BAD[AR]: 19
Salam terakhir diberi kemudian tapak tangannya naik meraup muka. Seulas bibir milik Qowiy lantas mengalunkan wirid ringkas selepas solat bersama mata yang terpejam rapat. Buat beberapa saat, dia kekal dalam keadaan itu.
Usai melengkapkan bacaan wirid, kedua belah tangan pula diangkat untuk berdoa. Namun tak lama, tangan itu diturunkan semula. Qowiy tunduk merenung sejadah yang terhampar di depan mata. Bibirnya melepaskan keluhan berat.
"Apalah yang kau buat ni Qowiy. Ada masalah, baru nak hadap Tuhan. Tak ada masalah, hidup tak bertuhan. Mudah betul lupa diri. Padahal kau tu asalnya tanah, tempat yang paling bawah. Ish ish ish..." Dia menggelengkan kepala mendengar ulah sendiri.
Akhirnya niat untuk berdoa tadi dibiarkan tergantung tak bertali. Qowiy bingkas bangun lalu melipat sejadah yang menjadi alas sujud sebelum diletakkan kembali di tempat asal.
Kakinya ingin mengorak langkah meninggalkan kawasan surau sekolah, namun sebaik terlihat beberapa orang pelajar yang khusyuk membaca Al-Quran membuatkan Qowiy tertarik untuk terus mendengar alunan bacaan ayat suci tersebut.
Jadi, dia mengambil keputusan untuk duduk bersandar di kawasan tepi surau. Membiarkan alunan kalam kiriman Tuhan menerobos masuk ke cuping telinga. Qowiy pejamkan mata. Tenang. Itu yang dirasai dari lubuk hati yang paling dalam. Ketenangan yang selama ini terpadam seolah-olah kembali bernyala.
Qowiy terasa bahunya ditepuk. Ruang kosong di sebelahnya juga turut terisi dengan kehadiran seseorang. Kelopak mata dibuka sedikit. Wajah Pian hadir menerpa bersama sebuah sengihan. Qowiy pejamkan matanya semula. Malas nak layan.
"Kenapa aku asyik jumpa kau? Semaklah," tutur Qowiy senada dengan mata yang tertutup rapat.
"Ish, apalah Abang Qowiy ni. Takkan tak tahu? Orang tua-tua kata, kalau selalu jumpa maksudnya berjodoh."
Qowiy yang mendengar pantas mencebik bibir. Geli.
"Habis tu, kau nak cakap aku ni jodoh kau ke? Eee... meremanglah gila."
Pian tergelak kuat. Terhibur. Boleh pula macam itu.
"Kalau tak berjodoh dengan saya, mana tahu boleh berjodoh dengan kakak saya?"
"Uhuk, uhuk!" Qowiy sudah tersedak air liur sendiri. Automatik kelopak matanya terbuka luas menatap makhluk asing di sebelah. Tak tunggu lama, satu jentikan dilepaskan pada dahi luas milik Pian.
"Aduh, sakitlah bang!" Pian yang merasa penangan tersebut sudah menekup dahi sambil menahan sakit. Permukaan dahinya terasa pijar kini.
"Hah, padanlah dengan muka kau. Aku rasa lebih baik kau diam. Nanti tak pasal-pasal ada juga yang aku campak dalam kolah wuduk kang," ugut Qowiy sebelum dia bersandar semula di dinding. Jelas, aura gangsternya sudah kembali.
Ugutan tersebut berjaya menghentikan mulut bertih jagung Pian daripada terus bekerja. Hasilnya, dia turut sama bersandar di dinding surau mengikut jejak langkah Qowiy.
"Sakit ke?" Selepas beberapa ketika, barulah senior lelaki itu meringankan mulut bertanya.
"Gilalah kalau tak sakit. Abang jentik dekat satu tempat je, tapi tiga tempat rasa sakit."
"Wah, mantap! Cuba bagitahu aku tempat mana yang sakit tu."
"Sakit dahi, sakit hati, sakit otak. Tiga-tiga ni bergabung buat saya rasa nak nangis bang," tutur Pian bersama mulut yang tersebek-sebek ingin melepas tangis.
Qowiy berdecit kecil. Dasar cengeng punya Pian. Itu baru dijentik sikit tau! Pian tak merasa lagi Badrul punya. Lagi sakit, lagi perit.
"Kau ni lembik betul. Cubalah belajar jadi kental. Ini tidak, baru jentik sikit dah bergenang air mata. Kita ni lelaki, Pian. Kenalah tunjuk kuat!" Serentak dengan itu, selamba saja dahi Pian dijentik buat kali kedua. Budak itu mengerang kesakitan. Qowiy hanya membiarkan lagak orang tiada perasaan.
"Lagi satu, takkanlah kakak kau tak pernah ajar supaya jadi kuat macam dia?" soal Qowiy. Sedikit hairan sekiranya Aisy tidak berbuat demikian. Yalah, Pian itu lelaki dan seharusnya lelaki lebih kuat, bukannya perempuan.
Kelopak mata si junior lantas mengecil tatkala soalan Qowiy menerjah ruang pendengaran. Sebuah jelingan tajam turut dihadiahkan tanpa teragak-agak. Kelakuan Pian membuatkan Qowiy bengang. Amboi, berani jeling senior nampak!
"Abang Qowiy, jadi lelaki tak bermaksud kita kebal sampai langsung tak ada perasaan. Abang jentik dahi saya kuat-kuat kot, mestilah sakit! Adeh... apalah Abang Qowiy ni." Pelajar tingkatan tiga itu menggeleng kesal.
"Kadang-kadang saya tak faham dengan stigma masyarakat. Asal lelaki je, tak boleh nangis. Asal lelaki je, mesti kena berkelakuan kasar. Sedangkan nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW terkenal dengan peribadi baginda yang lemah-lembut tau. Dalam Islam pun tak melarang kalau lelaki menangis. Bila sedih, hah menangislah. Tak ada apa yang salah pun. Cuma manusia je yang suka letak double standard, kononnya lelaki menangis nampak lemah. Padahal menangis tu fitrah manusia. Takkan nak tolak kot?" bidas Pian lagi, panjang dan lebar.
Hah, setepek! Tepat pula tu kena batang hidung sendiri. Diri Qowiy begitu terpukul sehinggakan dia pun tak tahu nak gelak ke nak nangis. Qowiy nak gelak sebab orang yang mentazkirahkannya sekarang ialah Pian. Dia pun nak nangis juga sebab kata-kata Pian terlalu sentap sehinggakan dia rasa terbakar.
"Bang, okey tak tu? Muka merah-merah ni, nak cendol ke?" Sempat lagi Pian menyakat. Senyuman mengusik turut diselitkan bersama.
Sedar dirinya dipermainkan, Qowiy mendengus geram. Tanpa banyak soal, dahi luas Pian sekali lagi menjadi sasaran. Jentikan kali ketiga.
"Ini denda sebab derhaka dengan senior," ujar Qowiy tidak beriak.
"Ouch, sakitlah bang! Siaplah Abang Qowiy bila Kak Aisy nampak tanda merah dekat dahi saya ni. Esok mesti muka abang yang lebam kena tumbuk dengan dia."
Bibir Qowiy terkumat-kamit bergerak, sengaja mengajuk cara cakap Pian. Kemudian, pandangan jengkel diberikan.
"Tengok tu. Sikit-sikit mengadu, sikit-sikit mengadu. Alahai kau ni Pian. Jadilah gentle sikit. Kau lembik-lembik macam ni nak ikut siapa? Iffat ke?" Boleh pula nama musuh sendiri dipetik.
"Abang Iffat?" Terkedip-kedip kelopak mata Pian tatkala nama itu disebut. Selang beberapa saat, wajahnya automatik bercahaya. Berseri.
"Bakal ketua pengawas tu kan? Uish Ya Allah, dialah idola saya bang! Dahlah baik, berani, rajin, berkarisma, bijak, berkepimpinan pula tu. Lagi-lagi waktu dia tolong Kak Aisy. Nampak sangat ciri-ciri bakal abang ipar!" Bersinar-sinar anak mata Pian tatkala menceritakan perkara tersebut.
Qowiy pula sudah kehilangan kata. Pujian melangit daripada Pian buatkan dia sesak nafas. Automatik tekak rasa loya tatkala mendengar segala auta yang keluar daripada mulut juniornya itu. Sungguh dia tak sangka begini reaksi yang bakal diterima.
"Hah, saya rasa lagi bagus kalau Abang Qowiy jadi macam dia. Abang Iffat tu memang contoh terbaik tau! Semua cikgu sayang dia, semua pelajar suka dia. Termasuklah saya," tambah Pian lagi seolah-olah tak ingin berhenti.
Qowiy melirik pandang pada Pian di sebelah bersama pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.
"Pian, kau tak salah orang kan? Aku rasa pujian kau yang melangit sampai kerajaan langit tadi macam lagi sesuai untuk Badrul je. Sebab yang malaikat tu Badrul, Iffat tu pula setan," komen Qowiy tanpa sedikit pun tapisan dalam katanya. Sambil itu, sempat lagi lubang hidung yang terasa gatal dikorek lalu sisanya senyap-senyap dijentik ke arah Pian yang masih tenggelam dalam kekaburan.
"Eh, betullah Abang Iffat. Mustahil saya tersilap orang." Bersungguh-sungguh Pian menafikan. Mendengarkannya, Qowiy sekadar mengangkat bahu. Biasalah, Iffat memang pandai berlakon. Kalau tak, tak adanya rahsia terbesar lelaki itu masih kekal dalam timbusan hingga saat ini.
Mengenangkan hakikat itu, Qowiy mengeluh berat. Dia penat.
Diksi Ilmu
stigma - perasaan tidak puas atau suka terhadap individu tertentu berdasarkan ciri-ciri yang mendapat tanggapan buruk masyarakat. Ia boleh datang melalui pelbagai faktor, sama ada ia berkaitan dengan budaya, obesiti, jantina, bangsa atau penyakit (Sumber: Wikipedia)
double standard - layanan serta tanggapan kepada dua golongan berbeza dalam satu perkara yang sama *contoh: golongan 1 dilayan seperti biasa, golongan 2 pula dilayan seperti VVIP (Sumber: Google)
︎❥︎❥︎❥︎
Alhamdulillah, done for chapter 19! Oyeahhh 😁🙌
Nak cakap, author pun rasa nak muntah waktu tulis dialog Pian puji Iffat 🙄😂
Thank you for reading, guys! Semoga bermanfaat 🥰
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro