Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAD[AR]: 08

Latar hijau seluas mata memandang melayari ruang mata. Sudah hampir 10 minit berlalu, namun tiada sepatah kata pun yang keluar. Masing-masing tunduk, mengambil keputusan melayan perasaan sendiri.

Qowiy akhirnya tewas. Tidak betah berlama-lama dihurung kesunyian.
"Kenapa kau cadang nama aku untuk jadi pengawas? Gila ke apa?"

Barulah Badrul mengangkat kepala menjadikan pandangan mereka setentang. Ulas bibirnya mengoyak senyuman.

"Aku nak kau belajar pikul tanggungjawab." Ringkas namun penuh maksud tersirat.

Sayangnya, otak Qowiy belum cukup mampu untuk memahami maksud kawannya itu. Apa yang dia nampak sekarang, Badrul seperti hilang otak. Membuat keputusan tanpa berfikir.

"Weh Bad! Aku ini dengan diri sendiri pun tak bertanggungjawab, apatah lagi nak pikul tanggungjawab yang lain. Memang hancurlah nanti!" bidas Qowiy, sekeras-kerasnya.

Badrul masih sama, riak tenangnya kekal malah langsung tak luntur. Segala persoalan Qowiy sudah disiapkan hujahnya. Tinggal tunggu masa saja nak mematahkan setiap satu.

"Nama pun belajar pikul tanggungjawab, kan? Jadi tak kisahlah kalau hancur pun. Orang yang belajar takkan pernah lepas daripada kesilapan." Begitu tenang dan yakin dia berhadapan dengan Qowiy yang hampir menjadi naga.

"Oh habis tu, kau nak aku jahanamkan organisasi BADAR tu? Semata-mata untuk proses belajar? Otak kau letak dekat siku ke Badrul Amin?" soal Qowiy dengan sinis. Geram jadinya mendengarkan hujah Badrul.

Gerangan pengawas berbaju biru itu melepas tawa. Rasa kelakar pula melihat kulit sawo matang rakannya kini berbahang merah. Macam udang kena bakar pun ada. Baru dia tahu, seronok juga bermain api dengan Badrul Qowiy.

Badrul menghabiskan sisa tawa yang ada tatkala sedar renungan rakannya tak lepas sedari tadi. Bagai helang menunggu mangsa untuk diterkam.

"Ya, aku akui orang yang belajar tak pernah lepas daripada kesilapan. Tapi itu tak bermakna mereka tak boleh buat pembetulan," balas Badrul.

Kali ini, Qowiy terdiam. Ligat mencerna bicara lelaki itu yang penuh 'bunga-bunga cinta'. Satu perkara yang dia tak suka tentang Badrul, gemar berpuitis dalam ungkapannya. Kadang-kadang jenuh juga dia hendak menterjemahkan satu-satu.

"Maksud kau apa sebenarnya? Aku tak faham." Qowiy dah mengalah, tak mampu nak mentafsir isi tersirat yang terselit. Tak tahulah sama ada kata-kata Badrul terlampau tinggi bahasanya atau otaknya sendiri yang memang bengap.

"Belajar daripada kesilapan yang kau pernah buat. Baiki semula supaya menjadi lebih baik. Ada faham?" Barulah Qowiy terangguk-angguk mengerti.

"Apa yang kau buat sampai semua cikgu disiplin setuju ambil aku jadi pengawas ni?" tanya Qowiy lagi. Tatapan matanya ditala lurus pada batang tubuh Badrul di sebelahnya.

"Aku cuma cakap yang kau tengah dalam proses hijrah, nak berubah jadi baik dan kau tengah slow-slow nak tinggalkan segala kejahatan yang kau pernah buat. Selepas itu, tahu-tahu je cikgu terima. Habis cerita."

Tak tahan mendengar cerita Badrul, penumbuk kiri dan kanannya digenggam. Badrul memang nak kena!

"Kepala charger lu! Sejak bila pula aku kata nak berhijrah ni? Aku unta pun tak ada, macam mana nak berhijrah? Apa kau fikir sekarang zaman Rasulullah ke nak hijrah-hijrah?" tempelak Qowiy.

Badrul menarik nafas panjang. Rakannya ini perlu segera disedarkan sebelum keadaannya semakin tenat.

"Qowiy... aku nak tanya kau. Sampai bila kau nak berkampung dalam kebodohan, kejahilan dan kebangangan kau sekarang? Tak takut mati ke?"

Wah! Qowiy pula yang termangu sendiri. Rakannya nan satu ini memang jarang mencarut, tapi kalau dah keluar macam-macam maksudnya geram sangatlah itu.

Selepas mengungkapkannya, mulut Badrul terkumat-kamit beristighfar. Tak pasal-pasal bertambah senarai catatan amal buruknya hari ini. Qowiy punya pasal la ni!

Kemudian, Badrul menyambung kata seraya tangannya direhatkan di bahu Qowiy.

"Hijrah tak semestinya dekat zaman Rasulullah saja kawanku. Zaman sekarang pun kita boleh berhijrah juga. Sesuailah dengan makna hijrah yang bermaksud perpindahan. Kalau kau nak tahu, berubah daripada jahat menjadi baik pun dikira hijrah tau. Balasan dia tak payah cakaplah, memang Allah dah mention awal-awal dalam Al-Quran. Surah An-Nisa' ayat 100. Firmannya; Barangsiapa yang di jalan Allah, pasti mereka akan menemukan di bumi ini tempat penghijrahan yang luas dan banyak rezeki. Lagi satu, nak berhijrah ini kita tak perlukan unta pun. Tapi kita perlukan sokongan. Itu yang paling penting," terang Badrul lagi.

Qowiy tertunduk lama. Pandangannya jatuh ke bawah. Saat ini, otot lidahnya kejang hendak bertikam lidah dengan Badrul yang jelas sarat dengan ilmu di dada.

Hmm... layakkah diri ini memikul tanggungjawab Ketua BADAR dengan ilmu sekadar takat sifar?

Buat pertama kalinya, kuantiti dan kualiti ilmu yang dimiliki mula dipersoalkan.

𖣔𖣔𖣔

"Berubah daripada jahat menjadi baik pun dikira hijrah."

Kata-kata Badrul di padang sekolah tadi membelenggu neuron otaknya. Bahkan sepanjang perjalanan ke rumah, acap kali juga ungkapan tersebut berulang-ulang di minda.

Adakah dia perlu berubah menjadi baik atau erti kata lainnya, berhijrah? Tapi untuk apa? Takkanlah semata-mata kerana jawatan yang bakal disandang? Kalau macam itu, tak ikhlaslah namanya. Sedangkan sia-sia saja amalan jika tidak diniatkan kerana Allah. Hati kecil berbisik sendiri.

Tapi kalau dia berubah pun tiada guna juga. Sampai kiamat, golongan sepertinya akan dipandang hina. Sekarang ini pun Qowiy bernasib baik masih mempunyai Badrul sebagai sahabat.

Sedar-sedar saja, langkahan kaki membawanya tiba ke destinasi. Tangga kayu itu dipanjat satu persatu. Seperti biasa, batang tubuh Puan Latifah menyambut kepulangan anaknya di muka pintu bersama senyuman semanis madu.

"Alhamdulillah... balik dah anak mak. Macam mana sekolah hari ini?" Lunak suara penuh keibuan itu menerpa cuping telinga. Puan Latifah menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Namun, hanya jelingan tajam diterima sebagai balasan. Huluran itu juga tak dipandang walau sebelah mata.

"Kau yakin ke aku pergi sekolah tadi?" Sengaja Qowiy bertindak menduga. Walhal hakikatnya dia memang pergi ke sekolah pagi itu.

Pantas saja air muka Puan Latifah bertukar mendung dan keruh. Hilang serinya dalam sekelip mata. Qowiy tersenyum sinis. Inilah yang dia nantikan sebagai hiburan. Menatap riak kecewa dan sedih milik wanita yang tak diiktiraf sebagai ibu. Hatinya puas malah terasa lapang.

"Kenapa? Sedih? Nak nangis ke? Kalau kau ada niat macam tu, baik kau buang jauh-jauh. Aku bosan tengok air mata kau. Dasar orang tua cengeng!" Senyuman mengejek dipamerkan. Tanpa sekelumit pun rasa bersalah yang bertandang.

"Blah, aku nak masuk!" Tak perlu menunggu jawapan, Qowiy terlebih dahulu merempuh ke dalam. Tubuh Puan Latifah juga dilanggar tanpa perasaan.

Pintu bilik dibuka sebelum badan tegapnya dicampak ke atas katil. Ah, leganya baring! Ruang peparu dipenuhi dengan udara yang disedut sedalam-dalamnya. Sesekali otot belakang diregangkan, menghilangkan rasa sengal.

Kipas yang berpusing pada halaju sederhana itu direnung. Tanpa dipinta, terlayar perlakuan biadabnya terhadap Puan Latifah selama ini. Mengingatkannya, senyuman lebar terhias di bibir. Arwah ayah pasti bangga dengan apa yang dia telah lakukan. Qowiy pasti itu.

Puan Latifah memang layak dilayan seperti hamba. Angkara dosa wanita itu ayahnya terpaksa menanggung malu. Jadi sementara kudratnya masih ada, dia akan menuntut pembalasan. Qowiy memasang tekad. Tunggulah... sampai masa nanti Puan Latifah akan dihapuskan dengan tangannya sendiri. Itu janji Badrul Qowiy.

Syaitan yang membisikkan hasutan bersorak gembira. Nampaknya, seorang lagi anak cucu Adam mulai larut dalam dendam yang dicipta.

Bunyi telefon berbunyi lantas mematikan lamunan panjang remaja itu. Telefon berjenama Oppo diambil di atas meja kecil tak jauh dari katil. Sebuah pesanan ringkas diterima.

Tajul

Qowiy, tolong cover aku malam ini. Ada hal pentinglah. Bagitahu je bila-bila, nanti aku ganti tempat kau pula.

Haih... nampaknya dia terpaksa bekerja menggantikan giliran Tajul pada malam ini walaupun dia sedang bercuti. Nak buat macam mana, kerja sambilan memang tak tentu masanya.

Tak apalah, alang-alang dapat tolong ringankan beban kawan yang sedang dalam kesulitan. Qowiy berusaha memujuk hati yang ralat.

❥︎❥︎❥︎

Alhamdulillah, done for chap 8 ✨

Sorry tau sesiapa yg tggu update mlm tdi. 😅

Bukannya lupa, sengaja buat-buat lupa. Eh, eh? 🤪 HAHAHAHA

Entah apalah kerja Abe Qowiy kita buat malam-malam tu. Haih... 😪

Eh jap! Nak tanya siapa perasan cover baru BAD[AR]? Tantek tak? 😆🙈

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro