Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAD[AR]: 09

Perlahan-lahan pintu papan itu dibuka dari dalam. Penuh hati-hati, bimbang mengeluarkan bunyi yang akan mengganggu lena si penghuni. Sebelah kakinya sudah berada di luar, bersedia untuk melarikan diri.

Sorotan matanya tak lepas memerhatikan sebuah pintu bilik yang kekal tertutup rapat. Dengan harapan semoga kehilangan dirinya pada malam ini tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Cuping telinga tidak betah menahan bebelan lagi.

Ketika kedua belah kaki sepenuhnya berada di luar rumah, dia menghela nafas lega. Akhirnya! Sorakan girang meniti di bibir.

Tanpa berlengah, motosikal yang diparkir di halaman rumah ditunggangi. Saat kenderaan pacuan dua roda itu membelah udara malam, dirinya bagai terbang di awang-awangan. Dia rasa bebas! Bebas daripada pengawasan wanita tua itu. Jika tidak, pasti ada saja kata larangan sehingga dia pun sebal mendengar.

Putaran rodanya berhenti apabila lampu isyarat menunjukkan warna merah. Bebola matanya bergerak memerhatikan ragam orang sekeliling. Tak lama sebelum pandangan Qowiy jatuh pada sebuah keluarga yang sedang melintas jalan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Pasangan ibu bapa itu bersama menggenggam tangan anak mereka di kiri dan kanan. Pautannya begitu erat bagai tak mahu dilepaskan. Entah apa kena dengan emosinya pada malam ini, mudah saja tangkai hati tersentuh.

Qowiy pernah mempunyai keluarga sebegitu dulu. Lengkap dan sempurna dengan kehadiran ibu, ayah dan dirinya. Namun kini semua hanya tinggal debu. Rahsia dan hakikat nan satu itu begitu sukar untuk diterima. Lebih-lebih lagi selepas kematian arwah ayah.

'Ayah, Qowiy rindukan ayah...'

Begitu sebak dia meluahkan isi hati yang paling dalam. Pelupuk mata yang basah pantas diseka dengan ibu jari. Qowiy tak suka air mata. Baginya, air mata buat dia nampak lemah jauh dari gagah. Malah tidak selari dengan maksud namanya sendiri, yang bererti kekuatan.

Bunyi hon dari kenderaan belakang lantas menyedarkannya ke dunia nyata. Habis bersepai segala memori bersama si ayah. Pedal dipulas, roda motorsikal itu kembali berputar di atas jalan.

Qowiy membelok ke kanan apabila tiba di persimpangan. Lorong-lorong gelap dilalui tanpa sedikitpun rasa gentar. Dia dah biasa malah hampir setiap malam laluan itu ditempuh tanpa sebarang halangan atau masalah.

Semakin jaraknya hampir dengan tempat operasi pemunggahan barang, semakin kuat bunyi siren itu menerpa telinga. Akibat tak sedap hati, Qowiy lantas memperlahankan motosikal yang sedang ditunggangi. Pendengaran cuba dipicingkan mencerna bunyi asing yang tiba-tiba muncul.

Tak lama kemudian, telefon bimbitnya pula berdering minta diangkat.

"Qowiy! Dengar cakap aku, jangan datang sini. Polis tengah buat serbuan. Kalau kau datang, mampuslah! Syafiq dah kena tangkap. Aku tak nak kau pula terima nasib sama nanti," bisik Opie, teman sekerjanya.

Terketar-ketar tangannya hendak memegang telefon tatkala mendengar perkataan polis keluar daripada mulut Opie.

"Ma... macam mana boleh ada serbuan pula ni? Kau... kau okey tak? Geng-geng yang lain? Bos?" Bayangan wajah rakan-rakannya terlayar di ruang mata.

"Yang itu kau tak payah risau. Kita orang okey. Cuma itulah, kesian budak Syafiq tu. Tak pasal-pasal kena tidur lokap pula malam ni," ujar Opie lagi dengan nada kesal. Rasa bersalah menggunung tinggi kerana gagal menjaga orang bawahannya.

"Tak apalah, esok lusa kita bincang balik. Aku nak kau balik rumah terus. Jangan nak merayau mana-mana pula. Polis tengah rajin buat roadblock. Nak-nak lagi budak tak ada lesen macam kau dengan Syafiq, memang kena ngaplah."

Qowiy diam tanpa membantah. Betul juga kata Opie tadi. Panggilan tersebut lantas diputuskan sebelum kenderaannya berpaling meninggalkan kawasan gelap itu.

𖣔𖣔𖣔

"Badrul!" Seruan nama itu cukup membuatkan Badrul menoleh mencari gerangan empunya suara.

Berdiri tak jauh darinya kini ialah batang tubuh milik Aisy yang kelihatan manis bertudung labuh. Di tangannya juga seperti memegang sesuatu.

"Ya, ada apa? Kenapa panggil saya?" soal Badrul.

"Saya nak tanya, awak nampak Qowiy tak? Sebab saya ada perkara penting nak bincang dengan dia." Gadis itu menerangkan tujuan asal. Fail BADAR yang dipeluk sedari tadi ditayang kepada pengawas lelaki itu.

Badrul terdiam. Sel-sel otaknya ligat berfikir. Bagaimana dia nak cakap ya? Hmm...

"Qowiy tak datang sekolah hari ni. Sebab apa, saya sendiri tak pasti." Sesekali jam digital di pergelangan tangan kanan dikerling.

Riak muka Aisy lantas berubah. Sebuah keluhan dilepaskan. Sangkanya dia dan Qowiy dapat berbincang mengenai hala tuju BADAR tahun hadapan sebelum peperiksaan akhir tahun berlangsung. Ternyata dia silap.

Nampaknya, lambat lagilah urusan ini akan selesai. Sebolehnya Aisy tak mahu terikat dengan apa-apa perkara ketika menghadapi peperiksaaan. Bimbang dia tak dapat fokus menelaah pelajaran.

"Sebenarnya, saya nak pergi ziarah Qowiy dekat rumah dia. Awak nak ikut sekali?" pelawa Badrul. Kasihan pula melihat air muka gadis itu yang kelihatan mendung. Pastinya urusannya dengan Qowiy melibatkan perkara penting.

Mendengarkannya, kepala Aisy lantas mendongak. Wajah kacak Badrul dipandang lama tak percaya. Degup jantungnya tak payah cakaplah, mulalah rasa lain macam. Macam... jatuh cinta. Automatik pipinya berbahang malu dengan perasaan sendiri.

"Aisy? Awak okey tak ni?" Tangannya dilayangkan di hadapan Aisy. Manalah tahu gadis ini tertidur sambil buka mata. Haru jadinya!

Pantas dia tersedar. Aip! Malu pula kena tangkap ushar anak teruna orang. Hiks, gatal betul kau ini Aisy!

"Hah? Err... aaa... okeylah saya ikut." Gagap-gagap pun, persetujuan tetap diberi. Maklumlah, pujaan hati yang pelawa. Sama pula itu seperti gambaran mimpinya malam tadi.

Mereka berjalan beriringan keluar dari pintu pagar. Perjalanan kaki diteruskan menuju ke rumah Qowiy yang jaraknya sekangkang kera dari kawasan sekolah. Cuma itulah, Badrul sendiri musykil macam mana setiap hari Qowiy boleh datang lewat. Hmm... anggap sajalah hidayah masih belum sampai mengetuk hati kawannya itu.

"Awak dah lama kenal Qowiy?" Pertanyaan Aisy memecah sunyi sewaktu berjalan.

Sekilas wajah itu dipandang dari sisi.

"Tak adalah lama sangat. Sejak dari tingkatan satu lagi," balas Badrul.

Aisy mengangguk. Sempat dia mencongak dalam otak. Sudah menjengah empat tahun juga usia persahabatan dua rakan itu.

"Aisy pula? Qowiy kata kau orang berdua dah lama berkawan." Giliran Badrul bertukar soalan. Tiba-tiba rasa ingin tahunya memuncak.

Gadis itu tersenyum nipis seraya menunduk seketika.

"Dia jiran saya dulu. Kami satu sekolah juga sebab itulah boleh rapat. Tapi lepas saya pindah, kami dah tak berhubung. Sampailah saya dapat tahu yang dia sekolah dekat sini."

"So... awak pindah sini sebab nak jumpa Qowiy?" pintas lelaki itu. Tak silap Badrul, gadis ini merupakan pelajar yang baru berpindah ke sekolah mereka tahun lepas. Aisy mengangguk mengiakan. Memang itupun tujuan asalnya. Berada dekat dengan Qowiy.

Badrul lantas terdiam. Tak sangka pula tekaannya selama ini tepat mengena sasaran. Dalam diam, dia mula menyusun kata sebelum diluah.

"Aisy, boleh tak awak jauhkan diri daripada Qowiy?"

Gerakan langkah pengawas perempuan itu terhenti. Jelas kelihatan riak terkejut di wajahnya. Permukaan dahi membentuk kerutan bagaikan mempersoalkan.

Badrul menghela nafas dalam.

"Sebab saya takut awak bawa pengaruh buruk dan kembalikan semula perangai lama dia. Tolonglah... saya betul-betul tengah cuba nak bantu Qowiy kembali ke landasan yang betul. Saya tak nak kehadiran awak buat dia ragu-ragu untuk berubah."

❥︎❥︎❥︎

Alhamdulillah, done for chapter 9 ✨😁

Macam mana dgn episod ni? Suka tak? Kalau tanya saya, saya suka! Ehek 🙈

Nak tanya, antara #Aisyadrul dengan #Qowisy korang prefer yg mana? 😜
(sesuka hati aku je cipta nama kapal ni hshshsh)

Enjoy reading, guys! Semoga bermanfaat ❤️




























Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro