
Badrul tergelak kuat. Pelukan pada Qowiy semakin dieratkan. "Kau ni kan... aku tengah terharu ni kawan aku dah nak jadi baik... sob, sob."
Serentak itu, sebelah tangan Badrul mengelap bahagian bawah kelopak matanya. Kononnya nak tunjuk yang dia betul-betul terharu.
Melihatkannya, Qowiy menjulingkan mata. Sejak bila Badrul pandai berdrama ni? Nampak sangat penangan kena kejar dengan anjing gila buat otak Badrul pun jadi terbalik dari kedudukan asal.
"Ergh... okay... stop, stop!" Lengan Badrul ditolak menjauh.
"Kau tak jawab lagi soalan aku ni. Nak tolong aku tak?" Qowiy meminta kepastian.
Jauh di sudut hati, Qowiy sedar yang dia belum cukup kuat untuk berhijrah sendiri. Saat ini, dia amat memerlukan seseorang sebagai penguat. Seseorang sebagai pendorong supaya dia dapat terus melangkah tanpa menoleh atau berpatah semula ke belakang.
Paling penting... seseorang itu hanyalah Badrul. Kawan baiknya sampai mati.
"Aku boleh tolong... tapi dengan satu syarat." Setelah sekian lama, barulah Badrul memberi persetujuan.
Kening Qowiy ternaik sedikit. Menanti sambungan syarat daripada mulut Badrul.
"Aku nak kau berbaik dengan Mak Cik Latifah, boleh?" Badrul menjeling Qowiy di sebelah, debar menanti reaksi rakannya.
Qowiy terpana. Agak lama dia diam membatu. Kini dia sedang berperang dengan perasaan sendiri, sama ada hendak memenangkan ego atau menurutkan permintaan Badrul.
Berbaik dengan Puan Latifah bermaksud dia perlu menerima wanita itu sebagai ibu kandungnya. Ibu kandung? Qowiy pejamkan mata seraya menjerit dalam hati. Takkan! Mati hidup semula pun dia takkan mengakui status wanita itu.
Dia tak perlukan seorang ibu. Qowiy yakin itu.
"Qowiy?" Teguran Badrul pantas membuatkan dia tersedar. Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Wajah Badrul dipandang dengan riak kosong tak berperasaan.
"Kau tahu sebab apa aku benci dia, kan?"
"Tak tahu dan aku malas nak ambil tahu. Apa pun sebabnya, dia mak kandung kau Qowiy. Syurga kau. Insan yang pegang kunci untuk kau masuk syurga. Ingat, reda Allah bergantung kepada reda ibu bapa. Arwah ayah kau dah lama pergi, jadi satu-satunya reda yang kau ada sekarang ialah reda seorang ibu."
Qowiy menunduk lemah tatkala menyedari sesuatu. Ya, dia sudah tidak punya ayah. Pahit untuk ditelan, namun mana mungkin dia menafikan. Tetapi untuk mengakui kehadiran seorang ibu...
Mustahil.
"Tak apalah, Bad. Aku buat sorang." Sebaik mengungkap kata, Qowiy bingkas bangun dari duduknya. Bahagian belakang seluar kemudian ditepuk-tepuk menghilangkan sisa rumput kering yang melekat.
Andai Badrul tidak turut serta dalam perjalanan hijrah ini, Qowiy reda. Dia akan buktikan yang dia juga boleh berdiri di atas kaki sendiri. Tambahan pula, sudah banyak kali dia menyusahkan Badrul.
"Qowiy!"
"Qowiy!"
Jeritan suara Badrul langsung tak diendahkan. Qowiy meneruskan langkah meninggalkan kawasan padang sekolah. Gerakan kakinya juga semakin dilajukan.
"Hei, tak gunalah kau jadi baik, berhijrah semua benda ni kalau hubungan dengan ibu kandung sendiri pun teruk!" jerit Badrul dari jauh.
Ternyata kata-kata itu berjaya membantutkan langkah Qowiy. Darahnya serta-merta menyirap naik ke kulit muka.
"Kau top up pahala, tapi pada masa yang sama tambah dosa dengan jadi anak derhaka. Tak rasa rugi ke?" laung Badrul lagi. Sengaja dia mengapi-apikan kawan baik sendiri. Niatnya cuma satu, menyedarkan Qowiy daripada kesalahan besarnya selama ini. Badrul tak mahu lelaki itu ditimpa segunung penyesalan yang tak berpenghujung kelak.
Kehilangan ibu umpama kehilangan 'doa' bagi seorang anak. Kerana doa ibulah yang paling mustajab dan diangkat oleh Allah SWT. Sementara masih ada, hargailah sepenuhnya. Sehingga kini, Badrul sendiri tidak dapat membayangkan kehidupannya nanti andai tiba giliran kedua ibu bapanya dipanggil menghadap ilahi. Jujur... dia paling takut menanti saat itu.
Qowiy masih berdiri di tempat sama. Perlahan-lahan, Badrul berjalan menghampiri rakannya. Bahu Qowiy dipegang.
"Aku tahu Qowiy, kau ada sebab sendiri kenapa kau tak sukakan Mak Cik Latifah. But at the very least... layanlah dia dengan baik. Kalau bukan sebagai seorang ibu pun, layanlah dia sebagai orang yang lebih tua. Yang perlu kita hormat, yang perlu kita sanjung. Tak banyak, itu je yang aku minta."
𖣔𖣔𖣔
"Apa masalah kau ni? Suka sangat buka aib aku?" Sinis Qowiy memerli.
Pian terkulat-kulat mencari jawapan sesuai. Alamak! Manalah dia tahu Abang Qowiy nak buka pintu waktu mulut dia tak pakai insurans tadi. Ish! Tak pasal-pasal kena marah.
"Qowiy! Dah jumpa ke Pian?" Badrul tiba-tiba muncul dari belakang Qowiy. Tangannya pula masih setia memegang telefon yang melekap di telinga.
Qowiy sekadar memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah Pian sebagai balasan.
"Kitorang jumpa dah budak ni. Apa? Haa... okey okey. Sekejap." Badrul menghulurkan telefonnya kepada Pian. Lelaki itu memandang Badrul, pelik.
"Apa ni bang? Kenapa?" Pian dah pening. Ada orang cari dia ke? Rasanya sebelum keluar rumah mengikut Badrul tadi dia dah minta izin ibu dan ayahnya terlebih dahulu.
"Minta maaf dekat abang polis sini," ujar Badrul seraya menunjuk ke arah telefonnya.
"Polis? Abang biar betul?" Pian dah cuak.
"Yalah! Dah kau tiba-tiba hilang kitorang telefonlah polis. Tapi sekejap pula kau hilang. Lain kali nak hilang tu biar lama sikit. Barulah tak membazir kredit telefon Badrul."
Mendengarkan hujah Qowiy, Badrul tersengih. Muka Pian pula dah cemberut. Lambat-lambat telefon di tangan Badrul bertukar tangan.
"Err... sorry banyak-banyak encik. Eh? Tak, mana ada saya main sorok-sorok. Saya tolong sorang mak cik ni angkat barang. Baik encik... lepas ni tak buat dah. Okey, terima kasih tau encik. Assalamualaikum." Laju jari Pian menekan butang merah. Kemudian barulah dia melepaskan nafas lega.
"Dah?" soal Badrul. Pian mengangguk lemah. Telefon itu dipulangkan semula kepada tuannya.
"Itulah... merayap lagi. Free-free je dapat ceramah keselamatan daripada abang polis. Heh," perli Qowiy, tak habis-habis.
Badrul sengih lagi. Sekilas matanya terpandang plastik pada tangan kiri dan kanan Pian.
"Dah masuk, masuk. Bawa plastik itu ke dapur," arah Badrul. Tanpa banyak mulut, Pian hanya menurut. Qowiy pula sekadar menjeling.
"Bad dah nak balik ke? Kalau tak keberatan mak cik nak ajak makan tengah hari sama-sama. Hari ini mak cik ada masak special sikit," pelawa Puan Latifah yang sedari tadi mendiamkan diri.
"Huish, masak special! Boleh, boleh tak ada masalah. Lagipun rasa macam rugi aje kalau tak join hehe. Saya pun tak ada apa-apa plan lepas ni mak cik."
"Baguslah kalau macam tu. Mak cik masuk dulu ya, nak masak." Puan Latifah mengundur diri. Pemergian wanita itu dihantar dengan pandangan dari ekor mata.
Setelah memastikan kelibat Puan Latifah benar-benar menjauh, Badrul menyiku perut Qowiy di sebelah. "Weh, ada apa-apa ke hari ni? Kenapa mak kau masak special? "
Qowiy pantas berdecit. "Kau tanya aku macamlah aku yang masak. Manalah aku tahu. Birthday dia la kot," teka Qowiy.
Badrul mengangguk-anggukkan kepalanya. "Hmm... logik, logik. Kau makan sekali eh tengah hari nanti. Jangan nak membazir duit pergi makan mamak macam yang kau biasa buat pula."
"Ish, aku tahulah." Qowiy membalas dengan nada jengkel.
❥︎❥︎❥︎
Yey, another chapter is updated! 🌷
Jangan lupa vomment! Alang-alang tu ajak kawan2 baca sekali okeyh?
Semoga bermanfaat & Salam Ramadan #4 too! 💫
Btw korang berbuka apa nanti? 🤭
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro