BAD[AR]: 15
Kenderaan pacuan dua roda itu dihentikan betul-betul di hadapan sebuah rumah kedai. Kehadirannya pada malam itu disambut bersama sorakan kegembiraan. Qowiy menanggalkan topi keledar di kepala bersama sengihan.
"Huish, dah lama sangat tak nampak batang hidung kau, bro! Apa cerita?" Tajul datang mendekat menyua penumbuk tangan. Kemudian, belakang Qowiy ditepuk mesra.
"Haah, kau pergi mana weh? Bertapa dalam gua ke?" Giliran Syafiq pula bertanya.
Qowiy sekadar tersenyum simpul. Langsung tak berniat hendak menjawab soalan rakan-rakannya. Dia memanjangkan leher, mencari kelibat Opie. Insan yang menjadi penyebab kewujudannya pada malam itu.
"Geng, Opie mana?" Tajul dan Syafiq dilihat silih berganti.
Pantas saja riak wajah kedua-dua mereka berubah. Syafiq yang tertunduk perlahan-lahan mengangkat kepala memandang Qowiy. Terbit sebuah keluhan daripada bibir hitamnya.
"Tak payahlah jumpa dia. Opie bukan bos kita lagi," kata Syafiq. Tajul di sisi turut mengangguk membenarkan ujaran rakannya.
Dahi Qowiy kini berlapis membentuk kerutan. Hairan. Apa yang cuba disampaikan oleh Syafiq sebenarnya?
"Fiq, kau cakap apa ini? Aku tak faham." Wajah mendung Syafiq direnung mengharapkan jawapan.
"Tajul, apa dah jadi? Bagitahu aku. Jangan senyap macam ini weh," desak Qowiy lagi. Bahu rakan-rakannya digenggam kuat. Benak fikiran Qowiy mula wujud dengan pelbagai andaian.
"Qowiy."
Opie muncul dari arah belakang. Tiada tercoret sebarang riak pada wajah lelaki itu. Kosong dan beku seperti selalu.
"Apa kau dah buat Opie?" Qowiy terus menyerang bersama soalan.
"Kau, Syafiq dengan Tajul diberhentikan mulai hari ini."
Sepotong ayat itu cukup membuatkan Qowiy terkedu tanpa sebarang kata yang mampu dikeluarkan. Sungguh, dia langsung tak pernah menyangka perkara sebegini bakal berlaku. Mimpu ngeri yang tidak diundang kini datang bertandang.
"Kau mengarut apa ini? Kalau aku tak kerja, macam mana aku nak dapat duit?" sergah Qowiy dengan nada lantang. Amarahnya dihamburkan di situ juga. Sudah tidak dipedulikan lagi rasa hormat pada Opie yang jauh lebih tua.
"Keputusan ini dibuat bersebab Qowiy, bukannya membabi buta." Opie kekal tenang, cuba untuk menjelaskan keadaan sebenar.
"Bos beritahu aku, dia tak nak tanggung risiko lagi dengan ambil pekerja bawah umur. Dia pun tak nak kejadian malam itu berlaku buat kali kedua. Lagipun kau orang masih belajar dan belum ada lesen motor. Cukuplah Syafiq aje yang pernah merasa kena tahan lokap sebab tak ada lesen dulu," terang Opie panjang lebar.
Sebaik terdengar namanya turut terselit dalam perbincangan, Syafiq lantas menunduk segan. Mengaku salah.
"Tapi takkanlah tak boleh bagi kami masa? Semua ini berlaku secara tiba-tiba, tahu tak? Kau sendiri tahukan kami bukan orang senang. Kami perlukan duit." Tajul menyuarakan pendapatnya. Turut kesal dengan nasib yang menimpa.
Opie menggeleng. "Bos dah muktamad dengan keputusan dia."
Tiga helai sampul berwarna coklat pudar dikeluarkan dari beg kecil miliknya lalu diagihkan kepada tiga sekawan. "Dalam itu ada gaji terakhir kau orang untuk bulan ini. RM 200."
Masing-masing sudah tiada daya hendak membantah. Tahulah mereka bahawa Bos benar-benar memaksudkan katanya. Perkara tersebut bukanlah gurauan, sebaliknya kenyataan yang memeritkan. Pahit untuk ditelan.
Jam pun telah menginjak pukul dua pagi. Syafiq dan Tajul sudah bergerak pulang. Tinggallah Qowiy duduk sendirian di depan rumah kedai itu.
Berat hatinya hendak meninggalkan lorong gelap tempat dia menimba pengalaman. Tempat dia bertemu Opie yang sudi memberinya peluang bekerja. Tempat dia memulakan kerjaya sampingan sebagai pemunggah barangan di sebuah kedai perabot.
Buat ke sekian kalinya, sebuah keluhan berat dilepaskan.
"Qowiy."
Lelaki itu lantas menoleh mencari punca suara. Kelihatan batang tubuh Opie yang kini berdiri merenungnya bersama puntung rokok terselit di celah dua jari. Perlahan-lahan Qowiy menginjak ke tepi, memberi ruang untuk Opie mengisi tempat.
"Dalam hidup ini kita tak boleh kekal dekat satu tempat, Qowiy. Kita kena bergerak. Daripada situlah manusia belajar mencorakkan kehidupan."
Qowiy yang sedang ralit meratapi nasib diri agak tersentak dengan bicara tersebut. Pandangannya ditalakan pada Opie di sisi.
"Maksud kau? Aku tak faham."
"Bayangkan air yang hanya bertakung di dalam bekas dengan air sungai yang sentiasa mengalir. Mana satu yang lebih jernih?" soal Opie.
"Mestilah air sungai yang sentiasa mengalir lebih jernih." Laju Qowiy memberikan jawapan. Yakin.
Opie tersenyum. "Baguslah. Kau dah faham." Puntung rokoknya dibawa ke mulut lalu disedut dalam sehingga membebaskan kepulan asap di ruang udara.
Qowiy menjongketkan sebelah kening. Masih belum berpuas hati. Dia memerlukan penjelasan.
"Hei orang tua, janganlah cakap sekerat-sekerat macam radio rosak. Sambunglah cepat, aku nak dengar." Remaja lelaki itu pantas menggesa.
Opie mengekek ketawa sehingga menampakkan gigi kuning miliknya. Terhibur dengan gurauan kasar Qowiy yang menggelarnya orang tua. Memang dia dah tua pun. Umur pun sudah menjangkau lewat 40-an.
"Air sungai itulah menunjukkan kehidupan orang yang sentiasa bergerak, atau erti kata lainnya berhijrah. Mungkin proses hijrah itu mengalami naik dan turun sama seperti air sungai yang kadang-kadang deras dan perlahan, tetapi pergerakan itulah yang menyebabkan airnya kelihatan jernih."
"Cuba tengok keadaan air yang bertakung tanpa pergerakan. Keruh, kan? Sebab ia kekal pada tempat sama, menyebabkan air itu mudah bercampur dengan kotoran lain."
"Sama juga seperti hidup manusia. Apabila kita bergerak, kita akan belajar dan terdedah dengan lebih banyak ilmu yang akhirnya menjadikan kita insan lebih baik. Bukannya seperti air bertakung yang kekal keruh dek terus-terusan larut dengan kotoran. Untuk dalam kes kau ini, mungkin ada hikmah yang cuba Allah tunjukkan. Kita tak tahu, tapi Dia lebih tahu."
Qowiy terdiam lama, sambil mindanya ligat mencerna. Ini merupakan kali kedua dia mendengar perkataan hijrah selepas mendengarnya buat pertama kali daripada mulut Badrul.
Hijrah ini apa sebenarnya? Satu persoalan yang belum dapat dirungkaikan sehingga kini.
"Opie, aku nak tanya. Skrip dakwah mana kau hafal ini? Lancar aje kau baca. Aku kagum," puji Qowiy, ikhlas.
Hampir-hampir saja Opie tersedak asap rokok. Kaget dengan ulah bekas anak buahnya. Sesekali batuk keringnya dihamburkan.
"Oit! Tua-tua aku pun, aku ini tak adalah jahil sangat sampaikan kena hafal skrip nak nasihatkan orang."
Qowiy meleret sengih. Betul juga kata-kata Opie tadi. Sempat wajah lelaki tua itu direnung sekilas buat kali terakhir. Dia yakin, selepas ini pasti gurauan bersama Opie akan dirindui kelak.
𖣔𖣔𖣔
"Bad! Sini, sini!" jerit Qowiy pada kelibat Badrul yang kelihatan mencarinya dari jauh.
Badrul melangkah menghampiri rakannya yang sedang menanti di bawah pondok sekitar kawasan sekolah. Kemudian dia melabuhkan duduk di tempat kosong berhadapan dengan Qowiy.
"Bad, aku nak tanya kaulah. Sebenarnya hijrah itu...."
"Kenapa kau tipu aku?" Badrul terlebih dahulu memintas bersama riak serius tak lekang di wajah. Bicara Qowiy dibiarkan tergantung begitu saja.
"Hah? Ma... mana ada." Suara Qowiy gagap cuba menutup salah.
"Tak payah menipu lagilah, Qowiy! Seronok sangat ke memperbodohkan aku? Bagitahu aku sekarang. Kau buat apa dekat Iffat hah!" bentak Badrul. Serentak itu, muka meja ditepuk kuat.
Amarahnya begitu meluap-luap. Sakit di hati begitu mencucuk, lebih-lebih lagi teringatkan sahabat baik sendiri telah menghancurkan kepercayaannya selama ini. Serta-merta perbualannya bersama Iffat terlayar di ruang fikiran.
"Takkan tak tahu? Kawan kau punya pasal la," balas Iffat.
Badrul menjongketkan kening. Keliru.
"Qowiy? Dia buat apa?"
"Budak jahanam itu masukkan lipas dalam baju aku petang semalam."
Pendedahan yang didengar daripada mulut Iffat membuatkan mata Badrul terbuntang luas. Terkejut. Tergamam pada masa yang sama.
"Tak cukup dengan itu, dia sepak perut aku. Senak siot!" sambung Iffat lagi sambil tangannya dibawa memegang perut bersama dahi berkerut menahan sakit.
"Kau tak percaya? Sini aku tunjuk. Biar kau tengok dengan mata kepala kau sendiri." Baju T-shirt hitamnya ditarik separuh badan. Jelas menunjukkan kesan lebam yang mula bertukar biru. Bukan satu, malah di tiga tempat berbeza.
Badrul sudah kehilangan kata. Fikirannya terasa kosong saat ini. Sukar untuk percaya apa yang dilihat di depan mata. "Sebelum ini kau ada buat apa-apa ke dekat Qowiy? Aku yakin, dia takkan buat sesuatu tanpa sebab," ujar Badrul. Masih cuba mempertahankan rakan baiknya.
"Well, kalau kau tak nak percaya tak apa. Aku tak rugi apa-apa pun. Tapi kesian dekat kaulah, sebab masih lagi nak menangkan si setan yang disangka kawan."
Suara Qowiy tiba-tiba menerobos masuk ke cuping telinga. Sekali gus mengejutkannya daripada terus dihanyut lamunan.
"Aku... aku minta maaf. Aku mengaku salah. Petang itu, aku yang masukkan lipas dalam baju Iffat." Akhirnya, Qowiy memilih berkata benar. Namun, itu belum cukup melegakan hati Badrul.
"Lagi? Apa lagi benda teruk yang kau dah buat?" tanya Badrul dengan nada sinis yang terselit.
Qowiy mengangkat bahu. "Itu ajelah. Selepas itu, aku balik rumah macam biasa."
Badrul menggenggam penumbuk di bawah meja. Urat-urat merah mula timbul di sekitar kulit muka yang putih melepak. "Berhenti menipulah, Qowiy! Aku paling pantang dengan penipu, kau tahu tak?"
"Aku tak tipu, Bad! Aku cakap benda betul! Kenapa kau susah sangat nak percayakan aku ini?" Hairan Qowiy jadinya. Dia tahu, Badrul bukan begini.
"Kau sepak Iffat! Kau sepak adik aku sampai lebam! Mana letaknya kemanusiaan kau, hah!" Suara Badrul meninggi.
Kata-kata kawannya membuatkan Qowiy sedar akan sesuatu. Tahulah dia, pasti Iffat sudah mereka cerita tentang dia di hadapan Badrul. Tangan Qowiy naik menekup muka. Membiarkan Badrul menghambur marahnya.
"Aku sayangkan Iffat, Qowiy. Aku sayangkan dia sangat-sangat. Dia adik kandung aku, darah daging aku, saudara kembar aku. Tergamak kau buat macam itu. Kau tahu tak, selama ini aku sanggup berkorban segalanya untuk dia. Semata-mata supaya dia sayangkan aku, terima aku sebagai seorang abang dan hubungan kami jadi rapat. Tapi disebabkan kau Qowiy, semuanya musnah!"
Dada Qowiy terasa sempit dan sesak. Tipulah kalau dia tidak kecewa dengan tuduhan Badrul. Tetapi apabila mengenangkan semua ini hanyalah helah Iffat semata, dia tabahkan hati.
"Bad, aku cuma nak kau tahu yang aku tak pernah sepak Iffat. Petang itu, aku masukkan lipas dalam baju dia. Itu aje. Buat masa ini, mungkin kau tak percayakan kata-kata aku. Tak apa, aku faham. Aku balik dulu."
Qowiy bingkas menapak meninggalkan Badrul. Nampaknya, hasrat di hati ingin mengenal lebih lanjut berkaitan hijrah terpaksa dikuburkan. Atau... mungkin tiada langsung peluang untuknya berhijrah? Entah, Qowiy sendiri tiada jawapan.
❥︎❥︎❥︎
Syukur, alhamdulillah chap 15 dah selamat publish! ✨😊
Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang mendoakan kesihatan aye. Hiks, terharu. 😚 Maaf ye kerana buat korang tertunggu lama ehek. Jangan simpan dendam tau! ❤
Oh ya, berapa orang dekat sini yang anti-Iffat? Cer ngaku jap. Jangan ingat antivaksin je ada, anti-Iffat pun ada gak AHAHAHAHAH 🤣
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro