BAD[AR]: 10
"Sebab saya takut awak bawa pengaruh buruk dan kembalikan semula perangai lama dia. Tolonglah... saya betul-betul tengah cuba nak bantu Qowiy kembali ke landasan yang betul. Saya tak nak kehadiran awak buat dia ragu-ragu untuk berubah."
Aisy terkedu dan terdiam selama beberapa saat. Kemudian, bibirnya perlaham-lahan membentuk senyuman. Badrul memandang pelik. Rasanya dia cakap dengan penuh serius dan teratur tadi. Kenapa Aisy senyum?
Aisy memandang wajah Badrul sebelum bibirnya menyuarakan balasan.
"Awak tak percaya yang saya betul-betul dah berubah sekarang?" Aisy serkap jarang. Soalan itu pantas membuatkan mulut Badrul terkatup rapat. Serba-salah pula hendak menjawab. Lambat-lambat, kepalanya dianggukkan.
Bingo! Aisy mengukir senyum kelat. Sudah diagak itu jawapan Badrul.
"Demi Allah, saya betul-betul dah berubah dan andai diizinkan saya tak nak kembali lagi ke zaman jahiliah dulu. Mungkin saya taklah sebaik awak, tapi saya cuba untuk istiqamah. Dan saya rasa awak tak payahlah susah-susah nak jauhkan saya dengan Qowiy. Usaha awak takkan berbaloi. Saya tetap akan berada dekat dengan Qowiy. Macam mana awak rapat dengan dia, macam itu juga saya akan sentiasa ada. Sebenarnya tujuan kita sama, nak bantu Qowiy supaya lepaskan diri daripada masa lalu dia," ujar Aisy lagi.
Badrul tunduk membisu. Mati-mati dia menyangka Aisy berpura-pura baik di depannya dan Qowiy. Rupa-rupanya, dia silap. Rasa kesal menggunung tinggi disebabkan sangka buruknya selama ini.
"Betul ke ni?" Badrul meminta kepastian buat kali terakhir. Kelopak matanya dikecilkan menghadap si gadis.
Aisy mengangguk tanpa ragu-ragu. Tangan kanannya juga diangkat ke sisi lagak sedang berikrar. "Betul. Aisyatul Rihanna berkata benar, wahai Badrul Amin."
Badrul sekadar mengangkat kedua belah bahu. Pergerakan kaki kembali disambung, melangkah tanpa suara. Kenyataan yang meniti di bibir Aisy tadi sedikit sebanyak membuatkan dia lega.
Setelah beberapa minit berjalan, bayang kediaman kayu milik Qowiy mulai kelihatan. Aisy dan Badrul bertindak mendekat sebelum berhenti tepat di depan halaman rumah.
"Assalamualaikum..."
Tanpa dipinta, suara mereka bergabung serentak memberi salam. Pantas saja Aisy dan Badrul memandang satu sama lain. Jelas terlakar riak kekok di wajah masing-masing. Dah macam budak-budak terjah rumah orang nak minta duit rayalah pula.
Pintu kayu itu terbuka dari dalam. Saat itu, terjengul wajah cemberut Qowiy yang sedang bersandar di muka pintu sambil berpeluk tubuh. Badrul dan Aisy sempat menangkap pelekat Cool Fever yang menghias dahi Qowiy.
Tahulah mereka sebab lelaki itu tidak hadir ke sekolah. Demam rupanya. Kedua-dua pengawas sekolah itu mengulum senyum. Cuba untuk menahan tawa melihat keadaan rakan mereka. Hilang sudah aura gangsternya. Sekilas pandang, macam budak-budak tak cukup gula-gula. Comel!
"Nak apa datang rumah aku ni? Dah lupa jalan balik rumah sendiri ke?" Sempat Qowiy memerli. Jengkel dengan kehadiran tetamu berdua yang langsung tak diundang.
Badrul lantas berdehem kemudian tersenyum senget. "Kami tak lupa jalan balik pun, kau tu je yang lupa nak jawab salam." Shoot! Tembakan Badrul sentiasa tepat mengena sasaran, tak pernah tersasar.
Mendengarkannya, Qowiy mencebik bibir. Sakit hati pula dengan kata-kata Badrul. Habis jatuh maruahnya di hadapan Aisy. Ceh!
"Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh!" Jawapan salamnya sengaja dibuat dalam nada meninggi. Tunjuk protes.
Aisy tersenyum melihat keletah dua orang sahabat itu. Baru dia sedar, apabila Qowiy bersama Badrul, lelaki itu mudah mengalah dan akur tanpa bantahan. Sikap barannya juga tak terlalu menonjol. Sekali pandang, seperti hubungan adik dan abang.
"Hah masuklah cepat, nanti tak pasal-pasal Bawang Rangers cakap aku kejam sebab biarkan tetamu dekat luar." Mendatar suara itu mempelawa masuk ke dalam rumah. Aisy dan Badrul mengikut dari arah belakang.
𖣔𖣔𖣔
Ruang tamu itu sunyi walaupun terdapat tiga orang di tempat yang sama. Masakan tidak, masing-masing hanya memandang satu sama lain tanpa sepatah kata bagaikan ada emas di dalam mulut. Qowiy mengeluh. Dia tak suka suasana sunyi begini.
"Kalau datang sini semata-mata nak pandang muka Aisy tu, baik tak payah Badrul..." Qowiy berkata diiringi nada jengkel.
Pipi Aisy berbahang malu. Betul ke apa yang Qowiy cakap tadi? Badrul tengah pandang dia? Alhamdulillah!
"Woi! Aku tak pandang dialah! Haram, haram!" sangkal Badrul sekeras-kerasnya. Hakikatnya dia tak pandang Aisy pun. Dia pandang langsir dekat belakang Aisy itu hah, asyik bergerak saja ditiup angin. Qowiy sengaja melebih-lebih. Dasar kawan kurang berguna. Nak bergurau pun tak agak-agak.
Kuncup terus bunga-bunga yang baru hendak memekar di hati Aisy. Hmm... sedih!
Qowiy tersengih sumbing. Lidah dijelirkan kepada Badrul. Padan muka!
"Owen, mak kau mana?" soal Aisy. Bebola matanya meliar ke sekeliling. Bukannya apa, bimbang juga andai dia seorang saja perempuan di dalam rumah ini. Tak manis!
Baru saja Qowiy hendak membuka mulut, Puan Latifah muncul dari dapur sambil menatang dulang. Tiga buah gelas kaca diletakkan di atas meja lalu air sirap sejuk dituang ke dalam setiap satu.
"Mak cik ada je ini Aisy. Rindu mak cik ke?" seloroh Puan Latifah. Aisy tersenyum lebar. Wanita itu masih sama, sentiasa ramah melayannya.
Tangan dihulur untuk bersalaman dengan wanita tua yang dihormati. Kemudian, tubuh itu dibawa ke dalam pelukan. Erat. Rindunya dia terhadap Puan Latifah langsung tak terungkap dengan kata-kata.
"Mak Ifah sihat? Lama dah kita tak jumpa." Wajah yang kekal berseri dengan senyuman ditatap lama.
"Alhamdulillah, mak cik sihat. Aisy dengan Badrul baru sampaikan, jemputlah minum," pelawa Puan Latifah sebelum dia mengundur diri. Tinggallah mereka bertiga saja di ruang tamu.
Aisy mempamerkan riak bersahaja. Gelas berisi air sirap lantas dibawa rapat ke bibir. Dia tahu, saat ini terdapat dua pasang mata yang memandangnya. Satu, pandangan tajam daripada Qowiy. Dua, pandangan ingin tahu daripada Badrul.
Usai menyejukkan tekak, gelas tersebut diletakkan semula ke tempat asalnya seraya berkata,
"Badrul, kalau awak nak tahu saya dah lama kenal Puan Latifah. Dan Qowiy, aku tak buat jenayah jadi jangan pandang aku macam tu."
Badrul mengangguk faham. Namun berlainan pula dengan Si Qowiy. Lagi dilarang, semakin tajam renungan diberi.
Bersikap tidak ingin mengendahkan, Aisy pantas saja menukar topik perbualan.
"Qowiy, sebenarnya aku datang ni bukan setakat nak jumpa Mak Ifah, tapi aku nak kita bincang pasal BADAR tahun depan," terang si gadis seraya meletakkan fail BADAR yang dibawa bersama di atas meja.
Pandangan Qowiy naik menghadap Aisy di depan mata. Kedua belah tangan dilingkar ke dada, berpeluk tubuh. Senyuman sinisnya terbit di tepi bibir.
"Oh ya? Kenapa aku kena ikut cakap kau pula ni? Sekarang aku ketua... atau kau yang ketua?" Penuh bongkak bicara itu diluah. Hakikatnya, dia tak suka mendengar arahan diktator daripada gadis itu.
Aisy masih teguh dengan senyuman. Langsung tak tergugat dengan bicara Qowiy yang baginya kurang adab dan akhlak. Tapi tak mengapa, perkara tersebut bukanlah masalah besar memandangkan dia dah terbiasa menadah telinga sebelum ini.
"Well... kalau macam itu aku nak tanya kau pulalah. Besar sangat ke kuasa Ketua BADAR tu sampai kau berani melawan arahan cikgu?"
Qowiy mendengus geram. Barisan gigi hadapannya diketap kuat.
"Lain kali, bagilah tahu awal-awal cikgu yang suruh! Kan senang! Sebenarnya kau memang sukakan tengok aku macam orang bodoh dekat sini?" Nada Qowiy meninggi. Badannya yang sedia panas bertambah panas dengan kata-kata pedas Aisy. Cool Fever yang tertampal di dahi pun tak terasa dinginnya lagi.
Ah, sudah! Badrul kaget tatkala merasakan aura Perang Dunia Ketiga bakal bermula tak lama lagi. Percaturannya untuk membawa Aisy bersama datang bertandang ke rumah Qowiy rupanya semakin menambah masalah.
Melihatkan Aisy yang juga berkira-kira hendak bangun mengungkap kata balas, Badrul mengambil langkah memintas. Dia berdiri betul-betul di tengah-tengah.
"Eh eh dahlah... jangan bergaduh. Tak matang, tahu tak? Come on, kita dah nak masuk 17 tahun. Kau orang berdua ni mesti tak minum susu Anlene waktu baby. Sebab itulah tak cukup DHA, macam orang tak ada otak nak berfikir." Badrul menggeleng-geleng kepala berulang kali disertai riak wajah kesal.
Aisy menjongketkan kening. Niatnya hendak menyembur Qowiy serta-merta hilang. Otaknya sekarang ligat mencerna kebenaran fakta Badrul. Macam ada yang tak kena saja.
"Eh mangkuk, kau pun kalau tak cukup DHA jangan malu nak mengaku. Susu Anlene tu untuk orang tua! Susu Dutch Lady la weh!" bidas Qowiy. Bibirnya mengeluh berat. Stres dapat kawan macam Badrul.
Roman muka Aisy yang tadinya menegang perlahan-lahan berubah kendur. Malah diganti dengan senyuman yang mulai terbit.
"Hahaha nice! Sekarang saya dah tahu siapa yang tak berotak," sakat Aisy sebelum tawanya dan Qowiy bersatu.
Merah padam muka Badrul jadinya. Adeh, niatnya nak menghentikan perbalahan akhirnya diri sendiri yang terbahan. Tapi tak apalah. Ada juga hikmahnya. Sekurang-kurangnya dia tahu tiada peperangan yang bakal tercetus pada petang itu.
Puan Latifah yang mengintai dari ruang dapur tersenyum nipis. Rezeki hari ini, dapat juga dia mendengar sekali gelak tawa Qowiy. Syukur, alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah di atas nikmat-Mu ini. Jauh di lubuk hati dia berdoa semoga satu hari nanti gelak tawa itu bakal menghiasi hari.
Diksi Ilmu
DHA (Docosahexaenoic Acid) - sejenis asid lemak omega-3 yang berperanan membentuk komponen penting dalam sel membran fetus terutama di bahagian otak dan retina mata.
❥︎❥︎❥︎
Alhamdulillah, syukur dapat siapkan bab 10 😁
Yeay, BAD[AR] dah 10 bab! 🎉
So, setakat ni macam mana geng? Okey ke tak tu? Masih berminat nak baca sampai ending? 🙈
Terima kasih banyak-banyak kepada korang yang masih setia sampai bab ini ehek. Nah bunga 🌷
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro