BAD[AR]: 14
Badrul bingkas masuk ke dalam kediaman banglo dua tingkat itu. Dalam tergesa-gesa, sempat lagi dia melemparkan senyuman buat Pak Yatt, pemandu peribadi keluarga mereka ketika berpapasan di garaj rumah.
Tatkala kaki menginjak ruang tamu, batang hidung ibu tercinta dicari terlebih dahulu. Mendengarkan bunyi ngilu periuk dan senduk berlaga, tahulah Badrul bahawa ibunya, Puan Heliza sedang bertungkus-lumus memasak di dapur. Automatik bibirnya meleret senyum.
"Assalamualaikun mummy! Bad dah balik!" laung Badrul. Selepas meletakkan beg sekolah di tepi pintu, barulah dia melabuhkan duduk di kerusi bar dapur.
Puan Heliza lantas menoleh mencari pemilik suara. Anak sulungnya sudah pulang. Tidak semena-mena terbit senyuman di tepi bibir wanita itu. Api dapur dimatikan.
"Waalaikumussalam. Bad balik rumah jalan kaki ke? Tercungap-cungap aje mummy tengok," soal Puan Heliza. Badrul bangun menyalam tangan si ibu.
"Haah. Jalan sekali dengan Qowiy tadi," balasnya. Mata Badrul tertumpu pada periuk di atas dapur.
"Ehem. Mummy masak apa? Bau macam sedap hehe."
"Mummy panaskan sup ayam untuk Iffat. Tadi mummy dah buatkan bubur, tapi dia tak nak pula. Nasib baik sup ayam semalam ada lagi. Tinggal panaskan aje," ujar Puan Heliza.
"Oh, sup ayam itu dah siap ke? Kalau dah, biar Badrul hantarkan dekat Iffat." Dia segera menawarkan diri.
"Nantilah dulu. Mummy nak tunggu sup itu sejuk sedikit."
Badrul mengangguk patuh. Tekak yang kering bagai gunung sahara terlebih dahulu dilegakan dengan aliran cecair sejuk melepasi kerongkong.
Sorotan matanya lantas jatuh pada cawan kaca bercorak di tangan. Hadiah pemberian Qowiy sewaktu hari lahirnya dua tahun lepas. Hadiah yang ringkas dan tidaklah semahal pemberian rakan-rakan serta peminat di sekolah. Cuma dia hargai sangat-sangat sebab datangnya daripada Qowiy, sahabat sejati sampai mati.
"Bad, mummy nak tanya sesuatu boleh?" Puan Heliza yang sedari tadi memerhati kelakuan anaknya membuka mulut.
Badrul mengangkat muka. "Tanyalah."
"Erm... Bad masih berkawan dengan Qowiy?" Riak serba-salah terlakar di wajah Puan Heliza. Mendengarkannya, Badrul mengukir senyuman kelat.
"Kenapa? Iffat suruh mummy pujuk Bad supaya berhenti kawan dengan Qowiy?"
"Bukan macam itu. Mummy cuma..."
"Tak apalah mummy. Bad nak hantarkan sup dekat Iffat. Kesian dia tunggu lama pula," pintas Badrul seraya bangkit dari duduk. Bukan berniat kurang ajar, namun hatinya tak tega mendengar bait kata yang bakal keluar daripada ulas bibir si ibu.
Baru beberapa anak tangga didaki menuju ke tingkat atas, kedengaran namanya diseru. Langkahnya terhenti.
"Bad... mummy minta maaf, okey?" Puan Heliza menatap wajah anak kesayangannya dengan rasa kesal membukit di hati.
Badrul menggeleng laju.
"No need. Mummy tak salah. Bad yang salah sebab degil tak nak ikut cakap mummy. Maafkan Bad," ucap Badrul sebelum berlalu pergi.
Puan Heliza mengeluh berat. Jari-jemari bergerak mengurut pelipis kepala. Silapnya juga, tidak menapis kata terlebih dahulu. Sedangkan dia tahu yang Badrul dan Qowiy memang lama berkawan baik. Malah boleh dikatakan hubungan mereka sangat rapat bagai isi dengan kuku.
Sebenarnya Puan Heliza pun tidaklah terlalu kejam untuk memutuskan persahabatan dua sekawan. Dia juga pernah berada di tempat Badrul. Mempunyai rakan karib yang dianggap bagai keluarga sendiri. Dia cuma hendak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Suara hati Badrul perlu didengar, pada masa yang sama suara hati Iffat perlu diambil kira.
"Assalamualaikum." Kehadiran seseorang lantas mematikan lamunan.
Pantas saja Puan Heliza maju menyambut kepulangan lelaki yang dicintai. Sebuah senyuman indah disertakan bersama.
"Waalaikumussalam." Kepala ditundukkan mengucup kekura tangan Encik Bakhtiar, suami sendiri.
"Badrul dah balik belum? Beg sekolah dia ada, orangnya mana?" Bebola mata lelaki korporat itu sesekali meliar mencari kelibat anak sulung.
Soalan itu dibiarkan tidak berjawab. Renungan wanita itu hanya dipaku pada lantai marmar yang berkilat tanpa sebarang kotoran. Melihatkan reaksi isterinya, Encik Bakhtiar pantas dapat meneka.
"Ini mesti pasal budak Qowiy tu lagi, kan?"
Lambat-lambat Puan Heliza mengangguk mengiakan. Belum berani mengangkat muka apatah lagi beradu empat mata.
"Heliza... Heliza. Berapa kali saya perlu beritahu awak? Biarlah Badrul itu berkawan dengan Qowiy. Awak tak payah sibuk nak jadi batu api. Jangan diikutkan sangat kepala otak Iffat itu. Macam awak tak tahu, dia mana pernah puas hati dengan abang dia," kata Encik Bakhtiar.
"Tapi bang, takkan abang tak kesiankan Iffat? Kesian budak itu tak ada siapa pedulikan cakap dia." Penuh teratur dia mengungkap bicara. Mana tahu, suaminya berlembut hati.
Encik Bakhtiar menggelengkan kepala. Sebuah keluhan berat terlepas daripada bibir.
"Saya tak ada masalah untuk turutkan permintaan dia. Tapi awak tengoklah, cuba nilai sendiri. Mula-mula paksa Badrul merayu untuk terima semula dia sebagai pengawas, kemudian nak suruh Badrul putuskan persahabatan dengan Qowiy pula. Awak tak rasa Iffat itu dah melampau ke?" Di hujung kata, lelaki itu menzahirkan kekesalan.
Puan Heliza sudah tak mampu berkata-kata. Segala apa yang dikatakan suaminya benar belaka. Terbit pula rasa kasihan mengenangkan wajah kelat Badrul sebentar tadi. Jelas anak lelakinya itu sedang berjauh hati.
"Kesian Badrul...," tutur Puan Heliza tanpa sedar.
"Hah, tahu tak apa. Kesian anak bujang saya. Itulah awak Heliza, sibuk sangat nak jaga hati anak kesayangan awak. Sampaikan anak saya pun terabai."
Mendengarkannya, tangan wanita itu pantas naik mencekak pinggang.
"Eh eh, kenapa awak cakap macam Iffat bukan anak awak ni? Badrul dan Iffat, dua-dua anak kita tau! Jangan nak pilih-pilih pula." Amaran keras diberikan.
"Tapi kalau ditanya siapa penyejuk mata, awak akan jawab Badrul, kan?" Sengaja Encik Bakhtiar bertindak menduga si isteri. Puan Heliza tergamam buat ke sekian kali.
"Mestilah Badrul tapi..."
"Hah, tu dah pilih. Mana boleh ada tapi tapi," giat Encik Bakhtiar lagi. Puan Heliza mencebik bibir tak puas hati.
Tapi jujur, dia perlu akui yang Badrul itu istimewa. Sampai bila-bila takkan ada sesiapa yang dapat menggantikan. Hatta Iffat sekalipun takkan pernah mampu. Selamanya takkan.
𖣔𖣔𖣔
"Iffat... boleh aku masuk?" pinta Badrul setelah tiga kali pintu bilik adiknya diketuk namun tiada sebarang tindak balas diterima.
Selang beberapa saat barulah tombol pintu dipulas dari dalam. Terpampang Iffat yang terduduk lesu di atas katil miliknya. Batuk kering sekali-sekala menerpa cuping telinga.
"Hmm... masuklah." Suara itu sudah hilang barannya. Jika tidak, pasti hamburan dan makian saja ditelan oleh Badrul.
Mangkuk sup ayam yang masih berwap panas diletakkan di atas meja kecil sebelah katil. Dia kemudian duduk menghadap Iffat.
"Demam lagi?" soal Badrul, prihatin.
Iffat melakar senyum sinis di bibir pucatnya. "Soalan bodoh macam itu aku takkan jawab. Next question please."
Badrul masih setia mengukir senyum. Nampaknya dia tersilap jangkaan. Rupa-rupanya carutan masih belum hilang daripada bibir Iffat.
"Saja tanya. Mana tahu dah sihat. Yalah, kau pun stupid juga sebab tak nak makan ubat," provok Badrul semula.
Berdesing telinga Iffat mendengarnya. Tak lain tak bukan pasti mummy yang mengadu. Iffat lantas mengawal riak muka agar tidak terlalu ketara.
"Sebab inilah aku larang kau berkawan dengan budak miskin tu. Cakap pun dah makin kurang ajar sekarang. Adab mana adab?"
Kata-kata Iffat membuatkan Badrul sendiri geli hati. Adiknya itu lupa agaknya, adab dia sendiripun menghilang entah ke mana. Namun bisikan itu hanya mampu terluah di dasar hati. Cukuplah, lagipun tujuan asalnya bukan untuk mengeruhkan keadaan.
Malas hendak memanjangkan perbualan, Badrul sebaliknya berlalu mendapatkan mangkuk sup ayam buat Iffat.
"Nah, makan."
Huluran mangkuk itu dirampas kasar daripada tangan Badrul. Tiada langsung iringan terima kasih. Hati Iffat masib meruap-ruap menahan bengang dan sakit hati pada masa yang sama. Masakan tidak, Badrul langsung tak terkesan dengan kata-katanya.
Tindak-tanduk Iffat menjamah sup itu cukup untuk membuatkan perut Badrul berdondang sayang. Maklumlah, dia sendiri pun belum sempat menjamah makan tengah hari akibat tergesa-gesa pulang ke rumah ingin membantu ibu menjaga Iffat.
"Macam mana kau boleh demam? Asyik meracau pula itu. Tengok keadaan kau, aku pula yang rasa tak sedap badan," luah Badrul. Kebiasaannya memang begitupun. Jika salah seorang daripada mereka jatuh sakit, tak lama kemudian pasti seorang lagi menurut.
Pergerakan Iffat hendak menyudu kuah sup ke mulut serta-merta terhenti. Kepala diangkat memandang Badrul.
"Takkan tak tahu? Kawan kau punya pasal la," balas Iffat.
Badrul menjongketkan kening. Keliru.
"Qowiy? Dia buat apa?"
"Budak jahanam itu masukkan lipas dalam baju aku petang semalam."
Pendedahan yang didengar daripada mulut Iffat membuatkan mata Badrul terbuntang luas. Terkejut. Tergamam pada masa yang sama.
Maksudnya... Qowiy tipu dia?
❥︎❥︎❥︎
Heyyooo! Alhamdulillah done for chap 14 ✨🎉
Macam mana untuk kali ini? Okey ke? Hek hek maaf kalau ada terkurang dkt mana-mana 😬
Jgn lupa add dalam library dgn RL korang tau. Kalau rasa best, ashilelah share dkt kawan-kawan ehehehe 😚
Thank you kpd yg sudi baca 😍❤️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro